Search This Blog

Wednesday, February 22, 2012

9 kereta kena pecah

PETALING JAYA: “Saya mahu menghantar anak yang demam ke klinik dengan kereta, terkejut apabila diberitahu kereta saya antara sembilan kenderaan yang dipecah dalam kejadian awal pagi tadi (semalam),” kata akauntan, Noraini Ruzita Zaini, 30, ketika ditemui, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sembilan kereta di tempat letak kereta awam berhampiran flat Taman Desaria, Jalan PJS 4/13, di sini, dipecah masuk manakala barangan berharga dilarikan dipercayai dilakukan pencuri aksesori.


Menurut Noraini, dia yang mendapat berita itu kira-kira jam 10 pagi segera memeriksa keretanya sebelum mendapati cermin sebelah kanan tempat duduk penumpang belakang pecah mengakibatkan kerugian kira-kira RM400.

“Saya dan suami berulang-alik ke tempat kerja dengan motosikal dan kereta ini hanya digunakan untuk perkara penting. “Namun, tidak sangka pula ia menjadi sasaran pencuri kerana kereta ini sudah lama dan saya tidak membuat sebarang pengubahsuaian. Mujurlah, saya tidak meninggalkan barangan berharga dalam kereta, jika tidak kerugian pasti lebih besar,” katanya.


Jiran Noraini yang turut menjadi mangsa, Nor Azurah Nordin, 28, berkata, dia kerugian kira-kira RM2,000 apabila set cakera padat digital (DVD) dan mini televisyen LCD dalam keretanya dicuri.


“Saya diberitahu mengenai kejadian kereta dipecah masuk oleh ibu kira-kira jam 8 pagi sebelum memeriksa dan terkejut mendapati cermin tingkap bahagian pemandu pecah.

“Pemeriksaan mendapati aksesori stereo yang dipasang dalam kereta saya sudah diumpil,” katanya.


Seorang lagi mangsa, Kamal Salim, 23, berkata, dia kehilangan dompet mengandungi sejumlah wang, kad kredit, kad pengenalan dan kad Touch ‘n Go selepas tertinggal dalam kereta yang baru lima bulan dibelinya.

“Saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku kerana ia pertama kali berlaku di kawasan ini. Apapun, saya akan berhati-hati dan tidak akan meninggalkan barangan berharga lagi dalam kereta di samping melengkapkan peralatan keselamatan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


myMetro | 9 kereta kena pecah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment