Search This Blog

Tuesday, February 7, 2012

2 sahabat maut

TEMERLOH: Kegembiraan empat sahabat dalam perjalanan pulang dari ibu negara selepas menghabiskan cuti Maulidur Rasul berakhir dengan tragedi apabila kenderaan Perodua Myvi dinaiki terbabas dan terbalik mengakibatkan dua daripada mereka maut di Kilometer 117.7, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.20 pagi itu, mangsa terbunuh pemandu Ismadi Kechik, 25, dan penumpang hadapan, Muhammad Nazir Abd Khalit, 22, masing-masing dari Kampung Bangau, di sini, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Dua lagi rakan mangsa, Alif Ridzuan Mohamad Nazeri, 19, dari Taman Sri Semantan dan Ahmad Ridzuan Rokbi, 23, dari Kampung Bangau mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Noor Mansor berkata, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu Ismadi dipercayai hilang kawalan dan merempuh besi penghadang di tengah jalan.


Menurutnya, akibat rempuhan itu, kenderaan dinaiki mangsa terbalik menyebabkan semua tercampak dan bergelimpangan di jalan sebelum Ismadi dan Muhammad Nazir maut di tempat kejadian.


Katanya, pada masa sama, Alif Ridzuan dan Ahmad Ridzuan kemudian dibantu orang awam dan dikejarkan ke Hoshah untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang, tengah hari semalam.

"Polis tidak menolak kemungkinan kenderaan terbabit dipandu laju sebelum Ismadi hilang kawalan mengakibatkan semua mangsa tercampak keluar selepas kenderaan itu terbalik.


"Ketika kejadian, keadaan permukaan jalan kering manakala aliran trafik tidak sibuk," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hoshah, tengah hari semalam.


Katanya, bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment