Search This Blog

Wednesday, February 29, 2012

Perdaya wanita untuk seks

Perdaya wanita untuk seks - Kelantan - Sinar Harian:
Perdaya wanita untuk seks

KOTA BHARU – Seorang warga emas gagal menahan sebak lalu menangis di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas dia dijatuhi hukuman 10 tahun penjara.

Pengutip kotak berusia 61 tahun dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku memperdayakan seorang wanita warga Indonesia bagi tujuan pemuas nafsu seks yang dilakukannya antara Jun dan Disember tahun lalu.

Terdahulu tertuduh, Yusoff Mat Rani ataupun dipanggil “Pak Su” diiringi anggota Imigresen tenang ketika keluar dari mahkamah, namun selang beberapa minit kemudian dilihat mengesat air matanya.

Tertuduh didapati bersalah memperdagangkan mangsa, yang berusia 24 tahun dengan cara melindunginya untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Limau Manis di sini.

Hakim Azman Mustapha dalam keputusannya mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 19 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin dalam hujahannya memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan menjelaskan tindakan tertuduh itu mungkin boleh menggugat hubungan baik antara kedua-dua negara.

Tertuduh bagaimanapun merayu supaya dikenakan hukumannya ringan dengan alasan dia sudah tua.

“Pakcik sudah tua dan pakcik juga sudah jujur dengan Yang Arif. Pakcik mohon hukuman pakcik diringankan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan berita seorang wanita Indonesia terpaksa menjadi hamba seks seorang lelaki berusia selepas melarikan diri dari majikannya di sini, Jun lalu.

Tidak tahan dengan situasi itu, mangsa sekali lagi melarikan diri dan meminta bantuan Imigresen


'via Blog this'

Pelajar tembak rakan ditahan

Pelajar tembak rakan ditahan - Global - Sinar Harian:
Pelajar tembak rakan ditahan

WASHINGTON - Seorang pelajar ditahan polis selepas disyaki melepaskan tembakan rambang di sebuah sekolah tinggi di Ohio, kelmarin sehingga menyebabkan seorang maut manakala lima lagi cedera.

Laporan siasatan awal mendapati suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kumpulan pelajar di kafeteria Sekolah Tinggi Chardon sebelum melarikan diri.

Stesen televisyen tempatan melaporkan tiga mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.

Bagaimanapun, polis enggan mendedahkan identiti suspek dan memberi butiran lanjut mengenai insiden menggemparkan itu.


'via Blog this'

Dua beranak Orang Asli disondol babi hutan

Dua beranak Orang Asli disondol babi hutan - Semasa - Sinar Harian: KUALA TERENGGANU - Rutin seorang wanita Orang Asli bersama dua anaknya mengutip kayu api yang terletak berhampiran Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu bertukar mimpi ngeri hari ini apabila mereka diserang seekor babi hutan, menyebabkan dua daripada mereka cedera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita yang hanya dikenali sebagai Dajang, 62, dari Kampung Sungai Berua, luka di kaki dan tangan manakala anak perempuannya Sallek Bakar, 30-an cedera parah hampir di seluruh badan akibat disondol haiwan seberat 70 kilogram itu.

Kedua-dua beranak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Seorang lagi anak Dajang, berjaya menyelamatkan diri.

Dajang ketika ditemui berkata dia dan dua anaknya sentiasa ke hutan yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka untuk mencari bahan bakar itu bagi kegunaan sendiri.

"Ketika sedang leka mengutip ranting kering, tiba-tiba kelibat seekor babi hutan menghampiri bersama bunyi dengusan. Saya menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya mendapati ada seekor babi besar setinggi hampir paras pinggang tidak jauh dari kami.

"Belum sempat kami selamatkan diri, babi hutan itu terus menyerang menggigit bahagian kaki dan tangan saya. Pada masa itu juga, seorang anak perempuan saya mengambil sebatang kayu dan cuba memukul binatang itu," katanya ketika ditemui Bernama di HSNZ di sini hari ini.

Menurutnya tindakan anaknya itu hanya mengundang rasa marah haiwan berkenaan menyebabkan dia diserang dengan teruk.

"Selepas bergelut hampir lima minit keadaan Sallek semakin lemah dan saya menjerit meminta tolong apabila melihat Sallek berlumuran darah," katanya.

Beliau berkata jeritan itu hanya sia-sia kerana tidak didengari penduduk kampung dan mereka keluar meminta pertolongan selepas babi hutan itu beredar. - Bernama

'via Blog this'

Rumah Putih biaya intip orang Islam

Rumah Putih biaya intip orang Islam - Global - Sinar Harian:
Rumah Putih biaya intip orang Islam

WASHINGTON - Rumah Putih didakwa telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membayar program Jabatan Polis New York (NYPD) yang meletakkan seluruh kawasan kejiranan Islam di bawah pengawasan mereka.

Peruntukan sebanyak AS$135 juta (RM407 juta) kepada jabatan polis di New York dan New Jersey itu kononnya diberikan untuk tujuan program penguatkuasaan undang-undang melibatkan jenayah pengedaran dadah tetapi kini aktiviti sebenar NYPD telah terbongkar kerana mereka sebenarnya mengawasi orang Islam.

Sebahagian wang tersebut dipercayai telah digunakan oleh anggota NYPD berpakaian biasa memantau pergerakan orang Islam termasuk penggunaan komputer khas untuk menyimpan maklumat seperti khutbah masjid dan majlis keagamaan serta profil pelajar.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menafikan penglibatan mereka yang mengarahkan NYPD untuk mengintip pergerakan orang Islam di negara itu.

“Saya benar-benar terkejut apabila mengetahui wang peruntukan kerajaan telah disalah guna untuk mengintip orang Islam,” menurut salah seorang Ahli Kongres yang menuntut Jawatankuasa Kehakiman dan Jabatan Keadilan menyiasat NYPD.

Tindakan pengintipan NYPD tersebut telah terbongkar pada minggu lalu selepas beberapa pentadbiran kolej di serata negeri AS membuat aduan bahawa polis telah mencabuli hak pelajar Islam.


'via Blog this'

Rumah milik Nabil kena pecah

Rumah milik Nabil kena pecah - Semasa - Sinar Harian:
Rumah milik Nabil kena pecah

SEREMBAN - Kediaman pelawak dan pelakon terkenal, Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil dipecah masuk perompak dalam satu kejadian di Kampung Masjid, Mambau, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 minit pagi ini, perompak berkenaan bertindak memecah masuk rumah itu melalui sebuah daripada bilik rumah itu yang kini didiami keluarga bapa saudaranya.

Menurut bapa saudara Nabil, Rahmat Abdul Latiff, 55, kejadian disedarinya sebaik pulang ke rumah itu selepas menghantar anak perempuannya ke tempat kerja di sebuah pusat membeli belah berhampiran.

Katanya setelah diperiksa, penjenayah berkenaan didapati melarikan komputer riba milik anaknya yang berharga RM3,000.

"Kejadian ini yang pertama berlaku di rumah ini dan saya baru sahaja menetap dua bulan di rumah ini selepas Nabil bersama ahli keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama


'via Blog this'

Kanak-kanak didera ibu tiri nyaris bunuh diri

Kanak-kanak didera ibu tiri nyaris bunuh diri - Semasa - Sinar Harian: KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun nyaris mengambil keputusan membunuh diri kerana disyaki tidak tahan dengan penderaan ibu tirinya di Jinjang Utara di sini.

Mangsa ditemui dengan kesan lebam di bahagian pipi dan lengan kiri dipercayai didera oleh ibu tiri dengan kayu pada 20 Februari lalu hanya kerana mangsa telah membawa sijil kelahiran ke sekolah untuk menyertai pasukan bola keranjang tanpa memaklumkan kepadanya.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dilakukan oleh pak cik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 21 Februari lepas apabila mendapati masalah tersebut semakin serius.

"Dia berasa amat takut dan tidak dapat menumpukan perhatian ke atas pelajarannya sekarang dan mengadu ingin bunuh diri," kata pak cik mangsa, 31, ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di rumah neneknya di Rumah Panjang Jinjang Utara kerana tidak gembira tinggal bersama dengan ibu tiri dan bapa kandung yang merupakan seorang penagih dadah.

"Saya juga difahamkan bahawa pihak polis telah memberkas ibu tiri mangsa dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei yang melawat mangsa penderaan itu hari ini berkata kementeriannya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) akan menempatkan mangsa di rumah neneknya selama sebulan bagi tujuan siasatan kes.

"Kita akan berunding dengan bapa mangsa dengan harapan kedua-dua pihak akan mencapai kata sepakat tetapi jika ia tidak berjaya, kes ini akan dibawa ke mahkamah bagi menempatkan mangsa terus di bawah jagaan nenek sehingga dia berumur 18 tahun," katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk menghubungi Talian Nur 15999 sekiranya mendapat sebarang maklumat kes penderaan berlaku di kawasan perumahan mereka. - Bernama

'via Blog this'

Mayat ahli Kongres dibawa pulang

Berita Harian Online | Mayat ahli Kongres dibawa pulang: MANILA: Perbalahan panjang antara isteri dan kekasih anggota Kongres Filipina, mendiang Ignacio Arroyo yang meninggal dunia di London 26 Januari lalu, akhirnya diselesaikan bagi membolehkan mayat beliau dibawa pulang ke tanah airnya.

Satu sumber Kongres menyatakan, isteri Arroyo, Aleli akan menerima bendera Filipina dari Parlimen, dalam satu upacara perkabungan diadakan di dewan rendah Kongres, kata satu sumber.
Hari pertama perkabungan dijadual diadakan di rumah peninggalan Arroyo di kawasan mewah di La Vista di pinggir Quezon City, 1 Mac ini.
Satu lagi upacara perkabungan dijadualkan di rumah Aleli di kejiranan sama, sebelum perkabungan di Parlimen. Selepas itu upacara akan diadakan di Bacolod City, di bahagian tengah Filipina. Tidak diketahui jika kekasih sekian lama Arroyo, Grace Ibuna, akan berada di sana.

Sudah pasti keluarga pertama akan berada di sekitar pengebumian di Perkuburan Utara Manila. Tidak diketahui jika Ibuna dan anak perempuannya akan turut serta, kata sumber terbabit.

Ibuna memiliki seorang lagi anak bersama pelakon Gabby Concepcion.

Ketibaan mayat Arroyo dilewatkan selepas aduan Ibuna dikemukakan di sebuah mahkamah di London.
Kelibat dua wanita, seorang isteri dan seorang kekasih, bertengkar untuk mendapatkan mayat lelaki dicintai, fenomena terpencil di Filipina, satu ilustrasi keadaan sosial dan kepelbagaian cinta dan perhubungan.

Rakyat Filipina bertolak ansur dalam kecurangan sebagai hakikat kehidupan.

Seorang suami yang curang diterima selagi dia menjaga keluarganya. Kekasih diberi pujian untuk pelbagai alasan, termasuk memanjangkan hayat kekasih mereka, kata ruangan pojok akhbar Manila Times.

Mendiang Arroyo abang kepada Jose Miguel Arroyo, suami bekas presiden Gloria Arroyo. - Agensi

'via Blog this'

Bekas kekasih dicuri orang punca tembak

Berita Harian Online | Bekas kekasih dicuri orang punca tembak: CHARDON (Ohio): Seorang pelajar bertindak melepaskan tembakan di kafeteria sekolah menyebabkan seorang maut dan empat lagi cedera dipercayai kerana bekas teman wanitanya menjadi milik mangsanya atau disebabkan dia pernah dibuli.

Dua sebab itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa yang masih belum menetapkan motif serangan pelajar Sekolah Tinggi Chardon, T J Lake, ketika sesi sarapan.
Rakan pelajar memberitahu media tempatan bahawa suspek adalah seorang pelajar yang tidak banyak bercakap, suka bersendirian dan mungkin dibuli atas sebab bertindak demikian.
Ada saksi lain berkata, Lake seolah-olah menyasarkan serangan mangsa kerana menjalin hubungan intim dengan bekas teman wanitanya, lapor Reuters yang mengakui tidak dapat mengesahkan teori itu.

Pelajar di Ohio rata-rata terkejut dengan kejadian tembakan di sekolah Amerika Syarikat dalam tempoh hampir setahun.

Lake ditahan seorang guru yang mengejarnya selepas dia melepaskan tembakan, kata polis.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Daniel Parmertor, 16.
Berikutan itu, semua sekolah di Ohio ditutup sehingga esok bagi membolehkan penduduk bertenang dan mendoakan mangsa lain yang cedera pulih.

Kami mahu mereka tidak keluar rumah dan memikirkan pengajaran daripada kejadian yang berlaku, kata Superintendan Sekolah Chardon, Joseph Bergant, dalam sidang akhbar.

Dua daripada empat pelajar yang cedera dihantar ke Hospital MetroHealth, Cleveland, dan keadaan mereka dilaporkan tenat, kata Ketua Polis, Tim McKenna.

Jurucakap hospital, Shannon Mortland, menolak untuk memberi butir-butir terbaru keadaan mangsa berkenaan, antara seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sebelum ini dikatakan tenat manakala seorang lagi pelajar wanita berusia 18 tahun dilaporkan stabil.

Peguam keluarga Lane menyifatkan remaja terbabit seorang yang baik dan tidak pernah terbabit dalam kejadian tidak diingini.

Kejadian ini memang tidak dijangka langsung. Keluarganya meminta semua pihak tidak mengganggu mereka ketika mereka cuba memahami bagaimana tragedi boleh berlaku dan berkabung atas kematian mangsa.

Chardon adalah satu bandar dengan 5,000 penduduk, menurut laman web Banci Amerika Syarikat baru-baru ini.

Kejadian tembakan paling buruk di sekolah Amerika berlaku pada 2007 apabila seorang pelajar Universiti Virginia Tech menembak mati 33 orang.

Ia menyusuli satu lagi kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Columbina di Colorado pada 1999 yang menyebabkan 12 pelajar dan seorang guru maut. Reuters

'via Blog this'

8 askar Guatemala terbunuh dalam nahas helikopter

Berita Harian Online | 8 askar Guatemala terbunuh dalam nahas helikopter: "GUATEMALA CITY: Lapan anggota Tentera Udara Guatemala terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas dalam kawasan hutan berdekatan sempadan Mexico, malam tadi.

"Lapan anggota Tentera Udara, enam krew dan dua juruterbang berada dalam helikopter itu," kata Gabenor wilayah Peten, Henry Amezquita.
Berdasarkan maklumat awal, helikopter itu terhempas dekat kawasan Chacalte, di San Luis Peten, kira-kira 500 kilometer utara Guatemala City. - AFP"

'via Blog this'

Dua rentung dalam nahas di Pasir Putih

Berita Harian Online | Dua rentung dalam nahas di Pasir Putih: "KOTA BHARU: Seorang dewasa dan kanak-kanak dipercayai mempunyai pertalian darah rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu melanggar tiang dan masuk ke lorong sebelah sebelum berlanggar dengan kenderaan lain dan terbakar.

Identiti mangsa nahas 9.15 malam tadi di depan sebuah kilang kitar semula di Kampung Padang Kala, Jalan Pasir Putih itu tidak dapat dikenalpasti kerana keadaan mayat mereka yang rentung.
Mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Putih.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, mayat mangsa yang terperangkap dalam Toyota Rush itu dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, sebuah lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah Ford Ranger yang dipandu Azaizurien Ahmad, 33, dari Kampung Bukit Kecik Melor, dan penumpang Siti Nor Azreen Md Yani, 24, dari Kampung Gaug Lati, Pasir Mas."

'via Blog this'

Fitnah: Yong Teck Lee diperintah bayar RM1 juta

Berita Harian Online | Fitnah: Yong Teck Lee diperintah bayar RM1 juta: "KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, membayar RM1 juta kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh, kerana memfitnah beliau berhubung nahas pesawat pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephens, dan 10 yang lain. - BERNAMA"

'via Blog this'

Penyelia Petronas didakwa terima rasuah RM5,000

Berita Harian Online | Penyelia Petronas didakwa terima rasuah RM5,000: KUALA LUMPUR: Bekas penyelia Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah RM5,000 daripada seorang kontraktor, dua tahun lalu.

Ahmad Zaki Kamaruddin, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Ahmad Zaki, yang sebelum ini bekerja di bahagian Perolehan & Logistik PETRONAS dituduh menerima wang RM5,000 daripada kontraktor Mohd Azam Mohamad melalui rakan tertuduh iaitu Herman Bakar sebagai dorongan bagi mempercepatkan pengeluaran sijil pendaftaran membekal peralatan dan memberi perkhidmatan kepada PETRONAS.
Bapa kepada seorang anak lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di stesen minyak Petronas, Jalan Genting Klang pada jam 9.30 malam, 8 Disember 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000, atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada SPRM memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh kerana jumlah itu adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Peguam Abdul Razak Abu Bakar yang mewakili Ahmad Zaki memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan sejak tahun lalu.
"Anak guam saya tidak pernah gagal untuk melaporkan diri kepada pihak SPRM pada 7 haribulan, pada setiap bulan dan ini menunjukkan dia memberi kerjasama kepada SPRM," katanya.

Hakim Ahmad Zamzani membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mac untuk sebutan semula kes. Abang ipar tertuduh membayar wang jaminan itu.- BERNAMA

'via Blog this'

Kapten, pegawai kapal mengaku bersalah akibatkan pencemaran laut

Berita Harian Online | Kapten, pegawai kapal mengaku bersalah akibatkan pencemaran laut: WELLINGTON: Kapten dan pegawai kedua kapal yang mengakibatkan pencemaran paling buruk di perairan New Zealand mengaku bersalah atas tuduhan berunsur jenayah hari ini dan berdepan hukuman penjara, kata pegawai tempatan.

Kedua-dua pegawai itu bertanggungjawab kapal Rena apabila ia terlanggar terumbu karang tahun lalu, mengakibatkan tumpahan minyak yang membunuh beribu-ribu burung laut dan merosakkan pantai di sepanjang Teluk Plenty di Kepulauan Utara.
Tertuduh, kedua-dua warga Filipina, mengaku bersalah kerana mengendalikan kapal berkenaan secara berbahaya dan dipercayai cuba mengubah arah haluan pelayaran selepas kejadian itu.
Kapten kapal itu juga mengaku melepaskan bahan kimia berbahaya dari kapal kargo berkenaan. - AFP

'via Blog this'

Tuntutan palsu: Ahli Parlimen Sabak Bernam didapati bersalah

Berita Harian Online | Tuntutan palsu: Ahli Parlimen Sabak Bernam didapati bersalah: SHAH ALAM: Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, empat tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Abdul Rahman, 47, diperintah bela diri pada akhir Jun tahun lalu atas tuduhan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan Program Motivasi Pelajar di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas. Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM80,000.

Dia didakwa melakukan semua perbuatan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pada prosiding sama, pembantu kepada Abdul Rahman, Rosli Busro, 44, didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu.

Hakim turut membenarkan permohonan peguam bela kedua-dua tertuduh, Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guam mereka sehingga esok pagi di mahkamah sama.

Kedua-dua peguam itu berkata, mereka perlukan masa untuk persediaan mitigasi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa.

Seramai 39 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu. - BERNAMA

'via Blog this'

Pemandu lori hadapi 16 tuduhan menipu

Berita Harian Online | Pemandu lori hadapi 16 tuduhan menipu: SHAH ALAM: Seorang pemandu lori hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 16 tuduhan menipu dengan mengemukakan resit palsu kepada majikannya membabitkan nilai keseluruhan RM18,536.60, dua tahun lalu.

Chan Ban Hoo, 41, didakwa mengemukakan 16 resit palsu berjumlah RM18,536.60 dengan tujuan untuk menipu syarikat pembekal ayam dan itik, Sang Lee Trading, di Taman Sri Serdang dekat sini, antara 30 Julai dan 3 September 2010.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Mohd Fadhir Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan Chan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abdul Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

'via Blog this'

Kabel elektrik jatuh atas laluan Permas Jaya-Plentong

Berita Harian Online | Kabel elektrik jatuh atas laluan Permas Jaya-Plentong: JOHOR BAHRU: Laluan Permas Jaya ke arah Plentong, di sini, ditutup hampir tujuh jam hari ini apabila paip kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terjatuh ke atas jalan selepas kerangka besi yang menampung kabel berkenaan patah.

Seorang pengguna laluan berkenaan, Mohd Rubaie Hayan, 55, berkata ketika kejadian pada 9.30 pagi itu, beliau dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Seri Alam untuk ke tempat kerja di Permas Jaya.
"Saya hanya berada kira-kira 100 meter dari paip kabel setinggi 45 meter yang merentangi jalan itu, sebelum ia tiba-tiba patah dan jatuh menghalang laluan jalan," katanya ketika ditemui, di sini.
Mohd Rubaie berkata, beliau terus memberhentikan kereta dan mengarahkan kenderaan lain supaya tidak melalui laluan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk M Munusamy, berkata beliau pernah membuat aduan mengenai tahap keselamatan kabel itu setahun lalu.

"Kita pernah mengutarakan mengenai tahap keselamatan kabel berusia 25 tahun itu kerana kita merasakan ia tidak diselenggara dengan baik. Tidak sangka, insiden yang dikhuatiri berlaku kini menjadi kenyataan. Namun, nasib baik ia tidak menghempap kenderaan yang lalu," katanya.

Munusamy berkata, dianggar 10,000 kenderaan melalui laluan itu setiap hari dan laluan utama bagi pengguna dari arah Permas Jaya ke pusat bandar Johor Baharu itu sesak ketika waktu puncak.
Sementara itu, Pengurus Kanan (Perkhidmatan Pengguna dan Pemasaran) TNB Johor Mohamed Noh Md Seth, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi dan mengarahkan pekerja supaya membaik pulih besi dan paip kabel itu serta-merta.

"Berdasarkan siasatan, ada penduduk mendakwa kabel berkenaan pernah dilanggar lori yang menyebabkan strukturnya rosak. Jadi, kami bercadang untuk tidak lagi menggunakan kabel itu dan akan mencari laluan baru," katanya. - BERNAMA

'via Blog this'

Dendam disyaki punca polis risikan jenayah kena bunuh

Berita Harian Online | Dendam disyaki punca polis risikan jenayah kena bunuh: KUALA LUMPUR: Dendam dipercayai punca pembunuhan seorang anggota Unit Risikan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Negeri Sembilan yang ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan muka berhampiran Bulatan Batu Caves di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata polis sudah menahan dua suspek bagi membantu siasatan kes itu, dan sedang memburu seorang lagi suspek dipercayai kenalan mangsa yang menghilangkan diri sejak pembunuhan berkenaan.
Suspek dikenali sebagai Karunagaran Asaithamby, 27, dengan alamat terakhirnya di No 6-G, Jalan 10 A, Selayang Baru, Batu Caves. Berdasarkan maklumat diperoleh, suspek dan mangsa saling mengenali.
Suspek menghilangkan diri sejurus selepas kejadian itu, namun dipercayai masih bersembunyi di sekitar ibu negara. Justeru, polis meminta kerjasama orang ramai yang pernah melihat suspek atau mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi Bilik Gerakan Cawangan Jenayah Berat (D9) IPK Kuala Lumpur di talian 03-21460685, katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Konstabel V Divendran, 25, yang berasal dari Selayang Heights, Batu Caves dilaporkan hilang pada 1 Februari lalu sebelum ditemui mati tiga hari kemudian di bawah jejambat berhampiran Bulatan Batu Caves dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Mayat mangsa ditemui oleh bapa saudaranya, juga seorang pegawai polis di Shah Alam ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selayang selepas menjalankan rondaan rutin sempena raptai sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Mohmad berkata, gambar suspek sudah diedarkan kepada semua balai polis di Selangor dan Kuala Lumpur, malah turut dimuat naik ke laman sosial, Facebook milik IPK Kuala Lumpur dan Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dalam usaha mengesan lelaki itu yang turut mempunyai beberapa rekod jenayah.
Suspek bukan hanya dikehendaki berhubung kes pembunuhan anggota polis terbabit, malah bagi membantu siasatan beberapa kes samun kereta mewah di Lembah Klang sebelum ini, katanya.

'via Blog this'

Stor simpanan gas meletup

Berita Harian Online | Stor simpanan gas meletup:
KAJANG: Berpuluh-puluh tong gas memasak melantun setinggi 10 meter apabila stor penyimpanan gas memasak yang dipercayai beroperasi secara haram musnah dalam kebakaran di Jalan Semenyih-Mantin, di sini malam tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam ketika pekerja melakukan proses pengisian semula gas daripada lori tangki ke dalam lebih 2,000 tong gas di dalam stor berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata tiada kemalangan jiwa berlaku namun pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Hasil siasatan awal yang dijalankan stor penyimpanan gas ini didapati tidak memenuhi piawaian keselamatan pada tahap sebenar hingga mengakibatkan kebakaran dan letupan berlaku.

Hingga kini kita sedang mengesan pekerja dan pemilik stor yang dipercayai menghilangkan diri sejurus kebakaran berlaku, katanya di lokasi kejadian.

Katanya, polis akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Kajang bagi mengambil tindakan terhadap pemilik kilang yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata lima jentera bomba dengan 30 anggota termasuk bantuan air daripada Balai Bomba Mantin, Negeri Sembilan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Api dapat dikawal dalam satu jam selepas pihak bomba mengepung keseluruhan kawasan 60 meter persegi bagi mengelak api merebak ke kawasan lain selain meletakkan kawasan itu dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak kemungkinan letupan, katanya.
'via Blog this'

Kontraktor parah kena tembak

Berita Harian Online | Kontraktor parah kena tembak: ANGGOTA polis memeriksa kereta yang dinaiki mangsa dalam kejadian di Jalan Gasing, Petaling Jaya, semalam. - Foto Abdullah Yusof
ANGGOTA polis memeriksa kereta yang dinaiki mangsa dalam kejadian di Jalan Gasing, Petaling Jaya, semalam. - Foto Abdullah Yusof
PETALING JAYA: Seorang kontraktor binaan yang sedang menunggu anaknya di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle, Jalan Gasing di sini, tengah hari semalam, cedera parah ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal.

Ketika kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai P Sangaralingam, 36, dikatakan berada di dalam kereta apabila dihampiri motosikal dinaiki dua lelaki yang melepaskan sekurang-kurangnya enam das tembakan ke arah mangsa.
Dalam keadaan parah, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback terus memecut ke arah hospital, namun kenderaannya terbabas selepas melanggar pokok di Jalan 6/5, enam kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata orang awam yang melihat kemalangan itu mendapati mangsa berlumuran darah dan memberi bantuan kecemasan sebelum menghantarnya ke Hospital Assunta sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada enam tembakan yang dilepaskan mengenai mangsa, manakala selebihnya terkena pada kenderaannya sebelum mangsa berusaha memecut keretanya bagi mendapatkan bantuan sebelum merempuh sebatang pokok dan sebuah Mitsubishi Pajero dan terbabas.

Pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemui lima kelongsong peluru, katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Arjunaidi berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti motif mangsa diserang, namun tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan pembabitannya dalam satu perbicaraan kes samun di mahkamah.
Polis sedang berusaha mendapatkan keterangan dan maklumat daripada mangsa yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi PPUM sebaik sedar selepas pembedahan mengeluarkan peluru yang menembusi rusuk kirinya dilakukan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan polis menjalankan gerakan besar-besaran memburu suspek terbabit.

'via Blog this'