Search This Blog

Thursday, January 26, 2012

Suspek miliki tujuh rekod jenayah



         
KUALA LUMPUR: Suspek yang ditembak mati dalam drama tebusan kanak-kanak di Kampung Baru, di sini, Isnin lalu, disahkan mempunyai tujuh rekod lampau, empat daripadanya membabitkan penyalahgunaan dadah manakala tiga lagi bersabit kes jenayah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 walaupun suspek sudah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin.


Zulkarnain berkata, pakar psikiatri turut menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental dan polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada HKL.

“Mayat suspek dituntut ahli keluarganya jam 8 malam semalam di HKL dan dibawa pulang untuk diuruskan jenazahnya,” katanya.


Katanya, doktor mengesahkan terdapat kesan calar di anggota badan kanak-kanak perempuan terbabit akibat terkena pisau suspek.


“Menyedari tahap ancaman terhadap nyawa mangsa semakin tinggi, polis melepaskan tembakan.


“Laporan awal bedah siasat menunjukkan hanya terdapat lapan kesan luka akibat empat das tembakan yang dilepaskan polis dan tiada kesan kecederaan lain,” katanya.


Menurutnya, suspek dipercayai dikejar penduduk kampung berkenaan selepas dilihat berjalan tanpa seurat benang sambil membawa plastik berisi pakaian dan sebatang besi.

“Namun, laporan perubatan menunjukkan tiada kesan pukul atau luka selain kesan tembakan. Jadi, kami minta semua pihak menghentikan andaian yang mengatakan suspek dipukul atau dibelasah orang ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment