Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Sindiket RM1.53j tumpas




Noor Rashid Ibrahim menunjukkan rampasan dadah serta alat penimbang dadah pada sidang akhbar mengenai rampasan dadah terbaru pada tahun 2012 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jan. – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa setelah menahan lapan individu termasuk dua wanita tempatan yang dipercayai keldai dadah di sekitar ibu negara, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, salah seorang daripada suspek wanita itu merupakan orang tengah sindiket yang merekrut wanita tempatan untuk dijadikan keldai dadah.
Hasil tiga serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.53 juta.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki warga Nigeria bersama dua wanita tempatan di KL Sentral di sini pada Jumaat lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki suspek, pihaknya menemui 30 bungkusan kecil dadah dipercayai kokain dalam besi troli beg pakaian beroda.
“Siasatan awal mendapati, dadah itu cuba diseludup ke luar negara oleh salah seorang wanita yang dijadikan keldai dadah.
“Salah seorang wanita lagi yang ditahan merupakan orang tengah untuk merekrut wanita tempatan menjadi keldai dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Difahamkan, wanita itu pernah beberapa kali membawa keluar dadah dari negara ini sebelum merekrut wanita lain. Dia juga dipercayai telah merekrut lebih daripada dua wanita untuk menjadi keldai dadah.
Tambah Noor Rashid, serbuan kedua pihaknya ke sebuah rumah kedai di Puchong, Selangor dan menemui 33 peket dadah jenis heroin yang diletakkan di dalam beberapa kotak set pinggan mangkuk dan sebuah beg sandang serta menahan tiga lelaki warga Pakistan.
Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai baru beberapa hari masuk ke negara ini dengan membawa 40.2 kilogram dadah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua alat penimbang berat dan sudip yang dipercayai digunakan bagi proses membungkus dadah terbabit dalam peket-peket kecil untuk edaran pasaran tempatan.
“Kita percaya suspek bergiat aktif selama lebih setahun dalam pengedaran dadah jenis heroin di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Isnin lalu, Noor Rashid berkata, pihaknya menangkap seorang lelaki warga Guinea kerana menyeludup masuk 971 gram dadah syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, hasil ujian imbasan, pihaknya menemui 57 ketulan dadah dalam badan suspek.
“Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga lingkungan 40-an kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

No comments:

Post a Comment