Search This Blog

Saturday, January 14, 2012

Sindiket dadah 'Awang Hitam' tumpas



Nordin Kadir menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas di Subang Jaya, di Pusat Media Polis Selangor, semalam.


SHAH ALAM 13 Jan. - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi lima warga Nigeria yang empat daripadanya merupakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara dalam serbuan di sebuah apartmen di Subang Jaya dekat sini, Rabu lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, polis turut menemui 12 bungkusan plastik yang disyaki ganja seberat 10 kilogram (kg), dianggarkan bernilai RM34,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, sindiket terlibat dipercayai bergiat aktif mengedar ganja di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyiasat lebih lanjut latar belakang empat pelajar Nigeria yang terlibat dan seorang lagi rakan mereka yang datang ke negara ini sebagai pelancong.
"Kesemua suspek lelaki yang berusia 27 hingga 33 tahun itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selama tujuh hari sehingga 17 Januari ini," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Dalam satu lagi kejayaan pada Isnin lalu, kata Nordin, lima warga tempatan dan seorang warga Myanmar ditahan selepas polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM46,000 di rumah yang didiami mereka di Setia Alam di sini.
Menurut Nordin, dadah yang ditemui dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu adalah 600 gram heroin, 145 gram syabu yang diisi dalam sembilan peket plastik dan 50 biji pil Eramin 5. Turut ditemui beberapa peralatan yang dipercayai untuk membungkus dadah.
"Tiga daripada suspek yang ditahan ialah lelaki yang kesemuanya berusia antara 19 dan 31 tahun dengan lima daripadanya positif dadah. Mereka kini ditahan reman sehingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment