Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Rasuah: Bekas pegawai SPAD direman



KOTA BHARU 26 Jan. - Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah daripada syarikat pengangkutan lori.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut sumber, suspek berusia 44 tahun itu ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu selepas dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Kelantan di sini petang semalam.
''Penahanan ini dibuat bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki menerima suapan secara bulanan daripada syarikat pengangkutan lori yang melakukan kesalahan pelesenan.
''Dia dipercayai menerima rasuah bernilai RM800 sehingga RM1,000 sebulan sejak setahun lalu,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, suspek sebelum ini bertugas di pejabat SPAD Wilayah Timur di Kuala Terengganu dan kini bertugas di sebuah agensi penguatkuasaan yang lain di negeri ini.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
''Penahanan ini dibuat selepas kita mendapat aduan dan risikan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa SPRM Terengganu,'' katanya.

No comments:

Post a Comment