Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Polis rampas dua pistol, empat penjenayah diberkas



JOHOR BAHRU 26 Jan. - Polis memberkas empat penjenayah dan merampas dua pucuk pistol dalam dua serbuan melibatkan beberapa kes samun di sekitar bandar raya ini sepanjang minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam kes pertama pada Isnin lalu, sepasukan polis peronda menahan dua lelaki berusia 30-an yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.
"Dalam kejadian pukul 5.20 petang, kedua-dua suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang dan merampas pistol anggota polis yang menahan mereka. Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai kaki salah seorang suspek.
"Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri, manakala suspek yang cedera diberkas. Polis menjumpai sepucuk pistol tanpa kelopak bertulis United States Property 856918 yang menyerupai senjata sebenar, sebuah beg berwarna hitam, lapan anak kunci, sehelai topeng muka dan sebuah telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam satu lagi kes, polis menemui sepucuk pistol semi auto menyerupai senjata sebenar selepas menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan Permas 10, Permas Jaya kelmarin.
Turut ditemui dalam serbuan itu, sebilah pisau, satu pita hitam, satu kelopak berisi peluru berbiji, leraian bahagian pistol dan bateri pistol yang sedang dicas.
"Ekoran penemuan tersebut, polis memberkas seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penyewa bilik di hotel berkenaan. Semakan rekod jenayah mendapati suspek memiliki dua rekod kesalahan lampau iaitu di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 379 kanun yang sama," katanya lagi.
Mohd. Mokhtar berkata, suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment