Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

Permohonan guna laporan polis ditolak


SHAH ALAM 30 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peguam bela untuk menggunakan laporan polis oleh Cif Inspektor N. Govindan yang tidak dikemukakan sebagai bahan bukti bagi menyoal balas saksi pendakwaan ke-32 itu dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian atas alasan laporan polis yang dibuat Govindan itu tidak diterima sebagai bahan bukti dan tidak boleh digunakan bagi membuktikan percanggahan mahupun persamaan dengan keterangan di mahkamah.

Kata beliau, hanya pernyataan yang diterima mahkamah boleh digunakan untuk menyoal balas saksi termasuk pernyataan terdahulu atau laporan maklumat awal (FIR).

"Laporan polis tidak seperti laporan maklumat awal. Ia tidak boleh diterima serta tidak boleh digunakan untuk menyanggah atau menyokong keterangan saksi," katanya.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Pada Jumaat lalu, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Thilaiyalagan memohon untuk menyoal balas Govindan berdasarkan isi kandungan laporan-laporan polis yang dibuat oleh saksi itu.

Laporan pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu dibuat berhubung pengakuan Thilaiyalagan serta Kathavarayan mengenai lokasi bahan-bahan bukti dibuang.

Beliau membuat permohonan di bawah Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 itu atas alasan terdapat percanggahan antara keterangan saksi di mahkamah dengan laporan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Ketua Seksyen DNA Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Lim Kong Boon yang menyambung keterangan mengecam 98 lagi bahan bukti termasuk sepasang kasut sukan berwarna hitam dan sampel darah yang diserahkan kepada beliau untuk dianalisis.

Bahan-bahan tersebut diserahkan oleh pegawai penyiasat kes itu, Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob pada 27 September dan 11 Oktober 2010.

Sebelum ini, saksi itu mengecam 54 bahan bukti yang juga diserahkan kepada beliau untuk dianalisis serta dibuat ujian perbandingan DNA (asid deosiribonukleik).

Perbicaraan yang masuk hari ke-61 bersambung esok.

No comments:

Post a Comment