Search This Blog

Saturday, January 7, 2012

Pereka hiasan dalaman edar dadah dihukum mati




SHAH ALAM 6 Jan. - Seorang pereka hiasan dalaman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar tiga jenis dadah, tiga tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari memutuskan hukuman itu terhadap Lau Siow Liang, 48, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan-pertuduhan tersebut.
Beliau dalam penghakimannya menolak pembelaan tertuduh bahawa dadah yang dijumpai di dalam keretanya adalah kepunyaan lelaki bernama Ah Chong dan berpendapat ia adalah rekaan tertuduh semata-mata.
Siow Liang didakwa mengedar 280.8 gram heroin, 118.5 gram monoacetylmorphines dan 548.8 gram ketamin di KM 394.2, Kawasan Ulu Bernam, Hulu Selangor dekat sini pada pukul 1.50 petang, 29 November 2008.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal manakala tertuduh diwakili peguam J. Kuldeep Kumar.
Sepanjang perbicaraan, sebanyak 12 saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan manakala hanya tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

No comments:

Post a Comment