Pemandu mati terbakar

BUTTERWORTH - Seorang lelaki terbunuh selepas kereta yang dipandu­nya terbabas lalu terbakar di Kilo­meter 6.2 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dekat sini semalam.

Mangsa, Tan Ang Huat, 33, yang berasal dari Taman Dedap dekat sini maut di tempat kejadian selepas gagal dibantu keluar dari kereta Perodua Kelisanya yang terbakar selepas terbabas dalam kejadian sekitar jam 4 petang semalam.

Mangsa didapati terbakar kira-kira 50 peratus dari paras kaki ke pinggang selepas tersepit di tempat duduk pemandu kereta yang dipandunya berseorangan itu.

Mangsa yang masih bujang dan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja itu dipercayai memandu laju ketika tiba di susur keluar ke Butter­worth itu sebelum merempuh pemba­hagi jalan menyebabkan keretanya berpusing sebelum terbakar.

Menurut saksi, beberapa pe­mandu teksi yang kebetulan sedang melalui jalan tersebut cuba mem­bantu memadamkan kebakaran namun gagal disebabkan api marak sebelum menghubungi bomba.

Pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth yang tiba sejurus kejadian juga gagal menyelamatkan Ang Huat kerana kakinya tersepit.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Superintendan Suhami Md Nor ketika ditemui berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan keretanya gagal dikawal ketika tiba di susur keluar itu sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat,” katanya.