Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

Pelayan mati selepas bertengkar



ANGGOTA polis mengangkat mayat Soo Ping (gambar kecil) yang ditemui mati di Taman Bakap Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.


NIBONG TEBAL - Tindakan seorang pelayan restoran yang menendang pintu kaca bilik rumah sewanya ketika bertengkar dengan kekasihnya berakhir dengan tragedi apabila wanita itu ditemui mati akibat kehilangan banyak darah dalam kejadian di Taman Bakap Indah di sini semalam.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Tan Soo Ping, 38, dari Kampung Jawi, Sungai Bakap mati di tempat kejadian dengan kesan luka di pergelangan kaki dan tangan kanan. Ketika kejadian, pasangan kekasih itu dikatakan sedang khayal dadah.

Difahamkan, pasangan itu sering berbalah hingga didengari jiran sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu telah bertengkar selama beberapa jam sebelum disusuli bunyi kaca pecah pada pukul 7 pagi.

Katanya, polis kemudian bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa di dalam rumah itu kira-kira tiga jam kemudian.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas lantai sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

"Ketika sampai, polis dapati teman lelaki mangsa tiada dan dia hanya muncul tidak lama kemudian untuk memaklumkan yang dia keluar untuk meminta bantuan rakan-rakan selepas melihat kekasihnya cedera parah dan berlumuran darah," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment