Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

Peguam Anwar diminta beri tunjuk sebab



MOHD. Jamil Khir Baharom (tengah) bersama Che Mat Ali (kiri) dan Shamsuddin Hussain menuju ke kamar mahkamah semasa prosiding rayuan kes qazaf melibatkan Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Husain dan dua yang lain memohon supaya peguam-peguam syarie yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes qazaf Ketua Pembangkang itu, memberi tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Ketiga-tiga mereka mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada pendengaran permohonan mengetepikan notis rayuan berhubung qazaf hari ini selepas peguam-peguam syarie itu bertindak keluar dari mahkamah yang sedang bersidang.

Shamsudin mengemukakan permohonan itu bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom.

Permohonan itu dibuat melalui peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili ketiga-tiga pemohon tersebut mengikut Seksyen 229 Akta Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Peguam-peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman, Dorina Abdullah, Dr. Rafie Shafie dan Muhammad Burok bertindak keluar dari mahkamah yang sedang bersidang selepas panel tiga hakim yang diketuai Hakim Syarie, Datuk Zohdi Toha membuat keputusan untuk terus mendengar merit permohonan tersebut tanpa memberikan perintah kebenaran bagi berbuat demikian.

''Setelah meneliti surat cara dan permohonan pihak-pihak terbabit, mahkamah berpendapat permohonan pemohon untuk mendapatkan kebenaran adalah tidak relevan dan sia-sia kerana pemohon boleh terus memohon dari mahkamah,'' ujar hakim tersebut.

Hakim Zohdi bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun.

Keadaan menjadi bertambah hangat apabila Kamar Ainiah bertindak mengeluarkan kenyataan bahawa peguam-peguam yang mewakili pemohon 'boleh mengambil wang zakat' namun menariknya semula apabila Roslizam membantah kenyataan tersebut.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa bayaran guaman kepada peguam-peguam syarie pemohon dibayar menggunakan wang zakat namun ia dinafikan oleh Jamil Khir.

No comments:

Post a Comment