DUNGUN - Seorang warga emas berstatus duda bersama pasangannya, seorang janda nyaris bermalam di sebalik tirai besi, selepas kedua-duanya dikenakan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara setelah mahkamah mendapati masing-masing bersalah melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan di sebuah rumah, dekat Rantau Abang oktober 2011 lalu.

Tertuduh, Muhammad Muda, 65, bersama pasangannya Norria Husain, 42, yang ditangkap sepasukan Pegawai Penguatkuasa Syariah di sebuah rumah di Kampung Rantau Abang kira-kira jam 1.45 pagi, 21 Oktober 2011 lalu, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah pagi kelmarin atas pertuduhan mengikut seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 setelah bukti yang ada berjaya mensabitkan kedua-duanya atas kesalahan dilakukan.
Dalam serbuan itu yang dilakukan pegawai berkenaan mendapati, seorang lelaki yang hanya berseluar tanpa memakai baju apabila dia membuka tingkap, lalu pegawai penguat kuasa terbabit mengarahkan lelaki itu membuka pintu belakang.
Ketika pemeriksaan dilakukan dalam rumah tersebut berhampi-ran sebuah bilik, pegawai penguat kuasa terdengar seperti ada benda jatuh dalam bilik itu.
Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita duduk bersandar dalam almari dengan hanya menutup bahagian tubuhnya dengan sehelai kain batik tidak berjahit.
Soal siasat mendapati kedua-dua pasangan yang masing-masing berasal dari Rantau Abang dan Alor Tembesu, Sura Gate itu tidak mempunyai hubungan muhrim.
Turut disita sebagai barang kes termasuk sehelai baju kurung, seluar dalam, baju dalam dan kain dalam milik pasangan perempuan.
Mengambil kira rayuan tertuduh yang membuat pengakuan bersalah dan hujah pendakwaan, Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah memerintahkan keduanya dikenakan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Kedua-dua pasangan veteran itu kemudiannya dibebaskan setelah menjelaskan denda mahkamah.
Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.