Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

Norish diperintah bawa anak-anak ke mahkamah


SHAH ALAM 30 Jan. - Pelakon Norish Karman hari ini diperintah membawa tiga anak hasil perkahwinan dengan bekas suami, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk perbicaraan kes tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) pada 12 Mac ini.

Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin memerintahkan demikian bagi membolehkan ketiga-tiga kanak-kanak itu membuat pilihan di hadapan beliau sama ada mahu tinggal bersama ibu atau bapa mereka.

Norish atau nama sebenar Nor'asikin Karman, 36, dan Hashimuddin, 63, berkahwin pada 11 Januari 1998 di Perlis dan mereka dikurniakan tiga cahayamata, Muhammad Haqiem Armany, 13, Muhammad Hardy Amieran, 9, dan Putri Hany Amanda, 8.

Pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini pada 15 Julai 2008.

Pelakon yang terkenal melalui drama Spa Q itu memfailkan tuntutan hak penjagaan anak-anak pada 10 Oktober 2008.

Di samping itu, Norish turut memfailkan tuntutan harta sepencarian serta tuntutan nafkah anak-anak termasuk permohonan agar disediakan kenderaan dan rumah.

Norish diwakili peguam syarie, Amli Embong, manakala Hashimuddin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan itu diwakili peguam syarie, Muhamad Burok.

No comments:

Post a Comment