minyak yang dijumpai

GOMBAK – Tiga bekas berisi minyak hitam dan satu botol minyak zaitun ditemui dalam sebuah rumah kosong di Jalan Laksamana 1/5.

Barangan tersebut ditemui susulan maklumat yang diterima unit rondaan penduduk mengenai satu lembaga yang melompat ke rumah tinggal berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Penduduk, Norhan Shafiq, 22 berkata, dia memberanikan diri memasuki kawasan rumah kosong bagi membuat pemeriksaan sebelum terjumpa bekas minyak berkenaan.

“Saya jumpa bekas berwarna kuning di dalam tandas manakala dua lagi bekas minyak dan satu botol minyak zaitun ditemui di bilik utamanya,” katanya.

Sementara itu pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa helai pakaian di dalam rumah tersebut.

Penduduk mensyaki rumah kosong tersebut menjadi lokasi sementara suspek menyembunyikan diri dan bertukar orang minyak

Bagaimanapun rondaan sehingga jam 6.00 pagi tidak menemui sebarang perkara pelik di sekitar kampung tersebut.


Penduduk guna benang, jaring cekup orang minyak

GOMBAK – Benang dan jaring bakal digunakan penduduk Kampung Laksama dalam misi menangkap lembaga didakwa orang minyak.

Pengamal perubatan alternatif, Kamal Abu Zaman penggunaan bahan-bahan itu adalah sebahagian ikhtiar memberkas pengamal ilmu hitam yang menyebabkan kampung itu huru-hara sejak dua minggu yang lalu.

Menurutnya benang dan jaring yang sudah dibacakan ayat suci al-Quran itu akan direntangkan lokasi yang disyaki menjadi laluan orang minyak.

“Apa yang kita buat ini adalah antara ikhtiar yang dipraktikkan sejak zaman Rasullah dan ianya berkesan untuk menumpaskan pembuat sihir dan ilmu hitam menggunakan beberapa surah utama ayat suci al-Quran.

“Insya-Allah bila makhluk itu terpijak atau terkena jaring ini, kuasanya sihirnya akan hilang dan dianya akan bertukar menjadi manusia biasa kembali dan ketika itu kita boleh menangkapnya,” katanya.

Menurutnya mereka yang terlibat dalam mengamalkan ilmu hitam itu sebenarnya disumpah dan mereka perlu menjadi orang minyak untuk memastikan ilmunya bertambah kuat.

“Saya yakin gangguan ini akan berakhir tidak lama lagi kerana kuasa Allah tidak mampu ditandingi oleh sesiapa kerana kita semua adalah sebahagian dari makhluk ciptaan-Nya,” katanya.


Gangguan berterusan

GOMBAK – Gangguan didakwa perbuatan orang minyak semakin menjadi-jadi.

Terbaru, sebuah rumah di Jalan Laksamana 2, di sini dipercayai diganggu makhluk berkenaan sejak dua malam berturut-turut.

Mangsa, Sahimah Ismail, 40, berkata, rumahnya mula diganggu sejak Selasa lalu dan kejadian disedari anak saudara dan abang iparnya yang tidur di ruang tamu.

“Mereka terjaga selepas terdengar bunyi tombol pintu sebelum diikuti dengan ketukan pada pintu rumah selama kurang seminit sebelum bunyi itu lenyap,” katanya mempunyai anak gadis berusia 19 tahun.

Menurutnya, menyedari gangguan itu, pemeriksaan dilakukan namun tidak ada sesiapa dikesan berada di kawasan luar rumah.

Gangguan tidak berhenti setakat itu dan pada malam Jumaat lalu seisi rumahnya terjaga selepas dikejutkan dengan kejadian tingkap cermin tiiba-tiba pecah.

“Bunyi kaca pecah itu mengejutkan semua orang malah sebelum itu tombol pintu itu turut dipulas beberapa kali,” katanya.


Rela bergilir adakan rondaan

GOMBAK – Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kampung Laksamana dengan kerjasama Unit Amal Gombak akan mengadakan rondaan secara bergilir setiap malam bermula jam 1 pagi sehingga Subuh di kampung itu.

Ketuanya, Anuar Harun berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan orang kampung bagi menambah keanggotaan pasukan beruniform di kampung itu.

Menurutnya jika ramai yang menyertai rondaan secara bergilir dan bersistematik dapat diatur bagi memastikan tahap keselamatan kampung berada pada tahap yang terbaik.

“Platun di kampung ini meskipun masih baru ianya berperanan besar dan masalah terbaru di kampung ini ketika amat memerlukan penugasan anggota yang meronda berjalan kaki dan menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya terdapat 60 orang anggota Rela berdaftar di kampung itu dan jumlah itu diharap boleh bertambah dalam masa beberapa hari lagi.

“Anggota sebelum ini pernah menggagalkan cubaan memecah masuk rumah tahun lalu ,”katanya