Search This Blog

Tuesday, January 10, 2012

Mercun RM250,000 dirampas



Mohamad Zaki Hamzah (enam dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis mercun yang dirampas di Rantau Panjang, semalam.


RANTAU PANJANG 9 Jan. - Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM250,000 di pangkalan haram Terusan di sini awal pagi semalam.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, semasa operasi pada pukul 1.30 pagi, empat anggotanya itu telah terserempak dengan dua lelaki berusia 20-an yang memunggah kotak-kotak dari sebuah perahu ke tebing sungai.

"Sebaik sahaja anggota menghampiri kawasan terbabit, kedua-dua suspek yang dipercayai warga tempatan dan Thailand, melarikan diri ke negara jiran dengan bot dan meninggalkan 36 kotak besar.

"Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun yang diseludup dari negara jiran. Kita percaya mercun itu untuk pasaran Lembah Kelang sempena sambutan Tahun Baru Cina ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, mercun yang dirampas itu berharga antara RM500 dan RM2,400 sekotak dan kejayaan itu merupakan rampasan mercun pertama tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zaki memberitahu, sepanjang tahun lalu, Briged Kelapan Infantri yang bertugas di sempadan Kelantan merampas pelbagai barangan seludup berjumlah RM1.8 juta iaitu meningkat 30 peratus berbanding 2010.

Katanya, rampasan terbesar melibatkan 75,025 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta pada November lalu manakala selebihnya beras, petrol dan mercun.

"Selain rampasan barangan, kita juga menahan 73 pendatang asing tanpa izin (PATI), masing-masing 44 warganegara Myanmar, Bangladesh (12), Thailand (2), Kemboja (2) dan lain-lain 13 orang.

"Kesemua PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kemasukan PATI ke negara ini dikesan aktif di beberapa pangkalan haram seperti Ibrahim Pencen, Simpangan, Terusan, Pisau Raut dan Ular.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment