‘Mat motosikal’ bergaduh

ALOR GAJAH - Berpunca daripada wang pertaruhan kegiatan lumba haram sebanyak RM100, kira-kira 50 remaja belasan tahun sehingga awal 20-an terbabit dalam pergaduhan di persimpangan Pegoh, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, remaja dipercayai membabitkan dua kumpulan bermotosikal berkumpul di ruang jalan berdekatan sebuah kedai makan di kawasan berkenaan sehingga berlaku kekecohan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang ramai berhubung kejadian itu.

“Dua kereta peronda polis membabitkan beberapa anggota tiba di lokasi kejadian menyebabkan remaja yang memenuhi kawasan itu bertempiaran lari.

“Bagaimanapun sembilan remaja berusia lingkungan 20-an yang berada di situ ditahan, selain empat motosikal yang ditinggalkan kumpulan remaja terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pergadu­-han berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan berikutan kepantasan anggotanya meleraikan kekecohan sebelum merebak.

“Bagaiamanapun, satu daripada empat motosikal dirampas itu, sebuah daripadanya jenis Yamaha 135 LC dilaporkan hilang di Nilai, Negeri Sembilan dipercayai dicuri,” ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah, di sini semalam.

Umar Ali berkata, kejadian terbabit bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan dan tiada sebarang senjata atau alat digunakan.

“Kesemua sembilan remaja yang ditahan itu juga dilepaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan diberikan,” katanya.

Berdasarkan sumber, kekecohan berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati kumpulan terbabit dengan wang pertaruhan sebanyak RM100 untuk kegiatan lumba haram motosikal.

Sementara itu, seorang saksi kejadian berusia 37 tahun berkata, sebelum kekecohan berlaku, terdapat kurang sepuluh remaja dengan enam motosikal di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bilangannya bertambah apabila kelihatan beberapa remaja bermotosikal tiba di tempat kejadian sehingga mencetuskan kekecohan.

“Mereka kelihatan menempelak serta tolak menolak antara satu sama lain sehingga polis tiba dan beberapa remaja kelihatan bersembunyi di belakang kedai,” katanya.