IPOH - Seorang lelaki berusia 44 tahun ditemui mati dalam keadaan terbaring di tepi jalan berhampiran sebuah rumah urut di Jalan Kampar, semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Loh Kam Kok dari Taman Seri Tasek dipercayai baru singgah ke rumah urut tersebut sebelum rebah berdekatan premis berkenaan beberapa minit kemudian.

Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali memberitahu, lelaki terbabit kelihatan pucat selepas keluar dari rumah urut tersebut namun, masih mampu berjalan.

“Secara tiba-tiba lelaki berkenaan jatuh dan beberapa orang awam yang berada di kawasan berhampiran cuba membantunya.

“Pada masa sama, kami turut menghubungi polis dan ambulans bagi mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan nyawa lelaki malang ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, orang awam yang kebetulan lalu di kawasan terbabit melihat sekujur tubuh lelaki dalam keadaan terbaring di atas jalan raya berdekatan rumah urut berkenaan.

“Orang awam yang melihat mayat lelaki itu segera menghubungi polis bagi melaporkan kejadian.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut memandangkan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada mangsa,” katanya.

Katanya, mengikut laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Bagaimanapun, kami masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Mayat Kam Kok sudah dituntut keluarganya pagi semalam untuk urusan pengebumian.