Leka pindahkan minyak sawit

TELUK INTAN - Leka memindahkan minyak kelapa sawit mentah daripada sebuah lori tangki ke dalam tong dram, menyebabkan seorang lelaki dicekup sepasukan polis dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 47 tahun itu tidak sempat melarikan diri dalam satu operasi berhampiran sebuah premis di Kampung Sungai Rubana, Jalan Teluk Intan-Sitiawan, kira-kira 10.40 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, operasi yang diketuai Pegawai D7 Bukit Aman, Cif Inspektor Mohd Razali Abdullah bersama pegawai MPOB turut menahan seorang pemandu lori tangki berusia 50 tahun yang membawa muatan minyak di tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki memuatkan kira-kira 30 tan minyak, dua unit tong dram mengandungi minyak sawit mentah, sebuah unit hos sepanjang 7.62 meter, dua unit player dan satu unit serpihan rantai besi yang bersambung pada penutup lori.

“Kita turut merampas 24 unit tong dram yang telah diisi minyak sawit mentah di dalam premis ini, menjadikan jumlah keseluruhan 26 tong dram dirampas.

“Difahamkan 24 tong dram ini boleh memuatkan kira-kira 200 kilogram minyak bagi satu tong. Kesemua tong diserahkan kepada MPOB untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, siasatan lanjut mendapati premis itu menjadi port kegiatan mencuri minyak kelapa sawit mentah dan pernah diserbu sebanyak empat kali sepanjang tahun 2010 serta 2011 dengan merampas 88 buah tong mengandungi cecair yang sama.

“Keempat-empat kes ini hanya melibatkan rampasan dan tiada tangkapan dilakukan. Kini MPOB dalam usaha menyita premis itu daripada terus beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut dan siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah serta hasil saringan air kencing mendapati negatif.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan MPOB untuk membanteras kejadian curi minyak kelapa sawit mentah terutamanya di kawasan Hilir Perak.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.