Search This Blog

Monday, January 9, 2012

Larian panik 1km

BETONG: Seorang penghuni Rumah Panjang Lubau, di sini, berlari sejauh satu kilometer bagi mencari isyarat liputan telefon bimbit untuk melaporkan kebakaran rumah panjang didiami kira-kira 200 penghuni, semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, 31 unit kediaman di rumah panjang berkenaan terletak 16 kilometer dari pekan Betong, musnah manakala lapan unit lagi dapatadiselamatkan.


Pegawai Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Hamden Beladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 3.14 pagi.

Katanya, penghuni lambat membuat laporan kebakaran itu kerana kawasan rumah panjang berkenaan tidak mempunyai liputan telefon menyebabkan mereka keluar lebih satu kilometer daripada kawasan berkenaan untuk membuat panggilan.


“Anggota tiba di tempat kejadian pada jam 3.27 pagi dan ketika itu, penghuni sedang cuba mengawal kebakaran daripada terus merebak.


“Kami menghadapi masalah apabila pili bomba terletak di bahagian tengah rumah yang terbakar menyebabkan anggota bergantung kepada air daripada jentera kerana kawasan itu tidak mempunyai bekalan air terbuka seperti tali air atau sungai,” katanya.

Beliau berkata, 15 anggota bomba bersama sebuah jentera dapat mengawal sepenuhnya kebakaran pada jam 6.10 pagi.


Hamden berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta anggaran kerugian dialami mangsa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Datuk Seri Douglas Unggah Embas, yang bergegas ke tempat kejadian pagi semalam berkata, semua mangsa dipindahkan ke penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau.


Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengagihkan bantuan awal kepada 35 keluarga yang terbabit dalam kejadian itu.


“Tumpuan utama kami ialah bantuan kepada bayi seperti bekalan susu, manakala bantuan peralatan persekolahan kepada pelajar sekolah.


“Kita akan mengatur penempatan sementara bagi menempatkan semua mangsa kerana ketika ini mereka ditempatkan di sekolah,” katanya.

myMetro | Larian panik 1km:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment