Search This Blog

Thursday, January 26, 2012

Kolej `rompak’ duit PTPTN

KUALA LUMPUR - Sekumpulan pelajar sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan terhadap kolej itu, yang didakwa mereka “merompak” duit sara diri bulanan pelajar.
Kumpulan 432 pelajar tahun akhir itu mendakwa, daripada RM535 sebulan yang diberi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hanya RM100 ditinggalkan di dalam akaun bank mereka oleh pihak pentadbir kolej tersebut.
"Sebelum ini saya dan rakan-rakan yang lain pernah menandatangani satu dokumen ”direct debit” yang dikeluarkan pihak kolej di awal permohonan untuk membuat pinjaman PTPTN,” kata wakil mereka yang mahu dikenali sebagai Fisza.
Pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan itu ditemui bersama tujuh lagi pelajar kolej tersebut ketika membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini hari ini.
Kumpulan pelajar itu mendakwa perkara tersebut dialami semua pelajar termasuk mereka yang telah menamatkan pengajian.
"Kami juga telah membuat dua laporan polis tahun lepas, namun sehingga kini tiada tindakan diambil,” katanya yang mendakwa pihak kolej turut mengugut mereka agar menarik balik laporan itu jika tidak mahu prestasi pengajian terjejas.
Menjawab soalan, Fisza berkata, mereka dipaksa menandatangani dokumen ”direct debit” itu tanpa diberi penjelasan mengapa langkah tersebut dibuat.
Fisza juga mendakwa selepas mendapat tahu ada aduan dibuat terhadap kolej, pihak pengurusan bertindak membayar separuh daripada jumlah keseluruhan duit sara diri tersebut kepada enam pelajar.
Pihak kolej juga meminta pelajar menandatangani dokumen perakuan bahawa mereka telah menerima bayaran penuh dan tidak akan membuat sebarang tuntutan lain selepas itu, katanya.
Kata gadis itu, secara purata setiap pelajar tahun akhir kolej terbabit
“kerugian” kira-kira RM18,000 bagi tempoh tiga tahun pengajian.
Sementara itu, Pengarah Sekretariat PPIM Dr Izham Nayan berkata tindakan kolej terbabit adalah satu penipuan dan pihak berwajib khususnya Kementerian Pengajian Tinggi harus mengambil tindakan menyiasat dakwaan pelajar.
“PTPTN pula perlu memastikan wang pinjaman yang disalurkan pergi tepat kepada sasaran, jangan biarkan kebebasan mutlak pihak pengurusan kolej untuk memastikan berapa jumlah wang sara diri yang perlu diberikan kepada para pelajar ini,” katanya.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment