Search This Blog

Thursday, January 19, 2012

Jenayah di Rompin meningkat




JOHARI Jahaya (kiri) menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang anggota polis pada Majlis Perhimpunan Bulanan di perkarangan IPD Rompin, baru-baru ini.


ROMPIN 18 Jan. - Indeks jenayah di daerah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 102 kes iaitu 537 kes tahun lalu, berbanding 433 kes bagi tempoh yang sama pada 2010.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, kadar penyelesaian kes jenayah pula adalah 49.5 peratus pada tahun lalu iaitu kurang 7.04 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 56.6 peratus.
Menurutnya, kemerosotan itu menunjukkan kegagalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk mencapai sasaran Polis Pahang yang menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus penyelesaian kes jenayah di negeri ini.
"Justeru itu, sempena Tahun Baru semua pegawai dan anggota IPD Rompin perlu meningkatkan usaha membanteras jenayah supaya kes-kes tersebut dapat ditangani dan diselesaikan dengan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Perkarangan IPD Rompin di sini baru-baru ini.
Johari memberitahu, sebanyak 92 kes jenayah kekerasan dilaporkan pada tahun lalu berbanding 90 kes pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak dua kes.
Katanya, sebanyak empat kes jenayah menunjukkan peningkatan iaitu kes mendatangkan kecederaan sebanyak sembilan, cabul kehormatan (5), ugutan jenayah (4) dan merusuh (1).
Jelasnya, satu perancangan teliti akan dilakukan bagi meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dalam memastikan IPD Rompin terus maju ke depan dalam menyelesaikan pelbagai kes jenayah.
"Antara pendekatan yang akan diambil pada tahun ini iaitu mengadakan komuniti kepolisan secara berterusan, mendampingi masyarakat dan saling berhubung untuk mewujudkan kerjasama dua hala bagi membanteras aktiviti jenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment