Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

Jadi pendiam sebelum ajal

KUALA BERANG: “Kebiasaannya apabila pulang dari kerja, arwah paling banyak bercakap tetapi kelmarin tiada sepatah perkataan keluar dari mulutnya dan mungkin itu petanda arwah akan pergi buat selamanya,” kata Nurul Asmalina Mohd Husin, 21, yang terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama majikannya di Kampung Baong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, majikannya, Hasmah Ghani, 48, maut selepas parah di bahagian abdomen apabila motosikal ditunggang terbabas ke tepi jalan manakala Nurul Asmalina yang membonceng cedera di lengan kiri, kepala dan kaki.


Menurut Nurul Asmalina, setiap hari dia pulang bersama arwah yang mengusahakan kedai makan di Medan Selera Kampung Kuala Ping, di sini, ke rumah mereka di Kampung Baong dengan menunggang motosikal majikannya itu.

“Bagaimanapun dalam perjalanan pulang kali ini, secara tiba-tiba motosikal ditunggang arwah terbabas ke tepi jalan menyebabkan kami berdua terhumban ke atas jalan raya.


“Ketika itu saya terasa dunia ini gelap-gelita dan hanya menyedari kami terbabit dalam kemalangan beberapa minit kemudian apabila melihat orang ramai mengerumuni kami tetapi saya kembali pengsan sebelum tersedar kira-kira jam 9 malam di Hospital Hulu Terengganu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurutnya, dia difahamkan suami arwah yang dimaklumkan orang ramai mengenai kejadian itu mengejarkan mereka berdua ke Klinik Kesihatan Tengkawang, di sini, dengan menggunakan pacuan empat roda sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.


“Saya dibenarkan keluar jam 12.30 tengah malam tetapi sebelum itu saya sempat meninjau keadaan arwah dan dia nampak kritikal.


“Selepas itu saya pulang dan tidak tahu nasib arwah sehingga ayah memberitahu arwah sudah meninggal dunia akibat kejadian itu pagi tadi (semalam),” katanya.

“Saya tidak menyangka perubahan arwah sebelum ini ceria menjadi pendiam petanda dia akan pergi buat selamanya.


“Ketika bekerja, saya sempat mendengar arwah bergurau dengan pelanggan apabila berkata ‘kalau tidak lihat saya hari ini, mana tahu esok saya sudah tiada’ dan gurauannya itu seolah-olah menjadi kenyataan,” katanya. Suami mangsa, Razuan Abd Hamid, 48, berkata arwah sempat berpesan kepadanya beberapa hari sebelum kejadian supaya memberi pendidikan sempurna kepada tiga anak mereka yang masih bersekolah berusia 12, 13 dan 14 tahun.


“Saya sempat memangku dan membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan tetapi akibat kecederaan parah dialami arwah meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selepas dipindahkan dari Hospital Hulu Terengganu,” katanya.


Menurutnya, arwah sebelum ini pernah dua kali terbabit kemalangan dengan masing-masing melanggar lembu dan kerbau ketika menunggang motosikal sama tahun lalu.


Jenazah Hasmah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baong kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir yang dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kemalangan itu dan berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian abdomen.

No comments:

Post a Comment