Norma-membentangkan-kertas-surat-khabar-untuk-anaknya-tidur.

KANGAR - Tahun 2012 yang mula membuka tirainya menghadirkan memori duka buat empat beranak apabila mereka terpaksa hidup merempat di sekitar bandar ini, sejak 10 hari lalu, setelah dihalau keluar dari rumah sewa yang baru diduduki sebulan di Kampung Bakau, di sini, 20 Disember lalu.

Ibu tunggal, Norma Ahmad, 46, berkata, sejak dihalau tanpa alasan munasabah, mereka sekeluarga terpaksa tidur di kaki lima, surau, tandas dan padang Pavilion dengan beralaskan surat khabar dan bercahayakan lilin setiap malam.

Katanya, dia bersama tiga anak perempuannya Nurul Huda, 25, Nurul Fitrah, 16, dan Nurul Syamsinar Omar, 12, terpaksa terima hakikat hidup sebagai gelandangan setelah tidak mampu membayar deposit rumah yang mahal untuk menyewa rumah baru.

“Sejak bercerai tiga tahun lalu, saya terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat dengan gaji tidak sampai RM600 sebulan.

“Wang itulah yang saya guna untuk menyara keluarga dan menampung belanja persekolahan anak bongsu saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika merempat di Pavilion Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini, malam kelmarin.

Norma berkata, dia terpaksa bekerja dua syif selama 24 jam sehari untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga susulan anak keduanya, Nurul Huda baru bekerja, manakala anak ketiganya, Nurul Fitrah belum cukup umur untuk bekerja.

Menurutnya, sebelum ini, Nurul Huda sukar mencari pekerjaan kerana terpaksa menjaga seorang anak lelakinya berumur setahun setengah.

Norma turut berasa hiba apabila Nurul Fitrah tidak dapat menghabiskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), selain tidak meneruskan persekolahan pada tahun ini disebabkan kekangan kewangan walaupun berpotensi besar.

“Nurul Fitrah bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri sehingga Tingkatan Dua, sebelum ditukarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, Simpang Empat setelah tinggal sementara bersama ayahnya.

“Dia hanya mampu menduduki PMR bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik dan mendapat keputusan A dalam ketiga-tiga mata pelajaran berkenaan,” katanya.

Norma turut berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan bantuan rumah menerusi skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepadanya untuk dijadikan tempat berteduh memandangkan dua kali permohonan yang dikemukakan sebelum ini ditolak.

Difahamkan, dia dan anaknya Nurul Huda mendapat bantuan RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi bantuan itu masih tidak mencupi bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.


MB mahu tindakan segera

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu bersedia mengambil tindakan penyelesaian segera terhadap keluarga Norma Ahmad yang terpaksa hidup bergelandangan sejak sepuluh hari lalu, termasuk menyerahkan rumah bantuan skim PPRT Pangsapuri Taman Sena,
di sini, jika terbukti tidak berkemampuan.

Md Isa mengarahkan beberapa pegawainya menyiasat perkara itu susulan tiada aduan berhubung perkara seumpama itu diterimanya sebelum ini.

Menurutnya, masalah rakyat yang masih hidup bergelandangan ditambah dengan keadaan anak-anak yang gagal menamatkan persekolahan adalah satu masalah serius yang perlu diambil perhatian segera oleh jabatan kerajaan terlibat.

“Kita akan siasat perkara ini terlebih dahulu, memandangkan saya tidak menerima aduan mengenai perkara seperti ini sebelum ini.

“Jika disahkan keluarga terbabit memang tidak berkemampuan, bantuan, kecemasan segera akan diberikan Kerajaan Negeri, termasuklah pemberian rumah dan bantuan lain yang dirasakan bersesuaian,” katanya selepas merasmikan Program Eskpedisi mendaki gunung sempena Tahun Baru 2012 anjuran Persatuan Belia Berwawasan Jelempok (PBBT) di sini.


Bakal dapat rumah esok

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Jamsari Jamaluddin berkata, masalah keluarga Norma mendapat perhatian segera Kerajaan Negeri apabila mereka bakal diberikan sebuah rumah di bawah skim PPRT, esok.

Menurutnya, hasil siasatan bersama pegawai JKM Perlis mengesahkan keluarga Norma layak untuk menduduki rumah PPRT di Pangsapuri Taman Sena, di sini, berdasarkan status kemiskinan dan pendapatan isi rumah yang di bawah taraf miskin tegar.

“Datuk Seri Dr Md Isa (Sabu) sendiri dijangka menyerahkan rumah PPRT itu kepada keluarga Norma, Isnin ini (esok) sekiranya bahagian perumahan mengesahkan masih terdapat kekosongan di situ.

“Tindakan pantas Menteri Besar dan agensi berkaitan yang menyelesaikan masalah keluarga Norma membuktikan Kerajaan Negeri serius dan prihatin dalam menangani masalah rakyat Perlis,” katanya.

Jamsari berkata, buat sementara mereka akan ditempatkan di sebuah rumah inap desa berdekatan, yang dibiayai secara sukarela oleh tuan rumah selain bantuan makanan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang mencari jalan untuk memastikan anak keempat Norma, Nurul Fitrah kembali meneruskan pembelajaran.