Search This Blog

Thursday, January 26, 2012

Bom makan tuan

 PASIR MAS: Seorang penoreh getah ditemui mati dalam keadaan pergelangan tangan kanan putus manakala tangan kiri berkecai dipercayai akibat letupan bom yang digunakannya untuk menangkap ikan di Sungai Jelor, Kampung Sungai Keladi, Chetok, dekat sini.
Kejadian berlaku jam 5.30 petang kelmarin, namun mayat mangsa, Mohd Yunus Yusoff, 46, hanya ditemui kira-kira jam 9.15 pagi semalam oleh anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan gerakan mencari.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada akar kayu tiga meter di dasar sungai berkenaan dan di muka serta dadanya mempunyai kesan kecederaan parah.

Penduduk yang enggan dikenali mendakwa mangsa dipercayai menggunakan bom ikan kerana dia terdengar satu letupan kuat dari arah sungai tempat lelaki itu menangkap ikan.

“Selepas terdengar letupan itu, saya bersama beberapa penduduk lain berusaha mencari mangsa, namun hari hampir malam menyukarkan mengesannya.

“Selain itu, keadaan sungai yang bersambung dengan Danau Tok Uban dalamnya lebih 10 meter,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas (HPM), semalam.

Isteri mangsa, Azizah Abdul Samat, 38, berkata, arwah suaminya sering ke sungai berseorangan, namun tidak tahu bagaimana caranya menangkap ikan.

“Suami saya mencari rezeki dengan menoreh getah, cuma sekali-sekala membuat sarang burung bagi menambah pendapatan.

“Sebelum kejadian itu, dia tidak menunjukkan sikap pelik dan hanya memberitahu mahu menangkap ikan di kawasan itu kerana sudah lama tidak menikmati masakan ikan,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara enam hingga 17 tahun.

Difahamkan, sepasukan 10 anggota bomba dan penyelamat termasuk unit skuba ke tempat kejadian selepas menerima laporan pada jam 10 malam kelmarin, namun usaha mencari mayat mangsa dihentikan jam 2 pagi sebelum disambung jam 9 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

No comments:

Post a Comment