Bekas pemandu saman majikan

KEPALA BATAS - Tahap kesabaran 14 bekas pemandu bas henti-henti di laluan Bukit Mertajam-Parit Buntar berkenaan bayaran pampasan yang dijanjikan, sampai ke penghujungnya semalam, apabila mereka mengambil keputusan untuk memfailkan kes di Mahkamah Buruh kerana terasa ditipu majikan.

Mereka mendakwa pihak pengurusan gagal membayar sejumlah pampasan kepada setiap seorang seperti mana yang terkandung dalam perjanjian memorandum persefahaman (MoU), setelah ditamatkan perkhidmatan di laluan 97 itu hampir empat bulan lalu.

Menurut bekas pemandu berkenaan, keadaan hidup mereka terjejas kerana mereka berharap wang pampasan itu dapat membantu menyara keluarga masing-masing selepas kehilangan kerja.

Turut serta menyokong usaha kumpulan bekas pemandu terbabit ialah Kesatuan Pekerja Pekerja Pengangkutan Cawangan Pulau Pinang/Kedah dan Perlis (TWU) yang selama ini bertindak sebagai orang tengah menyelesaikan masalah berbangkit melibatkan dua pihak berkenaan.

Pegawai Perhubungan Perusahaan TWU, Musa Abdullah berkata, pihaknya turut terkilan dengan syarikat perkhidmatan bas berkenaan yang gagal memenuhi janji kepada pemandu terbabit.

“Sebelum ditamatkan perkhidmatan, pihak pengurusan menawarkan tiga pilihan kepada mereka iaitu, bersedia untuk ditugaskan di bawah anak syarikat lain, diserap bertugas di laluan lain atau menamatkan perkhidmatan dan menerima pampasan.

“Semua pekerja terbabit memilih menamatkan perkhidmatan dan menerima pampasan kerana tidak ingin lagi berpindah randah meneruskan perkhidmatan di kawasan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, jumlah pampasan yang dituntut ialah RM222,747.21 dengan jumlah terendah RM4,163.33 dan terbanyak RM32,855.97.

Musa berkata, sebagai tanda persetujuan, satu MoU ditandatangani Ogos lalu, antara dua belah pihak dan bayaran pampasan mengikut gred gaji akan dibayar secepat mungkin dan TWU menjadi saksinya.

Katanya, selepas empat bulan berlalu dan berbagai usaha dilakukan untuk meminta pihak pengurusan menjelaskan pampasan itu namun gagal, pihaknya bersama bekas pemandu mengambil keputusan memfailkan kes di Mahkamah Buruh untuk mendapatkan keputusan pampasan berkenaan.