Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

Bekas dekan UiTM dipenjara


PUTRAJAYA 30 Jan. - Bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Md. Saberi Md. Salleh diperintah menjalani hukuman penjara setahun bermula hari ini atas kesalahan memperakui borang penerimaan mengandungi butiran palsu bernilai RM138,600 bagi barangan yang tidak dibekalkan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulaiman Daud yang bersidang bersama Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian setelah sebulat suara menolak rayuan Md. Saberi terhadap sabitan tersebut.

Mahkamah bagaimanapun berpendapat hukuman penjara tiga tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 15 Oktober 2009 agak berlebihan dan mengurangkannya kepada setahun. Denda RM10,000 dikekalkan.

Sementara itu, panel tersebut melepas dan membebaskan pemilik syarikat pembekal peralatan sukan, Zaleha Abdul Rahman terhadap sabitan bersubahat dan hukuman penjara yang sama selepas membenarkan rayuan wanita berkenaan.

Zaleha didakwa bersubahat dengan Md. Saberi kerana menandatangani invois Perniagaan Deeza No. 2074 yang dirujuk dalam dokumen Pengakuan Penerimaan Barang-Barang Bekalan Nombor 079064.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, antara 24 Mac dan 2 April 1999.

Md. Saberi dan Zaleha diwakili oleh peguam-peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir. Timbalan Pendakwa Raya, Zulqarnain Hassan mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

No comments:

Post a Comment