Search This Blog

Thursday, January 26, 2012

Bayi maut: JKM Selangor kunci taska

SHAH ALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor hari ini melaksanakan proses lak terhadap pusat jagaan kanak-kanak dan taska di Taman Permata, Ampang yang terbabit dalam kes dua bayi maut pada 19 Januari lalu.

Pengarahnya, Nik Omar Nik Ab Rahman, berkata proses lak atau mengunci itu adalah bagi tempoh 21 hari bermula hari ini, untuk membolehkan siasatan terperinci dijalankan berhubung kes tersebut.

Bercakap pada sidang media di sini, Nik Omar berkata pusat jagaan terbabit berdaftar dengan JKM sejak Disember lalu, namun taska yang menempatkan dua bayi malang terbabit didapati beroperasi tanpa lesen.
"Kita mendapati pihak pusat jagaan berkenaan membuka sebuah taska di premis bersebelahan untuk kanak-kanak di bawah empat tahun yang turut menempatkan dua bayi malang itu," katanya. 

Nik Omar berkata, pihaknya difahamkan yang dipercayai baru beroperasi itu menempatkan 13 kanak-kanak di bawah usia empat tahun termasuk dua bayi terbabit, dan hanya dijaga oleh seorang pengasuh sepenuh masa. 

Siasatan awal juga mendapati taska itu tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan iaitu tidak cukup pengasuh, tiada kelulusan agensi teknikal, tiada aktiviti yang merangsang perkembangan kanak-kanak, tidak dilengkapi dengan perabot yang sesuai dan mainan kanak-kanak serta tiada penyelengaraan yang baik. 

Sementara itu mengulas kes berbeza, Nik Omar berkata sebuah taska di Seksyen 8 di sini diberikan Notis Lak hari ini, selepas didapati beroperasi tanpa lesen. 
"Kita menerima aduan seorang bayi jatuh ketika diletakkan di taska ini dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Selepas diperiksa kita dapati taska ini beroperasi tanpa lesen," katanya. 

Nik Omar berkata, notis itu meminta taska berkenaan memberhentikan operasinya kerana pihak JKM akan menjalankan siasatan ke atas premis terbabit. 

Sementara itu, pemilik taska terbabit yang enggan dikenali menghambur kata-kata kasar kepada Nik Omar ketika pengarah JKM tersebut mahu menyerahkan notis berkenaan. 

Nik Omar juga berkata terdapat lebih 1,000 taska tidak berdaftar dengan JKM di Selangor. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar lebih prihatin dalam memilih taska bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini. 

Nik Omar berkata, pengusaha taska juga perlu bertanggungjawab apabila memilih untuk menawarkan perkhidmatan taska kerana ia membabitkan amanah dan nyawa manusia. 

"Jangan hanya memikirkan keuntungan, kena amanah," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment