Search This Blog

Saturday, January 14, 2012

Banjir di Pahang semakin buruk



KUANTAN 13 Jan. - Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk dengan bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat daripada 20 orang semalam kepada 805 orang hari ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke enam pusat pemindahan di daerah ini dan Pekan.
Katanya, daerah ini mencatatkan paling ramai mangsa banjir iaitu seramai 545 orang daripada 153 keluarga yang ditempatkan di lima pusat pemindahan.
“Mangsa terbabit melibatkan penduduk Kampung Chendering, Sri Damai, Jaya Gading, Gudang Rasau, Kampung Batu 6, Kampung Pandan, Kampung Paya dan pekan Sungai Lembing.
“Semua mangsa dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, SMK Gudang Rasau, Dewan Sri Damai, Dewan Jaya Gading dan Dewan Gudang Rasau sejak pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Katanya, di daerah Pekan pula, seramai 253 penduduk daripada 70 keluarga di Kampung Chenderawasih, Sungai Miang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara.
Dalam pada itu, katanya, Kilometer (KM) 28, 30 dan 36 Jalan Kuantan-Sungai Lembing serta KM20 dan KM21 Jalan Pekan-Nenasi ditutup untuk kenderaan ringan selepas dinaiki air pagi ini.
Tambahnya, di daerah Cameron Highlands, amaran banjir turut dikeluarkan di beberapa kawasan iaitu Kampung Raja dan Tringkap berikutan berlaku peningkatan paras air.
Katanya, paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut juga dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu 68 meter berbanding 60 meter di tahap normal.
Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan nasihat hujan lebat peringkat kuning yang dikeluarkan semalam telah ditingkatkan kepada amaran hujan lebat peringkat jingga bermula hari ini dan berakhir esok.
“Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat itu melibatkan daerah Kuantan, Jerantut, Maran dan Pekan. Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan rendah,” jelas kenyataan dalam laman web itu.

No comments:

Post a Comment