Search This Blog

Tuesday, January 10, 2012

5 cedera dalam tiga letupan bom



Seorang mangsa letupan diberi rawatan selepas tiga letupan berlaku berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Jan. - Polis mengesahkan lima orang termasuk seorang peguam cedera dalam tiga kejadian letupan dipercayai bom buatan sendiri yang berlaku di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini, semasa penghakiman kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan hari ini.

Empat daripada mangsa masing-masing dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian muka, badan dan kaki akibat terkena serpihan galas bebola (ball-bearing) daripada bom berkenaan, manakala seorang lagi mengadu mengalami kesakitan di dada.

Namun, semua mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hanya mengalami cedera ringan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, letupan pertama berlaku pukul 10.20 pagi di Jalan Khidmat Usaha terletak kira-kira 300 meter dari pintu A kompleks mahkamah berkenaan.

Beliau berkata, letupan dipercayai bom buatan sendiri yang disembunyikan di bawah kon polis bagi melarang kenderaan diletakkan di tepi jalan itu telah mencederakan masing-masing seorang peguam dan orang awam.

"Kejadian letupan kedua berlaku pukul 10.45 pagi di kawasan kafetaria mahkamah yang mana bom diletakkan berhampiran motosikal dan van menjual minuman serta makanan.

"Ia diikuti kejadian ketiga pada pukul 10.55 pagi apabila satu lagi bahan letupan yang diletak bawah kon polis di tengah pembahagi jalan meletup," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Mohmad, letupan kedua mengakibatkan tiga lagi orang awam mengalami kecederaan serta memecahkan cermin sebuah lori dan dua motosikal.

Beliau berkata, letupan ketiga tidak mencederakan orang ramai tetapi terdapat empat kereta yang diletak di kiri dan kanan mengalami kerosakan.

Mohmad berkata, orang ramai bagaimanapun dinasihatkan agar tidak panik dengan insiden itu kerana polis masih menjalankan siasatan secara terperinci.

"Kita percaya letupan berpunca daripada bom buatan sendiri yang diletakkan oleh individu tidak bertanggungjawab kerana siasatan Unit Pemusnah Bom di tempat kejadian menemui bateri, wayar, jam jangka dan galas bebola.

"Bagaimana bom itu dibawa masuk ke tempat kejadian, siapa suspek meletakkannya dan apa bahan-bahan sebenar digunakan untuk menghasilkannya masih dalam siasatan," katanya sambil memberitahu tiada sebarang tangkapan berkaitan perhimpunan dan letupan dilakukan oleh polis setakat ini.

Beliau berkata, meskipun tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, namun polis akan melihat semula rakaman video yang diambil oleh anggotanya sepanjang perhimpunan untuk membantu siasatan di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Mengulas mengenai perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 yang diadakan di tempat letak kereta kompleks mahkamah hari ini, Mohmad berkata, dianggarkan 4,500 penyokong Ketua Pembangkang itu hadir menyertai perhimpunan tersebut dan ia tidak termasuk mereka yang berhimpun di kawasan sekitar.

Menurutnya, meskipun perhimpunan tersebut berlangsung dalam keadaan agak huru-hara, namun pihak polis berjaya mengawal situasi keselamatan dengan baik.

"Saya rasa tuan-tuan boleh tengok apa yang berlaku (di Kompleks Mahkamah Jalan Duta). Memang pada dasarnya kita katakan perhimpunan aman tetapi apa berlaku tuan-tuan tengoklah sendiri, saya tidak mahu komen.

"Tapi pada dasarnya, polis berjaya mengawal keadaan daripada berlaku situasi lebih huru-hara dan kelam kabut. Saya rasa kawalan hari ini berjaya memastikan perhimpunan berjalan dengan baik," ujarnya.

Mohmah berkata, pihaknya akan terus menempatkan pegawai dan anggota memantau situasi keselamatan di kawasan mahkamah berkenaan sehingga sampai waktu ditetapkan nanti.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment