Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

2 dijel, denda curi alat kosmetik


PETALING JAYA 30 Jan. - Dua jurujual wanita masing-masing dihukum penjara sehari dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai jenis alat kosmetik di sebuah pasar raya, pertengahan bulan ini.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid turut memerintahkan Nur Ain Mohd. Suandi, 22, dan Nor Eleena Yahya, 27, dipenjara dua hari lagi jika gagal membayar denda masing-masing.

Nur Ain didakwa mencuri empat botol Minyak Bayi Pek Perjalanan Johnson's 25 mililiter dan seunit Rawatan Rambut Gatsby Lucido 60 gram yang kesemuanya bernilai RM26.49 di Pasaraya Giant, Sunway Pyramid, Bandar Sunway di sini pada pukul 4.20 petang, 14 Januari lalu.

Manakala Nor Eleena pula didakwa mencuri dua set Vitamin Rambut Ellips, sebotol Minyak Wangi Play Boy 150 mililiter, seunit Pati Herba Clairrol 75 mililiter dan sebotol Olay Total Effect SPF 50 gram yang kesemuanya bernilai RM84.45 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua sahabat itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh.

No comments:

Post a Comment