Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

Rostam bocor tender jalan



Oleh Junita Mat Rasid dan Umi Nadirah Abdul Rahman
bhjb@bharian.com.my
2011/12/29

Bekas pegawai IIB kena RM20,000 dedah maklumat 3 tahun lalu 

JOHOR BAHRU: Bekas Naib Presiden Kanan, Reka bentuk dan Pelaksanaan Projek, Iskandar Investment Berhad (IIB), Rostam Razali dikenakan hukuman denda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan membocorkan maklumat harga anggaran bidaan bagi tender satu projek pembinaan jalan, tiga tahun lalu.

Rostam, 51, yang juga bekas Pengarah Operasi Gerbang Perdana Sdn Bhd, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mohd Nasir Nordin sejurus mendengar tuduhan dikemukakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Fazlin Hamdan.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen. 

Rostam dituduh menggunakan maklumat diperoleh berdasarkan kedudukannya sebagai pegawai IIB bagi mendapatkan keuntungan secara langsung bagi dirinya dan orang lain dengan mendedahkan maklumat harga anggaran bidaan projek yang dilaksanakan IIB. 

Dia dituduh mendedahkan maklumat membina dan menyiapkan Pakej 3B iaitu projek persimpangan Jalan Abu Bakar dekat sini, kepada bakal syarikat yang memasuki tender, Kimlun Sdn Bhd, menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sim Tian Liang, di Pejabat IIB pada awal April 2008. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 132(2)(b) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 132(3) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM30,000. 
Mengikut fakta kes yang dibacakan di mahkamah, Rostam menerima anggaran harga projek pembinaan itu daripada perunding projek itu, ARH Jurukur Bahan Sdn Bhd pada 3 April 2008 sebelum memaklumkan maklumat itu kepada Tian Liang supaya syarikat Kimlun memasuki tender itu dalam lingkungan harga RM118 juta hingga RM128 juta. 

Kimlun kemudian memasuki tender pada harga lingkungan sebagaimana dimaklumkan oleh Rostam dan akhirnya berjaya mendapatkan projek berkenaan pada 21 Oktober 2008. 

3kg syabu dari Manila dirampas



Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.my
2011/12/29

  GOVINDEN menunjukkan sebahagian 3kg syabu dari Filipina yang cuba diseludup  seorang mekanik di LCCT, Sepang, semalam.
GOVINDEN menunjukkan sebahagian 3kg syabu dari Filipina yang cuba diseludup seorang mekanik di LCCT, Sepang, semalam.
Kastam tahan mekanik di LCCT 

SEPANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menahan seorang mekanik kerana disyaki menyeludup syabu dari Filipina seberat kira-kira tiga kilogram dianggar bernilai lebih RM750,000 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, kelmarin.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata pemuda tempatan berusia 21 tahun itu ditahan KDRM yang melakukan pemeriksaan terhadap bagasinya sejurus suspek tiba di LCCT dengan menaiki pesawat Cebu Pacific Airlines dari Manila, Filipina, jam 1.30 pagi.
Katanya, suspek yang bekerja di Petaling Jaya, Selangor ditahan selepas imbasan beg dibawanya menunjukkan imej mencurigakan. 

“Pegawai KDRM yang melakukan pemeriksaan fizikal terhadap bagasi suspek menemui 10 bungkusan serbuk putih dipercayai syabu disembunyikan di bawah beg dibalut kertas karbon bagi mengelirukan pihak berkuasa. 

“Ujian awal dilakukan terhadap serbuk putih itu mendapati ia positif dadah jenis Methamphetamine (syabu),” katanya. 

Govinden berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh digantung mandatori. 
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menahan 24 suspek termasuk enam rakyat tempatan dan 18 warga asing kerana terbabit penyeludupan pelbagai jenis dadah seberat 116.58 kilogram dan dianggarkan bernilai RM27.89 juta menerusi KLIA dan LCCT, dalam tempoh tiga bulan lalu. 

Justeru, katanya, KDRM akan memantau dan memperketatkan pemeriksaan terhadap penumpang, bagasi dan kargo dari seluruh dunia bagi menyekat kegiatan penyeludupan dadah ke Malaysia menerusi laluan udara. 

Katanya, KDRM juga akan menambah anggota penguat kuasa dan menempatkan lebih banyak mesin pengimbas badan dan bagasi untuk mengesan kegiatan penyeludupan dadah di KLIA dan LCCT. 

Beliau berkata, langkah ini perlu kerana sindiket dadah antarabangsa kini didapati sering mengubah strategi dan lokasi untuk menyeludup dadah ke Malaysia. 

Dua penganggur hadapi tuduhan bunuh lelaki

JOHOR BAHRU — Dua penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di Kulaijaya dekat sini hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang lelaki di tepi jalan raya di kawasan Indahpura di sini minggu lepas.

Tee Hua Ling, 41, dan Chiung Tien Chai, 26, bersama-sama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas, dituduh membunuh Lim Yong Chin, 37, di hadapan premis bernombor 74, Jalan Kenanga 29/7, Indahpura, di sini pada 2.45 pagi 19 Dis lepas.

Kedua-dua mereka mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar, namun tiada pengakuan direkodkan.

Hua Ling dan Tien Chai didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A.Karthiyayini manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Feb untuk sebutan semula kes berkenaan. — BERNAMA

Polis tahan ibu tunggal bawa 3.9kg syabu bernilai RM1 juta

GEORGETOWN: Polis menahan seorang wanita tempatan dan merampas 3.7 kilogram dadah jenis syabu, bernilai kira-kira RM1 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, semalam.

Ibu tunggal berusia 41 tahun yang berasal dari negeri ini dipercayai dijadikan keldai dadah oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan ditahan sebaik tiba di LTAPP pada jam 3 petang.

Sepasukan anggota polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menahan wanita itu hasil siasatan susulan terhadap dua warga Nigeria yang ditahan kerana memiliki dadah di Kuala Lumpur beberapa jam sebelum itu.
Hasil pemeriksaan terhadap wanita itu yang tiba dari Kuala Lumpur, polis menemui dadah tersebut yang disembunyikan di dalam beg pakaiannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kes itu.

Beliau berkata, wanita itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA 

Lelaki ditahan ikat dan kurung dua anak dalam tandas

DUA beradik diperlakukan seperti haiwan oleh bapa sendiri yang tergamak mengikat kaki mereka dengan rantai besi, mengurung mereka dalam tandas selama lebih lima jam dan membiarkan mereka kelaparan.
BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua orang anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam tandas di rumah mereka di Jalan Raja Uda di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata lelaki berusia 40-an itu mengikat kaki anak perempuannya berusia enam tahun dan anak lelaki berusia dua tahun itu dengan rantai besi sebelum keluar bekerja pada jam 3 petang semalam.

Dua beradik itu dipercayai berlapar lebih lima jam selepas bapa mereka keluar rumah di Taman Mawar di Raja Uda di sini.
Lelaki, yang bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran di sini, berpisah dengan isterinya seorang warga Thailand sejak sebulan lalu.

Zulkifli berkata, kedua-dua beradik itu ditemui dalam keadaan sangat letih kerana kelaparan dan mereka hanya memakai baju dan seluar dalam dengan kaki berantai besi.

"Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu bertindak demikian kerana tidak mempunyai penjaga dan anaknya pula dikatakan nakal," katanya.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak yang jika bersabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Seorang jiran keluarga itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau mendengar jeritan kanak-kanak berkenaan yang meminta tolong pada jam 8 malam.

"Apabila saya bertanya apa yang berlaku, kanak-kanak perempuan itu menjerit dan memberitahu yang mereka dikurung dalam bilik air," katanya.

Beliau terus memaklumkan perkara itu kepada pasukan ronda sukarela Taman Mawar dan juga polis. - BERNAMA
Berita Harian Online | Lelaki ditahan ikat dan kurung dua anak dalam tandas:

'via Blog this'

Dua beradik dikurung dalam tandas selepas rumah dirompak




2011/12/29

KUALA LUMPUR: Dua beradik perempuan dikurung dalam tandas selepas rumah mereka dimasuki penyamun di Taman Wilayah, Jinjang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan, berkata tiga lelaki dipercayai memecah masuk rumah teres dua tingkat itu melalui tingkap di ruang tamu pada jam 4.30 pagi tadi.

"Tiga lelaki terbabit mematahkan jeriji tingkap dan memasuki salah sebuah bilik di rumah mangsa. Seorang daripada tiga suspek mengacukan pisau ke arah dua beradik itu sebelum mengurung mereka di dalam tandas," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, hari ini.
Beliau berkata, bapa mangsa menyedari kejadian itu selepas bangun untuk solat Subuh dan mendapati anaknya yang berusia 18 dan 28 tahun tidak ada dalam bilik sebelum menemui mereka terkurung dalam tandas.

Bagaimanapun, dua beradik itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zakaria berkata, suspek menggeledah rumah itu sebelum melarikan empat telefon bimbit, sebuah komputer riba, sejumlah wang tunai serta sebuah kereta jenis Proton Inspira.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/7 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan. - BERNAMA 

Lelaki didakwa perdagang wanita senegara


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 29, 2011
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdagangkan rakan senegaranya dengan mengurung wanita itu dalam sebuah rumah di Pantai Dalam,
empat minggu lepas.

S.Murugan, 44, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Najimunisha Begam, 38, di Blok 57-7-14, Apartmen Pantai Indah pada 12.30 tengah hari 8 Dis lepas, mengikut Seksyen 13 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetapkan 27 Jan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport Murugan diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali pada setiap bulan.

Peguam V.Rajehgopal pula memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM6,000 kerana Murugan tidak memiliki wang mencukupi untuk membayar jaminan yang ditawarkan pendakwaan.
Lelaki didakwa perdagang wanita senegara - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki kurung, ikat anak dalam bilik air ditahan



Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 29, 2011
BUTTERWORTH — Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua orang anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Raja Uda di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, ACP Zulkifli Alias berkata, lelaki berusia 40-an itu telah mengikat kaki anak perempuannya berusia enam tahun dan anak lelaki berusia dua tahun itu dengan rantai besi sebelum keluar bekerja pada 3 petang semalam.

Dua beradik itu dipercayai berlapar lebih lima jam selepas bapa mereka keluar rumah di Taman Mawar di Raja Uda di sini.

Lelaki yang bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran di sini, telah berpisah dengan isterinya seorang warga Thailand sejak sebulan lepas.

Zulkifli berkata, kedua-dua beradik itu ditemui dalam keadaan sangat letih kerana kelaparan dan mereka hanya memakai baju dan seluar dalam dengan kaki berantai besi.

"Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu bertindak demikian kerana tidak mempunyai penjaga dan anaknya pula dikatakan nakal,” katanya.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak yang jika bersabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pondan, 68 GRO ditahan



Oleh : HASNIZA HUSSAIN
Tarikh : December 29, 2011
Pondan, 68 GRO ditahan
KUALA LUMPUR - Seorang pondan dan 17 wanita warga Thailand antara 68 pelayan pelanggan (GRO) ditahan, ketika asyik menghiburkan pelanggan dengan aksi tarian tiang dalam serbuan Ops Noda di dua pusat hiburan di ibu negara, awal pagi semalam.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mat Isa berkata, serbuan dilakukan di pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah, pada jam 12.30 pagi.

Siasatan awal menunjukkan, wanita Thailand dan pondan berusia antara 21 hingga 33 tahun itu, melakukan kesalahan dengan menyalah guna pas lawatan sosial dengan bekerja di premis hiburan.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan semua GRO itu, kerap memasuki negara ini dan pernah bekerja di beberapa premis hiburan lain sebelum ini.

“Pemeriksaan menunjukkan premis diserbu tidak ada lesen dan permit sah untuk menjalankan perniagaan itu. Pusat hiburan dipercayai baru beroperasi empat minggu itu, menggunakan khidmat GRO dari Thailand untuk melakukan tarian tiang yang boleh membangkitkan ghairah bagi menarik ramai pelanggan,” katanya, semalam.

Azman berkata, setiap penari yang berjaya memikat pengunjung akan memperoleh kalungan bunga.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, jam 2 pagi di premis hiburan di Wisma PGRM 2, Cheras, beliau berkata, 37 wanita tempatan dan seorang wanita warga Vietnam yang juga GRO ditahan.

Menurutnya, GRO berusia antara 17 hingga 50 tahun itu, menawarkan khidmat tarian tiang, malah menerima tips serendah RM20 menerusi jumlah kalungan bunga.

Katanya, penari yang dipakaikan jubah khas oleh pelanggan, akan menerima tips mencecah hingga RM1,000.

“Pusat hiburan ini juga tidak mempunyai lesen sah dan tindakan tegas dikenakan terhadap pemilik premis,” katanya.

Semua GRO warga asing ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen.

RM25,000 lesap sekali gus



Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 29, 2011
RM25,000 lesap sekali gus
MARAN – Akibat percaya dengan jaminan sebuah bank bahawa wang simpanannya akan selamat, seorang wanita terpaksa berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM24,978.89 yang baru sahaja dimasukkan November lalu lesap.

Mangsa, Norhayati Ali,37, dari Ulu Jempol dekat sini berkata, wang tersebut akan digunakan untuk merawat kakinya yang pernah tercedera akibat kemalangan.

Menceritakan kembali kejadian itu, dia memberitahu pernah meminjamkan kad ATM miliknya kepada seorang jirannya dengan alasan mahu menerima deposit tunai dari seorang kenalannya.

“Setelah selesai melakukan urusan pertukaran sistem perbankan internet yang dilakukan oleh saya sendiri atas permintaan jiran yang pada ketika itu bercakap dengan seseorang dalam satu perbualan telefon.

“Kemudian transaksi berkenaan selesai barulah jiran saya memberitahu urusan tersebut dilakukan kerana dia dikatakan telah memenangi hadiah wang tunai dari sebuah syarikat komunikasi melalui satu sistem pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Menyedari diri dan jiran telah tertipu, Norhayati mengambil keputusan untuk merujuk kes tersebut kepada bank terbabit bagi memastikan kedudukan akaun banknya selamat bagi mengelakkan risiko pencerobohan pihak sindiket itu.

“Saya berurusan dengan cawangan bank itu di Temerloh dan staf bank tersebut hanya menukarkan kad ATM dan nombor pin baru serta turut memberi jaminan bahawa akaun saya akan selamat jika berbuat demikian.

“Saya kemudiannya memohon wang KWSP dan pihak KWSP mengesahkan wang tersebut telah masuk ke dalam akaun saya. Tetapi apabila disemak, saya dapati wang saya itu telah dikeluarkan melalui sistem perbankan internet,” katanya.

Norhayati kemudiannya membuat laporan polis di Temerloh dan kemudiannya kes tersebut dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Menurutnya lagi, polis menasihatinya agar menyelesaikan masalah tersebut dengan pihak bank.

“Sebulan lalu saya membawa kes ini untuk dirujuk pihak atasan bank tersebut. Mereka berjanji akan menyelesaikan masalah ini dalam masa dua minggu tetapi sehingga kini masih belum selesai.

“Sudah banyak masa dan wang saya habiskan untuk menyelesaikan masalah saya ini. Malah saya telah pergi ke ibu pejabat bank tersebut ydi Kuala Lumpur, tetapi mereka tetap memberikan jawapan yang sama,” katanya.

Oleh itu Norhayati menuntut bank terbabit bukan sahaja membayar semula wang yang telah hilang itu, malah turut meminta ganti rugi kerana banyak wang telah dilaburkan untuk kes ini.

Sekiranya masalah ini belum selesai, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut menghubungi pihak bank terbabit namun menurut mereka, keputusan masih belum diterima kerana kes itu masih dalam siasatan.

Terkilan bayi sulung mati dalam kandungan



Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 28, 2011
KOTA BHARU – Bukan niat menolak takdir selepas bayi dalam kandungan dilahirkan sudah tidak bernyawa, tetapi pasangan suami isteri dari Kampung Pulau Melaka, di sini kecewa kerana menerima layanan tidak memuaskan di sebuah hospital, di sini.

Apa yang lebih mengecewakan permintaan isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Za untuk dibedah berikutan terlalu sakit dan sudah tidak bermaya apabila ‘jalan’ tidak terbuka didakwa tidak diambil sebarang tindakan oleh jururawat dan juga doktor yang merawatnya.

“Hari kedua ‘induce’ saya beritahu jururawat saya bersedia untuk dibedah kerana sudah tidak bermaya untuk menahan kesakitan tambahan pula jalan hanya terbuka sedikit, tetapi jururawat menjawabnya dengan kurang sopan sambil menyatakan bukan senang nak mati syahid.

“Saya juga menyuarakan hasrat sama kepada doktor yang merawat tetapi beliau memaklumkan akan berbincang dulu dengan pakar. Ketika hari kedua dan seterusnya beberapa kali saya meminta untuk dibedah tetapi tidak mendapat respon sehingga anak saya disahkan meninggal dunia,” katanya yang enggan bergambar ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Sebelum ini isteri mekanik itu yang berusia 28 tahun pernah keguguran ketika kandungan berusia tiga bulan dan ketika dimasukkan ke hospital itu pada 19 Disember lalu kandungan sulungnya itu disahkan melebihi tempoh sembilan bulan.

Oleh itu, Za segera ke hospital dan terpaksa ‘induce’ kali pertama pada 20 Disember dan kali kali kedua pada hari berikutnya. Pada hari ketiga beliau dimasukkan ke bilik bersalin dan ketika itu ‘jalan’ sudah terbuka antara 4 hingga 6 sentimeter.

Bagaimanapun, pada hari Khamis (22 Disember) ketika hendak bersalin beliau menerima takdir Ilahi apabila doktor mengesahkan kandungannya sudah tidak bernyawa lagi dan dipercayai sudah meninggal sebelum dimasukkan ke bilik itu.

“Rupa-rupanya bayi perempuan saya berjaya dikeluarkan seberat 4.1 kilogram. Padahal ketika pemeriksaan doktor menganggarkan bayi saya hanya 3.6 hingga 3.8 kg. Saya terkilan sedikit kerana permintaan saya untuk dibedah tidak diambil serius oleh pihak terbabit,” katanya.

Selepas selamat bersalin barulah jururawat bertugas berkali-kali bertanyakan sama ada beliau menyedari bayi dalam kandungan sudah tiada nadi manakala doktor juga memohon maaf kepadanya selepas mengetahui masalahnya itu.

Katanya, pada hari keempat beliau dibenarkan keluar dari wad tetapi tidak diberikan sebiji pun ubat seperti kebiasaan wanita bersalin lain dan terpaksa membelinya di klinik swasta untuk ubat luka, tahan sakit dan sebagainya.

Rampas komponen kereta



Oleh : ROSMIZA KASIM
Tarikh : December 29, 2011
Rampas komponen kereta
KOTA BHARU- Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila kegiatan menyembunyikan komponen kenderaan curi yang dileraikan dan disembunyikan di belakang sebuah rumah di Bachok berjaya dikesan oleh polis.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 5 petang kelmarin polis berjaya merampas pelbagai komponen kereta jenis Proton Wira dan Iswara berjaya dirampas di belakang sebuah rumah di Kampung Pengkalan Chengal, Bachok.

Selain itu, tiga suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun ditahan hasil maklumat dan intipan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, pada jam 9 pagi yang membawa kepada penangkapan dua lagi suspek berusia 20 tahun di Panji dan suspek 27 tahun di Kampung Sering, Kedai Lalat, dekat sini.

“Hasil maklumat lanjut daripada penangkapan suspek polis berjaya merampas komponen kereta terbabit termasuk sebahagiannya sudah dimuatkan ke dalam lori dan van, selain masih berada di belakang rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan itu dijalankan juga salah seorang lagi suspek berusia lingkungan 20-an yang tinggal di rumah berkenaan melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

”Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan serbuan kita juga mendapati beberapa pintu, tempat duduk dan enjin yang sudah dileraikan sebelum ini berada dalam kenderaan. Siasatan lanjut kita juga mendapati di belakang rumah berkenaan dijadikan tempat meleraikan kenderaan yang dicurinya sebelum ini,” katanya.

Azham juga mempercayai masih ada rangkaian ahli lain yang terbabit dalam kumpulan berkenaan dan siasatan secara terperinci akan dilakukan berhubung penglibatan suspek dalam kes kecurian itu.

”Hasil ujian air kencing juga didapati dua suspek terbabit adalah positif dadah dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah kenderaan motor,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli sebarang komponen kenderaan secara tidak sah, kerana kemungkinan ia barang curi atau sebaliknya.

Kerugian jenayah siber lebih RM1.3 juta



Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 29, 2011
KUANTAN - Sebanyak RM1,313,418.88 juta membabitkan 26 kes penipuan jenayah siber dicatat sejak Januari hingga 21 Disember ini di negeri ini.
 
Antaranya melibatkan kes-kes penipuan tersebut ialah panggilan palsu daripada bank negara, panggilan daripada polis dari Bukit Aman dan polis Hong Kong dan panggilan daripada pegawai kad kredit bank.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, Superintenden Thomas Navamoney berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi serta berjawatan besar.
 
Menurutnya, ia menunjukkan sebilangan besar penduduk di sini ditipu oleh sindiket jenayah siber akibat kurang kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan telefon bimbit.
 
“Ada di kalangan mangsa mencatatkan jumlah tertinggi di tipu iaitu sehingga RM400,000 kira-kira beberapa bulan lalu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
 
Beliau memberitahu, kebiasaannya modus operandi yang digunakan dalam itu apabila nombor-nombor telefon yang akan tertera di skrin telefon mangsa adalah nombor telefon Bank Negara atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman.
 
Menurutnya, kaedah itu menyebabkan mangsa mudah terpedaya tanpa berfikir dan terus memindahkan wang atau memberikan nombor akaun mereka berserta nombor pin.
 
“Orang ramai diingatkan mengabaikan segera sekiranya mendapat panggilan daripada bank khususnya Bank Negara atau polis jika diminta menyatakan berkenaan akaun dan kad kredit yang disalahgunakan.
 
“Mereka boleh terus pergi ke bank itu bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara berkaitan atau pergi ke balai polis berhampiran,” katanya.
 
Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak sesekali memindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon, emel atau apa-apa kepada orang yang tidak dikenali.
 
“Orang ramai diminta segera menghubungi polis Pahang di talian 09-5902222 untuk pertanyaan lanjut berkaitan penipuan sebegini,” katanya.

11 Pati wanita dicekup



Oleh : ROSDALILAH ZAHARI
Tarikh : December 28, 2011
gro
IPOH - Tak serik! Walaupun serbuan dilakukan beberapa kali, namun pengusaha pusat hiburan, pusat spa dan refleksologi yang menyalahgunakan tempat tersebut untuk tujuan tidak bermoral masih berdegil dan meneruskan kegiatan mereka.

Dalam Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) di sekitar Parit Buntar, Taiping dan Ipoh kelmarin, 11 wanita warga asing termasuk seorang lelaki tempatan ditahan.

Pada operasi tersebut, seramai 63 warga asing diperiksa dalam serbuan yang dilakukan di sekitar pusat hiburan, pusat spa dan refleksologi serta hotel murah di kawasan berkenaan.

Operasi itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohamad Rahmat Abdul Manap yang membabitkan 22 pegawai dari Jabatan Imigresen Negeri serta dibantu tujuh pegawai SPRM Negeri.

“Daripada pemeriksaan itu, kita menahan 11 wanita warga asing berusia antara 18 dan 41 tahun atas pelbagai kesalahan Imigresen seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih tempoh dan tinggal lebih tempoh selain gagal mendaftarkan diri dalam program pemutihan 6P.

“Mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 daripadanya merupakan warga Thailand, seorang warga Myanmar manakala seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga pusat hiburan tersebut.

“Ketika ditahan mereka menggunakan pelbagai alasan untuk cuba melepaskan diri malah ada dalam kalangan pelanggan yang turut merungut ketika kami sibuk menjalankan tugas,” ujarnya.

Menurutnya, semua warga asing yang ditahan itu akan dihantar ke Depot Tahanan Langkap dekat sini untuk siasatan lanjut sebelum didakwa atau diusir pulang ke negara asal.

“Manakala lelaki Malaysia yang berusia 42 sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan ke atasnya,” katanya.

Wang simpanan RM3,200 lesap



Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 29, 2011
Wang RM3,200 lesap
SENAI - Seorang Eksekutif Pengiklanan Sinar Harian kerugian RM3,200 setelah diperdaya dua individu sindiket gores dan menang, dalam kejadian jam 3 petang kelmarin.

Kejadian bermula di tempat letak kereta di gedung beli belah di Kulaijaya, Hairun Nisa Syed Esa, 24, yang berseorangan didatangi seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun, dan memintanya membuka sampul surat bagi memenangi hadiah cabutan bertuah yang lumayan.

“Selepas membuka sampul yang diarahkan, saya dimaklumkan memenangi RM1.5 juta. Ketika itu, terdetik bahawa ia satu penipuan, namun saya dipaksa memasuki kenderaan, di mana wanita itu turut menaiki kenderaan saya dan diarah menuju ke pejabat mereka di Mount Austin.

“Sepanjang perjalanan, wanita terbabit bertindak memegang tangan saya dan mengarahkan saya memandu dengan laju. Kurang 20 minit kemudian, kami sampai ke pejabat itu dan saya diperkenalkan dengan pengurus di situ yang dikenali sebagai Micheal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam keadaan seakan tidak sedar, dia dimaklumkan Micheal bahawa jika ingin menebus wang yang dimenangi, dia perlu membayar cukai kerajaan iaitu RM6,300.

Oleh kerana wang yang dibawa hanyalah RM750, wanita terbabit bertindak memeriksa dompetnya dan mengarahkan untuk ke bank untuk mengeluarkan wang miliknya.

Katanya, ketika di mesin ATM, wanita tersebut bertindak mengeluarkan kesemua wangnya berjumlah RM2,450 dan memaklumkan wang terbabit perlu dicatat nombor siri.

“Mereka ambil semua duit saya dan sempat memberitahu bahawa mereka bukan hendak menipu, kerana duit milik saya tidak seberapa berbanding dengan perniagaannya berjuta-juta.

“Saya juga diarah menandatangani satu kertas dan kemudian dimaklumkan memenangi hadiah cabutan bertuah kedua iaitu sebuah tilam bernilai RM15,925 (SGD6,500). Ketika itu, baru saya tersedar saya telah ditipu dan bertindak menjerit,” katanya.

Hairun Nisa berkata, jeritannya itu menyebabkan dua pelanggan lain dipercayai mangsa dan tujuh pekerja di premis itu terkejut dan Micheal bertindak seperti hendak menamparnya.

“Pengurus mereka marah saya. Dia memberitahu saya telah merosakkan perniagaannya dan memaklumkan tilam yang dimenangi itu boleh dijual di Singapura.

“Ketika itu, saya meronta meminta wang saya dipulangkan namun tindakan kasar mereka membuat saya takut sehingga rakan datang menjemput saya dari pejabat itu,” katanya.

Hairun Nisa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi, jam 6.30 petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri, Abdul Hamid Abu Bakar menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan mana-mana tawaran hadiah lumayan atau sebagainya.

Geng Gonchar tumpas



Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 28, 2011
Sabtu(kanan)-bersama-sama-anggota-penyelam-daripada-Pasukan-Gerakan-Marin-Pulau-Pinang-menaikkan-ran
KANGAR - Polis berjaya menumpaskan kegiatan curi motosikal dikepalai oleh Geng Gonchar yang bermaharajalela di sekitar negeri ini apabila menangkap empat ahli kumpulan itu termasuk seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun dalam dua siri tangkapan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, ketiga-tiga suspek ditahan yang terdiri daripada penganggur dan mekanik itu berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun dan masih dalam tahanan reman sehingga 27 Disember ini, manakala seorang lagi diberi jaminan polis.

Menurutnya, polis masih memburu tiga individu disyaki ahli kumpulan itu yang masih bebas bagi menyelesaikan beberapa siri kes kecurian motosikal dan kesemuanya berumur antara 19 tahun hingga lewat 20-an.

“Selain itu, hasil penahanan empat suspek membolehkan polis menemui 12 kerangka motosikal jenis Honda EX5, tiga kerangka Modenas Kriss, tiga kerangka Yamaha dan dua penutup enjin yang dilupuskan di dalam Sungai Panggau, Tok Kuning dan anak-anak sungai
sekitarnya dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Pulau Pinang.

“Kesemua mereka yang terlibat dikenal pasti merupakan rakyat Perlis dan polis tidak menolak kemungkinan kesemua mereka bertindak sebagai orang tengah yang ditugaskan mencuri motosikal untuk mendapat komponen.

“Polis turut percaya kegiatan Geng Gonchar sudah lama berdasarkan bilangan keseluruhan kerangka motosikal berjumlah 20 buah yang dijumpai selain masih berusaha mencari dalang utama kegiatan kumpulan ini,” katanya pada sidang media di bilik sidang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kangar, Asisten Superintendan Sabtu Md Ali dan Ketua Pasukan Khas (Task Force) yang ditubuhkan bagi menyiasat dan menumpaskan kegiatan Geng Gonchar, Sarjan Zulkifli Othman.

Kes tangkapan Geng Gonchar dan rampasan kerangka 20 motosikal akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan di bawah kesalahan mencuri kenderaan bermotor dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan melebihi tujuh tahun selain boleh dikenakan denda.

Md Zukir berkata, dengan tertangkapnya suspek terlibat, polis Perlis sehingga kini berjaya menyelesaikan 13 kes curi motosikal melibatkan kumpulan itu atau 32.05 peratus berbanding keseluruhan jumlah kes kecurian motosikal sepanjang tahun sebanyak 351 kes.

“Berdasarkan statistik kecurian motosikal di seluruh Perlis sepanjang tahun ini, pihak kami berjaya menyelesaikan 79 kes yang mewakili 22.51 peratus daripada keseluruhan jumlah kes sama.

“Statistik yang diperoleh turut menunjukkan peningkatan positif polis Perlis apabila berjaya mengurangkan 62 kes kecurian motosikal pada tahun ini berbanding 413 kes pada 2010,” katanya.

Md Zukir turut menggesa orang awam meningkatkan kerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan susulan.