Search This Blog

Monday, December 26, 2011

Kerajaan Cuba bakal bebas 2,900 banduan

HAVANA: Cuba yang membuat persediaan untuk menerima lawatan Pope Benedict XVI pada musim bunga kelak akan membebaskan 2,900 banduan dalam tempoh beberapa hari lagi atas alasan kemanusiaan, termasuk sesetengah tahanan jenayah yang ‘mengancam keselamatan negara’, kata kerajaan Cuba, kelmarin.

Dalam kenyataan rasmi itu, kerajaan tidak menyatakan pembebasan yang dibuat itu mempunyai kaitan dengan lawatan Pope, tetapi berkata, banduan akan dibebaskan ekoran beberapa permintaan daripada ahli keluarga dan institusi keagamaan. Tidak dinyatakan sama ada warga Amerika Syarikat, Alan Gross yang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana bertugas mewujudkan kelengkapan Internet di Cuba di bawah program sulit AS yang cuba membuat perubahan politik di negara itu antara yang akan dibebaskan. - Reuters

myMetroKerajaan Cuba bakal bebas 2,900 banduan:

'via Blog this'

Rindu arwah ayah

LENGGONG: “Mak, saya sangat rindu pada arwah ayah, malah sering terbayang wajahnya,” itu antara ungkapan yang sering diucap penjaga pagar elektrik gajah, Amir Nordin Harun, 45, ketika berbual dengan ibunya, Halipah Dollah, 66, beberapa hari sebelum dia maut dipercayai tertembak senapang sendiri, di sini, kelmarin.

Mayat Amir Nordin ditemui penduduk kampung dalam keadaan terlentang dan cedera parah di bawah dagu, dipercayai terkena senapang patah miliknya di Jalan Bukit Sapi, jam 3 pagi kelmarin.


Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum usaha mencarinya dilakukan lebih 100 penduduk yang kemudian menemui mayatnya di kawasan ladang kelapa sawit, jam 8 pagi hari sama.

Halipah ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ulu Lenggong, di sini, semalam, berkata, sehari sebelum kejadian, arwah anaknya yang lebih mesra dengan panggilan Din menghantarnya dengan motosikal ke Kampung Bukit Sapi untuk menziarah seorang saudara yang sakit.


Bagaimanapun, katanya, arwah turut berjanji akan menjemputnya pada keesokannya harinya, namun hairan apabila arwah tidak muncul untuk mengambilnya.


“Pada pagi hari sama, saya dihubungi jiran yang memaklumkan menemui arwah dalam keadaan cedera parah sebelum bergegas ke Hospital Gerik.

“Saya menyangka arwah hanya cedera ringan, namun saya pengsan selepas dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.


Sementara itu, Ketua Kampung Lenggong, Mohd Razli Ahmad berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa, dia terus melaporkan perkara itu di Balai Polis Lenggong dan kemudian bersama penduduk serta anggota penyelamat memulakan operasi mencari Amir Nordin.

“Penduduk kampung bersama anggota Rela dan Polis melakukan gerakan mencari mangsa jam 1 malam di kawasan rondaan kerja mangsa sekitar Bukit Sapi, Chepor, Luat dan Kampung Beng namun sehingga jam 4.30 pagi kami gagal menemuinya.


“Pagi semalam (kelmarin), kami menemui mangsa di kawasan Ladang Kelapa Sawit, berhampiran bukit dalam keadaan tidak bernyawa serta senapangnya di sisi,” katanya.


Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, pagi semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai terbunuh akibat terkena tembakan senapang patah ketika menunggang motosikal ke tempat kerja.


“Mangsa bekerja sebagai penjaga kawasan pagar elektrik gajah yang terletak jauh di kawasan pedalaman. Senapang patah yang biasa dibawa ketika bekerja dipercayai meletup dan tertembak mangsa,” katanya.

myMetroRindu arwah ayah:

'via Blog this'

11 maut, 100 cedera

BOGOTA: Sebuah saluran paip bahan api meletup di Colombia, kelmarin, menyebabkan kebakaran hingga mengorbankan 11 orang, mencederakan hampir 100 yang lain dan memusnahkan lebih puluhan kediaman.

Kebakaran sebelum waktu Subuh itu berlaku di bandar Dosquebradas. Pihak berkuasa berkata, mereka masih menyiasat punca letupan itu dan mengesyaki ia dilakukan pencuri yang menoreh saluran paip itu untuk mencuri minyak. Saluran paip itu menyalurkan gasolin dan diesel. Bagaimanapun, syarikat minyak Ecopetrol yang menjalankan operasi saluran paip itu kemudian berkata dalam satu kenyataan, letupan berkenaan berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan pergerakan tanah dan seterusnya memecahkan saluran paip terbabit. Bahan api berkenaan kemudian tumpah dan meletup apabila ia berpadu dengan sumber haba yang tidak dikenal pasti. Pegawai Perbandaran, Oscar Andres Herrera berkata, sekurang-kurangnya lima mangsa yang cedera itu melecur teruk dan kebakaran turut menyebabkan 25 kediaman rentung dan memusnahkan 47 rumah lain. Presiden Colombia, Juan Manuel Santos yang melawat tempat kejadian berjanji kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka. - AP

myMetro11 maut, 100 cedera:

'via Blog this'

Kikis duit nelayan

LUAS... anggota polis memeriksa premis judi haram dalam satu serbuan kelmarin.
LUAS... anggota polis memeriksa premis judi haram dalam satu serbuan kelmarin.

KUALA LUMPUR: Kasino burung walet! Bunyinya pelik, namun itulah ungkapan diberikan penduduk sekitar Kampung Pulai dan Kampung Sungai Burung, Sungai Besar, Selangor serta Jalan Slim Lama, Tanjung Malim, Perak, dekat sini yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk berjudi di pusat perjudian haram tersorok itu.

Yang mengecewakan, selain penduduk kebanyakannya nelayan di Sungai Besar, pusat perjudian 24 jam itu membenarkan kanak-kanak memasuki premis, terutama pada musim cuti sekolah, kerana mereka memiliki wang poket selepas mengikut bapa atau bekerja sambilan sebagai nelayan.


Wartawan Metro Ahad yang menerima maklumat mengenai kewujudan pusat itu berjaya menjejaki dua daripadanya sebelum menyusup masuk dengan menyamar sebagai pelanggan.

Ketika masuk di pusat perjudian Kampung Pulai, kira-kira 15 pelanggan berada dalam premis menghadap komputer masing-masing manakala di bahagian depan pula, sekumpulan remaja asyik bermain snuker.


Mereka kemudian terhenti seketika dan memandang wartawan dengan penuh curiga sebelum seorang demi seorang, terutama pelanggan remaja, beredar dari bangunan itu.


Menyedari kehadiran tidak disenangi serta mula mendatangkan syak, wartawan membayar RM50 kepada penjaga kaunter untuk memasukkan kredit ke dalam komputer dan menekan tetikus selepas membuat pertaruhan serta berpura-pura kecewa kerana tewas.

Tidak sampai 15 minit, wang pertaruhan habis dan wartawan memasukkan kredit baru, seolah-olah pemain judi tegar.


Taktik itu berjaya dan beberapa pengunjung yang masih ada dalam premis terbabit tidak lagi mengendahkan wartawan dan peluang itu diambil untuk merakam gambar dari dalam bangunan.

Selepas selesai, wartawan berhenti bermain lalu keluar dari bangunan dan berbual dengan beberapa lelaki di luar, kononnya kecewa kerana kehabisan wang RM100 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.


Seorang daripadanya iaitu nelayan, Nasifi Byosro, 29, (bukan nama sebenar) mengaku ketagihan judi selepas dibawa ke pusat itu oleh kenalan dan lebih menggembirakan, dia memperoleh kemenangan RM300 dua hari berturut-turut, menyebabkannya sering berkunjung ke situ.


“Saya gembira ketika itu dan akibatnya, setiap kali bot mendarat dan selepas mengambil gaji daripada tauke, saya terus ke pusat perjudian untuk bertaruh, namun keputusannya mengecewakan apabila tuah tidak lagi memihak kepada saya.


“Kini, saya sering kalah dan jika dihitung, saya kerugian RM3,000 setiap bulan akibat pertaruhan dan ia hasil gaji harian sebagai nelayan pantai serta kerja upah yang diambil secara sambilan di kampung,” katanya.


Menurutnya, walaupun kadangkala timbul perasaan insaf, dia tidak mampu mengawal nafsu ketagihan terutama jika mempunyai wang, namun bernasib baik kerana belum berkahwin dan masih menetap dengan keluarga di rumah pusaka.


“Sejak terbabit dengan aktiviti perjudian, poket saya selalu kering dan untuk mendapatkan duit rokok, saya terpaksa mengutip biji sawit di tepi jalan atau kebun orang dan biasanya pemilik kebun tidak kisah asalkan saya tidak melarikan tandan kelapa sawitnya.


“Apapun, saya biasanya memberitahu pemilik mengenai perkara itu, lagipun biji sawit masih bernilai dan membazir jika dibiarkan begitu saja,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, ada juga individu sanggup mencuri kelapa sawit milik pekebun di situ dan akibatnya, ‘pencari’ sawit kecil-kecilan sepertinya sering dipandang serong.


Sementara itu, pelajar, Mohd Dasimi Kasran, 15 (bukan nama sebenar) berkata, pusat perjudian itu bukan saja menjadi tempat golongan sepertinya mencuba nasib mencari pendapatan lebih, tetapi turut menjadi lokasi sesuai untuk melepak dan melepaskan tekanan tanpa gangguan.


“Kalau di rumah, pasti ada perkara perlu dilakukan dan mak pula sering membebel jika saya merokok di rumah tetapi di sini, saya boleh berjumpa rakan dan jika tiada wang bertaruh, saya masih boleh bertaruh kecil-kecilan di meja snuker yang ada bersama rakan lain.


“Bapa tidak kisah sangat jika saya merokok kerana saya tidak meminta wangnya, sebaliknya bekerja sendiri pada musim cuti ini. Hanya ibu yang sering bersuara jika saya merokok di rumah dan saya rimas,” katanya.


Sementara itu, tinjauan Metro Ahad mendapati selain bangunan burung walet, kedai yang menempatkan kolam udang turut dijadikan premis perjudian, selain rumah kedai lain yang bertaburan sekitar kawasan terbabit.

myMetroKikis duit nelayan:

'via Blog this'

20 komputer jadi mesin judi

SABAK BERNAM: Kasino burung walet yang popular di kalangan penduduk beberapa kampung di Sungai Besar, di sini, didapati turut menempatkan beberapa meja snuker selain 20 komputer yang dijadikan mesin judi membabitkan pelbagai permainan.

Selain roulette dan mesin slot, permainan judi yang menjadi kegilaan pengunjung ialah ‘Monkey Monster’ serta permainan judi klasik seperti lumba kuda yang menjadi kegilaan kaki judi tempatan satu ketika dulu, cuma bezanya ia tidak lagi menggunakan syiling, sebaliknya kredit secara on-line.


Pertaruhan dibuat melalui bayaran kepada penjaga kaunter sebelum pemain dibenarkan berjudi mengikut pertaruhan masing-masing dan biasanya bayaran minimum pertaruhan adalah RM10.

Tinjauan Metro Ahad ke sebuah pusat judi di lokasi berkenaan mendapati bahagian depan bangunan terbabit kelihatan seperti biasa, yang sekali imbas tidak mendatangkan syak kepada orang ramai kerana tiada kenderaan diletakkan di depannya.


Bagaimanapu,n di bahagian tepi bangunan, ada beberapa motosikal dan kereta dan ia terselindung berikutan kewujudan pokok sawit di sekelilingnya, justeru kawasan terbabit tidak ubah seperti rumah burung walet lain kerana terlindung.


Yang membezakan bangunan itu dengan rumah burung walet lain ialah tiada bunyi burung di sekitar kawasan, sedangkan biasanya rumah seumpamanya bising dengan bunyi pita suara memanggil burung membuat sarang.

Status rumah burung itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada masih berfungsi atau tidak kerana pengunjung hanya diberikan akses untuk berlegar di tingkat bawah.


Pengunjung juga tidak dibenarkan masuk melalui pintu depan, sebaliknya melalui pintu di tepi bangunan pada sambungan dibuat daripada zink.

Kawasan dalam bangunan pula dilengkapi pendingin hawa yang memberi keselesaan kepada pengunjung.

myMetro20 komputer jadi mesin judi:

'via Blog this'

Tertembak rakan buru

LIMBANG: Seorang lelaki tertembak rakan sendiri yang disangkakan pelanduk ketika memburu di hutan berdekatan Pangkalan Rejap, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 51 tahun bersama mangsa serta dua lagi rakannya ke hutan berkenaan untuk memburu dengan membawa senapang patah milik adiknya, jam 2 pagi.


Difahamkan, sebaik tiba di hutan, mangsa yang berjalan di depan suspek dikejutkan dengan dentuman kuat sebelum dia rebah kerana terkena tembakan.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, suspek menembak rakannya berusia 51 tahun kerana menyangka pelanduk selepas melihat ada objek melintas di depannya.


Beliau berkata, tanpa berfikir panjang, suspek melepaskan tembakan, malangnya ‘pelanduk’ yang ditembak adalah rakannya.


“Suspek hanya mengetahui dia tertembak rakannya selepas mendengar mangsa menjerit kesakitan selain tubuhnya dibasahi darah.

“Panik dengan kejadian itu, suspek bersama dua lagi rakannya membawa mangsa ke Hospital Limbang untuk rawatan.


“Polis hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan pihak hospital mengenai seorang lelaki cedera dipercayai terkena tembakan, jam 8 pagi hari sama,” katanya.

Mohd Bukhori berkata, susulan laporan itu, polis bergegas ke hospital terbabit sebelum mendapati mangsa terlantar akibat ditembak.


“Tembakan itu menyebabkan mangsa cedera di dada, paha, tangan dan pipi kanan. Bagaimanapun, mujur bagi mangsa, peluru penabur tidak menembusi tubuhnya.


“Siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai lesen dan menggunakan senapang patah milik adiknya untuk memburu.


“Susulan itu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan boleh dikenakan hukuman tujuh tahun penjara, denda RM10,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

myMetro Tertembak rakan buru:

'via Blog this'

UPP rampas mercun, bunga api

TUMPAT: Sebanyak 21 jenis mercun dan bunga api, dipercayai untuk bekalan sambutan Tahun Baru Cina bernilai RM120,000, berjaya dirampas oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor, kelmarin.

Semua mercun dan bunga api terbabit dirampas sepasukan tiga anggota UPP Pengkalan Kubor berhampiran Kampung Dalam, di sini, jam 6.30 pagi kelmarin.


Komander UPP Negeri, Mazlan Che Hamid berkata, sebelum itu anggotanya yang membuat rondaan terserempak dengan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik diekori, dua lelaki, dipercayai pemandu dan kelindan, memberhentikan kenderaan mereka dan melarikan diri ke hutan berhampiran.


“Hasil pemeriksaan terhadap lori itu, didapati 120 kotak besar disembunyikan di belakang.

myMetroUPP rampas mercun, bunga api:

'via Blog this'

Wanita direman kes dera

GEORGETOWN: Seorang wanita berusia 25 tahun direman 10 hari bagi membantu siasatan kes penculikan dan penderaan dua kanak-kanak lelaki serta penyalahgunaan dadah, bermula semalam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret, di sini, selepas suspek yang memakai baju lokap warna ungu dibawa ke mahkamah kira-kira jam 11 pagi dengan diiringi dua anggota polis.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, wanita berkenaan ditahan reman sehingga 2 Januari ini bagi membantu siasatan kerana hasil ujian saringan air kencing terhadapnya positif dadah jenis heroin.

Menurutnya, siasatan terhadapnya juga dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.


“Majistret membenarkan tahanan reman serentak terhadapnya selama 10 hari berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan empat hari untuk siasatan kes penculikan serta penderaan terhadap dua kanak-kanak,” katanya.


Semalam, akhbar melaporkan penemuan dua budak lelaki yang dilaporkan hilang ketika bermain di kawasan rumah mereka di Flat Jalan Padang Tembak, Air Itam, di sini, pada 13 Disember lalu membawa kepada penahan seorang wanita yang disyaki mengurung dan mendera mereka.

myMetroWanita direman kes dera:

'via Blog this'

Meninggal ketika memandu

MELAKA: Seorang suami yang sanggup menempuh perjalanan 50 kilometer dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Taman Melaka Raya, di sini, semata-mata untuk menjemput isteri keduanya pulang ke rumah, menemui ajal dipercayai akibat serangan jantung di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini, awal pagi, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 6 pagi, mangsa yang juga bapa kepada 10 anak, Abd Rahman Adam, 56, meninggal dunia di dalam kenderaan dipandunya ketika bersama isterinya, Norliza Saidon, 47, selepas berhenti di sebuah kawasan rumah kedai di situ.


Anak kedua mangsa, Siti Rahmah, 25, berkata, dia meminjamkan kereta Perodua Viva kepada ayahnya yang mahu menggunakannya untuk mengambil ibu tirinya pulang dari tempat kerja.

Katanya, dia yang tidak tinggal serumah dengan keluarganya, pulang ke rumah untuk menghantar kenderaan itu lewat malam kelmarin, sebelum bapanya mengambil kenderaan itu dan terus ke Taman Melaka Raya, tempat ibu tirinya bekerja.


“Kebetulan sudah dua minggu saya tidak pulang ke rumah keluarga dan selepas menghantar kereta, saya terus bermalam di situ.


“Saya ada bertemu ayah sebelum itu, namun tidak nampak perubahan pada dirinya. Ayah memang ada sejarah menghidap penyakit jantung baru-baru ini dan pernah dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini, semalam.

Siti Rahmah berkata, dia dan ibunya, Maheran Mokhtar, 43, mengetahui bapanya meninggal dunia dalam masa 20 minit selepas dihubungi saudaranya.


“Kami tak sangka arwah meninggal dunia pagi ini (semalam) dan saya sempat bertemunya sebelum dia menemui ajal,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

myMetroMeninggal ketika memandu:

'via Blog this'

Mercun, rokok, minuman keras RM1.8j dirampas

ALOR SETAR - Lagi kejayaan kastam merampas pelbagai jenis mercun, bunga api, rokok dan minuman keras semuanya bernilai hampir RM1.8 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Bukit Kayu Hitam Rabu lepas.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata, rampasan hasil serbuan pasukan kastam Bahagian Penguatkuasa Alor Setar ke sebuah premis di kawasan perindustrian kira-kira pukul 6 petang.

Katanya, dua lelaki berusia 30an dipercayai pemilik barang larangan itu ditahan bersasma tiga pekerja bagi membantu siasatan.

Pemeriksaan kastam di kawasan premis yang dipagar dengan atap zink itu menjumpai 524 kotak mercun dan bunga api, 12,760 karton rokok serta pelbagai jenama minuman keras diisi dalam 2,800 keranjang.

Turut dijumpai rokok putih pelbagai jenama berharga RM278,920 melibatkan cukai lebih RM1.1 juta manakala mercun dan bunga api bernilai RM175,773 dengan cukainya berjumlah RM100,573. Minuman keras berharga RM3,607 dengan cukai sebanyak RM30,167 juga dirampas. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Puluhan ribu mangsa taufan Filipina berlindung di khemah

CAGAYAN DE ORO: Puluhan ribu mangsa banjir di Filipina terpaksa berlindung di khemah di beberapa bandar selama berbulan-bulan manakala kerja memindahkan mereka ke kawasan selamat sedang dijalankan.

Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos, hari ini berkata, lebih 60,000 orang terjejas akibat taufan Washi kini mencari perlindungan di bangunan kerajaan di bantar Cagayan de Oro dan Iligan, kebanyakannya di sekolah yang dibuka selepas cuti.
"Kita tidak boleh mewujudkan tempat perlindungan tetap dengan segera. Ia akan mengambil masa yang lama. Mereka perlu berpindah dari khemah apabila sekolah dibuka pada 3 Januari nanti," katanya. - AFP
Berita Harian Online | Puluhan ribu mangsa taufan Filipina berlindung di khemah:

'via Blog this'

Banjir: Lebih 35,000 penduduk Sarawak terputus hubungan

KUCHING: Lebih 35,000 penduduk kawasan sekitar Asajaya dan Sadong Jaya terputus hubungan darat ke Kuching apabila kawasan itu dinaiki air antara 0.5 hingga 1.5 meter sejak petang semalam.

Berikutan itu, hampir 5,000 penduduk di kawasan terbabit sudah dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Banjir yang dibuka di Kompleks Sukan Asajaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Kelali, Semera; Surau Kampung Rangawan dan SK Terasi.
Hujan lebat tanpa henti yang memasuki hari ketiga di kebanyakan kawasan di Sarawak hari ini juga, menyebabkan 919 penduduk di empat kawasan lain turut dipindahkan pagi tadi.
Mereka ialah 605 penduduk daripada 121 keluarga di empat rumah panjang di Ulu Balingian yang berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bukit Arif, Balingian; 100 penduduk Kampung Beradek yang kini ditempatkan sementara di Surau Kampung Beradek; 60 penduduk dari Kampung Tengah Batu Kawa yang kini berkhemah di atas bukti berhampiran dan 154 dari Kampung Semariang Batu, berpindah ke Dewan Semariang.
Berita Harian Online | Banjir: Lebih 35,000 penduduk Sarawak terputus hubungan:

'via Blog this'

Banjir Di Rompin Semakin Buruk, Lebih 300 Lagi Dipindahkan


KUANTAN: Keadaan banjir di daerah Rompin semakin buruk dengan lebih 300 mangsa lagi dipindahkan malam tadi, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan meningkat kepada 946 orang setakat 9 pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sebuah lagi pusat pemindahan dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima buah.

Kesemua mangsa adalah daripada 214 keluarga dari 13 buah kampung, katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Kampung Mentelong dan Kampung Denai yang terputus hubungan darat selepas jalannya dinaiki air tengah hari semalam, kini boleh dilalui semua kenderaan, katanya. - BERNAMA

mStar Online : Banjir Di Rompin Semakin Buruk, Lebih 300 Lagi Dipindahkan:

'via Blog this'

Polis Tahan Semula Lelaki Yang Dikaitkan Dengan Isu NFC

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang ditahan reman lima hari sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC), hari ini ditahan polis bagi membantu siasatan satu kes lain.

Peguam yang mewakilinya, Datuk Ahmad Damanhuri Mohd Yusof memberitahu pemberita anak guamnya ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, selepas dibebaskan di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, dan berkata lelaki tersebut ditahan berhubung dakwaan penipuan projek stesen minyak di Lembah Klang.

Mengulas lanjut, Syed Ismail berkata satu laporan polis bertarikh 7 Ogos 2009, antara lain menyebut seorang pengadu wanita berusia 40-an mendakwa menemui suspek berhubung projek stesen minyak itu.

"Suspek dikatakan meminta wang RM280,000 sebagai 'consultant fee' bagi membantu pengadu mendapatkan projek itu, tetapi mendakwa gagal mendapatkannya sehingga kini seperti yang dijanjikan suspek.

"Berdasarkan laporan itu, hari ini kita menahan suspek selepas dibebaskan pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," kata Syed Ismail.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai tempoh tahanan terhadap lelaki itu, namun menjelaskan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki berusia 45 tahun itu ditahan reman lima hari bermula 22 Disember lepas bagi membantu siasatan kes NFC mengikut Akta SPRM 2009.

Isu NFC itu berbangkit berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya manakala pembangkang pula mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana, khususnya berkaitan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang. - BERNAMA

mStar Online : Polis Tahan Semula Lelaki Yang Dikaitkan Dengan Isu NFC:

'via Blog this'

Gajah liar ditangkap berhampiran Gerik-Jeli

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah jantan liar, kira-kira 500 meter dari jalan besar Jeli-Grik, berhampiran Kem Batu Melintang, Jeli, pagi ini.

Pengarahnya, Rahmat Topani berkata, gajah berumur antara 10-15 tahun dan berat anggaran 1.5 tan itu adalah di antara 11 ekor gajah liar yang berjaya ditangkap oleh jabatan itu di sekitar Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, kejayaan pihaknya menangkap gajah itu hasil maklumat daripada penduduk Kampung Jerek, Batu Melintang selepas terserempak dengan haiwan berkenaan sebelum melaporkan ke pejabat cawangannya di Jeli petang semalam.

Katanya, selepas menerima maklumat itu, sepasukan renjer jabatan diketuai Ismail Nordin mengesan gajah tersebut sebelum menembak dengan peluru pelali, kira-kira pukul 9 pagi.

"Gajah ini dipercayai telah berkeliaran sendirian sejak dua tahun lepas di kampung-kampung sekitarnya sebelum dapat dikesan oleh penduduk kampung tersebut dan melaporkan kepada pihak kami,” katanya. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki maut motosikal rempuh tembok batu

SEREMBAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh tembok batu sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, di sini hari ini.

Dalam kejadian 8.10 pagi itu, Yusnizan Yusof, 31, yang berasal dari Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang bekerja di sebuah kilang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan perumahan itu.

"Mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar tembok batu rumah berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Mayat lelaki ditemui di pembahagi jalan

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui di kawasan pembahagi jalan di Jalan Pandan Indah menghala ke Taman Shamelin Perkasa, Ampang di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohamed Nazri Zawawi berkata siasatan awal mendapati lelaki berumur 30-an itu dipercayai warga tempatan berdasarkan parut suntikan vaksin BCG pada bahunya.

"Ketika dijumpai, terdapat luka pada dahi, kesan seretan pada belakang badan mangsa dan kaki kanannya patah.

"Mangsa dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian dan identitinya tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)untuk dibedah siasat.


Mohamed Nazri berkata pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira 9.55 pagi.

Enggan mengulas pertanyaan sama ada lelaki itu merupakan mangsa langgar lari atau mangsa jenayah, beliau berkata siasatan masih dijalankan. -- BERNAMA

myMetro | Mayat lelaki ditemui di pembahagi jalan:

'via Blog this'

Abang acu parang dipenjara sebulan

KOTA BHARU - Niat murni seorang abang menegur dengan mengacukan parang ke arah adiknya yang kerap pulang lewat malam membawa padah apabila Mahkamah majistret menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas tertuduh Mohd Noor Einadzlie Yahaya berusia 30 tahun didapati bersalah.Abang acu parang dipenjara sebulan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Banjir di Sabah, Sarawak dan Pahang semakin buruk

KUCHING 26 Dis. - Beberapa kampung di kawasan rendah di Samarahan di sini, dilanda banjir bermula malam tadi berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas yang diburukkan dengan fenomena air pasang besar.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi, berkata setakat pagi ini, dua kampung iaitu Kampung Asajaya Hulu dan Kampung Serpan Ulu terjejas dengan bencana itu.
"Menurut laporan daripada pihak Pejabat Daerah Samarahan terdapat kira-kira tujuh keluarga telahpun dipindahkan ke pusat penempatan banjir setakat ini,” katanya.
Beberapa jalan kampung di pinggir bandar raya ini juga dilaporkan telah dinaiki air, namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan, katanya.
Beliau juga menasihatkan penduduk agar berwaspada memandangkan keadaan hujan yang masih berterusan selain fenomena air pasang besar yang melanda pada sebelah petang.
Sementara itu di SANDAKAN, SABAH - Mangsa banjir di Kampung Gum Gum di sini yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 351 orang setakat 9 pagi ini berbanding 341 semalam.
Jurucakap Pusat Operasi Banjir Majlis Perbandaran Sandakan berkata 10 mangsa terbaru daripada dua keluarga itu dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran kediaman mereka berada di kawasan hulu sungai.
Hujan sekejap-sekejap serta kadang kala lebat masih berterusan dan pihak berkuasa bimbang paras air sungai meningkat tiba-tiba, katanya.
Semua mangsa banjir yang membabitkan 101 keluarga itu ditempatkan di Dewan Serba guna Gum Gum.
Manakala di PAHANG keadaan banjir di daerah Rompin semakin buruk dengan lebih 300 mangsa lagi dipindahkan malam tadi, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan meningkat kepada 946 orang setakat 9 pagi ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sebuah lagi pusat pemindahan dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima buah.
Kesemua mangsa adalah daripada 214 keluarga dari 13 buah kampung, katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Kampung Mentelong dan Kampung Denai yang terputus hubungan darat selepas jalannya dinaiki air tengah hari semalam, kini boleh dilalui semua kenderaan, katanya.
— BERNAMA
Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Penuntut rentung

penuntut rentung
KUALA LIPIS - Seorang penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan jurusan Perakaunan, rentung dengan 90 peratus tubuh badannya terbakar dalam satu kemalangan di sini kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa Hadino Zafan Jasman, 23, yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian di Kilometer 23 Jalan Lipis-Benta, kereta dipandu Hadino hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa dipercayai cuba mengawal kenderaan, tetapi gagal mengakibatkan kereta Saga BLM itu berpusing beberapa kali sebelum melanggar belakang sebuah kereta jenis Honda yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.

“Akibat pelanggaran itu, kereta Saga BLM mangsa terbakar dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

“Dalam pada itu, pemandu kereta jenis Honda, Mohd Zin Kasim berusaha mengeluarkan isterinya, Hamidah Kasur, 51, beserta dua cucu, Mohd Fahmi Dannial, 4, dan Mohd Farhan Darwiz, 10 bulan dari kereta yang mereka naiki,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Razak berkata, sejurus mereka berjaya keluar dari kereta berkenaan, kenderaan berkenaan turut terbakar.

“Walaupun pemandu dan penumpang kereta Honda berkenaan berjaya menyelamatkan diri, tetapi Mohd Farhan Darwiz, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya terpaksa menggunakan khidmat pakar forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri bagi mengenal pasti mayat Hadino Zafan berikutan semua identiti mangsa telah terbakar dalam kemala­ngan berkenaan.

“Pihak forensik berjaya menimbulkan nombor enjin dan casis kereta yang terbakar. Mengikut semakan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta berkenaan didaftarkan di atas nama Jasman Bagiman yang juga Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan bertugas di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

“Beliau sendiri telah sampai ke tempat kejadian bersama pegawai penyiasat bagi urusan mengecam mayat melalui jam tangan dan sedikit dokumen yang tidak terbakar serta telah menuntut jenazah,” katanya. Penuntut rentung - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Empat nelayan pukat tunda hanyut

Orang-ramai-melihat-bot-pukat-tunda-yang-terdampar-di-tepi-pantai-dekat-Kuala-Besut-selepas-dihanyut
BESUT - Empat nelayan pukat tunda nyaris maut apabila bot mereka dipukul ombak besar sebelum mereka dihanyutkan dalam kejadian petang kelmarin.

Keempat-empat mangsa warga Thailand itu adalah tekong bot dikenal sebagai Chuan, 39 dan tiga awak-awak Ichom, 42, Napayong, 29 dan Sakhom, 44, dilaporkan keluar ke laut dari Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut kira-kira jam 5.30 petang.

Bagaimanapun apabila tiba di satu batu nautika melepasi muara Kuala Besut, bot tersebut terlanggar benting pasir menyebabkan bot terbalik kemudian dipukul ombak besar kira-kira jam 5.45 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Nor berkata, akibat kejadian itu semua mangsa tercampak ke laut dalam keadaan laut bergelora.

Bagaimanapun kata Noor Zainy, masing-masing sempat berpaut kepada pelambung dan mereka kemudiannya dihanyutkan ke kawasan pantai Kampung Pengkalan Atap serta pantai sekitar Kuala Besut tidak jauh dari tempat kejadian.

“Semua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangan mereka diambil sebelum diserahkan kepada majikan,” katanya.

Noor Zainy berkata, bot nelayan tersebut milik sebuah syarikat yang berpejabat di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Sementara itu menurut pengurus syarikat, Mohd Tajuddin Salleh berkata, kejadiaan dipercayai kerana tekong telah terlanggar beting pasir di muara tersebut menyebabkan bot pecah lalu terbalik sebelum dipukul ombak.

Katanya, bot C 0 itu kemudiannya dihanyutkan ke tepi pantai Kampung Pantai Kuala Besut dengan mengalami kerosakan teruk apabila bahagian dinding bot pecah selain stereng tercabut dan kerugian dianggarkan RM350,000. Empat nelayan pukat tunda hanyut - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Orang Asli maut jatuh pokok petai

jenazah orang asli
PELANGAI – Niat seorang Orang Asli memetik petai untuk dijual tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di bawah pokok petai muda, dekat sini, awal pagi kelmarin

Ketua Polis Daerah Ben­tong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa, Jefri Icok, 36, ber­alamat di Kampung Rengai, Simpang Durian, Negeri Sembilan.

Menurutnya, mangsa dipercayai keluar untuk mencari dan memanjat pokok petai di sebuah kebun getah di Kampung Pomsun, dekat sini, sejak awal pagi.

“Ketika memanjat, mang­sa dipercayai terjatuh dari pokok petai muda itu akibat licin.

“Mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira jam 9.50 pagi sebelum melaporkannya kepada polis,” katanya.

Mohd Yusri berkata, ma­yat mangsa kemudiannya di­bawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Menurutnya, mangsa di­percayai mati akibat menga­lami kecederaan parah di bahagian belakang kepala.

“Susulan kejadian itu, saya menasihati orang awam su­paya berhati-hati ketika men­jalankan aktiviti mencari hasil hutan pada musim hujan,” katanya. Orang Asli maut jatuh pokok petai - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hasrat mandi laut terkubur

Hasrat mandi laut terkubur
REMBAU – Hajat seorang abang untuk mengajak adik-beradik dan keluarganya mandi laut di pantai Port Dickson, hari ini terkubur apabila dia terbabit dalam kemalangan maut di kilometer 26, Jalan Seremban-Tampin, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, mangsa, Ahmad Zukhruff Mohd Mahfuz, 18, yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tanah Datar, Chengkau dari tempat kerja, maut apabila motosikal dinaiki dirempuh kenderaan dari arah bertentangan.

Menurut ibu mangsa, Zahariah Shariff, 53, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum pergi bekerja lebih masa di salah sebuah kilang di Chem­bong pada malam sebelum kejadian.

“Kira-kira jam 10 malam, arwah seperti biasa bersalaman dengan mak cik untuk pergi bekerja. Sebelum itu, arwah sempat makan malam dan berbual mesra serta bergurau seperti biasa.

“Sebaik dapat tahu arwah terbabit dalam kemalangan, mak cik sangat terkejut dan bergegas ke tempat kejadian bersama seorang anak mak cik.

“Bila lihat keadaan seperti ini, mak cik terkenang kematian salah seorang anak mak cik yang turut terbabit dalam kemalangan beberapa tahun lepas,” katanya ketika ditemui di lokasi nahas, semalam.

Zahariah berkata, arwah berhajat mengajak dan membawa adik-beradiknya mandi laut hari ini dan dia tidak menyangka kejadian berkenaan berlaku dalam sekelip mata.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dari arah Tampin hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Menurutnya, mangsa disahkan mati di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Sehubungan itu, orang awam yang melihat kejadian berkenaan diharap dapat menghubungi polis bagi membantu siasatan di talian 06-6852222,” katanya. Hasrat mandi laut terkubur - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ditolak lelaki tak dikenali

Nurul-Hidayah-cedera-dimuka
GUA MUSANG - Seorang remaja wanita cedera muka apabila terjatuh motosikal yang ditungganginya selepas ditolak seorang lelaki tidak dikenali di Jalan Pulai lama, dekat sini, malam Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Nurul Hidayah Che Su, 18, menunggang seorang diri dalam perjalanan pulang membeli barang keperluan di sebuah kedai di Bandar Baru, Gua Musang.

Beliau yang tinggal di Kampung Simpang Empat Kundur dihampiri seorang lelaki tidak dikenali lalu menolak kepalanya sebelum terjatuh motosikal ditunggangi dan mukanya tersembam dalam selut.

Ketika ditemui di rumahnya, beliau berkata, sebaik berlaku kejadian itu, suspek juga menunggang motosikal seorang diri melarikan diri mengelakkan dikesan orang ramai yang memberi pertolongan.

“Saya tidak ada musuh dengan sesiapapun, tetapi hairan kenapa lelaki tersebut bertindak demikian hingga menyebabkan saya cedera muka selepas tersembam dalam selut di tepi jalan di situ.

“Kejadian tidak jauh dari rumah saya dan secara kebetulannya ada orang ramai melalui kawasan membantu saya menghantar balik ke rumah sebelum keluarga pula menghantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk mendapat rawatan,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, selepas itu pula beliau ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu, tetapi yang sukarnya kerana tidak mengenali lelaki terbabit.

Beliau berkata, suspek menolak kepalanya dengan kuat hingga gagal mengawal motosikal yang ditunggangi sebelum terbalik di bahu jalan berhampiran simpang masuk ke Taman Tropika.

“Saya langsung tidak sempat melihat lelaki terbabit yang datang dari arah belakang kerana berlaku dalam keadaan gelap dan cepat dia melarikan diri ke simpang empat berkenaan,” katanya.

Katanya, dia juga tidak tahu motif sebenar lelaki terbabit bertindak demikian hingga membawa kecederaan kepada mukanya dan mahu polis menyiasat perkara itu. Ditolak lelaki tak dikenali - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penduduk gempar temui mayat terapung

ketua-polis-daerah-tumpat
TUMPAT – Penduduk Kampung Laut gempar apabila menemui mayat seorang lelaki terapung tepi Sungai Kelantan berhampiran jeti Kampung Laut di sini, pagi semalam.

Mayat lelaki lingkungan 25–30-an itu ditemui kira-kira jam 7.15 pagi oleh penduduk kampung sebelum dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan pihaknya dimaklumkan penemuan mayat itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis, mayat berkenaan dipercayai berketurunan Melayu, namun tiada pengenalan diri ditemui.

“Mayat dihantar ke bilik Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

“Buat masa ini, polis masih menyiasat dan percaya kematian lelaki itu tiada kaitan dengan jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan mayat itu lelaki kurang siuman yang kelihatan merayau di sekitar Kampung Laut beberapa hari sebelum ini.

“Dua tiga hari lepas penduduk kampung ada ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali merayau di sekitar Kampung Laut.

“Lelaki tersebut ada singgah di kedai kopi di Kampung Laut ini, dan hasil perbualan dengan penduduk kampung dimaklumkan dia berasal dari Ketereh, Kota Bharu, tetapi cara percakapannya didapati seperti kurang siuman,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejapat Polis Daerah Tumpat 09-7257222 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. Penduduk gempar temui mayat terapung - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ribuan lalat serang kampung

reban-lalat
TUMPAT – Angkara ternakan ayam yang beroperasi berhampiran kediaman penduduk, Kampung Cherang, Chabang Empat di sini ‘diserang’ lalat sehingga mengganggu rutin harian penduduk.

Semua tempat dihurung lalat sehingga menimbulkan rasa loya akibat serangan ribuan lalat tersebut saban hari.

Seorang penduduk, Ibrahim Yusof, 68, berkata, masalah lalat ini sudah berlarutan hampir lapan tahun, namun sejak akhir–akhir ini, serangan lalat tersebut semakin menjadi–jadi.

“Lalat luar biasa banyaknya sehinggakan waktu makan pun terpaksa makan di dalam kelabu.

“Bukan sahaja tidak selera disebabkan lalat menghurung makanan tetapi belum sempat lagi mencedok kuah, lalat sudah ‘terjun’ ke dalam kuah makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ibrahim berkata, dia bukan sahaja berhadapan dengan serangan lalat tetapi terpaksa menahan busuk tahi ayam sehinggakan dikhuatiri akan menjejaskan kesihatannya.
“Saya sudah lali dengan bau tahi ayam ini, tetapi jika didatangi tetamu, saya malu kerana rumah berbau busuk dan diharungi lalat di segenap sudut rumah.

“Anak menantu pun sekarang ini jarang balik kerana nak makan susah, nak memasak pun susah, semua benda dihurung lalat.
“Sampai bila kami di sini kena makan nasi di dalam kelambu, atau pun sebelah tangan suap nasi sebelah tangan lagi kibas lalat,” katanya yang memaklumkan reban ayam itu jaraknya hanya 10 meter dari rumahnya.

Dakwa Ibrahim, kawasan ternakan ayam itu becak serta berulat dan ketika musim hujan ini makin teruk busuknya.
Bau busuk dan serangan lalat itu semakin teruk sekiranya ayam baru dimasukkan ke dalam reban.

Isteri Ibrahim, Che Yah Daud, 67, berkata, masalah serangan lalat yang luar biasa sering mengganggu tugas hariannya di dapur.
“Kalau nak perah kelapa, sebelah tangan perah kelapa dan sebelah tangan lagi kibas lalat.

“Belum sempat gulai mendidih, lalat sudah penuh masuk ke dalam periuk, pendek kata semua benda dihurung lalat,” katanya.

Menurutnya, apabila lalat hinggap makanan, dalam masa sekejap sahaja makanan itu dipenuhi telur lalat dan keadaan ini boleh menjejaskan kesihatannya bersama suami kerana makan makanan tercemar saban hari.

Katanya, waktu tidur pula perlu tidur di dalam kelambu bukannya mengelakkan diserang nyamuk tetapi lari dari diserang lalat.

“Di badan pun lalat hurung, dan jika masalah ini berterusan memang kami jatuh sakit nanti,” katanya.
Ribuan lalat serang kampung - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

38 Pendatang Haiti Mati Dalam Kemalangan Kapal Di Perairan Cuba

HAVANA: Sekurang-kurangnya 38 pendatang Haiti mati selepas bot yang mereka naiki ketika cuba melarikan diri dan negara mereka mula ditenggalami air dan terkandas di laut, menurut kenyataan kerajaan Cuba.
Penemuan mengerikan itu berlaku pada Sabtu apabila Pengawal Pantai Cuba mendapati bot yang separuh tenggelam kira-kira 100 meter (110 ela) dari Point Maisi di pantai timur pulau pemerintahan komunis itu.
Satu kenyataan daripada agensi Pertahanan Awam Cuba yang dibaca di televisyen negeri berkata mereka yang mati termasuklah 21 lelaki dan 17 wanita.
Manakala 87 orang lagi, termasuk empat kanak-kanak dan tujuh wanita, telah diselamatkan dan dipindahkan ke kem pendatang antarabangsa di Point Maisi, di mana mereka telah diberi bantuan, kata kenyataan itu.
Agensi Pertahanan Awam tidak mengulas lanjut punca kapal karam. Tetapi bot-bot berkarat, usang dan penuh sesak dengan pendatang Haiti sering ditemui di Laut Caribbean.
Pegawai Cuba berkata Pengawal Pantai dan Palang Merah terus mencari mangsa-mangsa.
mStar Online : 38 Pendatang Haiti Mati Dalam Kemalangan Kapal Di Perairan Cuba:

'via Blog this'

Kepulangan Askar AS Disambut Dengan Tembakan

CALIFORNIA: Seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang terselamat dalam pengeboman bunuh diri semasa berkhidmat di Afghanistan berada dalam keadaan kritikal, Sabtu selepas ditembak ketika pulang ke tempatnya.
Ahli-ahli keluarga memberitahu akhbar San Bernardino Sun akhbar bahawa Christopher Sullivan yang berusia 22 tahun telah ditembak pada malam Jumaat ketika rakan-rakan mengadakan parti meraikan kepulangannya.
"Anak saya tidak sepatutnya jadi begini. Beliau telah berkhidmat untuk negaranya," kata ibunya, Suzanne Sullivan, memberitahu akhbar itu.
Beliau berkata anak lelakinya telah ditembak dua kali di bahagian belakang, yang menyebabkan tulang belakangnya hancur dan dia lumpuh.
Pihak polis berkata berlaku pertengkaran melibatkan abang Sullivan dan rakan-rakannya di parti tersebut.
Apabila Sullivan cuba meleraikan pertengkaran, seorang lelaki mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan pada Sullivan.
Lelaki bersenjata itu sempat melarikan diri dari tempat kejadian sebelum polis tiba.
Sullivan pernah cedera dalam serangan pengeboman bunuh diri tahun lepas di Kandahar semasa berkhidmat dengan Angkatan Tentera.
Beliau mengalami kerosakan otak dalam serangan itu dan telah pulih ketika ditempatkan di Kentucky. - AP
mStar Online : Kepulangan Askar AS Disambut Dengan Tembakan:

'via Blog this'

Bot karam: 4 nelayan Thai selamat

BESUT 25 Dis. - Empat nelayan Thailand terselamat dalam kejadian bot karam berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut dekat sini semalam.
Kesemua mangsa dikenali sebagai Chuan, 39, (tekong) dan tiga awak-awak iaitu Ichom, 42, Napayong, 29, dan Sakhom, 44. Mereka tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam kejadian itu, kesemua mereka terpaksa berenang sejauh dua kilometer untuk ke muara Sungai Besut sejurus bot pukat tunda yang dinaiki karam dipukul ombak besar.
Detik cemas itu berlaku kira-kira 25 minit selepas kesemua mangsa meninggalkan jeti LKIM pukul 5.20 petang untuk ke laut.
Difahamkan, bot milik syarikat tempatan yang berpangkalan di Tumpat, Kelantan itu singgah sekejap di jeti berkenaan untuk mengisi minyak sebelum karam ketika air pasang setinggi kira-kira tiga meter.
Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, dia terkejut apabila melihat empat lelaki dalam keadaan lemah berada di muara Sungai Besut.
"Mereka adalah nelayan warga Thailand dan mengaku bot yang mereka naiki telah karam menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke laut sebelum berenang ke muara untuk menyelamatkan diri," katanya di sini.
Kejadian itu juga turut mengejutkan beberapa nelayan tempatan di Kampung Pengkalan Atap dekat sini sebaik sahaja menemui sebuah bot pukat tunda yang rosak teruk dalam keadaan terdampar di pesisir pantai kampung mereka.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Noor Zaini Mohd. Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

618 mangsa banjir Rompin dipindahkan

ROMPIN 25 Dis. - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah ini meningkat kepada 618 orang berbanding 474 mangsa semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang berkata, kesemua mangsa yang terdiri daripada 141 keluarga itu ditempatkan di empat buah pusat pemindahan berikutan rumah mereka dinaiki air semalam.
"Pusat pemindahan Dewan Teluk Gading paling ramai mangsa iaitu seramai 247 orang yang melibatkan 59 keluarga, diikuti oleh Sekolah Kebangsaan Pianggu seramai 231 mangsa, Pusat Ekonomi Bukit Serok (119) dan Balai Raya Kampung Rekoh (21)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, kesemua mangsa banjir adalah dari Kampung Kurnia, Kampung Seringki, Kampung Mentera, Kampung Pianggu, Kampung Setajam, Desa Wawasan, Kampung Rekoh dan Kampung Bukit Serok.
Beliau berkata, empat batang sungai di daerah ini mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Keratong 23.9 meter (m), Sungai Pukin (44.2m), Sungai Setajam (3.1m) dan Sungai Aur (17.2m).
Ujarnya, dua buah kampung iaitu Kampung Mentelong dan Kampung Denai terputus hubungan selepas jalan ke dua-dua kampung itu dinaiki air.
''Setakat petang ini, tiada kejadian banjir dilaporkan di daerah lain di negeri ini kecuali Rompin. Pusat pemindahan di Maran yang dibuka kelmarin juga telah ditutup semalam," kata beliau.
Sementara itu, laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan Jalan Kampung Pelam di Bukit Ibam di sini turut ditutup kepada kenderaan ringan kerana telah dinaiki air.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Penuntut UiTM, bayi maut


KERETA Saga BLM dipandu Hadino Zafan Jasman dan kereta Honda dipandu Mohd. Zin Kasim yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 25 Dis. – Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan rentung setelah kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta di sini awal pagi ini.
Hadino Zafan Jasman, 23, penuntut tahun akhir jurusan Perakaunan yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM ketika itu dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 pagi.
Nahas pukul 5 pagi itu turut meragut nyawa seorang bayi berusia 10 bulan, Mohd. Farhan Darwiz yang menaiki kereta jenis Honda dipandu datuknya.
Menurut Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Razak Hassan, kereta yang dipandu Hadino Zafan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, kenderaan mangsa dipercayai berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan kereta Honda dari arah bertentangan yang dipandu oleh Mohd. Zin Kasim, 50-an.
“Berikutan pelanggaran itu, kereta Hadino Zafan terbakar dan mangsa tidak sempat keluar menyelamatkan diri.
“Pemandu kereta Honda terlibat pula sempat mengeluarkan isterinya, Hamidah Kasur, 51, dan dua cucunya, Mohd. Fahmi Dannial, 4, dan Mohd. Farhan, namun bayi itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, sejurus Mohd. Zin menarik keluar ahli keluarganya dari kereta, kenderaan itu turut terbakar.
Menurut beliau, polis terpaksa menggunakan khidmat pakar Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk mengesan identiti mayat Hadino Zafan berikutan semua identiti mangsa musnah terbakar.
“Pihak Forensik akhirnya mengesan kereta Proton Saga itu milik bapa pelajar tersebut iaitu Jasman Bagiman, seorang pegawai tentera berpangkat leftenan kolonel dan bertugas di Kuala Lumpur.
“Beliau sendiri datang ke tempat kejadian untuk membantu mengecam mayat anaknya,” katanya.
Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Budak tersepit kaki di longkang

JERANTUT 25 Dis. - Seorang kanak-kanak melalui detik cemas hampir 20 minit apabila kakinya tersepit pada jeriji besi penutup longkang berdekatan sebuah restoran makanan segera di Jalan Tahan di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari Khamis lalu, mangsa, Hadif Hazin Azli, 6, baru selesai menjamu selera di sebuah restoran makanan segera bersama ibu bapanya, Norazila Sulaiman, 37, dan Azli Ahmad, 38, serta dua adiknya.
Azli berkata, mereka tidak sedar terdapat lubang pada jeriji besi itu dan terkejut apabila anaknya tiba-tiba jatuh kerana kaki terjerlus ke dalam lubang berkenaan.
"Kami cuba mengeluarkan kakinya, namun gagal dan Hadif menangis kesakitan. Saya memanggil orang ramai untuk membantu mengeluarkan kaki anak saya namun usaha kami turut gagal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, orang ramai yang berada di kawasan kejadian kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
"Saya dan isteri cuba menenangkan Hadif dan kira-kira 10 minit selepas itu, beberapa orang anggota bomba tiba di tempat kejadian untuk mengeluarkan kaki anak saya dengan memotong jeriji besi itu," ujarnya.
Menurutnya, Hadif kemudian dihantar ke klinik berdekatan untuk rawatan.
"Saya bersyukur kerana dia selamat dan berharap pihak bertanggungjawab memantau keadaan penutup longkang di sekitar bandar ini agar perkara sama tidak berlaku kepada orang lain," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Lebih 22 dikhuaitiri lemas bot penumpang terbalik

NEW DELHI 26 Dis. - Lebih 22 penumpang dikhuatiri mati selepas bot persiaran yang mereka naiki, terbalik di sebuah tasik di wilayah Tamil Nadu, selatan India, semalam, lapor media tempatan.
Menurut agensi berita The Press Trust of India, bot tersebut yang sarat dengan 25 penumpang itu sedang berlayar di sekitar tasik kira-kira 60 kilometer dari ibu negara, Chennai sebelum ia terbalik.
Tambahnya, pasukan polis berjaya menyelamatkan tiga penumpang dan menemui 12 mayat manakala 10 lagi dilaporkan masih hilang. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Kereta curi terbabas, pencuri ditahan

BESUT 25 Dis. - Seorang wanita sempat melarikan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dicurinya sejauh 100 kilometer sebelum kenderaan itu terbabas ketika dikejar polis, di Kampung Pengkalan Kubu di sini hari ini.
Suspek sebelum itu dikatakan mencuri kenderaan tersebut di Kuala Terengganu sebelum dia diberkas oleh polis yang mengejarnya setelah mendapat maklumat mengenai kehilangan kereta berkenaan.
Sepasukan anggota dari Balai Polis Beting Lintang berjaya mengesan kenderaan tersebut dan mengejarnya sejauh tiga kilometer sebelum kereta itu terbabas di laluan selekoh.
Difahamkan, selepas terbabas, wanita itu sempat melarikan diri ke sebuah kampung dan cuba meminjam telefon daripada penduduk untuk menghubungi rakannya namun dia berjaya ditahan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Zainy Mohd. Nor ketika dihubungi hari ini berkata, suspek ditahan polis kira-kira pukul 3 petang.
"Kita mengesan suspek beberapa kilometer dari tempat kejadian selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di bahu jalan.
"Wanita itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zambri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kereta tersebut dicuri berdekatan Jabatan Perangkaan berhampiran Jalan Pasir Panjang.
Katanya, kenderaan berkenaan dipercayai telah dicuri kira-kira pukul 8.50 pagi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Suami isteri ditahan bawa anak edar dadah

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kelicikan sepasang suami isteri menggunakan tiga anak mereka yang masih kecil untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah terbongkar apabila mereka ditahan di Kawasan Perindustrian Ria, Jalan Semenyih di Kajang dekat sini baru-baru ini.
Difahamkan, lima sekeluarga itu ditahan kira-kira pukul 6 petang Selasa lalu bersama lapan peket syabu seberat 278 gram bernilai hampir RM100,000 yang sedia untuk diedarkan.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an bersama isterinya membawa anak mereka masing-masing berusia setahun, empat dan lima tahun ketika menjalankan kegiatan mereka.
"Lelaki terbabit merupakan penduduk tempatan yang berasal dari Kajang manakala isterinya pula berasal dari negara jiran dan mereka aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah ini.
"Polis percaya, modus operandi mereka membawa anak-anak ketika menunggu pelanggan untuk mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, tangkapan dilakukan hasil aduan orang ramai yang curiga dengan kegiatan suami isteri tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan penangkapan kedua-dua suspek, namun enggan mengulas lanjut.
Pasangan tersebut kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'