Search This Blog

Tuesday, December 20, 2011

Pemuda sakit mental hilang masa bantu ibu bapa

SUNGAI PETANI – Seorang pemuda yang menghidap sakit mental dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu semasa menolong bapanya berniaga di hadapan sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Mohd Zulfahmee Abd Hamid, 25, dipercayai hilang bersama kereta Proton Saga berwarna putih milik bapanya pada pukul 4 petang Sabtu lalu.

Bapanya ketika itu dikatakan meninggalkan gerai tersebut untuk ke tandas.

Abangnya Mohd Faizal tidak menolak kemungkinan adiknya yang tidak memiliki lesen memandu telah memandu kereta tersebut untuk pulang ke Sungai Petani tetapi dikhuatiri telah sesat jalan.

"Berdasarkan apa yang ayah saya cerita, pada pagi hari kejadian Zulfahmee ada bertanyakan ayah saya sama ada kereta itu boleh sampai (dipandu) hingga ke Sungai Petani.

"Namun ayah saya tidak mengesyaki apa-apa dengan pertanyaan itu,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Faizal berkata bapanya telah membuat laporan polis berhubung kehilangan Mohd Zulfahmee di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Katanya kali ini sudah dua kali adiknya hilang dengan kes pertama berlaku tiga bulan lalu apabila dia memandu berseorangan hingga ke Bukit Selambau dekat sini.

Beliau berkata adiknya perlu kerap mengambil ubat dan jika tidak berbuat demikian, dia akan hilang ingatan dan tidak boleh berfikir dengan waras.

Mohd Faizal berkata adiknya berkeadaan begitu dipercayai ekoran mengalami tekanan perasaan ketika sedang membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2003.

Beliau merayu kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang adiknya supaya menghubunginya di talian 012-5871677 atau bapanya Abd Hamid Lah di talian 019-3788081. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

Polis tumpas sindiket dadah, seorang lelaki ditahan


20/12/2011 2:29pm

IPOH – Polis menumpas sindiket dadah di bandar raya ini setelah menahan seorang lelaki dan merampas syabu bernilai kira-kira RM500,000 baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dadah seberat 3.64 kilogram itu dirampas di sebuah rumah di kawasa perkampungan baru Ampang Baru Khamis lalu.

Yang turut dirampas ialah wang tunai sebanyak RM110,000, sebuah kereta, jam tangan berjenama, wang tunai bernilai RM95,000 di dalam akaun bank yang telah dibekukan oleh pihak polis. Keseluruhan nilai rampasan itu berjumlah RM237,000.

"Ibu suspek yang berumur 73 tahun yang turut berada di dalam rumah itu semasa serbuan dilakukan turut ditahan tetapi kemudiannya dibebaskan.

"Suspek dan ibunya tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” kata Mohd Shukri kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu yang menjadikan bandar raya ini tempat pembungkusan semula dadah.

"Ia bukan untuk pasaran di sini. Syabu dipercayai di bawa masuk dari luar dan dibungkus semula di Ipoh ke dalam paket yang lebih kecil sebelum dihantar semula ke Kuala Lumpur untuk diedar dan dijual di tempat lain,” katanya.

Suspek direman sehingga Khamis ini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sejauh mana suspek terlibat di dalam kegiatan pengedaran dadah serta bagi mengenal pasti sindiket yang lain,” katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

Lacur wanita Indonesia: Pengurus spa didakwa

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus spa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warganegara Indonesia dengan memaksa mereka bekerja sebagai pelacur, dua minggu lepas.

Phang Chee Kung, 56, dari Cheras didakwa memperdagangkan Sonia, 24, dan Endang Sekerayu, 22, bagi tujuan eksploitasi di hadapan bilik No 210, Hotel Golden Asean di No 520-522 Jalan Pudu, Dang Wangi di sini pada 7.05 petang, 7 Disember lepas.

Tertuduh yang ditangkap pada hari yang sama, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh didenda, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Chee Kung yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta memerlukan rawatan lanjut.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.

Rakan lelaki Chee Kung membayar wang jaminan itu. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

SPRM tahan 5 pegawai penguatkuasa di Kedah

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menahan lima pegawai penguatkuasa beberapa agensi kerajaan di Kedah bagi membantu siasatan kes penyelewengan minyak bersubsidi.

Penolong Pesuruhjaya SPRM Putrajaya, Mustafa Kamal, berkata semua mereka yang berusia 32 hingga 54 tahun ditahan di lokasi berasingan dalam satu operasi khas di negeri ini hari ini.
"Mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan menerima rasuah iaitu tidak mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang menjual minyak secara haram.
"Operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ini juga mengesan sebuah premis di Pulau Pinang yang menyimpan minyak tanpa lesen yang sah," katanya pada sidang media di pejabat SPRM Kedah di sini hari ini.

Mustafa berkata, SPRM mendapati pemilik premis tidak menyediakan buku stok seperti yang disyaratkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengesan 21,000 liter minyak diesel dan 80,000 liter diesel di premis berkenaan.

"Dipercayai perkara ini berlaku kerana kurangnya kawalan daripada agensi-agensi terbabit dan operasi hari ini adalah hasil intipan kita selama empat bulan," katanya.

Mustafa berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah. - BERNAMA
Berita Harian Online | SPRM tahan 5 pegawai penguatkuasa di Kedah:

Dua warga Brunei maut dalam nahas jalan raya



TUARAN: Dua penumpang bas ekspres warga Brunei, seorang lelaki dan seorang wanita, maut dalam kemalangan jalan raya dekat sini petang ini, menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharuddin Rasip.

Beliau berkata mangsa lelaki itu berusia 50 tahun dan seorang wanita itu berumur dalam lingkungan 50-an, maut akibat terhimpit dalam kemalangan itu yang berlaku pada kira-kira 3.05 petang.
Kemalangan itu berlaku apabila pemandu bas yang dinaiki itu, dipercayai hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam lalu melanggari sebatang pokok besar di KM8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan.
Bas ekspres itu yang membawa 40 warga Brunei yang kini sedang melancong Ke Sabah sejak Jumaat lepas sehingga esok, dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Setakat ini seramai 11 orang cedera akibat kemalangan itu dan mereka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk menerima rawatan.

Nama mangsa yang maut belum diketahui dan 21 orang penumpang lain termasuk pemandu bas itu tidak mendapat sebarang kecederaan. - BERNAMA
Berita Harian Online | Dua warga Brunei maut dalam nahas jalan raya:

Warga Singapura terkandas di Endau-Rompin diselamatkan

SINGAPURA 20 Dis. – Kementerian Luar (MFA) Singapura mengesahkan bahawa sekumpulan 21 warga negara itu yang terkandas di Taman Negara Endau-Rompin di Johor selepas banjir menghalang laluan ke lokasi mereka, telah berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Malaysia dengan helikopter pada tengah hari ini.

Dalam satu kenyataan menjawab pertanyaan media, MFA berkata, semua warga Singapura berada dalam keadaan sihat dan kini dalam perjalanan pulang ke Singapura.

Jurucakap MFA berkata, pegawai-pegawai dari pejabat Konsul Singapura di Johor Baharu berada di Mersing dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dalam usaha menyelamatkan warga Singapura itu.

"Konsul Jeneral Singapura di Johor Baharu menyatakan penghargaannya kepada pihak berkuasa Malaysia kerana berusaha membantu warga Singapura yang terjejas akibat insiden itu,” kata jurucakap itu. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Terkini:

2 beradik mengaku salah

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar yang baru selesai mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan abangnya berusia 21 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menyimpan sebuah kereta Proton Wira milik seorang jururawat yang dilaporkan hilang.

Tertuduh, juvana berusia 17 tahun dan abangnya, Mohd Firdaus Azmi, 21, berasal dari Jertih, Besut mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki barang curi.


Mengikut pertuduhan, dua beradik itu bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa dengan curangnya menyimpan barang curi iaitu kereta Proton Wira milik Rosilawati Daud, 35, di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut jam 7.30 malam, 4 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Sebaik pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, Noradila membenarkan pelajar berkenaan dilepaskan dengan jaminan RM2,000 sementara menunggu 29 Januari depan untuk penghakiman kes selepas mendapatkan laporan akhlak tertuduh yang masih di bawah umur.


Beliau juga menetapkan tarikh sama menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Firdaus yang tidak boleh diikat jamin kerana berdepan tuduhan lain.

Dalam pertuduhan berasingan di mahkamah sama juga, Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah melupuskan harta curi iaitu sebuah kereta Proton Wira milik seorang buruh, Mohd Ismail Ali, 39.


Tertuduh mengaku bersalah mengikut pertuduhan pilihan, Seksyen 414 KK iaitu melupuskan sebuah kereta Proton Wira berkenaan yang berharga RM10,000.

Kereta itu dikatakan hilang di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, antara jam 2 petang hingga 7 malam pada 28 Disember tahun lalu.


Noradila menjatuhkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap apabila kedua-dua beradik itu ditahan ketika meleraikan komponen kereta dicuri di belakang sebuah rumah di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 4 Disember lalu.


Akhbar semalam melaporkan, seorang bapa dipercayai merekrut dua anak lelaki bagi mengikut jejaknya menjalankan aktiviti mencuri dan menjual kenderaan secara berkumpulan meskipun seorang daripada anaknya masih di bawah umur dan baru selesai menduduki SPM.

myMetro | 2 beradik mengaku salah:

Penganggur Dipenjara 20 Bulan, Mengaku Salah Menyamun

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita dalam lif tahun lepas.

Hakim Azwarnida Affandi memerintahkan Benyamin Johan, 30, menjalani hukuman penjara mulai 24 Sept lepas, iaitu tarikh wang jaminan tertuduh ditarik balik oleh penjaminnya.

Benyamin didakwa menyamun beg tangan seorang kerani, Hoo Lai Khuan, 36, yang berisi wang tunai RM150, kad pengenalan mangsa dan anaknya, lesen memandu, buku simpanan bank dan sebuah telefon bimbit, dengan nilai kerugian kira-kira RM3,500, di dalam lif Blok 13 Apartment Bustan, Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini pada 8.45 pagi, 15 Jan 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau disebat.

Terdahulu, Benyamin yang tidak diwakili peguam, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya dengan alasan isterinya sedang mengandung dan mempunyai dua orang anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohd Aman. - BERNAMA

mStar Online : Penganggur Dipenjara 20 Bulan, Mengaku Salah Menyamun:

Lebih 650 Mati, 900 Hilang Akibat Ribut Dahsyat Di Filipina

ILIGAN: Lebih 650 orang di Filipina akibat banjir besar yang melanda di selatan negara itu ekoran ribut tropika Washi pada Sabtu.

Palang Merah Filipina berkata, ribut dahsyat itu menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 652 orang manakala lebih 900 orang lagi hilang.

Ketika kejadian, kebanyakan mangsa sedang tidur dan banjir itu menghanyutkan mereka sama sekali sekali gus melihat sebagai musim ribut paling teruk di bandar Cagayan de Oro dan berhampiran Iligan.

"Kebanyakan mereka yang mati adalah kanak-kanak dan wanita," kata Ketua Setiausaha Palang Merah, Gwendolyn Pang.

Beribu-ribu anggota tentera serta ratusan polis tempatan, pengawal pantai dan sukarelawan awam digerakkan dalam usaha menyelamat mangsa.

Bagaimanapun usaha mereka terjejas berikutan jalan raya ditenggelami air dan kekurangan sumber elektrik.

Penyelamat yang menggunakan bot bergegas ke luar persisir pantai bagi menyelamatkan mereka yang telah dihanyutkan ke laut. - AP

mStar Online : Lebih 650 Mati, 900 Hilang Akibat Ribut Dahsyat Di Filipina:

Bas bawa 40 pelancong Brunei nahas di Tuaran


KEADAAN bas pelancong dari Brunei yang hilang kawalan dan terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan, Tamparuli. Foto: Johary Indan (20/12/2011)
TUARAN: Sebuah bas sewa khas membawa kira-kira 40 pelancong dari Brunei dilaporkan melanggar pokok di Kilometer 12 Jalan Tamparuli-Ranau di sini, kira-kira jam 3 petang ini.

Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu sebelum dijadual ke Brunei esok.
Setakat jam 3.30 petang ini, keadaan mangsa belum dapat dipastikan.
Berita Harian Online | Bas bawa 40 pelancong Brunei nahas di Tuaran:

Bot karam: 8 nelayan Vietnam diselamatkan

PASIR PUTEH: Tujuh nelayan warga Vietnam diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APM) manakala seorang lagi oleh Pasukan Gerakan Marin selepas bot mereka karam dipukul ombak di muara Tok Bali.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tok Bali, Komander Zainin Abdul Majid, berkata kejadian itu berlaku sejurus selepas bot mereka cuba memasuki muara tersebut untuk mendaratkan ikan di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada jam 10 pagi.
"Ia berlaku 150 kilometer dari muara Tok Bali," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat APMM di sini hari ini.
Semua mangsa yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Jeti Operasi APMM untuk diambil keterangan.

Zainin berkata ketika kejadian, bot mereka tidak dapat dikawal akibat dipukul ombar besar di Laut China Selatan dan taksiran kerugian dianggarkan kira-kira RM700,000. - BERNAMA
Berita Harian Online | Bot karam: 8 nelayan Vietnam diselamatkan:

Pengawal Keselamatan Ditemui Mati

SEREMBAN: Seorang pengawal keselamatan ditemui mati di tepi jalan di Kilometer 2.5, Jalan Jelebu di sini awal Isnin.

Jurucakap polis berkata Saari Mohd Ali, 62, dipercayai terbabas ketika menunggang motosikalnya ketika balik dari tempat kerja untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan sakit asma.

Katanya mayat mangsa ditemui oleh orang ramai pada kira-kira pukul 7 pagi terbaring di tepi jalan, kira-kira 100 meter dari tempat kerjanya.

Mangsa dari Rumah Rakyat Chembong, Rembau bekerja di sebuah kilang membuat hos getah di Jalan Jelebu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat. - BERNAMA

mStar Online : Pengawal Keselamatan Ditemui Mati:

Tiga polis terbunuh, kenderaan musnah dalam letupan

GARISSA 20 Dis. - Sekurang-kurangnya tiga pegawai polis terbunuh serta kenderaan mereka musnah dalam satu letupan yang berlaku di kompleks pelarian Dadaab di Kenya berhampiran sempadan Somalia semalam, kata dua saksi.

“Saya melihat ketiga-tiga pegawai polis itu tercampak keluar dari kenderaan mereka ketika letupan itu berlaku,” kata Suado Ali, pemimpin masyarakat pelarian di kem Hagadera yang berada dalam kompleks itu.

Punca sebenar letupan itu tidak diketahui. - REUTER

Utusan Malaysia Online - Terkini:

Jumlah Mangsa Banjir Johor Meningkat Kepada Lebih 1,000 Orang


JOHOR BAHARU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lima daerah yang dilanda banjir di Johor meningkat kepada 1,011 orang setakat pukul 9 malam Isnin.

Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohamad Yusri Hashim berkata sebanyak 18 pusat pemindahan banjir telah dibuka iaitu 12 di Kluang, tiga di Segamat dan masing-masing satu di Kota Tinggi, Batu Pahat dan Johor Baharu.

Daerah Kluang mencatatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 754 orang daripada 193 keluarga dari Kampung Mengkibol, Kampung Muhibbah, Kampung Kolam Air, Kampung Berasau, Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kampung Punchor, Kampung Sri Cahaya, Kampung Contoh, Kampung Batu 4 Paloh, Kampung Melayu Mardi dan Perumahan Rakyat Yap Tau Sah, katanya.

Turut dipindahkan ialah 143 mangsa banjir dari Kampung Batu 10, Skudai di sini.

Di Segamat, sebanyak 81 mangsa banjir dari Kampung Usaha Jaya; Kampung Paya Dalam dan Kampung Spangloi di Segamat kini ditempatkan di Balai Islam Kampung Paya Dalam, Balai Raya Spangloi dan Balai Raya Kampung Usaha Jaya.

Seramai 18 mangsa banjir dari Kampung Parit Haji Kamisan, Yong Peng, Batu Pahat dan 15 mangsa banjir dari Kampung Sungai Berangan, Kota Tinggi ditempatkan di balai raya kampung masing-masing. - BERNAMA

mStar Online : Jumlah Mangsa Banjir Johor Meningkat Kepada Lebih 1,000 Orang:

'via Blog this'

Man Kidal nafi dakwaan



KUALA LUMPUR: “Sepanjang lebih 30 tahun terbabit dalam dunia seni saya tidak pernah menciplak karya orang lain,” kata gitaris otai, Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 48.
Beliau berkata demikian selepas dituduh ‘mencuri’ karya lagu ciptaan seorang lelaki lewat 30-an dan enggan memulangkannya.

Difahamkan, pencipta karya terbabit membuat laporan polis kelmarin selepas hampir tiga bulan karya diserahkan kepada Man Kidal tidak dipulangkan. Malah, pencipta lagu itu bersedia mengambil tindakan undang-undang kepada Man Kidal sekiranya menyalahguna lagu ciptaannya itu.
Karya berkenaan diserahkan pencipta lagu terbabit melalui seorang kenalannya yang juga penggiat seni untuk diberikan kepada Man Kidal bagi dinilai sebelum dikomersialkan awal September lalu.

Syak badan berubah

PETALING JAYA: Perlakuan sumbang seorang pelajar perempuan tingkatan lima dengan teman lelaki hingga mengandung terbongkar selepas bapa saudara yang menjaganya sejak kecil mendapati perubahan mendadak ke atas badan mangsa.

Mangsa anak yatim tinggal bersama bapa saudaranya di Flat Medan Indah, Kampung Medan, kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan didapati mengandung tujuh bulan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, mangsa menjalin hubungan dengan teman lelakinya berusia 23 tahun sejak Januari lalu dan sudah beberapa kali terlanjur.

Katanya, teman lelaki mangsa tidak mempunyai pekerjaan dan dipercayai sudah melarikan diri selepas mengetahui teman wanitanya itu membuat laporan polis.


“Mereka dikatakan melakukan perbuatan sumbang itu di rumah teman lelakinya ketika ibu lelaki itu tiada di rumah. Hubungan seks dilakukan beberapa kali hingga menyebabkan mangsa mengandung,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, perubahan mendadak ke atas fizikal menyebabkan bapa saudara mangsa mengajaknya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, mangsa kemudian disahkan mengandung tujuh bulan terus membuat laporan polis Sabtu lalu.


“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

myMetro | Syak badan berubah:

'via Blog this'

Kecurangan terbongkar

KUALA LUMPUR: Hancur luluh hati seorang suami apabila mendapat tahu isteri tersayang menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain dan sudah terlanjur dalam kejadian di Jalan Klang Lama, di sini.

Hubungan sulit wanita 30-an itu bermula pertengahan 2010 diketahui suaminya kelmarin melalui facebook isterinya itu sebelum cuba bertanya keadaan sebenar hingga mereka bertengkar.


Menurut sumber polis, lelaki berusia 40 tahun itu terkejut mendengar pengakuan isterinya yang sanggup menduakan dirinya dengan lelaki lain.

Katanya, suami berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Damansara, semalam.


“Suami terbabit tidak menyangka isterinya sanggup melakukan hubungan seks dengan lelaki lain lebih 10 kali, selain mengaku mencintai lelaki itu lebih daripada dirinya.


“Isterinya membuat pengakuan bahawa sanggup menunggu teman lelaki ‘gelapnya’ itu walaupun banyak rintangan dihadapi,” katanya di sini, semalam.

Selepas mendengar pengakuan isterinya, suaminya membuat laporan polis kerana mahu tindakan lanjut diambil ke atas lelaki itu.


Sumber berkata, wanita itu juga mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya di sebuah hotel terkemuka di ibu kota ketika suaminya tiada di rumah.

myMetro | Kecurangan terbongkar:

Anak berkhalwat, ibu subahat

KINARUT: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri melalui pintu belakang selepas memadu kasih bersama teman wanitanya gagal apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), yang menyerbu rumah ibu gadis berkenaan dalam operasi khas di Taman Limau Limauan, di sini, awal pagi semalam.

Malah, dalam serbuan jam 1 pagi itu, tindakan pasangan berusia 22 dan 21 tahun berkenaan seolah-olah mendapat ‘restu’ ibu gadis terbabit yang cuba menafikan kehadiran teman lelaki anak gadisnya selain memarahi anggota penguat kuasa.


Lebih mengejutkan, gadis itu dipercayai sudah bertunang tetapi sering membawa pulang ‘kekasih gelapnya’ untuk memadu kasih tanpa ditegah ibunya yang turut berada di rumah sama.

Terdahulu, berdasarkan maklumat, sepasukan penguat kuasa JHEAINS bergegas ke rumah berkenaan lalu mengetuk pintu beberapa kali dan dibuka seorang wanita berusia 41 tahun dengan berpakaian lengkap.


Sebaik memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa JHEAINS dan meminta izin melakukan pemeriksaan, wanita itu menegaskan hanya tinggal bersama anaknya.


Curiga dengan jawapan itu, penguat kuasa JHEAINS terus melakukan pemeriksaan, namun tidak menemui lelaki dimaksudkan.

Oleh kerana tidak menemui suspek, wanita berkenaan naik berang dan menegur JHEAINS kerana tetap mahu melakukan pemeriksaan.


Namun, secara tiba-tiba, seorang lelaki didapati cuba melarikan diri melalui pintu belakang, tetapi dicekup.

Penolong Ketua Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, selepas 10 minit berada di dalam rumah berkenaan, pihaknya melihat kelibat seorang lelaki cuba melarikan diri melalui pintu belakang.


“Ketika mahu beredar, dua anggota di belakang rumah menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri melalui pintu belakang.


“Ketika disoal, perempuan ini memaklumkan lelaki terbabit adalah anak angkatnya yang juga rakan anak perempuannya menumpang tidur di rumahnya,” katanya.


Khamis berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang pertalian dengan keluarga berkenaan lalu mereka dibawa ke Balai Polis Kinarut untuk membuat laporan.


“Hasil pemantauan kami selama lebih dua minggu mendapati lelaki ini sering mengunjungi rumah terbabit untuk bersama anak wanita berkenaan.


“Siasatan juga mendapati ibu gadis berkenaan adalah ibu tunggal,” katanya.


Khamis berkata, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah kerana berkhalwat, manakala ibunya bakal didakwa kerana bersubahat.

myMetro | Anak berkhalwat, ibu subahat:

'via Blog this'

Pencuri bodoh ditangkap

SEGAMAT: Seorang lelaki bukan setakat mencuri motosikal milik pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malah bertindak berani menuntutnya seminggu kemudian selepas ia disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada 16 November lalu, seorang lelaki berusia 20 tahun melarikan sebuah motosikal Yamaha 135 milik pegawai berkenaan di luar bangunan SPRM di Jalan Buloh Kasap, di sini, pada jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, suspek yang bekerja di sebuah kedai runcit berhampiran bangunan itu kemudian menunggang motosikal berkenaan untuk pulang ke kampungnya di Gua Musang, Kelantan, pada hari sama.

“Bagaimanapun, suspek ditahan di sekatan jalan raya JPJ di Stesen Timbang JPJ Paloh Hinai di Lebuhraya Kuantan, Pahang.


“Suspek gagal menunjukkan lesen memandu dan motosikal berkenaan disita.

Seminggu kemudian, suspek kembali ke stesen berkenaan untuk menuntut kembali motosikal itu,” katanya, semalam.

myMetro | Pencuri bodoh ditangkap:

'via Blog this'

‘Berilah saya peluang’

JOHOR BAHRU: “Demi meneruskan hidup, walaupun sudah berusia 50 tahun saya terpaksa menjaja tubuh sejak sembilan bulan lalu bagi mendapatkan antara RM5 dan RM10 sehari,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Kak Bi yang mendakwa terpaksa melacurkan diri untuk mencari rezeki selepas hilang tempat bergantung apabila suaminya yang berusia 35 tahun meninggal dunia pada Mac lalu.

Menurut Kak Bi, berikutan faktor usia kehadirannya di lorong gelap itu dianggap janggal di kalangan pelanggan menyebabkan dia terpaksa menunggu antara empat hingga lima jam setiap hari bagi mendapatkan seorang pelanggan.


“Memandangkan sebahagian besar wanita di sini masih muda kerana berusia kurang 40 tahun, ada lelaki berasa pelik dengan saya yang pada awalnya dianggap sebagai ibu ayam.

“Namun, saya terpaksa mengikis rasa malu, malah sentiasa memujuk lelaki berusia antara 20-an hingga 50-an untuk melanggan.


“Adakalanya saya terdesak dan terpaksa menceritakan kisah hidup sebelum mereka setuju melanggan dengan bayaran antara RM5 dan RM10. Ada yang simpati memberikan wang tambahan antara RM20 dan RM30,” katanya ketika ditemui di Jalan Wong Ah Fook di sini, semalam.


Kak Bi yang berasal dari Gelang Patah berkata, dia tidak pernah mendapat kasih sayang keluarga yang sempurna kerana dibesarkan keluarga angkat.

Menurutnya, pada usia 20-an, dia yang bekerja sebagai operator kilang terpengaruh dengan pujukan teman lelaki hingga terjebak dengan penagihan dadah, malah mendakwa pernah meringkuk dalam penjara dua kali dengan kali terakhir ketika berusia 32 tahun kerana memiliki dadah.


“Selepas keluar penjara pada usia 35 tahun, saya cuba berubah termasuk mencari pekerjaan, namun sia-sia kerana permohonan ditolak dengan alasan saya bekas banduan.

“Saya kembali menagih dadah dan akhirnya disahkan menghidap HIV positif ketika berusia 40 tahun. Ia berlaku kerana saya berkongsi jarum suntikan dengan penagih lain,” katanya.


Bagaimanapun, Kak Bi berkata, dia bersyukur kerana ketika berusia pertengahan 40-an, dia menerima bimbingan dan perlindungan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketika itulah berkenalan dengan arwah suami yang juga seorang sukarelawan.


“Arwah suami juga penghidap HIV positif, hubungan kami bertambah rapat dan mengambil keputusan berkahwin pada Oktober 2010.


“Saya dan suami kemudian berpindah ke rumah ibunya di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. Namun kebahagiaan kami hanya berkekalan lima bulan kerana suami meninggal dunia Mac lalu,” katanya.


Menurut Kak Bi, usahanya untuk kembali mendapatkan perlindungan dengan NGO terbabit gagal apabila permohonannya ditolak kerana tiada kekosongan di rumah perlindungan.


Katanya, dia merahsiakan penyakitnya bagi mendapatkan pekerjaan di beberapa restoran tetapi pengurusan restoran, enggan menerimanya dengan alasan mereka memberi keutamaan kepada pekerja Indonesia.


“Sejak sembilan bulan lalu, saya menyimpan impian untuk keluar daripada kehidupan ini kerana ia cukup menyeksakan. Setiap hari, saya berdoa kepada Allah supaya menunjukkan jalan yang benar dan memberi saya peluang,” katanya

myMetro | ‘Berilah saya peluang’:

'via Blog this'

Suami isteri dicekup curi barang pasar raya

KLANG: Sepasang suami isteri yang asyik memasukkan pelbagai barangan ke dalam kereta dipercayai dicuri dari pasar raya, di sini, dicekup pengawal keselamatan selepas curiga dengan tindak-tanduk cemas pasangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, kedua-dua suspek berusia 29 tahun ditahan di tempat letak kenderaan apabila gagal menunjukkan resit pembayaran.


Menurutnya, pengawal keselamatan pasar raya itu menahan suspek selepas 12 barangan pelbagai jenis termasuk seluar dalam, mesin pembersih hampagas, buku dan pen yang cuba dipindahkan suspek dari troli ke kereta mereka tidak mempunyai resit pembayaran.

“Suspek menyangka dapat meloloskan diri selepas dipercayai mencuri barangan yang dianggarkan bernilai lebih RM200 itu tetapi mereka ditangkap pengawal keselamatan yang bertugas,” katanya.


Mohamad Shukor berkata, siasatan mendapati pasangan suami isteri itu didapati tidak membayar barang yang diambil.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-duanya berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda atau boleh juga disebat untuk kesalahan kali kedua dan berikutnya.

myMetro | Suami isteri dicekup curi barang pasar raya:

Penyamun makan kucing mangsa

KUCHING: Sekumpulan penjenayah bukan saja melarikan motosikal dan beberapa barang berharga milik seorang warga Indonesia, malah memanggang dan makan kucing peliharaan mangsa dalam kejadian pecah rumah di Muara Tebas di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 4 pagi, ketika lelaki berusia 43 tahun itu tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki bertopeng yang memecah masuk rumah itu.


Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai penjaga kolam udang itu diikat suspek sebelum menggeledah seluruh rumahnya bagi mencari barangan berharga.

“Mangsa dikatakan tinggal berseorangan di rumah berkenaan, manakala majikannya tiada di rumah dipercayai mempunyai urusan di luar kawasan.


“Suspek yang dikatakan tidak berpuas hati dengan hasil kegiatan jenayahnya ke atas mangsa, tidak beredar dari rumah berkenaan kerana menunggu majikan mangsa kembali dengan harapan memperoleh barang lebih berharga,” katanya.


Sumber itu berkata, sementara menunggu majikan mangsa pulang ke rumah, suspek menyembelih kucing peliharaan mangsa sebelum memanggang binatang itu di luar rumah.

“Selepas ‘berseronok’ menikmati kucing panggang, semua suspek dikatakan sempat melelapkan mata kerana kekenyangan dan kesempatan itu digunakan mangsa memboloskan diri dengan meleraikan ikatan.


“Mangsa keluar dari rumah dan meminta tolong daripada penduduk berhampiran,” katanya.

Katanya, seorang penduduk membantu mangsa menghubungi polis, namun suspek melarikan diri bersama motosikal mangsa ketika polis tiba.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kok Keong berkata, polis menerima laporan daripada mangsa dan menjejaki empat lelaki berkenaan.


Katanya, orang ramai yang terserempak dengan individu mencurigakan di sekitar kawasan berkenaan sebelum kejadian diminta menghubungi polis bagi siasatan.

myMetro | Penyamun makan kucing mangsa:

2 beradik mengaku salah

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar yang baru selesai mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan abangnya berusia 21 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menyimpan sebuah kereta Proton Wira milik seorang jururawat yang dilaporkan hilang.

Tertuduh, juvana berusia 17 tahun dan abangnya, Mohd Firdaus Azmi, 21, berasal dari Jertih, Besut mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki barang curi.


Mengikut pertuduhan, dua beradik itu bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa dengan curangnya menyimpan barang curi iaitu kereta Proton Wira milik Rosilawati Daud, 35, di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut jam 7.30 malam, 4 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Sebaik pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, Noradila membenarkan pelajar berkenaan dilepaskan dengan jaminan RM2,000 sementara menunggu 29 Januari depan untuk penghakiman kes selepas mendapatkan laporan akhlak tertuduh yang masih di bawah umur.


Beliau juga menetapkan tarikh sama menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Firdaus yang tidak boleh diikat jamin kerana berdepan tuduhan lain.


Dalam pertuduhan berasingan di mahkamah sama juga, Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah melupuskan harta curi iaitu sebuah kereta Proton Wira milik seorang buruh, Mohd Ismail Ali, 39.


Tertuduh mengaku bersalah mengikut pertuduhan pilihan, Seksyen 414 KK iaitu melupuskan sebuah kereta Proton Wira berkenaan yang berharga RM10,000.


Kereta itu dikatakan hilang di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, antara jam 2 petang hingga 7 malam pada 28 Disember tahun lalu.


Noradila menjatuhkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap apabila kedua-dua beradik itu ditahan ketika meleraikan komponen kereta dicuri di belakang sebuah rumah di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 4 Disember lalu.


Akhbar semalam melaporkan, seorang bapa dipercayai merekrut dua anak lelaki bagi mengikut jejaknya menjalankan aktiviti mencuri dan menjual kenderaan secara berkumpulan meskipun seorang daripada anaknya masih di bawah umur dan baru selesai menduduki SPM.
-bharian

Ibu tunggal parah kena kelar perompak

SHARIFAH menerima 34 jahitan selepas cedera bergelut dengan pencuri dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Kampung Banggol Lalang awal pagi semalam.
SHARIFAH menerima 34 jahitan selepas cedera bergelut dengan pencuri dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Kampung Banggol Lalang awal pagi semalam.
GURUN: Seorang ibu tunggal parah selepas paha dan lengannya dikelar seorang perompak dipercayai menggunakan kerambit dalam satu kejadian di rumahnya di Kampung Banggol Lalang, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Sharifah Hassan, 57, terpaksa menerima 34 jahitan selepas kedua pahanya, selain lengan dan jari kelingking cedera dikelar menggunakan senjata tajam itu, ketika bergelut hampir setengah jam dengan perompak terbabit kira-kira jam 6 pagi.
Ketika kejadian, mangsa yang dikatakan tinggal seorang diri cuba melawan perompak berkenaan yang ketika itu cuba meragut lantai emas dipakainya.
Sharifah berkata, dia yang tidur dalam sebuah bilik terkejut dengan satu dentuman kuat dari luar dipercayai bunyi pintu ditendang.

Dalam keadaan samar, katanya, dia terpandang susuk tubuh seorang lelaki sebelum individu terbabit terus melompat ke atas belakang badannya yang masih terbaring.

"Lelaki terbabit kemudian secara ganas mengoyak baju saya sebelum cuba merentap rantai leher emas yang saya pakai dan ketika itu saya cuba melawan.

"Saya tidak sedar bila paha serta lengan saya dikelar. Selepas lebih setengah jam bergelut, saya yang sudah mula lemah, sempat menendang lelaki itu menyebabkannya terus tersungkur dan dia terus melarikan diri dengan sebahagian rantai yang putus," katanya.
Difahamkan, ketika kejadian dua anak mangsa berusia 16 dan 20 tahun tiada di rumah kerana keluar bekerja di kedai makan berhampiran.

Sharifah yang bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Chempedak, di sini, berkata dia kemudian lari ke rumah jiran berhampiran untuk mendapatkan pertolongan.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali cuba melawan selepas tubuh saya ditindih perompak itu. Sambil melawan, saya turut menjerit meminta meminta tolong sehingga berjaya menendangnya ke penjuru dinding.

"Saya tidak dapat mengecam perompak terbabit kerana ketika itu, lampu rumah sudah dipadamkan perompak terbabit sebelum saya diterkam. Malah, saya sendiri tidak tahu sudah cedera, sehingga menyedari paha serta lengan sudah berlumuran darah ketika lari mendapatkan bantuan," katanya.

Difahamkan, mangsa yang cedera kemudian dibawa jirannya, Sheila Mambo, yang juga pelakon untuk mendapatkan rawatan di Hospital Yan kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, ketika dihubungi berkata siasatan terperinci bagi mengesan suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun.
Berita Harian Online | Ibu tunggal parah kena kelar perompak:

Sakit mata diberi ubat telinga

NURQISTINA Qalysha menunjukkan ubat enclor diberi farmasi dari HPP.
NURQISTINA Qalysha menunjukkan ubat enclor diberi farmasi dari HPP.
Ibu dakwa HPP silap hingga anak tanggung kesakitan lebih satu jam

BALIK PULAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam selepas Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat didakwa tersilap memberinya ubat sakit telinga untuk dititiskan di matanya, baru-baru ini.
Nurqistina Qalysha Azmi yang mengalami radang pada kedua matanya, menggelupur kesakitan selepas ubat berkenaan dititiskan ke mata kanannya.
Ibunya, Noorliza Abd Razak, 34, berkata anaknya mengalami radang mata sejak enam bulan lalu dan beberapa kali mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, namun penyakitnya berlanjutan.

Beliau kemudian membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik kerajaan di Bayan Baru dan doktor di situ meminta mereka merujuknya kepada doktor pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kami diberi surat rujukan meminta anak saya dirawat doktor pakar tetapi apabila tiba ke HPP, Nurqistina hanya menerima rawatan pesakit luar.

“Anak saya kemudian diberi ubat titis dikenali 'Enclor' di kaunter farmasi dan keesokan harinya, saya menitiskan ubat itu ke matanya. Secara tiba-tiba, anak saya menggelupur kesakitan serta mengadu matanya seperti dibakar.
“Saya ke HPP semula dan merujuk perkara itu kepada petugas di farmasi yang memaklumkan Enclor bukan ubat sakit mata, tetapi bagi merawat sakit telinga.

“Bimbang dengan nasib anak, saya membawanya berjumpa seorang lagi doktor HPP dan terkejut apabila diberitahu bahawa label ubat itu mungkin salah dilekatkan dan tidak sepatutnya diberi kepada Nurqistina,” dakwanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Bharu, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah HPP, Dr Yasmin Sulaiman ketika dihubungi berkata, pengadu perlu membuat aduan di HPP dan membawa ubat diberikan doktor terbabit bagi memudahkan siasatan.
Berita Harian Online | Sakit mata diberi ubat telinga:

'via Blog this'

Tiga polis terbunuh, kenderaan musnah dalam letupan

GARISSA 20 Dis. - Sekurang-kurangnya tiga pegawai polis terbunuh serta kenderaan mereka musnah dalam satu letupan yang berlaku di kompleks pelarian Dadaab di Kenya berhampiran sempadan Somalia semalam, kata dua saksi.
“Saya melihat ketiga-tiga pegawai polis itu tercampak keluar dari kenderaan mereka ketika letupan itu berlaku,” kata Suado Ali, pemimpin masyarakat pelarian di kem Hagadera yang berada dalam kompleks itu.
Punca sebenar letupan itu tidak diketahui. - REUTERS
-utusan

Samsung saman Apple lagi

 SEOUL 19 Dis. - Samsung Electronics hari ini memfailkan tuntutan undang-undang baru terhadap pesaingnya dari Amerika Syarikat (AS), Apple, mendakwa pengeluar iPhone itu menceroboh empat paten mereka.
Tuntutan tersebut difailkan Jumaat lalu di mahkamah daerah Mannheim, Jerman berhubung dakwaan pencabulan paten termasuk teknologi standard telekomunikasi Samsung dan antara muka pengguna.
Kedua-dua gergasi teknologi itu turut berdepan pelbagai kes undang-undang lain di seluruh dunia, sekali gus menjelaskan lagi persaingan sengit mereka untuk menerajui pasaran luas telefon pintar dan komputer tablet yang sangat menguntungkan.
Apple memulakan proses tersebut pada April lalu, menuduh Samsung meniru 'bulat-bulat' rekaan iPhone dan iPad mereka. Samsung sebaliknya lebih fokus terhadap tuntutan mahkamah berkenaan paten teknologi berbanding rekaan.
Syarikat dari Korea Selatan itu menerima dua tuntutan undang-undang bulan ini. Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Australia membenarkan Samsung menjual tablet Galaxy 10.1 di negara tersebut sempena Krismas, menafikan tuntutan Apple yang meminta pengharaman dilanjutkan.
Sebelum itu awal bulan lalu Hakim Mahkamah Persekutuan di San Jose, California menafikan permintaan injunksi awal Apple yang mahukan pengharaman penjualan tiga jenis telefon pintar dan komputer tablet Samsung di AS. - AFP
-utusan

Tiga beranak maut kemalangan




Mangsa cedera parah dibawa ke Hospital Umum Sarawak setelah sebuah van bertembung dengan Produa Viva mengakibatkan tiga maut di Kilometer 24, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, Sarawak, kelmarin. - gambar ihsan sin chew


KOTA SAMARAHAN 19 Dis. - Tiga sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah van di Kilometer 24 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, dekat sini semalam.
Mangsa, Lass Well, 59, dan isterinya, Kucing Laman, 58, serta anak perempuan mereka, Fdea, 19, yang kesemuanya duduk di bahagian belakang kereta Perodua Viva itu mati di tempat kejadian.
Ketika kejadian pukul 5.30 petang itu, kereta yang dipandu anak lelaki Lass, Peter dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sadong Jaya selepas menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anaknya di Serian.
Peter dan isterinya yang duduk di sebelah pemandu cedera parah dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Sementara itu, pemandu van tersebut turut cedera parah dan dirawat di hospital sama bersama lapan penumpang van lain yang cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad berkata, punca kemalangan tersebut masih disiasat dan mayat kesemua mangsa dihantar ke HUS untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka hari ini.
-utusan

Lelaki beristeri dua mati tergantung

 PULAU PINANG 19 Dis. - Seorang peniaga yang baru berkahwin dengan isteri keduanya, September lalu, ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas siling di dalam bilik rumahnya di Jalan Delima, di sini malam tadi.

Mangsa ditemui oleh ahli keluarganya dalam keadaan tergantung dengan tali ketika mereka pulang ke rumah, pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihak polis akan menyiasat perkara itu daripada pelbagai aspek.

Katanya, ini termasuk masalah keluarga atau kemelut kewangan yang berkemungkinan dialami mangsa.
-utusan

2 maut selepas pulang hantar jenazah

 KUANTAN 19 Dis. - Dua maut manakala dua lagi parah setelah van yang mereka naiki selepas baru pulang daripada menghantar jenazah di Kuala Krai, Kelantan, terbabas di Kilometer 333 Jalan Raub, hari ini.

Kenderaan milik Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, Selangor itu dipercayai hilang kawalan ketika melalu jalan tersebut pukul 11.30 pagi.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandunya, Zaini Tamsir, 42, dan penumpang di tempat duduk belakang, Saffii Sajat, 61.

Dua lagi yang cedera ialah anak Zaini, Zulhilmie, 15, yang berada di sebelah pemandu dan penumpang tempat duduk belakang, Amran Sewa, 40-an yang patah tangan kanan.

Ketua Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, semasa kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kampung Melayu Subang selepas menghantar jenazah di Kuala Krai.

"Setibanya di tempat kejadian, van jenazah itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan. Ketika kejadian cuaca cerah dan berkeadaan baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, kedua-dua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Daerah Raub manakala mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
-utusan

Budak pandu bas ditahan


RASAH 19 Dis. - Penduduk Taman Rasa Sayang di Senawang dekat sini gempar selepas sebuah bas kilang yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tiba-tiba merempuh enam buah kereta diletakkan di taman perumahan itu, tengah malam tadi.

Penduduk, Zulkifli Muhammad, 44, memberitahu, kejadian berlaku pukul 12 tengah malam ketika dia berada di sebuah masjid berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.

Sebaik sahaja menjenguk keluar, katanya, dia terkejut apabila melihat sebuah bas dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sambil dikejar beberapa penduduk.

"Saya terkejut melihat bas itu melanggar beberapa buah kereta yang diletakkan di bahu jalan. Saya juga melihat beberapa penduduk mengejar bas berkenaan dan menyuruh pemandunya berhenti," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia turut mengejar bas itu sebelum kenderaan tersebut berhenti di satu kawasan rumah kedai yang dalam pembinaan, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Saya kemudian melihat beberapa penduduk mengheret remaja itu yang dipercayai berasal dari Senawang, keluar dari bas sebelum menyerahkan kepada polis," jelasnya.

Difahamkan, bas berkenaan diletakkan di taman perumahan berkenaan dan pemandunya terlupa untuk mengambil kunci kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, remaja berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kita masih lagi menyiasat punca remaja itu memandu kenderaan terbabit dan kita juga akan mengambil keterangan pemilik bas serta pemilik kereta terlibat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 kerana mencuri kenderaan," katanya.
-utusan

Pemandu lori digantung sampai mati




S. Siva Kalisvaran dibawa keluar dari mahkamah selepas didapati bersalah kerana membunuh abang iparnya di Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.


IPOH 19 Dis. - Angkara persengketaan sesama ahli keluarga, seorang pemandu lori akhirnya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh abang iparnya dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Teo Say Eng menjatuhkan hukuman tersebut terhadap S. Siva Kalisvaran, 28, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facieterhadap lelaki tersebut.
Dalam penghakimannya, Say Eng menyatakan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu selain terdapat banyak percanggahan dalam keterangan saksi.
Siva Kalisvaran dituduh membunuh S. Ganesan, 33, di rumah No. 42, Medan Lahat Baru 4, Medan Lahat Baru di sini antara pukul 12.30 tengah malam dan 1.10 pagi, 29 Disember 2009.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farid Mohd. Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Naran Singh.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa didakwa telah bergaduh dan memukul kepala bapa tertuduh dengan topi keledar.
Mangsa kemudiannya dihalau keluar oleh bapa tertuduh sebelum ditemui mati dengan kesan tetakan di leher di anjung rumah kira-kira 30 minit kemudian.
-utusan

Mayat mangsa ribut dikebumikan

 ILIGAN, Filipina 19 Dis. - Filipina hari ini bersiap sedia untuk mengebumikan mangsa-mangsa ribut tropika Washi yang terkorban dalam sebuah kubur besar bagi mengurangkan risiko kesihatan selepas beratus-ratus penduduk maut atau hilang akibat bencana yang melanda kepulauan Mindanao pada awal pagi kelmarin.
Persatuan Palang Merah Filipina meletakkan jumlah angka korban sebanyak 652, sementara 911 lagi dilaporkan hilang.
Kerajaan bagaimanapun menganggarkan, angka itu melebihi daripada yang dinyatakan berikutan keadaan huru-hara selepas bencana melanda.
"Mangsa-mangsa yang tidak dituntut akan dikebumikan dalam sebuah kubur besar.
"Kira-kira 50 hingga 300 mayat yang ditemui di Iligan sejak Washi melanda akan dikebumikan bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan," kata Datuk Bandar Iligan, Lawrence Cruz.
Siaran televisyen kebangsaan memaparkan bilik mayat di Iligan dipenuhi mayat-mayat mangsa yang dibungkus dengan plastik dan diikat rapi untuk dikebumikan.
Kira-kira 47,000 penduduk terutamanya di kawasan pantai utara Mindanao kini dipindahkan ke pusat perlindungan selepas bencana melanda.
Jurucakap Palang Merah, Gwendolyn Pang berkata, beberapa garis panduan berhubung upacara pengebumian perlu dipatuhi termasuk mengambil gambar mayat, menyenaraikan identiti dan proses pemindahan.
Presiden Benigno Aquino dijangka melawat tapak bencana esok selepas beliau mengarahkan isu pertahanan bencana negara ini dikaji semula. - AFP
-utusan

Dadah: 1,519 ditahan polis

 KOTA TINGGI 19 Dis. - Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya menahan 1,519 orang yang disyaki terlibat dalam 1,329 kes atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah hingga November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, pada tempoh sama sebanyak 22 kes yang melibatkan 33 orang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seramai sembilan orang lagi ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan kini mereka ditahan di pusat pemulihan akhlak Simpang Renggam, Johor; Batu Gajah, Perak dan Machang, Kelantan," katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya, indeks jenayah daerah tersebut menunjukkan penurunan 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Polis meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan di 07-8837222 jika terdapat kegiatan yang mencurigakan di kawasan kediaman masing-masing," katanya.
-utusan