Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Pelantar minyak Russia karam, 4 maut, 49 hilang

VLADIVOSTOK: Sekurang-kurangnya empat terbunuh manakala 49 lagi hilang dan dikhuatiri maut apabila pelantar minyak terbalik dan tenggelam di laut berais di pulau Sakhalin di timur Russia semalam.

Seramai 14 individu lagi berjaya diselamatkan dan pegawai penyelamat berharap lebih ramai pekerja dapat diselamatkan walaupun selepas 16 jam berada dalam Laut Okhotsk yang sejuk itu.
Pelantar minyak Kolskaya dengan 67 petugas itu sedang ditunda dari semenanjung Kamchatka ke pulau Sakhalin ketika ia terperangkap dalam ribut lalu terbalik dan tenggelam dalam masa 20 minit. - AFP
Berita Harian Online | Pelantar minyak Russia karam, 4 maut, 49 hilang:

Wartawan TV mati ditembak di Mogadishu

MOGADISHU: Individu bersenjata tidak dikenali yang berpakaian seragam tentera kerajaan Somalia, menembak mati seorang wartawan stesen televisyen di ibu negara Somalia malam tadi, menurut agensi berita China, Xinhua.

Pengarah stesen TV Horn, Hamdi Hussein Farah, berkata Abdisalan Sheikh Hassan atau lebih dikenali sebagai Hiis, ditembak di kepala di satu jalan yang sibuk.
"Kita tidak tahu siapa lelaki bersenjata itu tetapi beliau berpakaian seragam tentera kerajaan Somalia. Beliau meninggalkan tempat kejadian selepas menembak rakan sekerja kami di kepala," katanya kepada agensi berita Xinhua.
Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kerajaan Somalia tidak mahu mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan. - BERNAMA
Berita Harian Online | Wartawan TV mati ditembak di Mogadishu:

Ibu tunggal dicederakan perompak terima 34 jahitan

GURUN: Seorang ibu tunggal menerima 34 jahitan selepas dicederakan seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Banggol Lalang dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, Sharifah Hassan, 57, mengalami kecederaan di lengan kanan, jari kelingking kanan serta kedua-dua paha semasa bergelut dengan lelaki tersebut.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini, wanita itu berkata dia sedang tidur bersendirian dalam biliknya dan terjaga apabila terdengar bunyi pintu rumah ditendang.

Katanya tiba-tiba muncul seorang lelaki di depannya dan lelaki itu cuba meragut rantai lehernya tetapi dia melawan dan berjaya menendang penceroboh itu ke dinding.


"Kami bergelut hampir setengah jam. Semasa lelaki itu merentap rantai leher saya hingga terputus dua, saya sempat menendangnya ke dinding lalu lari ke rumah jiran minta pertolongan menyebabkan lelaki itu melarikan diri," katanya.


Katanya jirannya iaitu pelakon Sheila Mambo membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Yan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan menurutnya polis sedang menyiasat kes itu. - Bernama

myMetro | Ibu tunggal dicederakan perompak terima 34 jahitan:

Dua beradik lemas mandi laut

BANDAR PENAWAR: “Ini kali pertama keluarga kami berkelah di sini dan dalam tempoh setengah jam, saya kehilangan dua anak sekali gus,” kata Zuraini Adnan, 47, ketika ditemui di Pantai Desaru di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dua anak Zuraini, Mohd Fazli Fauzi, 23, yang juga pekerja kilang dan adiknya, Zulkhairi, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Seni Johor Bahru, lemas dihanyutkan ombak ketika mandi laut.


Bapa dua beradik itu, Mohd Fauzi Aliuddin, 49, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, cuba membantu, tetapi dia sendiri hampir lemas sebelum diselamatkan pengunjung lain.

Zurani berkata, keluarganya berasal dari Tiram sampai di pantai itu pada jam 12 tengah hari untuk berkelah sempena hujung minggu.


“Ini kali pertama kami sekeluarga berpeluang berkelah di sini dan ketika kejadian saya berada di tepi pantai bersama anak yang lain manakala Fazli dan Zulkhairi pula mandi.


“Entah bagaimana, kedua-duanya tiba-tiba dihanyutkan ombak. Suami cuba membantu, tetapi tidak berdaya, saya cukup sedih kehilangan dua anak sekali gus,” katanya yang reda dengan kejadian itu dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

Saksi kejadian, Mohd Nabil Shafie, 26, berkata, sebelum kejadian, dia menemani adiknya di gigi air dan melihat dengan jelas dua beradik itu berenang kira-kira 30 meter dari pantai.


“Tiba-tiba ombak besar memukul kawasan mereka mandi. Saya nampak ombak menggulung dua beradik itu ke laut.

“Mereka tenggelam kerana gagal berenang, bapa mereka cuba membantu, tetapi dia juga nyaris lemas sebelum dibantu pengunjung lain. Jenazah Fazli ditemui tidak lama kemudian apabila dihanyutkan ombak ke pantai, tetapi adiknya masih hilang,” katanya.


Menurut Nabil, keadaan laut yang bergelora dengan ombak besar menyebabkan orang ramai yang bersimpati terhadap keluarga berkenaan tidak mahu mengambil risiko turun ke laut kerana bimbang turut menjadi mangsa.


Suasana di pantai berkenaan pula seolah-olah sepi dengan sebahagian besar pengunjung bertumpu di gigi pantai dengan harapan dapat menemui Zulkhairi, tetapi sehingga malam tadi, mayatnya belum ditemui.


Keluarga dua beradik itu pula ditenangkan orang ramai yang turut bersimpati dengan tragedi terbabit.


Jenazah Fazli kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT).

myMetro | Dua beradik lemas mandi laut:

'via Blog this'

Ditindih tayar masih hidup

KUCHING: Dua sahabat terselamat walaupun terbenam selama setengah jam dalam lumpur akibat ditindih sebuah kereta yang merempuh mereka dalam kejadian di Batu 4, Jalan Penrissen di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 17 dan 21 tahun itu terselamat apabila motosikal dinaiki dirempuh kereta yang dipandu seorang wanita menyebabkan mereka terpelanting ke dalam longkang sebelum ditindih kenderaan berkenaan.


Menurut pemandu kereta berusia 37 tahun itu, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke rumah seorang rakan di kawasan berkenaan sebelum merempuh motosikal mangsa ketika hendak membuat pusingan di Jalan Datuk Tawi Sli.

“Saya tidak menyedari terdapat sebuah motosikal di sebelah kereta saya ketika membuat pusingan untuk patah balik ke Batu 4, menyebabkan saya tidak sempat menekan brek dan merempuh mereka,” katanya.


Katanya, akibat gagal mengawal kenderaannya selepas rempuhan itu, keretanya terbabas ke dalam longkang di tepi jalan dan pada masa sama juga dua pemuda yang menunggang motosikal berkenaan terperangkap di bawah kereta.


“Saya terkejut apabila mendapati kedua-dua mangsa terbaring dalam longkang dan ditindih kereta saya. Mujur longkang itu kering, namun berlumpur dan mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penyelamat.

“Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu selama kira-kira setengah jam sebelum dapat dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.


Difahamkan, seorang daripada lelaki berkenaan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi mengalami luka di badan dan menerima rawatan di wad biasa HUS.

myMetro | Ditindih tayar masih hidup:

Bapa perturun ilmu mencuri

pix_middle

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa dipercayai merekrut dua anak lelaki bagi mengikut jejaknya menjalankan aktiviti mencuri dan menjual kenderaan secara berkumpulan meskipun seorang daripada anaknya masih di bawah umur dan baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, berikutan kes kecurian kenderaan meningkat kebelakangan ini, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas menjejak dalang kejadian itu.

Menurutnya, hasil maklumat, serbuan dilakukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu terhadap sebuah rumah di Kampung Dusun Berliku, Besut, pada 4 Disember lalu.

“Dalam serbuan jam 7 malam itu, dua beradik berusia 17 dan 21 tahun ditahan. Soal siasat membawa kepada penemuan dua Proton Wira, satu Proton Waja dan sebuah lori di rumah berkenaan dipercayai dicuri." Polis juga menjumpai geran Proton Wira daripada suspek,” katanya pada sidang media di IPK, semalam.

myMetro | Bapa perturun ilmu mencuri:

Empat nyawa melayang

pix_middle

KOTA TINGGI: Mereka baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bersama-sama meninjau peluang melanjutkan pengajian di pameran pendidikan dan kerjaya di Johor Bahru.

Bagaimanapun, semua harapan itu terkubur apabila empat daripada enam remaja yang menaiki Toyota Innova terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna itu melanggar bucu penghadang jalan serta papan tanda lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 90 meter.


Lebih mengerikan, bumbung kenderaan itu terkopak menyebabkan seorang mangsa tercampak keluar dalam kejadian jam 5.30 petang di Kilometer 33.7 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, dekat sini, kelmarin.

  • Foto

    PILU...anggota keluarga mangsa sebak ketika ditemui di Unit Forensik HKT.

  • Foto

    KOPAK...bumbung Innova tercabut selepas terjunam ke dalam gaung.

Empat yang maut ialah Ng Sin Yun, 17, dari Jalan Kelu Ramu, Kota Kecil; Winnie Ng, 18, dari Jalan Moi Hiang, Kota Kecil; Tey Jia Xin, 17, dari Kampung Lukut Cina serta Ching Hui Sean, 18.


Ng yang duduk di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan itu dan mati di tempat kejadian.


Pemandu, Victor Ng Wee Tai, 17, cedera dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke hospital swasta di Johor Bahru atas permintaan keluarga.

Rakan mangsa, Tee Heng Chong, 17, berkata keenam-enam rakannya itu baru selesai menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini.


“Kami mengunjungi pameran pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor Bahru dan ketika kejadian, dalam perjalanan pulang.

“Kami pergi dengan menaiki Innova berkenaan manakala yang lain menaiki bas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT.


Menurut Tee, dia baru tiba di rumah apabila dimaklumkan kejadian itu dan amat sedih kerana apabila kehilangan empat rakan baik sekali gus.


“Keempat-empatnya bercita-cita tinggi dan semuanya mahu berjaya dalam pelajaran serta kerjaya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Cik Mahazan Cik Aik, berkata seorang daripada mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala tiga lagi mati ketika dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).


“Semua mangsa mati akibat kecederaan pada badan dan kepala. Dua lagi mangsa masih dirawat dan keadaan mereka stabil.


“Kejadian berlaku ketika cuaca baik dan setakat ini siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan,” katanya.


Menurut beliau, pihaknya juga masih menunggu untuk merekodkan kenyataan daripada mangsa terselamat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

myMetro | Empat nyawa melayang:

Berdepan penjara 7 hari

Berdepan penjara 7 hari

KUALA TERENGGANU – Akibat mengikut emosi, seorang remaja yang gagal mengawal sikap baran berdepan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Hanafi Abdul Wahab, 18, didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 Disember lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Zaki Ab Jalil, 25, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 Disember lalu kira-kira jam 11.30 malam semasa pengadu berada di rumahnya di Kampung Banggol Lalang, Serada, di sini, tertuduh telah datang berjumpa dengan abang pengadu.

Tertuduh tidak berpuas hati dengan abang pengadu, mengenai pembinaan kotak pembentung di hadapan rumah pengadu milik abang pengadu, Che Mohd Zainun.

Semasa pertengkaran, ibu pengadu datang untuk meleraikan dan selepas itu pengadu datang untuk selesaikan masalah itu dengan cara baik, tetapi tertuduh telah naik angin dan terus menumbuk muka pengadu menyebabkan hidungnya berdarah, manakala pipi dan mulutnya luka.

Pada 14 Disember kira-kira jam 12.05 tengah hari, pihak polis telah berjaya menangkap suspek di hadapan Pejabat Jenayah IPD Kuala Terengganu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim yang memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun boleh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda yang telah ditetapkan.

Berdepan penjara 7 hari - Jenayah - Sinar Harian:

Polis kesan waris lelaki ditemui mati di kepong


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 19, 2011

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan waris kepada seorang lelaki yang ditemui mati di tepi longkang besar, Jalan Api-api, Kepong di sini pada 10 November lepas.

Pegawai Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Insp Noryati Shawal dalam satu kenyataan hari ini berkata mayat Hariman Hadi, 58, yang didapati tinggal seorang diri telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut tetapi warisnya gagal dikesan sehingga kini.

Beliau berkata alamat terakhir Hariman berdasarkan kad pengenalannya ialah di No 193/2, Jalan Ambong Kiri 2, Kepong, Kuala Lumpur.

Waris mangsa boleh menuntut mayat itu yang kini berada di HKL. Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada Sjn Azizi Pilus di Balai Polis Kepong di talian 03-62742222 atau 017-2476763.

Polis kesan waris lelaki ditemui mati di kepong - Jenayah - Sinar Harian:

Curi kasut, jual pada pemilik asal


Oleh : W SAIDATUL FADZILAH W NAJEMUDIN
Tarikh : December 19, 2011
Curi kasut

KUALA TERENGGANU – Helah seorang lelaki untuk mendapatkan wang dengan menjual kasut yang dicurinya tidak berjaya apabila tindakan jahatnya itu terbongkar apabila secara tidak sengaja menawarkan kepada pemilik asal kasut terbabit.

Tertuduh, Samsu @ Shamsudin Musa, 41, berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Pengakuan itu dilakukan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim dan pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Miky Dunstan Muda.
Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Disember lalu di Stesen Bas Kuala Dungun, seorang pemandu bas pelancong meninggalkan kasut jenama Rorine berwarna coklat miliknya di dalam bas dan memakai selipar untuk ke tandas.
Ketika dalam perjalanan kembali ke bas, pengadu terserempak dengan suspek yang kemudian menawarkan untuk menjual kasut kepadanya.
Bagaimanapun, mangsa dapat mengecam kasut itu adalah miliknya yang ditinggalkan di dalam bas berkenaan.
Pengadu kemudian membawa suspek menaiki bas dan mendapati kasutnya lesap.
Selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri kasut mangsa dan dia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Abdul Hayyi menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun.
Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Curi kasut, jual pada pemilik asal - Jenayah - Sinar Harian:

Penjual surat khabar disamun


Oleh : SH MNS/SARINAH MAT KASIM
Tarikh : December 19, 2011

SEREMBAN – Seorang penjual surat khabar mengalami kerugian lebih RM200 apabila disamun seorang lelaki tidak dikenali di Singapore Street, di sini, kelmarin.

Thien Yuen Yin, 63, yang sibuk berkemas untuk pulang terkejut didatangi seorang lelaki, yang disangkanya mahu membeli surat khabar.

Menurutnya, sebaik sahaja lelaki terbabit menghampirinya, suspek terus menolak basikalnya dan melarikan sebuah beg plastik berisi wang tunai serta beberapa barang berharga.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang. Secara tiba-tiba seorang lelaki dalam lingkungan 30-an menghampiri basikal saya dan menolak saya.

"Dia ambil beg plastik saya dan segera melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Penjual surat khabar disamun - Jenayah - Sinar Harian:

Lelaki didakwa menyamar doktor


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 19, 2011

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyamar sebagai doktor kepada seorang anggota polis minggu lepas.

Chew Poh Keong, 32, dari Batu Caves, dikatakan telah memperkenalkan dirinya sebagai Doktor Cheah Poh Keong dari Hospital Kuala Lumpur, kepada Khairul Izlan Ibrahim.

Chew dikatakan melakukan kesalahan itu depan sebuah bank di Dang Wangi, di sini pada 12.35 tengah hari Khamis lepas.

Tuduhan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan memba wa hukuman penjara maksimum dua tahun atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jan tahun depan untuk sebutan kes.

Lelaki didakwa menyamar doktor - Jenayah - Sinar Harian:

Ajal dalam van jenazah


Oleh : SH PAHANG/WAN JUHAIDA WAN HASSAN
Tarikh : December 19, 2011
Van jenazah terbabas, dua maut

RAUB – Van jenazah milik Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang terbabas selepas pemandu dipercayai hilang kawalan di kilometer 333 Jalan Raub, mengakibatkan dua lelaki maut dan dua lagi cedera parah.

Ketua Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 11.30 pagi melibatkan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Melayu Subang, Selangor, selepas selesai menghantar jenazah ke Kuala Krai, Kelantan.

“Mangsa solat subuh di Kuala Krai terlebih dahulu sebelum bertolak pulang selepas urusan penghantaran jenazah selamat disempurnakan.

“Pemandu van itu, Zaini Tamsir, 42, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan seorang penumpang kerusi belakang, Saffii Sajat, 61, juga meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, dua lagi mangsa cedera parah termasuk anak Zaini iaitu Zulhilmie, 15, yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan dan penumpang kerusi belakang, Amran Sewa, 40-an, yang patah tangan kanan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital dan dua mayat mangsa juga dihantar ke Hospital Daerah Raub untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Ketika kejadian cuaca cerah dan kemalangan mengakibatkan laluan trafik menjadi sesak untuk beberapa ketika sebelum berjaya dipulihkan pegawai keselamatan bertugas,” kata Mohd Nazlan.

Ajal dalam van jenazah - Nasional - Sinar Harian:

2 maut nahas motosikal di Pahang

KUANTAN: Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Pahang, semalam.

Dalam kejadian malam tadi, 0vintara Omathiram, 22, dari Taman Raub Jaya 3, Raub, mati akibat cedera parah di kepala dan badan selepas motosikalnya terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kereta di Kilometer 356 Jalan Raub-Bentong.

Menurut Pegawai Turus Trafik Pahang, Superintendan Mohd Rizal Abdullah dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa dari arah Raub ke Bentong, dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.
"Akibatnya mangsa dirempuh kereta yang dipandu Zainudin Bakar, 53, yang sedang dalam perjalanan bersama keluarganya pulang dari Kuala Lumpur menuju Kuala Lipis," katanya.

Mohd Rizal berkata, mangsa mati di tempat kejadian sementara pemandu kereta dan keluarganya tidak cedera.

Dalam kejadian lain, seorang warga emas, Yip Sup Yiew, 75, berasal dari Rawang, Selangor, mati selepas motosikalnya merempuh bahagian belakang sebuah jip di KM148 Lebuh Raya Pantai Timur pada jam 6.50 petang.

"Mangsa yang menunggang sendirian dari Kuantan dikatakan merempuh belakang jip terbabit yang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan. - BERNAMA
Berita Harian Online | 2 maut nahas motosikal di Pahang:

Empat anggota geng Pok Su Wa diburu

19/12/2011 2:47pm


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya memberkas sepasang adik-beradik berumur 17 dan 21 tahun di Dusun Berliku Kampung La, Besut pada awal bulan lalu kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kereta di sekitar Terengganu dan Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata, berikutan tangkapan itu, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai dicuri serta beberapa peralatan seperti gerudi, kunci pendua, gergaji dan peralatan lain untuk mencuri kereta.

"Ekoran penahanan dua beradik itu, pihak polis berjaya menemui tiga buah kereta curi dan turut menahan dua orang lelaki pembeli kereta curi berkenaan,” kata Manoharan dalam sidang akhbar di sini semalam.

Berikutan itu, polis sedang memburu empat lagi suspek. Kesemua mereka yang berasal dari Kuala Terengganu dan Besut dan berumur antara 46 hingga 27 tahun itu merupakan ahli kumpulan “Pok Su Wa”.

Menurut Manoharan, salah seorang suspek yang diburu merupakan bapa kepada dua beradik yang ditahan itu.

"Kita percaya ahli kumpulan ini sangat profesional dan ini berdasarkan modus operandi kumpulan ini dengan membuka kunci pada bonet kenderaan sebelum menghidupkan enjin kereta”.

Katanya, kesemua kenderaan itu dipercayai dicuri untuk dijual di kawasan pendalaman atau sebagai alat ganti kenderaan. — BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

Samun: Penganggur dipenjara 20 bulan

19/12/2011 2:44pm


KUALA LUMPUR — Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita dalam lif tahun lepas.

Hakim Azwarnida Affandi memerintahkan Benyamin Johan, 30, menjalani hukuman penjara mulai 24 Sept lepas, iaitu tarikh wang jaminan tertuduh ditarik balik oleh penjaminnya.

Benyamin didakwa menyamun beg tangan seorang kerani, Hoo Lai Khuan, 36, yang berisi wang tunai RM150, kad pengenalan mangsa dan anaknya, lesen memandu, buku simpanan bank dan sebuah telefon bimbit, dengan nilai kerugian kira-kira RM3,500, di dalam lif Blok 13 Apartment Bustan, Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini pada 8.45 pagi, 15 Jan 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau disebat.

Terdahulu, Benyamin yang tidak diwakili peguam, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya dengan alasan isterinya sedang mengandung dan mempunyai dua orang anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohd Aman. — BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

Dua maut nahas motosikal di Pahang

19/12/2011 6:47pm


KUANTAN – Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Pahang semalam.

Dalam kejadian malam tadi, 0vintara a/l Omathiram, 22, dari Taman Raub Jaya 3, Raub, mati akibat cedera parah di kepala dan badan selepas motosikalnya terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kereta di Km356 Jalan Raub-Bentong.

Menurut Pegawai Turus Trafik Pahang Supt Mohd Rizal Abdullah dalam kejadian 8.45 malam itu mangsa dari arah Raub ke Bentong, dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

"Akibatnya mangsa dirempuh kereta yang dipandu Zainudin Bakar, 53, yang sedang dalam perjalanan bersama keluarga pulang dari Kuala Lumpur menuju Kuala Lipis,” katanya.

Mohd Rizal berkata mangsa mati di tempat kejadian sementara pemandu kereta dan keluarganya tidak cedera.

Dalam kejadian lain, seorang warga emas, Yip Sup Yiew, 75, berasal dari Rawang, Selangor, mati selepas motosikalnya merempuh bahagian belakang sebuah jip di Km148 Lebuh Raya Pantai Timur pada 6.50 petang.

"Mangsa yang menunggang sendirian dari Kuantan dikatakan merempuh belakang jip terbabit yang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

Tersandar di hotel bajet

Tersandar di hotel bajet
BANDARAYA MELAKA - Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini ditemui tersandar di dinding sebuah hotel bajet di Kampung Hulu, di sini dalam keadaan berdarah, petang kelmarin.

Mangsa berusia 20 tahun itu dipercayai dirogol teman lelakinya yang berusia 22 tahun selepas kedua-duanya dikesan mendaftar masuk ke hotel berkenaan yang terletak di belakang sebuah stesyen minyak, kira-kira 6.30 petang.

Menurut sumber, lelaki dikenali mangsa itu sejak dua tahun lalu dilihat berlari keluar dari hotel berkenaan sebelum mangsa juga keluar dalam keadaan menangis selang beberapa minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pelajar berkenaan ditemui anggota polis yang melalui kawasan berkenaan dalam keadaan bersandar di dinding hotel tersebut.

“Ketika ditemui kira-kira 7 petang, terdapat darah di bahagian bawah pakaian mangsa menyebabkan anggota polis segera menghubungi ambulans untuk dibawa ke Hospital Melaka, di sini bagi mendapatkan rawatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum kejadian keluar bersama tiga lagi rakan yang lain sebelum rakan-rakannya ke tempat lain dan dia menemui suspek,” katanya.

Menurut Raja Shahrom, mangsa dipercayai panik berikutan kejadian menimpanya, selain mengalami pendarahan dan kini masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.

“Kami belum lagi dapat meneruskan siasatan beriku-tan mangsa yang berada di hospital masih trauma dan siasatan diteruskan sebaik saja keadaannya kembali stabil.

“Bagaimanapun, kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.
Tersandar di hotel bajet - Melaka & NS - Sinar Harian:

Pertikai tindakan Imigresen


Oleh : SYAMILAH ZULKIFLI
Tarikh : December 19, 2011
Pertikai tindakan Imigresen

SEREMBAN – Sikap sebahagian besar pelajar warga asing yang memandang remeh kepentingan membawa dokumen pengenalan diri semasa berada di luar kawasan kolej di sini, membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen, semalam.

Mereka ditahan ketika sedang berada di sebuah pusat snuker di sini.

Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pelajar warga Afrika yang ditahan mempertikaikan tindakan anggota penguat kuasa itu, walaupun sudah menunjukkan surat pengesahan dan kad pelajar kolej.

Selain itu, tiga pelajar warga Korea yang ditahan sebelum ini kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri dilihat cuba memujuk anggota Imigresen supaya tidak ditangkap.

Namun, anggota penguat kuasa mengambil sikap timbang rasa apabila membenarkan mereka yang ditahan mengambil dokumen pengenalan diri masing-masing menerusi bantuan rakan mereka.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kesemua yang ditahan tidak membawa sebarang dokumen yang sah dan mendakwa dokumen mereka disimpan pengurusan kolej bagi memproses kad pelajar.

Menurutnya, pelajar asing yang ditahan mendakwa pengurusan kolej mereka memberitahu, mereka tidak akan ditahan pihak berkuasa jika menunjukkan surat pengesahan pelajar dikeluarkan kolej.

“Tindakan pengurusan institusi pengajian tinggi swasta itu memberi maklumat salah menyebabkan pelajar asing tidak bimbang berkeliaran di luar kolej tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kerana itu, masing-masing memandang remeh tentang kepentingan membawa dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui dalam Ops 6P membabitkan 20 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, di sini semalam.

Menurut Faizal, Jabatan Imigresen akan menyiasat kolej terbabit menyimpan dokumen pelajar bagi memastikan status sebenar warga asing terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut.

Menurutnya, surat yang dikeluarkan kolej berkenaan tidak diterima mana-mana agensi penguat kuasaan.

Katanya, pengurusan kolej sepatutnya meminta surat pengesahan daripada Jabatan Imigresen untuk diberikan kepada pelajar terbabit dan bukannya mengeluarkan surat sendiri.

“Kolej juga perlu berusaha memberi penjelasan kepada pelajar mengenai undang-undang imigresen di negara ini kerana ramai yang diperiksa tidak memahaminya.

“Sesetengah pelajar ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah mendakwa pasport mereka sedang diproses Jabatan Imigresen bagi permohonan serta pembaharuan pas pelajar,” katanya.

Sementara itu, operasi berlangsung kira-kira 8.30 malam sehingga 2 pagi itu, seramai 24 warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dalam empat serbuan berasingan, kita menahan 20 lelaki dan empat wanita terdiri daripada warga Afrika, Myanmar, Mesir dan Nepal berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun dan dipercayai menuntut di sebuah kolej di sini,” katanya.

Pertikai tindakan Imigresen - Jenayah - Sinar Harian:

Empat Rakan Maut, Dua Lagi Cedera Dalam Kemalangan Di Kota Tinggi

JOHOR BAHARU: Empat sekawan terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terhumban ke bawah lereng bukit di Kota Tinggi semalam.

Kejadian berlaku di Km 33.7, Jalan Johor Baharu-Mersing kira-kira 5.30 petang.

Mereka yang terbunuh di tempat kejadian dikenali sebagai Ng Sin Yun, 17, dari Kota Kecil; Winnie Ng, 18, juga dari Kota Kecil; Tey Jia Xin, 17, dari Kampung Lukut Cina dan Ching Hui Sean, 18, dari bandar Kota Tinggi.

Pemandu kereta Toyota Innova berkenaan, Victor Ng Wee Tai, 17, cedera dan mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta di sini.

Seorang lagi mangsa juga cedera dan dirawat di HKT.

Dalam kejadian berkenaan, dilaporkan kenderaan tersebut dipercayai gagal dikawal ketika mengambil selekoh lalu melanggar bucu penghadang jalan dan merempuh papan tanda jalan.

Ia kemudian terhumban ke bawah lereng bukit sedalam kira-kira 90 meter.

Seorang rakan mereka, Tee Heng Chong, 17, berkata mereka dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi.

"Kami pergi beramai-ramai dan hanya mereka berenam yang menaiki kereta sementara yang lain menggunakan bas. Kami mengunjungi pameran pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Johor Baharu," katanya ketika ditemui di HKT.

Keenam-enam mangsa baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya menghubungi hotline polis di talian 07-2212999 atau balai polis berdekatan.

Beliau menasihati pemandu supaya lebih berhati-hati dengan keadaan jalan raya yang licin kerana Johor kini mengalami musim hujan. - BERNAMA

mStar Online : Empat Rakan Maut, Dua Lagi Cedera Dalam Kemalangan Di Kota Tinggi:

Remaja panik diacu pisau


Oleh : NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
Tarikh : December 19, 2011
Remaja panik diacu pisau

LEDANG – Seorang remaja terpaksa berhadapan detik mencemaskan apabila diacu pisau oleh penjenayah dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah rumah di Taman Sentosa, Tangkak di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Lee Siau Yan, 19, dikatakan baru sahaja pulang menghantar ibunya ke Hospital Tangkak.

Namun, sebaik sahaja tiba di rumah, mangsa terkejut apabila mendapati pintu pagar terbuka dan terdapat kereta yang dinaiki dua lelaki berhenti di hadapan rumahnya.

Sebaik sahaja Siau Yan membuka pintu, salah seorang suspek meluru ke arahnya sambil mengacu sebilah pisau di perut dan kepala.

Setelah berjaya memasuki rumah, suspek segera menggeledah dan membawa lari barangan seperti komputer riba, dua telefon bimbit, wang tunai RM40, barangan kemas, CPU komputer dan sebuah Mercedes lama.

Sebelum melarikan diri, suspek yang dipercayai warganegara tempatan sempat merosakkan salah satu kamera litar tertutup (CCTV) di rumah semi banglo berkenaan.

Siau Yan yang merupakan penuntut salah sebuah kolej di Kajang pulang bercuti di kampung dan ketika kejadian dia bersendirian di rumah.

Mangsa yang juga masih trauma dengan kejadian itu, segera menghubungi ibunya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sebaik kejadian tersebut berlaku.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222.

“Nilai kerugian dianggarkan RM40,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.

Remaja panik diacu pisau - Jenayah - Sinar Harian: