Search This Blog

Sunday, December 18, 2011

26 meninggal dunia, cuaca sejuk melampau

NEW DELHI - Dua puluh enam orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas apabila arus sejuk menyelubungi utara India, menandakan ketibaan musim sejuk yang dahsyat.


Kebanyakan kematian berlaku di Uttar Pradesh yang terletak di utara, apabila suhu menjunam kepada hampir dua darjah Celsius, menurut laporan All India Radio.

Negeri-negeri di jalur utara -- Bihar, Himachal Pradesh dan Punjab turut mengalami cuaca sejuk melampau.

Suasana dingin turut dirasai di Delhi dengan suhu menurun kepada lima darjah Celsius.

Menurut Jabatan Metrologi India, arus sejuk mencengkam Lembah Kashmir yang mempunyai panorama yang indah dan resort ski terkenal di Gulmarg dengan merekodkan minus 7.4 darjah Celsius hari ini.

Selain itu, di Leh, yang terletak di wilayah bergunung-ganang Ladakh, suhu berada pada minus sembilan darjah Celsius.

Suhu sejuk melampau turut memaksa sekolah di wilayah Kashmir dan Leh ditutup lebih awal tahun ini manakala laluan darat ditutup berikutan salji tebal.

Kabus tebal, yang lazimnya berlaku pada Disember dan Januari, dua bulan yang mengalami musim paling sejuk di bahagian utara, turut menjejaskan perjalanan kereta api serta penerbangan di sesetengah negeri.

26 meninggal dunia, cuaca sejuk melampau - Global - Sinar Harian: 'via Blog this'

Cubaan samun gagal

Cubaan samun gagal

BATU PAHAT – Dua lelaki hanya sempat bergelar penyamun selama lima minit apabila cubaan samun mereka gagal hasil kecekapan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian pada kira-kira jam 11.10 pagi semalam itu berlaku di kawasan meletak kenderaan salah sebuah hospital di bandar ini, apabila mangsa mahu masuk ke kenderaannya.

Menurutnya, ketika mangsa berada di tepi kawasan meletak kenderaan, sebuah kereta Proton Perdana berwarna putih menghampirinya.

Din berkata, mangsa yang tidak menyedari kenderaannya dihampiri tersentak apabila beg tangannya direntap salah seorang suspek.

“Mangsa terjatuh serta mengalami kecederaan di bahagian kaki juga tangannya.

“Setelah menerima laporan daripada orang ramai, unit MPV IPD Batu Pahat terus mengesan suspek dalam beberapa minit dan mengejar mereka," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan panik, kenderaan suspek hilang kawalan lalu termasuk ke dalam parit.

“Salah seorang suspek ditahan, manakala seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan kampung berhampiran namun beg yang diragut ditinggalkan dalam kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, identiti suspek yang melarikan diri telah dikenal pasti dan polis masih lagi memburunya.“Melalui siasatan awal, pihak polis mendapati kedua-dua suspek ini mempunyai beberapa kesalahan lampau termasuk menaiki kenderaan yang dipercayai dicuri,” katanya.

Sementara itu, mangsa samun kini mendapat rawatan di hospital dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pihak polis dengan segera.

Cubaan samun gagal - Jenayah - Sinar Harian: 'via Blog this'

Nyaris maut ditembak

Nyaris maut ditembak

GEORGETOWN - Seorang anak pemilik restoran nyaris maut apabila ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika menjamu selera di restoran milik ayahnya di Prima Tanjung, di sini semalam.

Namun pergelutan yang berlaku antara mangsa dan suspek menyelamatkan nyawanya apabila tembakan yang dilepaskan suspek hanya terkena pada bahagian kiri keningnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang di restoran masakan Taipei ketika mangsa berusia 24 tahun sedang menikmati makanan bersama rakannya.

Kong Meng berkata, suspek yang tidak dikenali mangsa secara tiba-tiba masuk ke dalam restoran dengan mengacukan sepucuk Revolver ke arah mangsa.

“Menurut mangsa, ketika suspek datang menghampirinya dan mengacukan pistol, dia cuba merampas senjata itu sebelum berlaku sedikit pergelutan antara mereka.

“Ketika sedang bergelut suspek melepaskan tiga das tembakan dan satu tembakan terkena sipi bahagian kening mangsa. Satu tembakan lagi terkena lantai dan tembakan ketiga pula terkena sipi bahagian tengkuk suspek,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Kong Meng berkata, selepas berjaya merampas pistol itu, suspek segera melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu di luar.

Beliau berkata, mangsa yang cedera di bahagian kepala segera mendapatkan rawatan di klinik yang terletak bersebelahan dengan restoran berkenaan.

“Sehingga kini polis masih lagi menyiasat motif kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya.

Nyaris maut ditembak - Jenayah - Sinar Harian:'via Blog this'

Pelajar sanggup ikat perut beli dadah

Kamaruddin

KAMPUNG RAJA – Dua pelajar lelaki yang kini menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mengakui terpaksa me­ngikat perut dan berjimat cermat duit belanja sekolah demi mendapatkan bekalan dadah.

Mereka yang masing-masing berumur 15 tahun termasuk pelajar sebuah sekolah agama di daerah ini didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah di sebuah rumah di Kampung Jebak Puyuh dekat Jertih.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam serbuan jam 4.50 pagi itu dua pelajar tersebut ditahan bersama seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah.

Menurutnya, mereka tergamam apabila ditahan di rumah keluarga pelajar sekolah agama tersebut ketika lena tidur.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda) dan mengakui mengambil dadah sejak awal tahun lalu,” katanya.

Kamaruddin berkata, pelajar tersebut mendakwa mendapat wang untuk membeli dadah dengan cara mengumpul wang belanja persekolahan yang diberikan keluarga.

Menurutnya, mereka sanggup tidak membeli makanan di sekolah sebaliknya mengumpulkan wang mendapatkan dadah yang berharga sekitar RM20 hingga RM25 sebiji.

Kata beliau, hasil tangkapan tersebut polis turut merampas dua biji pil kuda yang disembunyikan dalam kotak rokok.

Mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1957 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1) akta sama kerana positif dadah.

Sehubungan itu Kamaruddin turut mengingatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak mereka termasuk yang masih belajar.

Pelajar sanggup ikat perut beli dadah - Terengganu - Sinar Harian: 'via Blog this'

Enam lelaki diberkas selepas menyamun

KUALA TERENGGANU - Lima warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan tidak sempat menikmati hasil samun mereka apabila diberkas kira-kira tiga jam selepas menyamun sebuah sebuah rumah peneroka di Felda Cerul Dua, Kemaman, semalam.


Lelaki tempatan itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan lima lagi suspek, berusia antara 30 dan 48 tahun ditahan empat anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Skim Rondaan Sukarela (SRS) Felda Cerul Dua yang mengekori kereta berkenaan sehingga ke sempadan Pahang pada pukul 6.40 pagi.

"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Chukai dan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki terbabit memecah masuk ke rumah peneroka berkenaan dengan mengumpil tingkap rumah itu.

"Empat daripada rakyat Indonesia yang bersenjatakan parang dan batang besi bertindak mengikat pasangan suami isteri itu menggunakan wayar dan meletakkan parang di leher salah seorang anak mangsa yang berusia sembilan tahun dan mengarahkan menyerahkan wang serta barangan kemas.

"Penjenayah terbabit turut mengugut untuk mencederakan nenek mangsa yang berumur 105 tahun," katanya.

Manoharan berkata keempat-empat mereka bersama dua lagi yang menunggu di dalam kereta melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback dan mereka diekori oleh anggota SRS yang berkawal di pintu masuk ke kawasan Felda itu.

Polis menemui semula barangan kemas, komputer riba dan telefon bimbit membabitkan nilai RM9,000 yang dipercayai disamun dari rumah peneroka berkenaan, serta merampas parang dan batang besi yang disyaki digunakan dalam kejadian samun itu.

Enam lelaki diberkas selepas menyamun - Terengganu - Sinar Harian: 'via Blog this'

Abang mati lemas ketika cuba selamatkan adik

Oleh NURUL HUDA HASSAN

KOTA TINGGI 18 Dis. – Hasrat seorang abang untuk menyelamatkan adiknya yang dipercayai lemas ketika mandi-manda di pantai peranginan Desaru, dekat sini bukan sahaja gagal tetapi turut meragut nyawanya sendiri.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, Md. Fazli Md. Fauzi, 23, lemas dan kini mayatnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online - Terkini:

Patahkan cubaan seludup minyak diesel


KUALA NERANG - Cubaan seorang wanita Thailand untuk menyeludup keluar 580 liter minyak diesel dengan menggunakan sebuah kereta gagal setelah ditumpaskan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Gubir
pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, ASP Chang Kut Choy berkata wanita berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Durian Burung, Padang Terap dekat sini untuk pemeriksaan.

Katanya ketika ditahan wanita terbabit cuba melarikan diri namun gagal setelah ditahan semula oleh pihak tentera yang bertugas.

Katanya pihak tentera telah melakukan intipan selama beberapa hari terhadap wanita itu yang setiap hari keluar masuk ke negara ini dengan menggunakan kereta yang sama.

Difahamkan wanita itu terbabit dengan satu sindiket yang sebelum ini menggunakan kenderaan jenis pikap untuk menyeludup minyak diesel tetapi mereka menggunakan kereta bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tinjauan mendapati dalam kereta terbabit diletakkan tangki tambahan pada tempat duduk belakang dan di bahagian but belakang dalam keadaan terbuka.

Kes tersebut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Patahkan cubaan seludup minyak diesel - Jenayah - Sinar Harian:

Nyaris terkena kejutan elektrik

Chua Hock Koon

TAIPING – Seorang warga emas terkejut apabila wayar elektrik tiba-tiba jatuh lalu mengenai leher ketika sedang berjalan menuju ke stesen teksi di Jalan Iskandar, di sini.

Chua Hock Koon, 71, berkata, dia baru sahaja keluar dari sebuah kedai kopi kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sebelum kejadian dia berhasrat menemui seorang kenalan di stesen teksi untuk berbual, namun hasrat itu terbantut akibat wayar elektrik mengenai lehernya.

“Wayar ini terjatuh dan terkena pada leher saya, walaupun tidak teruk tetapi saya masih dapat rasa kesakitan­nya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam

Hock Koon berkata, selepas kejadian, salah seorang pemandu teksi yang berada di situ menyatakan wayar terbabit jatuh mungkin disebabkan banyak burung bertenggek.

“Saya bimbang kejadian sama terus berulang dan keadaan itu akan mendatangkan bahaya kepada orang ramai terutama kanak-kanak,” katanya.

Katanya, dia kemudian membuat satu laporan kepada pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan salah seorang ahli MPT, The Han Leng telah hadir ke tempat kejadian untuk meninjau masalah yang berlaku.

“Apabila pemeriksaan dijalankan, beliau terus menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Jalan ini sentiasa sibuk dengan kenderaan dan orang ramai, oleh itu, perhatian serius perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Nyaris terkena kejutan elektrik - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tanya alamat taktik baru peragut

WANGSA MAJU - Orang ramai dinasihatkan berwaspada daripada menjadi mangsa ragut taktik bertanyakan alamat oleh penjenayah.


Mangsa, Ramlah Nawawi berkata, dia menjadi mangsa ragut baru-baru ini apabila penjenayah berpura-pura menanyakan alamat rumah.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru balik dari kedai dan hendak masuk ke rumah kira-kira pada jam 3.45 petang didatangi seorang lelaki.

“Pada awalnya saya maklumkan saya tidak tahu alamat tersebut tetapi apabila menyedari sesuatu yang tidak kena, saya cuba mengelak diri dari lelaki tersebut.

“Belum sempat saya melarikan diri, lelaki itu terus meragut saya dan berlaku pergelutan. Pada masa pergelutan lelaki tersebut dapat mencapai loket dan rantai gelang saya.

“Pada masa sama, seorang lagi rakannya yang menunggu di atas motosikal membuat deruman enjin supaya jeritan saya meminta tolong tidak didengar jiran,”kata Ramlah.

Ramlah berkata, sewaktu pergelutan itu, dia mendakap kaki lelaki tersebut dan diheret sejauh 10 meter.

Menyedari takut dicederakan, dia akhirnya melepaskan lelaki tersebut dan mereka terus menghilangkan diri.

“Pengalaman tersebut membuatkan saya lebih berhati-hati dan menasihati kepada wanita dan oran ramai agar tidak terperangkap dengan taktik ini,”katanya

Tanya alamat taktik baru peragut - Selangor & KL - Sinar Harian:

Anak hilang dilarikan jiran

Hilang

KUANTAN - Sepasang suami isteri hanya mampu berdoa selepas anak angkat yang dipelihara sejak lahir hilang dipercayai dilarikan jiran mereka di Kampung Sungai Ular Darat, di sini sejak 11 Disember lalu.

Bapa angkat kanak-kanak itu, Jamaludin Musa, 50, berkata, Muhamad Arief Idmran, 4, diambil jirannya Ahad lalu dengan alasan mahu bermain-main dengan kanak-kanak berkenaan, namun tidak dipulangkan kembali selepas lapan jam.
Jamaludin berkata, dia dan isterinya, Zaharah Yahaya, 43, mengambil keputusan untuk pergi ke rumah jiran mereka itu untuk mengambil Muhamad Arief.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah jiran mereka dipercayai pasangan dari Indonesia itu, Jamaludin mendapati pintu pagar rumah jirannya itu berkunci dan dia dimaklumkan oleh jirannya yang lain pasangan itu sudah menghilangkan diri.
“Sebelum itu, mereka (jiran) meminta izin membawa pulang Muhamad Arief kerana mahu bermain-main dengan anak saya. Selepas mendapati anak saya tidak pulang, saya mengambil keputusan pergi ke rumah mereka tetapi sudah menghilangkan diri.
“Saya jadi bingung dan cuba mengesan di kawasan berhampiran namun gagal menemui mereka,” katanya.
Jamaludin yang juga pengurus di sebuah resort membuat laporan di Balai Polis Cherating berhubung kehilangan Muhamad Arief.
Menurutnya, kanak-kanak itu dipercayai sudah dibawa lari ke Medan, Indonesia melalui laut.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan dan cuba mengesan kanak-kanak terbabit. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.
Jamaludin dan isterinya mendapat hak penjagaan Muhamad Arief selepas ibu bapa kandung kanak-kanak itu menyerahkan Muhamad Arief kepada mereka kerana tidak mampu memeliharanya akibat kemiskinan hidup.
Ibu bapa kandung Muhamad Arief menyerahkannya selepas dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 27 Julai 2008.
Anak hilang dilarikan jiran - Pahang - Sinar Harian:

Maut langgar belakang kereta di MMR


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 18, 2011

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta yang diletakkan di tepi Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) di sini hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata mangsa, Hairul Nizam Dollah, 37, dari Kampung Sungai Kerayong, Pandan Jaya, maut di tempat kejadian.

Dalam insiden 7.15 pagi itu, pemandu kereta berkenaan memberhentikan kenderaannya kerana kehabisan petrol di bahu kiri MRR2 dari arah bulatan Billion menghala ke Bandar Tasik Selatan.

"Hairul Nizam yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss hilang kawalan sebelum merempuh belakang kereta jenis Toyota Vios itu," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada Bernama.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Maut langgar belakang kereta di MMR - Jenayah - Sinar Harian:

Wanita cari anak hilang


Oleh : SH UTARA/GOKINA MORGANAN
Tarikh : December 18, 2011
Wanita cari anak hilang

GEORGETOWN - Seorang ibu kepada enam anak semalam merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak lelakinya berusia tujuh tahun yang tidak pulang ke rumah di Flat Padang Tembak, di sini sejak enam hari lalu.

Kasturi Arjunan, 33, berkata, anaknya Dass Robert, tidak kembali selepas keluar bermain dengan seorang rakannya di bawah flat, kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa lalu.

"Pada mulanya saya tidak mengizinkannya pergi tetapi dia tetap berkeras mahu pergi bermain bersama rakan-rakannya, lalu saya terpaksa benarkan.

"Apabila balik ke rumah, saya dapati dia masih belum pulang. Saya menunggu hingga lewat malam sebab kadang-kadang anak-anak pulang lewat setelah bermain. Tetapi pada hari berkenaan dia tidak pulang hingga lewat malam," katanya sebak ketika ditemui di sini semalam.

Kasturi merupakan suri rumah dan mempunyai lima anak lagi berusia lingkungan empat hingga 11 tahun, kemudian membuat laporan di di Balai Polis Bandar Baru, Air Itam pada hari berikutnxya.

Beliau berharap orang ramai dapat membantu mengesan anaknya itu dengan menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubunginya di talian 014-3089972 atau rumahnya di Blok E-3-6 Padang Tembak Ayer Itam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan menerima laporan itu dan berkata, polis sedang menggiatkan usaha untuk mengesan kanak-kanak itu.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada sebarang maklumat diterima mengenai budak itu dan meminta orang ramai tampil membantu.

Wanita cari anak hilang - Utara - Sinar Harian:

150 pendatang hilang bot karam di perairan Jawa Timur

JAKARTA: Lebih 150 pendatang transit dari Timur Tengah dan beberapa negara lain dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki menuju ke Australia karam di perairan Jawa Timur, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 30 batu nautika dari pantai Perigi, Trenggalek, Jawa Timur.
Sehingga tengah hari tadi, hanya 33 daripada 250 penumpang berjaya diselamatkan dan pasukan penyelamat masih berusaha mencari penumpang lain di kawasan perairan itu namun operasi menyelamat dihalang cuaca buruk dan jarak pandangan yang rendah, lapor media tempatan.
Stesen televisyen Metro TV melaporkan pendatang transit itu berasal dari Turki, Afghanistan, Arab Saudi dan Iran.

Mereka yang terselamat kini diberi rawatan di Bangunan Serbaguna Balai Pelabuhan Perikanan Nusantara, Pulau Perigi.

Sementara itu, pewarta agensi berita ANTARA di Trenggalek melaporkan bot milik nelayan Indonesia itu dipercayai disewa untuk menyeludup pendatang berkenaan ke Australia. - BERNAMA
Berita Harian Online | 150 pendatang hilang bot karam di perairan Jawa Timur:

2 terbunuh pelantar minyak Russia terbalik

VLADIVOSTOK (Russia): Sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala 50 yang lain hilang apabila pelantar minyak di perairan Far Eastern Okhotsk, Russia terbalik, hari ini.

Platform pelantar minyak Kolskoye terletak 200 meter dari pesisir pantai ketika kemalangan berlaku pada jam 1.45 pagi (waktu tempatan).
Selain keadaan air laut yang sejuk, angin kuat memburukkan lagi keadaan dengan suhu kawasan sekitarnya dicatatkan pada -17 darjah celsius.
Ketika kejadian, 67 pekerja pelantar berada di atas platform terbabit, yang mana ia terpaksa dikeluarkan oleh bot tunda dan bot pemecah ais dari semenjung Kamchatka menuju ke arah pulau Sakhalin.

"Ketika ini, petugas penyelamat sudah menemui dua mayat dan mereka sedang cuba menariknya keluar dari air," kata jurucakap Kementerian Kecemasan Russia di sini, hari ini. - AFP
Berita Harian Online | 2 terbunuh pelantar minyak Russia terbalik:

Empat remaja maut


Oleh : SH JOHOR/AZLINA OTHMAN
Tarikh : December 18, 2011

SENAI – Empat remaja perempuan terbunuh apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam gaung di Kilometer (km) 33.7, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran simpang masuk Kulaijaya, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang jam 5.30 petang, empat penumpang yang maut ialah Ng Sin Yun, 17, Tey Jia Xin, 17, Winnie Ng, 16, dan Ching Hui Sean, 16.

Seorang penumpang mati ditempat kejadian, sementara tiga lagi mangsa meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi.

Manakala pemandu kenderaan berkenaan dan seorang penumpang lagi mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superitendan, Che Mahazan Che Aik memberitahu, kesemua enam remaja terbabit lingkungan usia 16 hingga 18 tahun dipercayai dari arah Mersing menuju ke Kota Tinggi.

“Kami masih lagi menyiasat punca kejadian. Jadi kami minta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta hubungi kami di talian 07-8837222 atau datang ke balai polis berhampiran.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Che Mahazan turut menasihatkan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati di jalan raya apatah lagi pada musim hujan serta mematuhi had laju yang ditetapkan.

Empat remaja maut - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bilik azan kena ceroboh

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 18, 2011
Bilik azan kena ceroboh

TANJUNG KLING - Masjid Tanjung Kling, di sini sekali lagi dipecah masuk penyamun, awal pagi kelmarin mengakibatkan beberapa barangan dalam masjid berkenaan lesap.

Kejadian pecah masuk masjid berkenaan dikatakan sudah dua kali berlaku sebelum ini dan terbaru kira-kira tiga minggu lalu apabila terdapat kesan cubaan pecah masuk ke masjid berkenaan.

Dalam kejadian kelmarin, penjenayah berjaya memecah masuk bilik azan yang menempatkan beberapa perala­-tan elektrik termasuk set projektor, pemain cakera padat (VCD) dan peti menyimpan peralatan pertukangan elektrik.

Ia disedari seorang bilal masjid, Mohd Sirah Limat, 57, semasa mahu memasuki bilik azan untuk bersedia melaungkan azan Subuh, kira-kira 5.15 pagi.

Mohd Sirah berkata, ketika itu, dia mendapati pelapik engsel pintu di sebelah ruang solat sudah rosak akibat diumpil, selain beberapa kesan umpilan juga dikesan pada bahagian sisi pintu kayu bilik berkenaan.

Malah, katanya, dia terkejut apabila mendapati pintu di sebelah ruang mimbar serta pintu belakang turut dalam keadaan terbuka.

“Sebuah almari yang menyimpan beberapa peralatan masjid seperti set projektor, VCD termasuk surat dan kitab turut diselongkar,” katanya.

“Ketika diperiksa, saya dapati set projektor bernilai RM2,400 yang dibeli kira-kira dua tahun lalu sudah hilang dipercayai diambil penjenayah berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di masjid berkenaan, semalam.

Mohd Sirah berkata, penyamun berkenaan juga dikesan mencuri sebuah peti menyimpan peralatan pertukangan elektrik yang dile­takkan di lantai.

“Almari yang diselongkar itu turut digunakan untuk menyimpan barang serta surat pegawai masjid iaitu Imam 1, 2 dan 3 termasuk barang dan surat saya sendiri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Tanjung Kling, di sini.

Bilik azan kena ceroboh - Jenayah - Sinar Harian:

3 askar Pakistan maut akibat bom tepi jalan

PESHAWAR 18 Dis. - Sekurang-kurangnya tiga askar Pakistan terbunuh semalam dalam satu letupan bom tepi jalan di barat laut Pakistan.

Menurut seorang pegawai keselamatan, letupan itu berlaku di kampung Katasarai di wilayah Kurram yang bersempadan dengan Afghanistan di mana tentera Pakistan dan askar separa tentera Pakistan pernah melancarkan beberapa serangan terhadap kumpulan militan Taliban.

“Tiga anggota keselamatan termasuk seorang leftenan maut dalam letupan,” katanya.

Pegawai perisikan tempatan mengesyaki penglibatan militan Taliban dalam serangan itu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

Bot karam di Jawa Timur: Lebih 150 migran hilang

JAKARTA 18 Dis. – Lebih 150 pendatang transit dari Timur Tengah dan beberapa negara lain dilaporkan hilang setelah bot yang mereka naiki menuju ke Australia karam di perairan Jawa Timur Sabtu malam.

Kejadian berlaku kira-kira 30 batu nautika dari pantai Perigi, Trenggalek, Jawa Timur.

Sehingga tengah hari ini, hanya 33 daripada 250 penumpang telah diselamatkan dan pasukan penyelamat masih berusaha mencari penumpang lain di kawasan perairan itu namun operasi menyelamat dihalang cuaca buruk dan jarak pandangan yang rendah, media tempatan melaporkan.

Stesen televisyen Metro TV melaporkan pendatang transit itu berasal dari Turki, Afghanistan, Arab Saudi dan Iran.

Mereka yang terselamat kini diberi rawatan di Bangunan Serbaguna Balai Pelabuhan Perikanan Nusantara, Pulau Perigi.

Sementara itu, pewarta agensi berita ANTARA di Trenggalek melaporkan bot milik nelayan Indonesia itu dipercayai disewa untuk menyeludup para pendatang itu ke Australia. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Terkini:

Pekerja maut kubah masjid dalam pembinaan roboh


ANKARA 18 Dis. - Seorang pekerja terbunuh manakala sembilan lagi cedera apabila kubah sebuah masjid yang masih lagi dalam pembinaan roboh semalam.

Menurut Datuk Bandar Hasan Unver, kejadian itu berlaku di Acigol, sebuah kawasan perindustrian yang terletak di pusat bandar Turki.
Semasa kejadian, kubah masjid yang dalam pembinaan itu, jatuh ke bawah dan memerangkap 10 pekerja di bawah timbunan besi.
“Sembilan pekerja diselamatkan dengan kecederaan manakala seorang lagi ditarik keluar mati,” katanya.
Punca kejadian itu sedang disiasat. - AGENSI
-utusan

Empat maut MPV jatuh gaung dekat Kulaijaya

JOHOR BAHRU 18 Dis. – Empat orang maut apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas lalu jatuh ke dalam gaung di Kilometer 33.7 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran simpang masuk ke Kulaijaya, dekat sini semalam.

Seorang penumpang mati di tempat kejadian, manakala tiga yang lain meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam.

Empat penumpang yang maut ialah Ng Sin Yun, 17; Tey Jia Xin, 17; Winnie Ng, 16; dan Ching Hui Sean, 16. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online - Terkini:

Kazakhstan isytihar darurat, perintah berkurung



18/12/2011 2:03am

ALMATY 18 Dis. - Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev semalam mengisytiharkan darurat selama 20 hari dan perintah berkurung di barat Zhanaozen, sehari selepas 10 orang terbunuh dalam satu pertempuran ganas di bandar itu.
Nazarbayev mengeluarkan satu dekri yang menyenaraikan beberapa syarat antaranya melarang sebarang pelancaran mogok dan tunjuk perasaan, menyekat kebebasan bergerak sekitar Zhanaozen serta mengehad jalan keluar masuk ke bandar itu.
Darurat itu berkuatkuasa mulai semalam hingga 5 Januari 2012, jelas dekri itu. - AFP

Pekerja maut kubah masjid roboh

ANKARA 18 Dis. - Seorang pekerja terbunuh manakala sembilan lagi cedera apabila kubah sebuah masjid yang masih lagi dalam pembinaan roboh semalam.

Menurut Datuk Bandar Hasan Unver, kejadian itu berlaku di Acigol, sebuah kawasan perindustrian yang terletak di pusat bandar Turki.

Semasa kejadian, kubah masjid yang dalam pembinaan itu, jatuh ke bawah dan memerangkap 10 pekerja di bawah timbunan besi.

“Sembilan pekerja diselamatkan dengan kecederaan manakala seorang lagi ditarik keluar mati,” katanya.

Punca kejadian itu sedang disiasat. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Terkini:

Remaja lemas mandi laut

PONTIAN: Luluh hati sepasang suami isteri berasal dari Jalan Jaafar, Benut, di sini, apabila menerima panggilan telefon memaklumkan anak kedua mereka ditemui lemas di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.40 petang, Muhammad Shahril Abdulah, 18, yang juga anak kedua daripada tiga beradik, dikatakan hilang di laut ketika mandi bersama empat rakan sebaya di pantai berkenaan.


Mayat mangsa yang juga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, ditemui jam 9.30 malam, Khamis lalu oleh anggota unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Bapanya, Abdullah Yusof, 42, berkata, pada hari kejadian, Shahril meminta dia menjaga pelbagai pakaian seragam miliknya sebaik mungkin.


“Shahril bercita-cita menjadi anggota polis dan sejak kecil dia gemar meminta dibelikan pakaian seragam, sama ada polis atau tentera.


“Pada pagi kejadian, dia meminta saya menjaga semua pakaian seragamnya sebelum bertolak ke Kota Tinggi. Tak sangka ia petanda Shahril akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Abdullah yang bekerja di kilang perabot di pekan Benut berkata, walaupun sedih, keluarganya reda dengan kejadian itu.


Jenazah Shahril dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Abd Rahman, Benut, jam 11.30 pagi kelmarin.

Pada masa sama, berdasarkan rekod keterangan diberikan rakan mangsa dikenali sebagai Diniejafni Syahmi Jamaludin, 18, di Balai Polis Tanjung Penawar, Kota Tinggi, dua rakannya termasuk Shahril dihanyutkan ke arah batu berhampiran.


Katanya, seorang daripadanya berjaya berpaut manakala Shahril hilang daripada pandangan.


Mereka semua tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana ketika itu air pasang manakala laut pula bergelora diikuti angin kencang.

myMetroRemaja lemas mandi laut:

Jadi mangsa nafsu bapa


Jadi mangsa nafsu bapa

KULIM - Haruan makan anak. Begitulah yang dapat digambarkan perlakuan jijik seorang bapa yang sanggup menjadikan anaknya tempat pelepas nafsu.

Sikap terlalu memanjakan anak perempuannya itu yang berusia 14 tahun terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan bapanya yang sering memaksa melakukan hubungan seks.

Mangsa yang tinggal bersama keluarganya di sebuah taman perumahan di sini terpaksa menyembunyikan perbuatan sumbang bapanya itu kerana takut dan malu sekiranya diketahui oleh orang lain.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh mengesahkan laporan dibuat remaja terbabit.

Menurutnya, dalam laporan dibuat, mangsa memaklumkan perbuatan terkutuk berkenaan sudah berlanjutan selama dua tahun iaitu sejak mangsa berusia 12 tahun lagi.

“Kejadian terakhir berlaku di bilik bapa mangsa beberapa hari lalu.

“Mangsa diminta tidak memaklumkan perbuatan itu kepada ibunya kerana ia akan menjejaskan hubungan mereka suami isteri,” katanya.

Bagaimanapun, isteri suspek curiga dengan sikap suaminya yang terlalu memanjakan mangsa sedangkan pasangan itu memiliki anak perempuan lain.

“Isteri suspek berasa pelik dan curiga kerana apa sahaja yang dilakukan oleh mangsa, tidak akan ditegur suaminya walaupun perbuatan itu salah.

“Berikutan itu, dia tergerak hati menyoal anaknya jika ada perkara yang tidak baik dilakukan suaminya itu," katanya.

Ghuzlan berkata, curiga si isteri terjawab apabila anaknya membongkar perbuatan terkutuk suaminya.

Dia kemudiannya membawa mangsa membuat pemeriksaan di Hospital Kulim.

Katanya, perlakuan seks yang melibatkan remaja bawah umur, diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakan perbuatan itu.

“Remaja sering menjadi mangsa perbuatan terkutuk ini, lebih menyedihkan ia dilakukan oleh ahli keluarga mereka sendiri.

“Anak-anak sepatutnya disayangi dan dibimbing, bukan dilakukan sebegitu rupa,” katanya.
-sh

Gadis trauma diacu pisau


Gadis trauma diacu pisau

KAMPUNG TOK HAS - Penjenayah sekarang dilihat semakin berani apabila bertindak menyamun mangsa pada waktu siang dalam kejadian samun di sebuah rumah di sini dekat Jertih minggu lalu, yang menyebabkan mangsa kerugian RM300.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, seorang gadis trauma selepas lehernya diacu pisau selama satu setengah jam oleh seorang lelaki ketika rumah keluarganya disamun dua lelaki di sini, Rabu lalu.

Mangsa Nor Amalina Ahmad, 21, bersama sepupunya yang berusia dua tahun berada di depan rumah apabila tiba-tiba dua lelaki berlari meluru ke arahnya dan terus menutup mulutnya sambil menariknya masuk ke dalam rumah.

“Sebelum itu saya sedang menidurkan sepupu yang tidur di dalam buaian di luar pintu depan rumah dengan keadaan saya menghadap ke dinding.

“Sebaik saya berpaling muka memandang ke arah ke jalan raya di depan rumah, saya lihat dua lelaki bertopeng dan hanya menampakkan mata sudah memasuki halaman rumah dan meluru ke arah saya. Saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Nor Amalina berkata, selepas diseret masuk ke dalam rumah, salah seorang penjenayah itu meletakkan pisau pada lehernya, manakala seorang lagi bertindak menggeledah di dalam bilik.

Menurutnya, ketika itu, adik lelakinya Mohd Farhan Ahmad, 19, yang sedang tidur di ruang tamu rumah langsung tidak sedar kerana semuanya berlaku dalam keadaan senyap, termasuk suspek langsung tidak mengeluarkan suara.

Rasa mengantuk bila mulut ditutup kain

“Saya percaya suspek menggunakan ubat tidur atau bahan tertentu pada kain yang digunakan untuk menutup mulut saya kerana saya terhidu bau sesuatu pada kain itu dan pada masa sama saya menjadi lali serta mengantuk,” katanya.

Menurutnya, selepas hampir satu setengah jam menggeledah rumah keluarganya, suspek melarikan diri selepas menolaknya.

Nor Amalina berkata, ketika ditolak, pisau penjenayah itu terkena bahagian kanan lehernya menyebabkan dia mengalami kecederaan kecil di bahagian itu.

Menurutnya, suspek dikatakan seramai tiga orang dengan seorang lagi menunggu di dalam kereta jenis Proton Wira hitam yang diletakkan di simpang jalan kira-kira 50 meter dari rumahnya.

“Dua suspek yang datang menyamun saya berbadan tinggi memakai seluar jeans manakala saya sempat tengok suspek di dalam kereta agak gemuk sebelum mereka melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, penjenayah terbabit melarikan wang tunai RM300, kad pengenalan dan buku akuan bank miliknya dan ibunya.

Menurutnya, biarpun nilai kerugian yang dialami tidak besar tetapi sehingga sekarang dia masih trauma dan terbayang–bayang kejadian itu hingga sekarang.

“Ibu saya yang pulang kira-kira jam 12.50 tengah hari baru mengejutkan adik saya kerana selepas penjenayah melarikan diri, saya tergamam dan hanya mampu menangis. Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih,” katanya.

Dia juga sedih kerana penjenayah tidak memilih mangsa apabila tergamak menyamunnya, sedangkan dia hanya bekerja sebagai pengasuh dan ibunya bekerja di kantin sekolah.

“Wang RM200 daripada RM300 yang disamun itu adalah wang saya yang dikumpulkan sejak beberapa bulan lalu hasil gaji mengasuh sepupu dan RM100 lagi wang yang dikumpul ibu,” katanya.

Nor Amalina bagaimanapun bersyukur kerana penjenayah tidak mencederakan sepupu dan adiknya yang sedang tidur.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek kini sedang diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
-sh

Buru khinzir, jumpa mayat


Bunuh

KUALA KANGSAR – Seorang pemburu yang sedang memburu khinzir terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki di satu lorong semak di Kampung Semat, di sini, semalam.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mayat yang telah berbau itu dipercayai mati dibunuh sebelum dicampak di situ.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abd Gaffar Mohamad, berkata, mayat yang lengkap berpakaian baju kemeja lengan panjang dan berseluar jeans itu terbaring di dalam semak lalang di cerunan bukit menghala ke arah tebing Sungai Perak.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman di bahagian abdomen mangsa.
“Jarak mayat itu ditemui ialah kira-kira 20 meter dari jalan utama dari arah Jalan raya Manong menuju Tg Belanja.
“Mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hingga lima hari berdasarkan mayat yang ditemui itu sudah berbau busuk,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan kemungkinan si mati adalah berbangsa India atau warga asing.
“Mangsa berumur dalam lingkungan 36 hingga 50 tahun dan berkulit gelap dengan ketinggian kira-kira 176 sentimeter.
“Pakar patologi forensik akan menjalankan bedah siasat untuk siasatan lanjut mengenai punca kematian dan kecederaan di mati.
“Siasatan diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan menyerupai ciri-ciri si mati atau mengenali mangsa supaya menghubungi pihak polis Kuala Kangsar.
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Petugas Gerakan Khas Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau hubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nazaruddin Ibrahim di talian 019-6666373,” katanya.
-SH