Search This Blog

Friday, December 16, 2011

Perompak ala ‘cowboy’ kaut empat dulang emas

PARIT BUNTAR: Sekumpulan penjenayah ganas berlagak ala ‘cowboy’ apabila melepaskan tembakan ke udara sebelum merompak sebuah kedai emas di sini.

Tiga penjenayah yang memakai topeng itu muncul di hadapan sebuah kedai emas di Jalan Bendahara, di sini, sebelum melepaskan tembakan menggunakan senapang pump-gun ke udara bagi menakutkan orang ramai.


Kejadian jam 12 tengah hari semalam menyebabkan orang ramai yang menunggu bas di stesen berhadapan kedai emas itu bertempiran lari ketakutan.

Ketua Polis daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kumpulan suspek dikesan menaiki sebuah Proton Wira berwarna putih sebelum berhenti tidak jauh dari kedai emas berkenaan.


Menurutnya, dua lelaki bersenjatakan senapang pump-gun dan tukul besi itu meluru keluar dari kenderaan sebelum melepaskan tembakan ke udara.


“Pada masa sama seorang lagi suspek berlari masuk ke dalam kedai emas dan menghentam cermin kaca pameran menggunakan tukul besi.

“Dua pekerja di dalam kedai emas berkenaan iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan hanya terpaku dan tidak berani berbuat apa-apa,” katanya.


Menurutnya, suspek mengambil lebih empat dulang barang kemas sebelum memasukkan ke dalam beg karung dibawa.

myMetro | Perompak ala ‘cowboy’ kaut empat dulang emas:

Parah rempuh tiang lampu

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki parah di kepala manakala rakannya cedera apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang tiang lampu dalam kejadian di Lebuh Raya Mahameru, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 20-an bersama seorang rakan dipercayai memandu laju sebelum gagal mengawal keretanya kerana jalan basah berikutan hujan lebat beberapa jam sebelum kejadian.


Pegawai Bomba Kanan 2, Ahmad Shapri berkata, bomba menerima panggilan daripada orang awam jam 10.11 malam sebelum menghantar 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Hang Tuah ke tempat kejadian.

Katanya, bomba terpaksa memotong beberapa bahagian kereta yang remuk untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan orang awam yang melalui kawasan lebuh raya berkenaan.


“Pemandu kereta terbabit cedera parah di kepala dan belakang badan manakala penumpangnya hanya cedera ringan.


“Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut dan kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika di temui di lokasi kejadian.

myMetro | Parah rempuh tiang lampu:

Lelaki maki polis didenda RM50

PETALING JAYA: Gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis dua minggu lalu, seorang lelaki didenda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap M Veloo, 39, selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara sehari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Konstabel Edmond Linggie anak Anthony yang boleh membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan. Kejadian itu didakwa berlaku di tepi Blok J, PJS 1, di sini, pada jam 12.20 tengah malam, 2 Disember lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan kecil 1955 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang boleh didenda tidak lebih RM100, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

myMetro | Lelaki maki polis didenda RM50:

Dua terbunuh selepas bom atas lanca meletup

COTABATO (Filipina): Sebutir bom di atas lanca meledak berhampiran dewan perbandaran yang dipenuhi pengunjung di selatan negara ini, semalam membunuh dua orang di atas kenderaan itu, kata polis.

Bom itu meletup kurang satu kilometer dari dewan perbandaran di Maguindanao, wilayah selatan yang dilanda keganasan di mana permusuhan antara suku kaum tercetus dan kumpulan pejuang Islam beroperasi.


“Lanca itu sedang bergerak sebelum ia meletup secara tiba-tiba. Dua orang yang berada di atasnya terbunuh,” kata Ketua Polis wilayah itu, Superintendan Kanan Marcelo Pintac.

Polis berpendapat kemungkinan dua lelaki terbabit merancang untuk meninggalkan bom itu di tempat lain tetapi ia meletup sebelum masanya. - AFP

myMetro | Dua terbunuh selepas bom atas lanca meletup:

Lelaki diberkas bersama 250kg ganja

BANGKOK: Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan semalam di wilayah Songkhla bersama 250 kilogram ganja mampat, kata polis.

Prayad Porlar dari timur laut wilayah Nong Khai ditahan di stesen minyak di daerah Rattaphum di Songkhla oleh pasukan polis Divisyen Kawalan Jenayah (CSD) yang diketuai oleh Kolonel Thinnakorn Rangmat. Mereka merampas 250 kilogram ganja, trak pikap dan telefon mudah alih daripada suspek.


Penahanan itu dibuat ekoran maklumat bahawa dadah akan diseludup dari Nong Khai untuk dijual kepada ejen dadah Malaysia di Satun.

myMetro | Lelaki diberkas bersama 250kg ganja:

Penganggur tidak mengaku ragut

KLANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan meragut beg tangan seorang suri rumah dalam satu kejadian yang turut menyebabkan kaki dan tangan wanita itu cedera, di sini, bulan lalu.

Bagaimanapun, P Nadarajan, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.


Mengikut pertuduhan, Nadarajan didakwa meragut beg tangan milik Lok Fook Moon di Lebuh Pulau Pilang NBC, Jalan Meru, di sini, kira-kira jam 11 malam, 27 November lalu.

Dalam kejadian itu, dia didakwa melarikan wang tunai RM200, telefon bimbit, kamera, kad pengenalan, lesen memandu dan kad kredit milik mangsa. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.


Nadarajan turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan memiliki sebilah parang 48 sentimeter, pisau lipat dan kapak, di tepi jalan dekat bangunan Kamdar, Jalan Kapar, di sini, jam 11.10 malam, pada hari sama.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebat atau denda, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi manakala Nadarajan tidak diwakili peguam bela.

myMetro | Penganggur tidak mengaku ragut:

‘Suara ayah kesakitan’

ALOR SETAR: “Saya hanya mampu mendengar suara ayah menjerit meminta tolong akibat dipukul sebelum suspek mematikan telefon bimbit. Ketika itu saya dapat rasakan ayah cukup terseksa,” kata Hasniza, 33, anak sulung kepada Hamdan Saad, 56, yang meninggal dunia selepas 15 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah setelah ditemui terbaring di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Machang Kudong, Pokok Sena, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga arwah isterinya di Kampung Bukit, Jalan Naka dengan menunggang motosikal sebelum ditahan seorang lelaki berusia 54 tahun dan anaknya berusia 25 tahun.


Mangsa dikatakan bertengkar dengan dua beranak terbabit sebelum kunci motosikalnya dirampas dan dipukul berulang-kali disebabkan cemburu buta menyebabkan mangsa berlari meminta pertolongan di kawasan berkenaan.

Menceritakan kejadian itu. Hasniza berkata dia menerima panggilan pada jam 11.12 pagi ketika berada di rumahnya di Simpang Makam Diraja Langgar dan mendengar suara bapanya meminta tolong dalam keadaan kesakitan menyebabkannya panik.


Menurutnya, lelaki itu mematikan telefon sebelum menghubungi semula kira-kira 30 minit kemudian sambil meminta mengambil bapanya di suatu tempat iaitu di kawasan kebun kelapa sawit.


“Saya memaklumkan kepada suami, Mohd Faizal Abdullah, 33, lalu mengajaknya ke lokasi kejadian, tetapi suami tidak membenarkan saya mengikutinya sebaliknya dia bergegas ke sana bersama adik, Mohd Hanif Hamdan, 21, dan sepupu.

“Sebaik tiba lokasi, adik saya menemui motosikal ayah, tetapi kelibatnya tidak nampak lalu terus mencarinya dan adik saya menemui ayah dalam longkang tidak berair sedalam kira-kira 0.5 meter dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya, semalam.


Hasniza berkata, sepasukan anggota polis tiba dan membuat pemeriksaan sebelum bapanya dihantar ke HSB akibat cedera parah di kepala.

Katanya, bapanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sebelum meninggal dunia pada jam 2.25 pagi semalam.


“Kami kenal dengan suspek dan dia mungkin berdendam dengan ayah sebelum ini. Ayah tidak mempunyai musuh dan lebih suka melakukan kerja di rumah sejak kematian ibu kami, Fatimah Murad, dua tahun lalu,” katanya.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Baharom Abu berkata, pihaknya sudah menahan dua beranak itu bagi membantu siasatan.


Menurutnya, suspek dipercayai membawa mangsa ke kawasan kebun sawit dan memukulnya berkali-kali sebelum menghubungi anak perempuan mangsa untuk mengambil bapanya yang tidak sedarkan diri.


Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan bermotifkan cemburu apabila mangsa didakwa mempunyai hubungan dengan isteri suspek.


“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) selepas ditahan sejurus anak mangsa membuat laporan polis.


“Mangsa dipercayai dipukul dengan besi di kepala dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

myMetro | ‘Suara ayah kesakitan’:

Mati rempuh tiang

PEKAN: Seorang lelaki terbunuh selepas motosikal ditungganginya merempuh tiang elektrik di Kilometer 87, Jalan Kuantan-Segamat, Kota Perdana, di sini, kelmarin.

Muhamed Raffe Sukor, 43, kakitangan swasta berasal dari Kampung Rahmat, Kluang, Johor dikatakan terjatuh atas jalan selepas kemalangan sebelum ditemui tidak sedarkan diri oleh pengguna lain yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.


Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS), Rompin, kira-kira jam 5.50 petang.

Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati mangsa menunggang seorang diri dipercayai dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari Segamat sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik di kanan jalan.


“Mangsa tercampak ke permukaan jalan sebelum dibantu orang awam melalui laluan berkenaan. Mangsa kemudian dikejarkan ke HMS untuk menerima rawatan sebelum meninggal dunia akibat kecederaan dialami.


“Pada masa sama, polis mengalami kesulitan mengesan waris mangsa yang gagal dihubungi sejak kelmarin sebelum meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kluang pergi ke alamat rumah berpandukan kad pengenalan mangsa.

“Jenazah mangsa masih disimpan di HMS selepas dibedah siasat dan kemungkinan dituntut petang ini (semalam) oleh adiknya yang datang dari Perak,” katanya, semalam.

myMetro | Mati rempuh tiang:

'via Blog this'

Kolam maut

TELUK INTAN: Seorang remaja lelaki ditemui mati dalam keadaan misteri apabila mayatnya ditemui terapung dalam sebuah kolam tapak pembinaan perumahan di sini, petang semalam.

Kematian B Utahayakumar, 13, membingungkan ahli keluarga berikutan mangsa didakwa mandi bersendirian dengan meninggalkan dompet dan telefon bimbit di rumah.


Ibu mangsa, M Santhaletchumi, 40-an, berkata mayat anaknya itu ditemui jam 4.50 petang semalam, di kawasan perumahan baru berhampiran Jalan Hutan Melintang, di sini.

Menurutnya, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Hutan Melintang, di sini, didakwa berkelakuan pelik apabila keluar dari rumah tanpa memberitahu lokasi dituju. “Tambah membingungkan apabila anak saya tidak pernah mandi di luar rumah apatah lagi sungai atau parit. Dia hanya memberitahu rakannya mahu keluar mandi bersendirian tetapi tidak menyatakan lokasi.


“Rakannya yang bimbang berikutan mangsa tidak pulang selepas dua jam kemudian mencarinya sebelum menemui mayat anak saya terapung di kolam berkenaan,” katanya.


Menurutnya, penduduk kampung yang dimaklumkan berhubung kejadian itu bergegas mengeluarkan mayat mangsa dari kolam itu.

Mayat Utahayakumar kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.


“Kami ahli keluarga masih trauma dan tertanya-tanya tujuan Utahayakumar ke lokasi kejadian yang terletak 400 meter dari rumah kami.

“Ketika kejadian, saya sedang bekerja di sebuah kilang berhampiran sebelum menerima panggilan daripada salah seorang rakan anak saya yang menemui mayatnya,” katanya.


Menurutnya, dia hanya mampu meraung kesedihan apabila mendapati mayat anaknya ditutup dengan kertas.


Sementara itu Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikannya mati mengejut.

myMetro | Kolam maut:

6 beradik kebuluran

JOHOR BAHRU: Enam beradik berusia antara tiga hingga 12 tahun nyaris mati kebuluran berikutan tidak diberikan makan dan minum sejak seminggu lalu oleh ibu kandung mereka yang dipercayai meninggalkan kanak-kanak itu kerana pulang ke kampung halamannya di Indonesia.

Difahamkan, ketika diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua enam beradik itu dalam keadaan tidak bermaya serta hanya menunggu ibu mereka dalam rumah di sebuah kampung di Masai, dekat sini.


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Khatijah Abdullah berkata, bertindak atas maklumat orang ramai yang mendakwa enam beradik itu ditinggalkan bersendirian dalam rumah, pegawai JKM menjalankan siasatan sebelum menemui kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah.

Katanya, ketika meninjau keadaan enam kanak-kanak membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan, pegawai JKM mendapati mereka dalam keadaan lemah dan sayu dipercayai kerana tidak menjamah nasi berikutan terputus bekalan makanan sejak ditinggalkan ibu.


Hasil pemeriksaan, katanya, pihaknya mendapati keluarga berkenaan mula terputus bekalan makanan sejak bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit, sebulan lalu.


“Kami percaya wanita warga asing berusia 40 tahun itu buntu untuk meneruskan hidup dan tertekan dengan kesempitan hidup selepas kematian suami berusia 50-an, sebelum nekad meninggalkan semua anaknya bersendirian dalam rumah.

“Kami diberitahu wanita berkenaan berasal dari Indonesia dan mendirikan rumah tangga sejak 13 tahun lalu bersama warga tempatan dan mempunyai enam anak termasuk sepasang kembar perempuan berusia tiga tahun.


“Mungkin dia keliru dengan masa depan anak selepas kehilangan pasangan hidup dan memilih jalan mudah dengan meninggalkan semua zuriatnya,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Dialog Sukarelawan Kebajikan bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru di sini, semalam, disertai 163 sukarelawan.

Khatijah berkata, enam beradik itu diselamatkan pihaknya dan kini ditempatkan di pusat perlindungan jabatan hingga mendapat perintah mahkamah.


Menurutnya, sehingga kini, tiada waris kanak-kanak terbabit yang berstatus warganegara tampil bagi membincangkan masa depan mereka.


“Perbuatan ibu kandung kanak-kanak yang menghilangkan diri boleh memberi kesan mendalam terhadap anak-anaknya kerana mereka kehilangan kasih sayang dan perlindungan.


“Oleh itu, kami memberi kaunseling dan cuba mengisi kesunyian semua kanak-kanak itu,” katanya yang meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang kes pengabaian kanak-kanak di talian 07-2232606.

myMetro | 6 beradik kebuluran:

6 pelacur asyik layan pelanggan ditahan

SEREMBAN: Enam wanita warga tempatan dipercayai pelacur dicekup ketika sedang asyik melayan pasangan masing-masing di hotel di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.15 petang itu, enam wanita berusia antara 30 hingga 49 tahun ditahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hasil risikan dan maklumat orang ramai.


Difahamkan, ketika serbuan dilakukan, rata-rata pengunjung bertempiaran lari untuk meloloskan diri namun usaha mereka tidak berhasil sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, ketika serbuan, pemilik premis terbabit sedang leka melayan pelanggan tanpa menyedari pergerakan mereka diperhatikan.


“Serbuan itu dilakukan hasil dari maklumat dan risikan polis. Ketika operasi dilakukan, kita mendapati mereka cuba melarikan diri daripada dicekup.


“Kami turut menahan enam lelaki berusia 28 hingga 48 tahun yang ketika itu asyik ‘dibelai’ wanita masing-masing,’’ katanya.

Hamdan berkata, seorang penjaga premis warga tempatan yang berusia 40 tahun dipercayai mengendalikan kegiatan itu turut ditahan bagi membantu siasatan.


Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 372 dan 373 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk disoal siasat sebelum dikenakan tindakan susulan.

mymetro

Bekas Presiden Perancis didapati bersalah atas dakwaan rasuah

PARIS: Bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac didapati bersalah atas dakwaan rasuah tetapi terselamat daripada menjalani hukuman penjara sekali gus menjadi bekas presiden pertama disabitkan kesalahan atas jenayah yang dilakukan.

Chirac, 79, yang tidak hadir atas alasan kesihatan, didapati bersalah melakukan rasuah, pecah amanah dan menggelapkan wang di antara 1990 dan 1995 ketika mengambil pekerja yang tidak wujud ketika menjadi Datuk Bandar Paris.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata, perbuatan jenayah Chirac menyebabkan pembayar cukai kerugian sebanyak 1.4 juta euros (AS$1.8 juta).
Berita Harian Online | Bekas Presiden Perancis didapati bersalah atas dakwaan rasuah:

4 bank didakwa di mahkamah kerana kenakan caj berlebihan

MELBOURNE: Firma guaman terkemuka, Maurice Blackburn, akan mengemukakan saman berkumpulan terhadap empat bank besar kerana mengenakan bayaran pelanggan pada kadar yang keterlaluan selepas mencapai sebahagian kejayaan dalam satu kes mahkamah terhadap ANZ Bank.

Maurice Blackburn akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Commonwealth Bank of Australia, Westpac, National Australia Bank dan Citibank, kata Ketua Saman Berkumpulannya, Andrew Watson, pada satu sidang media Jumaat.
Dalam satu perintahnya bulan ini, Mahkamah Persekutuan mendapat bayaran lewat yang dikenakan ke atas kad kredit boleh disifatkan sebagai penalti dan mungkin tidak boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang.
Maurice Blackburn berkata prosiding terhadap empat lagi bank akan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan di sini bagi pihak 150,000 pelanggan bagi tuntutan bernilai hampir A$200 juta.

Saman-saman secara berkumpulan ini bertujuan mencapai keadilan bagi berpuluh ribu warga Australia yang telah dikenakan caj keterlaluan oleh bank-bank utama," tegas Watson.

Tindakan-tindakan itu dibiayai oleh pembiaya litigasi, IMF (Australia) Ltd, berdasarkan "tidak menang, tiada bayaran", kata firma guaman itu. - BERNAMA
Berita Harian Online | 4 bank didakwa di mahkamah kerana kenakan caj berlebihan:

Suami isteri dipenjara terima deposit tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berbentuk perdagangan dipenjara tiga tahun manakala isterinya dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan menerima deposit lebih RM14 juta daripada orang awam tanpa lesen yang sah, lima tahun lalu.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Dahlan David Abdullah, 46, dan isterinya Ramunatul Aida Rahmat, 43, manakala syarikat mereka, Syarikat Jazmeen (M) Sdn Bhd, didenda RM1 juta terhadap pertuduhan yang sama.
Mahkamah turut memerintahkan suami isteri itu membayar kos pendakwaan Bank Negara sebanyak RM7,000 seorang dan jika gagal, mereka boleh dipenjara selama dua bulan.
Komathy dalam keputusannya juga memerintahkan supaya wang sebanyak RM571,410 yang ditemui di rumah mereka, dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.

"Walaupun tertuduh telah mengaku bersalah tetapi ini merupakan satu kes yang serius. Mahkamah tidak boleh memberi hukuman yang lebih ringan kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar selain melibatkan kepentingan awam," kata Komathy.

Terdahulu, suami isteri itu, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan memandangkan mereka tidak mengetahui tindakan itu menyalahi undang-undang selain menginsafi kesalahan yang dilakukan.

Pendakwa Raya Mohd Shukri Ahmad Mansor dari Bank Negara memohon hukuman berbentuk pencegahan kerana kesalahan mengambil deposit adalah kesalahan serius bagi mengelakkan orang lain melakukan kesalahan yang sama.
Mengikut pertuduhan Dahlan dan Ramunatul yang merupakan pengarah syarikat Jazmeen didakwa melakukan kesalahan itu di Cheras Business Centre antara 29 Disember 2006 hingga 30 Julai 2008.

Bagaimanapun, kedua-duanya menghilangkan diri setelah diburu Bank Negara pada 15 Julai 2009 berhubung kesalahan itu sebelum ditemui di depan Bank Rakyat Desa Pandan pada 3 petang, Isnin lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain mereka, Syarikat Jazmeen turut berdepan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen pada waktu dan tempat yang sama. - BERNAMA

Berita Harian Online | Suami isteri dipenjara terima deposit tanpa lesen:

400 bermasalah kesihatan mental

Oleh : NORHAFIZA MUSA
Tarikh : December 16, 2011
mental
KUALA TERENGGANU – Seramai 400 pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental dimasukkan ke wad psikiatri Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada setiap tahun dan 50 hingga 80 daripadanya adalah kes baru.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman berkata, dari jumlah itu, kes paling banyak melebihi 80 peratus adalah berkaitan psikosis iaitu penyakit mental yang disebabkan oleh perubahan kimia di dalam otak.

“Terdapat juga masalah lain seperti kecelaruan emosi (lebih lima peratus) dan penyalahgunaan dadah (lebih lima peratus).

“Bagaimanapun, statistik ini hanya menggambarkan masalah berkaitan dengan penyakit mental yang merupakan sebahagian kecil daripada masalah,” katanya pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2011 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Intitut Latihan dan Perindustrian (ILP) Marang.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Pembangunan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Hasyim Abdullah dan majlis itu dirasmikan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr N Jegarajan NS Pilay.

Menurut Dr Anwa, bagi membantu pesakit terbabit, pelbagai kaedah merawat, memulih, mendidik dan mencegah pelbagai penyakit berkaitan mental dan emosi mula diperkenal dan sentiasa diperbaharui bagi membantu merawat pesakit-pesakit mental.

Beliau berkata, langkah proaktif itu juga telah meningkatkan tahap pemulihan penyakit secara optimistik, selain dapat mengurangkan kadar ulangan penyakit dan kebergantungan sosial yang kronik.

Secara tidak langsung katanya, usaha dijalankan juga dapat menangkis tanggapan singkat sesetengah masyarakat, bahawa penyakit mental adalah penyakit tiada ubat dan sukar dipulihkan.

“Selain itu, kita turut menjalankan khidmat rawatan psikiatri dalam komuniti di semua daerah yang mana pesakit sukar untuk datang ke hospital, tiada sokongan keluarga dan kewangan akan dibantu oleh pasukan komuniti itu.

“Pasukan ini akan membuat lawatan ke rumah untuk memastikan rawatan berkala dapat diberikan dan keadaan pesakit akan dipantau secara berterusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Anwa berkata, Terengganu mempunyai dua hospital menawarkan khidmat Kumpulan Sokongan Keluarga yang dapat membantu proses penyembuhan pesakit mental iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Hulu Terengganu.

“Rawatan boleh diperoleh di semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan namun kos perubatan penyakit mental agak tinggi iaitu menyamai kos merawat penyakit kronik seperti jantung,” katanya
400 bermasalah kesihatan mental - Terengganu - Sinar Harian:

Berbogel elak terbakar

Berbogel elak terbakar - Terengganu - Sinar Harian:

Oleh : MOHD TAHA YAACOB
Tarikh : December 15, 2011
bakar

JERTIH – Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur 13 tahun nyaris menjadi korban apabila terperangkap hampir 15 minit di dalam bilik tidur rumah keluarganya yang musnah dalam satu kebakaran di sini dekat Jertih, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 12.13 tengah hari itu, Muhammad Shukery Din, 13, berada di rumah bersama kakaknyam Siti Zubaidah, 17, manakala ibunya, Haminah Mohamad, 43, pergi mengaji di rumah berhampiran.

Bagaimanapun, jeritan kakaknya meminta tolong setelah mendengar bunyi letupan kecil dari dalam bilik itu selain kepulan asap yang dapat dilihat dari jauh menyebabkan jiran segera menghubungi pasukan penyelamat.

Bapa mangsa, Din Taha, 46, berkata, dia bersyukur kerana kepantasan pasukan penyelamat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menyelamatkan nyawa anaknya membolehkan kebakaran tidak sempat merebak ke bahagian lain.

“Muhammad Shukri tinggal bersama kakaknya tiba-tiba dia masuk ke dalam bilik,” katanya.

Din berkata, anaknya mengalami masalah pertuturan sejak lahir selain turut menghidap lelah.

Difahamkan api bermula dari tilam di dalam bilik itu kemudian membakar semua perabot dan bumbung rumah bahagian bilik. Kebakaran dikatakan berpunca daripada mancis dinyalakan kanak-kanak itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Zuzuki Safie berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 12.15 tengah hari dan beliau bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota serta sebuah jentera bomba.

“Kanak-kanak itu dipercayai cuba memadam kebakaran tetapi gagal, menyebabkan dia lari bersembunyi di dalam bilik air yang terdapat dalam bilik itu. Walaupun OKU, tetapi dia cerdik apabila bertindak membasahkan badannya untuk mengelak bahang akibat kebakaran yang memusnahkan bilik termasuk bilik air itu,” katanya.

Sementara itu, demi tanggungjawab dan tugas, dua kakitangan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Besut, Badrulshah Yusof, 51, dan Azli Che Wil, 41, sanggup menggadai nyawa meredah api semata-mata untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak terbabit.

Badrulshah berkata, sejurus selepas menerima panggilan daripada orang awam, dia bersama tiga lagi rakan setugas bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, sebaik masuk ke dalam bilik air, mereka mendapati Muhammad Shukery dalam keadaan bogel sedang duduk bercangkung di suatu sudut sambil membasahkan badannya menggunakan air.

“Ketika itu kami hanya fikir mahu selamatkan kanak-kanak itu walaupun asap tebal dan suhu membahang. Tambahan pula, saya agak bimbang sekiranya kayu di bahagian bumbung yang hangus itu runtuh.

“Namun, kami hanya bertawakal kepada Tuhan kerana niat kami hanya untuk membantu kanak-kanak itu,” katanya.

Azli berkata, dalam keadaan panik dan cemas, Badrulshah terus mendukung kanak-kanak itu keluar lalu menyelimutinya sebelum segera menghantarnya dengan ambulans JPAM ke Hospital Besut.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan keadaannya stabil.
Dia melecur kira-kira 20 peratus daripada bahagian badannya iaitu pada lengan tangan kanan, belakang badan, hidung, telinga dan dahi.

10 lokasi ancaman bom di Bangkok

10 lokasi ancaman bom di Bangkok - Global - Sinar Harian:


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 16, 2011

BANGKOK - Polis Thailand menyiarkan 10 lokasi ancaman pengeboman di Bangkok dan menggesa penduduk menjauhi kawasan terbabit ketika sambutan Tahun Baru.

Larangan tersebut demi mengelak serangan serupa berulang dimana kawasan di Bangkok di bom lima tahun lalu menyebabkan tiga orang terbunuh dan mencederakan 38 yang lain termasuk empat pelancong asing.

10 lokasi yang dinyatakan adalah Tugu Kejayaan, kompleks pawagam utama Ratchayothin, Pusat Membeli-belah Seacon, CentralWorld, Jalan Khao San, Istana Chitralada, Si Sao Thewes, Terminal Bas Mor Chit, Soi Nana dan Pata Pinklao.

Kanak-kanak 10 tahun mengaku membunuh

Kanak-kanak 10 tahun mengaku membunuh - Global - Sinar Harian:

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 16, 2011

STOCKHOLM - Seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun di Sweden mengaku mahu membunuh rakannya yang berusia 4 tahun menggunakan ‘skipping rope’ (tali lompat).

Laporan media tempatan menyatakan mangsa dibunuh selepas melarikan diri dari taman permainan di sebuah kampung di selatan Ljungby, selepas bergaduh dengan kanak-kanak lain.

Beberapa jam kemudian, mayat mangsa ditemui dalam sebuah belukar berhampiran kawasan kediaman.

Polis yang enggan mengulas motif sebenar memberitahu, sewaktu kejadian pada 16 Oktober lalu, kanak-kanak tersebut bertindak mencekik mangsa menggunakan tali lompat.

Majalah Times nobat penunjuk perasaan

NEW YORK - Penunjuk perasaan di rantau Arab dinobatkan sebagai ‘Person of The Year’ oleh Majalah Times bagi 2011.
Majalah berita itu memaparkan percanggahan merentasi Timur Tengah itu merebak ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sekali gus membentuk semula politik sejagat.

Pemilihan dibuat berdasarkan mereka atau benda yang dirasakan telah mempengaruhi kebanyakan budaya dan berita semasa baik dan buruk sepanjang tahun lalu.

Menurut Times, penunjuk perasaan dipilih kerana kejayaan mendefinisikan semula kuasa rakyat seluruh dunia.

Lelaki ditetak ketika bergaduh

Lelaki ditetak ketika bergaduh - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 16, 2011

ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 30-an ditemui orang ramai dengan pergelangan tangan kanannya terkulai dan kaki kanan cedera dipercayai ditetak di sebuah kuarters di Tongkang Yard dekat sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Baharom Abu berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.40 malam tadi setelah berlaku satu pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki lain yang seusia dengan mangsa.

Katanya pihaknya percaya mangsa yang cedera di pergelangan tangan dan kaki dipercayai ditetak dengan menggunakan senjata tajam sewaktu berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

Orang ramai yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri segera menghubungi polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan. Mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kini dalam keadaan stabil.

"Polis sekarang sedang mengesan suspek dipercayai seorang lelaki India yang terlibat dengan kes ini dan kita percaya mangsa mengenali suspek terbabit. Polis juga sedang menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Warga Indonesia tebang pokok bakau secara haram

Warga Indonesia tebang pokok bakau secara haram - Johor - Sinar Harian:


Oleh : SH JOHOR/ NORSHIKIN MOHD SALLEH
Tarikh : December 16, 2011
Curi-bakau

SENAI – Tujuh lelaki warga Indonesia yang leka menebang pokok bakau secara haram di Hutan Bakau Pantai Dg Pacat, Belungkor Kota Tinggi, ditahan dalam satu Ops Bersepadu Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua bersama anggota dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Komander Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, ke semua lelaki itu didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan ditahan dibawah Akta Perhutanan Negara 1985, kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

SMS terakhir buat isteri

SMS terakhir buat isteri - Pahang - Sinar Harian:

Oleh : NOR AINNA HAMZAH
Tarikh : December 15, 2011
sms terakhir

TAMPIN – “Salam ma, ayah dah sampai jam 6 pagi ni. Ni last kredit K. Jaga anak-anak kat umah tu K. Lebih-lebih lagi Arif K”. Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir diterima isteri mangsa kemalangan maut di kilometer 5.5, Jalan Air Kuning-Nyalas, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, mangsa yang juga anggota tentera, Kasim Md Nor, 32, dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kem Syed Sirajuddin Gemas ke kediamannya di Taman Mutiara Sungai Rambai, Melaka.

Isteri mangsa, Lina Abdullah, 37, berkata, dia sememangnya sudah berasa tidak sedap hati apabila panggilan telefon dan mesej yang diberikan melalui SMS tidak berbalas dari suaminya.

“Akak cuba menghubungi suami akak sehingga petang semalam, namun hampa apabila panggilan tidak berangkat dan mesej juga tidak berbalas. Bagaimanapun, akak sempat memasak sambal ayam kegemarannya untuk menanti kepulangannya seperti biasa.

“Namun, sehingga lewat petang, suami akak masih juga belum pulang dan selepas maghrib, sebuah van tentera berhenti di hadapan rumah akak dan memaklumkan mengenai berita memeranjatkan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), semalam.

Lina berkata, arwah sudah mula berulang-alik dari Kem Syed Sirajuddin sejak 22 Disember tahun lalu selepas mereka sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah dan menetap di Melaka.

Menurutnya, sepanjang lebih 13 tahun berumah tangga, mereka dikurniakan tiga anak yang kini berusia tiga hingga 12 tahun dan dia berasa sangat sayu apabila mengenangkan mesej terakhir suaminya untuk menjaga anak-anak dengan baik terutamanya yang bongsu.

“Malah, malam beberapa hari sebelum kejadian juga, suami saya sempat berpesan kepada anak perempuan yang sulung untuk sentiasa menolong saya di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, sebaik tiba di selekoh, mangsa dipercayai bergesel dengan lori dan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah. Mayat dihantar ke HT untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan diharap orang ramai yang melihat kemalangan ini supaya tampil untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Simpan dadah dalam peti besi

Simpan dadah dalam peti besi - Pahang - Sinar Harian:

Oleh : SH PAHANG/NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
Tarikh : December 15, 2011
dadah

KUANTAN- Penemuan sebuah peti besi khas dalam almari bilik tidur salah seorang daripada empat penghuni sebuah rumah di Taman Haji Ahmad di sini membongkar kegiatan mereka selepas polis mendapati peti itu digunakan sebagai tempat selamat untuk menyimpan dadah.

Hasil pemeriksaan ke atas peti besi yang agak usang itu, polis menemui lima peket plastik mengandungi 1,000 biji pil kuda (Methamphetamine) bernilai kira-kira RM17,500 (harga pasaran) dan wang tunai RM1,500 dipercayai hasil dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Thoon Khuan berkata, berikutan penemuan dadah terbabit, empat suspek berusia 21 hingga 31 tahun berasal dari Terengganu dan Pahang itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios berharga kira-kira RM80,000 dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z bermnilai RM4,500 yang digunakan suspek.

“Berikutan penahan dua penganggur, seorang juruteknik dan penghantar surat itu, polis percaya berjaya membanteras kegiatan pengedaran dadah jenis itu di sekitar Kuantan termasuk kepada golongan pelajar Institut pengajian tinggi di sini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadikan golongan pelajar sebagai sasaran memandangkan salah seorang suspek baru tamat pengajian di sebuah politeknik di sini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Thoon Khuan berkata, hasil ujian air kencing mendapati, semua suspek positif Methamphetamine.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam dan pemantauan pihak polis selama seminggu sebelum serbuan itu dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam.

“Dalam serbuan yang diketuai Asisten Superitendan Azli Mohd Noor itu, polis bertindak menyerbu masuk ke dalam rumah tersebut sebelum terserempak dengan keempat suspek,” katanya.

Thoon Khuan berkata, menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan bagaimanapun usaha mereka gagal apabila berjaya ditahan.

“Hasil siasatan, salah seorang suspek mendedahkan tempat peti yang mengandungi dadah itu disimpan sebelum menyerahkan kuncinya kepada polis.
“Kita percaya dadah itu dibawa masuk dari negeri jiran dan nilai runcitnya mampu mencecah sehingga RM40,000,” katanya.

Menurutnya, Semua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selama seminggu bermula semalam hingga 21 Disember depan bagi membantu siasatan.
“JIka sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori,” katanya.

Pembantu kedai mati lemas

Pembantu kedai mati lemas - Pahang - Sinar Harian:

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 16, 2011
jenazah

TANJUNG GEMOK - Hajat seorang pembantu kedai makan untuk merasai sendiri pengalaman bermandi manda di sebuah kolam terbiar di Ladang Yayasan Pahang Plantation, di sini, tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Nor Azila Mohamad, 16, pergi ke kolam itu sendirian untuk mandi, namun dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam terbabit.

Majikan mangsa, Samsudin Hassan, 52, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja warga asing.

“Selepas diberitahu berhubung perkara itu, saya terus berlari ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri dan berkemungkinan telah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Samsudin berkata, sewaktu kejadian, pekerja Indonesia yang berada berhampiran kolam terbabit dikejutkan dengan jeritan mangsa meminta tolong, sebelum melihat mangsa beberapa kali tenggelam timbul.

“Melihat keadaan panik itu, pekerja itu terus terjun ke kolam untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana dipercayai mangsa sudah pun meninggal dunia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penduduk yang menyaksikan kejadian itu masih belum berputus asa kerana sebaik saja mangsa dinaikkan ke darat, dia diberikan bantuan pernafasan (CPR).

“Denyutan nadi mangsa pada waktu itu sudah terhenti, namun kami (penduduk) tetap memberi bantuan kecemasan dengan harapan dia boleh diselamatkan,” katanya.


Mangsa tidak pernah mandi kolam

Samsudin berkata, dia hairan bagaimana mangsa boleh ke kolam berkenaan kerana sebelum ini, mangsa tidak pernah mandi di kolam itu sejak mengenalinya lebih tiga bulan lalu.

“Nor Azila sebelum ini pernah bekerja dengan saya, tetapi dia ambil keputusan untuk berhenti, namun sejak seminggu lalu, saya panggil dia bekerja semula kerana saya kekurangan pekerja.

“Apa yang saya tahu, Nor Azila sebelum ini tidak pernah ke sana (kolam terbiar) walaupun jarak kedai dengan kolam itu hanya 100 meter, tapi tak tahu kenapa hari ini (semalam) dia tiba-tiba ke kolam itu tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Menurutnya, kolam berkenaan sebelum ini memang digunakan penduduk, tetapi ia sudah lama terbiar dan dipercayai mempunyai kedalaman empat meter.

“Saya percaya kolam itu dalam dan jika tak pandai berenang sudah tentu boleh lemas.

"Lebih-lebih lagi musim hujan sekarang ini menyebabkan air kolam terus meningkat dan merbahaya kepada orang ramai,” katanya.


Berubah sikap

Ibu mangsa, Sun Md Isa, 56, berkata, kepulangan Nor Azila ke rumah mereka di Jalan Pantai 7, Kampung Jawa, di sini, Sabtu lalu adalah kali terakhir dia menatap wajah anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Saya masih terkejut dengan kejadian ini kerana merasakan masih baru melihat Nor Azila pulang ke rumah dengan tergesa-gesa sebelum dia mengambil pakaiannya untuk kembali semula ke tempat kerja,” katanya.

Sun berkata, dia langsung tidak menduga, kain baju yang diambil Nor Azila untuk dipakai sewaktu bekerja di sana, adalah petanda anaknya itu akan pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya.

“Mungkin ini sudah suratannya. Walaupun jauh di sudut hati saya merasakan kehilangannya, tapi saya reda dengan ketentuan ini kerana menganggap ada hikmah di sebalik sesesuatu kejadian itu,” katanya.

Sun berkata, sewaktu pulang ke rumah, Nor Azila lebih banyak mendiamkan diri dan langsung tidak mengendahkan anak saudaranya berusia dua tahun yang mahu bermanja dengannya.

“Dia jadi pendiam, tak banyak cakap, malah langsung tak layan anak buahnya yang datang dekat dengannya untuk bermain. Saya dapat lihat sikapnya berubah,” katanya.

Bapa mangsa, Mohammad Hassan, 62, berkata, dia terkejut apabila anaknya itu tidak bermalam di rumah kerana tergesa-gesa pulang ke tempat kerja.

“Biasanya dia tidur di rumah ini satu atau dua malam, namun pada hari itu dia hanya singgah ambil kain baju. Saya macam tak percaya dia kini sudah tiada lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya me­ngesahkan kejadian itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Polis minta orang ramai jangan hampiri kawasan rendah dan berbahaya seperti di sungai, kawasan persisiran pantai, longkang serta kolam terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Poliklinik Tanjung Gemok sebelum dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.