Search This Blog

Wednesday, December 14, 2011

Mangsa lemas datang dalam mimpi


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 14, 2011

SUNGAI PETANI – “Dalam mimpi, arwah ada datang menemui saya dan saya sempat bertanya adakah dia selamat, tetapi dia tidak menghiraukan pertanyaan saya sebaliknya sempat menjelaskan bahawa dia ada di bawah rumput,” kata Mohd Izzad Izzuan Nor Afendi, 12, rakan kepada kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang ditemui lemas dalam longkang besar berhampiran rumahnya di Bandar Puteri Jaya Hill Park di sini.

Mayat Mohd Sulaiman Mohd Zakaria dijumpai terapung dalam kolam takungan air di taman perumahan itu pada jam 7.45 pagi kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh.

Menurut Izzad, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Isnin lalu, mereka berempat leka bermain air ketika hujan lebat telah turun ke dalam longkang besar sebelum seorang daripada mereka gagal menyelamatkan diri sehingga dibawa arus dan dikhuatiri lemas.

Seorang daripada mereka, Faris Fahmi Ahmad Fazli, 8, berkata, kesemua mereka sudah turun ke dalam longkang besar berkenaan untuk bermain air namun berhasrat naik semula apabila mendapati air terlalu deras.

“Rakan saya, Luqfi (Mohd Luqfi Abu Hasan, 10) adalah orang yang mula-mula panjat semula ke atas kemudian diikuti oleh saya, namun Isyarudin (Mohd Isyarudin Mohd Jamil, 7) dan Sulaiman masih di dalam longkang ketika itu.

“Saya cuba hulur kayu, tetapi tidak dapat dicapai Sulaiman kerana saya lihat ketika itu matanya tertutup. Dia kemudian cuba bangun sendiri tetapi disebabkan arus deras sebabkannya terduduk semula sehingga dihanyutkan air,” katanya.

Faris berkata, dia dan Lutfi kemudian cuba menarik Isyarudin naik namun pada masa sama, Sulaiman tidak lagi kelihatan.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.

Mangsa lemas datang dalam mimpi - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sungai Lembing runtuh sepanjang 70 meter


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 14, 2011

KUANTAN - Laluan memasuki sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di Seksyen 6 di sini runtuh sepanjang 70 meter malam tadi.

Tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku hasil tindakan pantas anggota keselamatan menutup laluan ke stesen minyak itu dalam kejadian 10 malam tadi. Lalulintas tidak terjejas kerana jalan utama tidak ditutup.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Semambu, Datuk Phang Tsu Ming yang meninjau kejadian itu hari ini, berkata kejadian itu berpunca daripada aliran air di bawah jalan itu yang menyebabkan hakisan dan runtuhan tanah di situ.

"Faktor hujan yang berterusan sejak akhir-akhir ini menyebabkan struktur tanah di bawah jalan itu tidak kukuh dan mendap secara tiba-tiba," katanya.

Phang berkata satu kajian akan dilakukan pihak perunding yang akan dilantik oleh syarikat minyak terbabit kerana jalan tersebut di bawah kendalian mereka.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak terlibat dalam membina semula laluan tersebut kerana ia tidak terletak di bawah pakej pelebaran Jalan Kuantan-Sungai Lembing.

Peniaga Mohd Che Wan berkata bahawa semasa kejadian beliau terdengar satu dentuman kecil yang disangkanya kemalangan.

"Tiba-tiba sebatang tiang elektrik di situ senget lalu tumbang," katanya. - Bernama

Sungai Lembing runtuh sepanjang 70 meter - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

4 lelaki ditahan di Kuantan, 1,000 pil kuda dirampas

KUANTAN: Polis memberkas empat lelaki dan merampas 1,000 biji pil kuda dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Ahmad di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superitendan Yap Toon Khuan, berkata berdasarkan maklumat dan intipan, satu pasukan polis menyerbu rumah berkenaan pada jam 1.30 pagi tadi dan menemui suspek berumur 21 hingga 31 tahun yang bertindak agresif dengan cuba melepaskan diri.
Beliau berkata, polis menemui pil khayal itu dalam satu peti besi di dalam almari di bilik tidur rumah berkenaan.
Wang tunai RM1,500 disyaki hasil jualan dadah serta sebuah kereta dan sebuah motosikal turut dirampas, katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA
Berita Harian Online | 4 lelaki ditahan di Kuantan, 1,000 pil kuda dirampas:

'via Blog this'

15 pelajar ditahan di KL Sentral

KUALA LUMPUR: Setakat ini, 15 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ditahan selepas mengadakan demonstrasi 'Flash Mob' di KL Sentral, di sini bagi menyuarakan kebebasan akademi politik di kalangan pelajar.

Kesemua mereka ditahan di ruang legar KL Sentral selepas didapati membawa sepanduk dan mengelilingi KL Sentral sebelum ditahan sepasukan Polis Daerah Brickfields.
Berita Harian Online | 15 pelajar ditahan di KL Sentral:

'via Blog this'

Kastam rampas gading gajah Kenya ke Kemboja


AZIS (kanan) menunjukkan gading gajah yang dirampas di Wisma Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang semalam.


PELABUHAN KLANG – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mematahkan cubaan satu sindiket menyeludup 19 tan gading gajah bernilai RM4 juta dari Kenya melalui Pelabuhan Barat di sini semalam.

Rampasan itu dilakukan selepas Bahagian Penguatkuasaan Kastam Selangor mendapat maklumat mengenai kegiatan sindiket terbabit yang mengisytiharkan sebuah kontena sebagai barangan kraf tangan.

Hasil pemeriksaan terhadap kontena itu mendapati, barangan kraf tangan yang diperbuat daripada gading gajah ditemui pada bahagian depan namun pada bahagian belakangnya disumbat dengan sejumlah gading gajah seberat 19 tan di dalam 50 kotak.

Pengarah KDRM Selangor, Datuk Azis Yacub berkata, siasatan mendapati kontena berukuran 6.1 meter persegi itu dari Pelabuhan Mombasa, Kenya dan tiba di Pelabuhan Barat di sini pada 8 Disember lalu kira-kira pukul 11 pagi sebelum diseludup ke Kemboja.

Menurutnya, Malaysia disyaki menjadi transit bagi kegiatan penyeludupan gading gajah tersebut bagi membolehkan muatan gading itu ditukar ke kapal lain bagi mengaburi pihak berkuasa Kemboja.

“Sindiket ini juga didapati cuba memperdayakan pihak berkuasa dengan meletakkan barangan kraf tangan di bahagian depan tetapi menyembunyikan gading gajah yang asli di bahagian belakang kontena,” katanya di sini semalam.

Azis memberitahu, berdasarkan siasatan awal, rampasan yang dilakukan kali ini ada kaitan dengan sindiket yang sama menyeludup gading gajah pada awal September lalu berdasarkan modus operandi yang digunakan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Ibu, anak perempuan maut dalam kemalangan


14/12/2011 12:50pm

IPOH - Seorang ibu muda dan anak perempuannya yang berusia setahun, maut selepas kereta yang dipandu suaminya terbabit dalam satu kemalangan jalan raya dekat sini.

Kejadian berlaku di KM 91, Jalan Ipoh-Butterworth dekat Bagan Serai pada pukul 5.30 petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Nor Idawati Md. Isa, 26 dan anaknya, Nur Efa Eliana Mohamad Faizal manakala suaminya, Mohamad Faizal Abdullah, 28, hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Taiping.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa meninggal dunia kerana mengalami cedera parah di kepala.

“Dalam kejadian tersebut, kereta yang dinaiki mangsa terbabas lalu merempuh tembok konkrit di tepi jalan.

“Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Taiping, bagaimanapun meninggal dunia selepas sejam menerima rawatan,” katanya. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Cubaaan seludup minuman keras, rokok tumpas


14/12/2011 2:34pm

KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah membuka 51 kertas siasatan ke atas kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok melibatkan jumlah nilai RM370,000 dalam tempoh seminggu berakhir semalam.

Pemangku Pengarah Kastam Negeri, Dr Janathan Kandok berkata, operasi yang dijalankan di seluruh negeri itu turut membabitkan penangkapan 31 lelaki, termasuk warga asing, berumur antara 20 tahun dan 40-an.

"Daerah Keningau mencatatkan kes tertinggi dengan 14 kes melibatkan nilai pasaran RM180,000, iaitu enam kes rampasan rokok bernilai RM70,000 dan tujuh kes rampasan minuman keras bernilai RM110,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan terhadap penyeludupan minuman keras akan dipertingkatkan menjelang musim perayaan Krismas dan sambutan tahun baru kerana kegiatan penyeludupan minuman keras dijangka lebih aktif berikutan permintaan tinggi. – BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Jururawat mangsa ragut maut motosikal terbabas


14/12/2011 2:14am

GEORGETOWN - Seorang jururawat pelatih di sebuah hospital swasta maut, dipercayai diragut sebelum motosikalnya terbabas di Jalan Residensi di sini semalam.

Mangsa yang bertugas di sebuah hospital berhampiran Jalan Pangkor, mati di tempat kejadian kira-kira 8 malam.

Menurut jurucakap polis, mangsa, G. Malathi, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda secara sendirian, dalam perjalanan dari rumahnya di Gelugor ke tempat kerja.

"Mangsa berpakaian kemeja T berlogokan hospital swasta itu ditemui terbaring di pembahagi kiri jalan, manakala motosikalnya berada dalam jarak lebih kurang 10 meter,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, polis masih menyiasat punca kejadian iaitu sama ada mangsa diragut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan kes akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1989.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu membuat laporan di balai polis berhampiran. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Mayat kanak-kanak dalam kolam takungan


14/12/2011 3:43pm

SUNGAI PETANI - Mayat Mohd. Sulaiman Mohd. Zakaria, 9, yang dilaporkan tergelincir ke dalam longkang besar berhampiran rumahnya di Bandar Puteri Jaya Hill Park di sini, Isnin lalu, ditemui hari ini.

Mayat mangsa ditemui terapung dalam kolam takungan air di taman perumahan tersebut pada kira-kira pukul 7.45 pagi tadi, kira-kira 50 meter dari tempat dia dikatakan terjatuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, seramai 20 anggota polis bersama bomba digerakkan untuk kerja-kerja mencari mangsa.

“Gerakan mencari turut dilakukan oleh penduduk setempat, tentera dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dengan bantuan tiga bot,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Isnin lalu, mangsa sebelum itu dikatakan turun ke dalam longkang berkenaan bersama tiga lagi rakannya untuk mandi.

Mangsa bagaimanapun mengambil keputusan untuk naik ke atas semula kerana hujan semakin lebat dan arus air semakin deras.

Bagaimanapun, mangsa tergelincir semasa cuba memanjat tebing untuk naik ke atas dan dia dihanyutkan oleh arus deras ke kolam takungan air berkenaan.

Mayat Mohd. Sulaiman telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Wang tunai RM8,000 dalam kereta lesap

14/12/2011 7:01pm


KUANTAN - Seorang ahli perniagaan kerugian wang tunai berjumlah RM8,000 apabila wang tersebut yang ditinggalkan di dalam kenderaannya di Jalan Tun Ismail di sini lesap tengah hari tadi.

Mangsa yang berusia lewat 40-an dikatakan baru sahaja mengeluarkan wang tersebut dari sebuah bank di kawasan berkenaan.

Sebelum ke seberang jalan bagi membayar bil telefonnya, dia memasukkan wang tunai itu ke dalam sampul surat lalu menyimpannya di dalam laci kenderaan pacuan empat roda miliknya.

Timbalan Ketua Polis daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, kejadian tersebut hanya disedari mangsa selepas dia kembali semula ke kenderaannya kira-kira pukul 1 tengah hari.

"Mangsa terkejut apabila mendapati cermin tingkap hadapan bahagian kiri penumpang pecah dan terdapat kesan umpil pada laci keretanya.

"Menurut laporan mangsa, selepas mengeluarkan duit dan menyimpannya di dalam kereta, mangsa ke sebuah syarikat telekomunikasi di seberang jalan untuk menjelaskan bil telefon,” katanya.

Beliau berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak sesekali meninggalkan wang tunai ataupun barang berharga di dalam kenderaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. - BERNAMA

KOSMO! Online:

'via Blog this'

Penyamun jadi panik

KUALA TERENGGANU: Akibat kereta gagal digerakkan, seorang perompak bukan saja gagal melarikan seutas rantai emas, malah menjadi belasahan orang ramai selepas dia merompak sebuah kedai emas di pekan Batu Enam, dekat sini, petang semalam.

Pemilik kedai emas, Sharifah Ayob, 32, berkata, kejadian berlaku jam 2 petang semalam apabila seorang lelaki datang dan berpura-pura mahu membeli barang kemas.

Menurutnya, ketika lelaki itu berurusan dengan pekerjanya berusia 30 tahun, dia berada di kaunter bersebelahan dan selepas meneliti rantai leher berharga RM6,000, lelaki terbabit meluru keluar dari kedai.

“Saya sempat menjerit ‘orang mencuri’ bagi menarik perhatian orang ramai di kawasan itu,” katanya yang menjalankan perniagaan sejak lapan tahun lalu.


Lelaki itu meluru masuk ke dalam keretanya yang diletak berhampiran kedai, tetapi malang bagi lelaki berkenaan kerana keretanya gagal digerakkan walaupun dia menekan minyak hingga enjin mengaum kuat.

myMetro | Penyamun jadi panik:

'via Blog this'

Umpan ke hotel

GOMBAK: Kawan makan kawan. Itu perumpamaan sesuai apabila seorang remaja perempuan diumpan rakannya ke sebuah hotel di Batu Caves, di sini, sebelum dijadikan habuan seks dua lelaki, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, remaja berusia 14 tahun itu bersama rakan perempuannya berusia 20-an, dihubungi seorang lelaki yang mengajak mereka berjumpa di hotel itu untuk melepak bersama.

Menurut sumber, mangsa tidak mengesyaki rancangan jahat rakannya yang ingin melacurkan dirinya kepada dua lelaki berusia 20-an terbabit bersetuju mengikutinya dengan menaiki kereta rakannya.

“Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian, rakannya mengadu kononnya pening dan ingin berehat sebentar di dalam kereta.


“Dia menyuruh mangsa berjumpa lelaki terbabit yang sedang menunggu mereka di tingkat satu hotel berkenaan,” katanya

myMetro | Umpan ke hotel:

'via Blog this'

Siasat buang kuku RM251

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan menyiasat dengan terperinci aduan berhubung sebuah klinik yang mengenakan bayaran RM251 kepada seorang pesakit yang mendapatkan rawatan membuang kuku rosak.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman dalam kenyataan yang dikeluarkannya semalam berkata, KKM akan menghubungi pengadu dan klinik terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Seorang wanita dilaporkan dikenakan caj RM251 hanya untuk menerima rawatan membuang kuku rosak dan pembersihan yang memakan masa 15 minit di sebuah klinik swasta di Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Dr Hasan, KKM menguatkuasakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] dan Peraturan-Peraturannya sejak 1 Mei 2006 yang turut memperuntukkan kuasa menteri untuk mengawal fi yang dikenakan.


Katanya, setiap pemegang perakuan pendaftaran bagi klinik swasta perlu mengambil langkah munasabah bagi memastikan pesakit diberikan maklumat yang mencukupi termasuk tatacara yang dicadangkan dan anggaran kos yang dikenakan.

myMetro | Siasat buang kuku RM251:

'via Blog this'

Maut dalam bank

ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat suspek.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat suspek.

AMPANG: Mungkinkah Geng Styer yang aktif sejak 1999 dan ditumpaskan polis beberapa tahun kemudian muncul semula apabila seorang lelaki bersenjatakan raifal sama merompak sebuah bank di Jalan Bunga Taman Muda, Pandan Indah, di sini, sebelum ditembak mati seorang pengawal keselamatan bank berkenaan, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.18 petang itu, seorang lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan raifal styer meluru masuk ke dalam bank berkenaan sebelum cuba melarikan wang tunai RM253,000.


Difahamkan, lelaki itu masuk seorang diri di dalam bank manakala rakannya menunggu di luar bank dengan menunggang sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek yang memakai pakaian hitam dan topi keledar masuk ke dalam bank berkenaan sebelum mengugut 20 pelanggan dengan mengacukan raifal styer supaya mendiamkan diri.


“Suspek melompat ke dalam kaunter dan mengugut 12 kakitangan supaya memasukkan wang tunai ke dalam beg galas dibawanya sambil mengacukan senjata.


“Selepas memperoleh wang, suspek cuba melarikan diri, namun ditembak pengawal keselamatan bank berkenaan yang bersembunyi di belakang kaunter dari jarak kira-kira 50 meter,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pengawal keselamatan berkenaan ketika itu bersembunyi dan tidak dapat dikesan suspek.


“Kami akan membuat siasatan terperinci dengan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan dan menyiasat situasi kejadian,” katanya.

myMetro | Maut dalam bank:

'via Blog this'

Ditetak tegur jual dadah

AMPANG: Akibat menegur tindakan dua lelaki menjual dadah secara terbuka menyebabkan seorang lelaki berusia 30 tahun diserang dan ditetak ahli kumpulan berkenaan, kelmarin.

Difahamkan, ahli perniagaan terbabit cedera di kepala manakala seorang lagi pekerjanya turut cedera di badan selepas diserang sekumpulan lelaki warga Myanmar itu.


Dalam insiden kira-kira jam 7 malam itu, mangsa yang sedang menjalankan perniagaan di sebuah premis di Pandan Mewah, di sini, melihat kehadiran dua lelaki ke kedai makan bersebelahan premisnya dalam keadaan mencurigakan.

Sumber berkata, dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu berani menjual dadah kepada pelanggan kedai berkenaan secara terbuka.


“Mangsa yang melihat gelagat mereka itu bagaimanapun tidak menghiraukan perbuatan berkenaan kerana bimbang dicederakan.


“Namun, pekerja mangsa yang berang melihat tindakan mereka itu tidak puas hati dan menyuruh mangsa menegur mereka secara baik,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya berdiam diri sehinggalah dua lelaki terbabit datang ke kedainya dan mahu menjual dadah kepada seorang pekerjanya membuatkan dia berasa bertanggungjawab menegur mereka.

myMetro | Ditetak tegur jual dadah:

'via Blog this'

Pekerja kafe siber kena peluru sesat di kepala

SEREMBAN: Gara-gara tembakan rambang dilepaskan sekumpulan lelaki ketika cuba menyamun sebuah kafe siber tidak berlesen, seorang lelaki warga asing cedera dalam kejadian di Taman College Height, Sikamat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi, empat lelaki menaiki sebuah kereta berhenti di depan premis berkenaan sebelum seorang daripada mereka turun dan melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan.


Lelaki warga asing yang dipercayai pekerja kafe siber berkenaan terkena tembakan sipi di kepala sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketika kejadian, beberapa pelanggan berada dalam premis berkenaan yang beroperasi 24 jam.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Sementara itu, Penyelaras Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Taslim Khan Kutob Din, mendakwa kafe siber itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini oleh polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi masih beroperasi.

Katanya, kebanyakan pelanggan penduduk sekitar termasuk remaja menyebabkan penduduk bimbang dengan gejala itu.


“Ada dua kafe siber lain di sini yang menjalankan kegiatan sama dan saya minta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas,” katanya.

myMetro | Pekerja kafe siber kena peluru sesat di kepala:

'via Blog this'

Kereta melekat penghadang jalan

ALOR GAJAH: Seorang pekerja kontrak terbunuh selepas kereta dipandunya terbalik beberapa kali sebelum melekat pada besi penghadang lebuh raya di Kilometer 211.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa, M Sathiaraj, 22, yang memandu Proton Saga mati di tempat kejadian kerana cedera parah pada anggota badan dan tersepit dalam kereta yang remuk teruk.


Seorang rakan mangsa, Fadli Ghani, 27, juga cedera parah di muka dan anggota badan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketika kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan ke Bandar Melaka. Jurucakap polis berkata, kereta dipandu Sathiaraj dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh penghadang besi di kiri lebuh raya.


“Kereta itu dipercayai terbalik beberapa kali sebelum terhenti di atas tiang penghadang besi dengan keempat-empat tayar ke atas manakala tiang menembusi bumbung kereta,” katanya di sini.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Mazlan Samah berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati seorang lelaki yang juga penumpang kereta sudah berada di luar kenderaan dalam keadaan muka berdarah dan terduduk di tebing lebuh raya.


“Pemandu kereta pula tersepit di tempat duduk pemandu dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan pemandu dalam kereta yang remuk teruk itu.

“Kedudukan mangsa yang berbadan besar dengan kepala ke bawah menyukarkan operasi mengeluarkannya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, pihaknya ada menerima laporan kemalangan berkenaan.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5563222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

myMetro | Kereta melekat penghadang jalan:

'via Blog this'

Pejabat SUPP terbakar

KUCHING: Kebakaran mengejutkan bilik mesyuarat ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Jalan Tan Seri Ong Kee Hui, di sini, semalam mencetuskan tanda tanya kepada orang ramai.

Ini berikutan pengawal keselamatan, Matdeli Eddie, 60, mendakwa sebelum kejadian, dia melakukan rondaan di kawasan berkenaan dan mendapati keadaan di situ terkawal sebelum kembali ke pos kawalan.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, semua peralatan bilik mesyuarat di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu, termasuk rekod mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bagi tempoh lebih lima tahun lalu, dilaporkan musnah.

“Tiba-tiba saya terhidu bau asap sebelum bergegas keluar dari pos kawalan dan melihat api di bilik mesyuarat berkenaan.


“Tanpa membuang masa, saya terus menghubungi bomba dan penyelamat bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Namun, kebakaran itu tidak merebak ke pejabat lain termasuk bilik presiden parti dan timbalannya yang terletak berhampiran berikutan struktur bangunan yang memiliki ciri keselamatan menghalang api daripada merebak.

Ketua Operasi Balai Bomba Kuching, Sabarudin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 pagi sebelum mengerahkan dua jentera bersama 13 anggota ke lokasi kebakaran.


“Api dikawal pada jam 4.38 pagi sebelum dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian. Kami tidak menghadapi sebarang masalah bagi mengawal api daripada merebak ke seluruh bangunan.

“Kebakaran ini memusnahkan peralatan pejabat termasuk peralatan elektronik yang disimpan di dalam bilik mesyuarat dan Unit Forensik Bomba masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu,” katanya.


Sementara itu, bekas Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sim Kheng Hui berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kakitangan pejabat, kira-kira jam 5 pagi, sebelum bergegas ke tempat kejadian.


“Kebakaran ini sangat mencurigakan kerana kami baru saja selesai melakukan proses pemilihan parti, malah kebanyakan barang milik saya bersama presiden, timbalan presiden dan pemimpin kanan belum dikeluarkan lagi.


“Kami masih mempunyai rekod berkaitan mesyuarat yang diadakan di pejabat ini kerana pejabat yang menempatkan komputer milik kakitangan tidak terjejas, cuma yang kami bimbang ialah dokumen lama,” katanya.


Dalam pada itu, Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat dijangka melakukan siasatan terperinci berhubung kebakaran itu secepat mungkin.

myMetro | Pejabat SUPP terbakar:

'via Blog this'

Lelaki cekik isteri depan mentua angkara cemburu

KUALA LUMPUR: Seorang suami sanggup mencekik dan membelasah isterinya di depan mentuanya selain menghalaunya keluar dari rumah mereka di Kepong, di sini hanya kerana cemburu, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 48 tahun itu menuduh isterinya, 33, menjalinkan hubungan sulit dengan rakan sekerjanya.


Menurut sumber, suami mangsa turut mengugut akan mengancam nyawa mangsa dan merosakkan keretanya jika masih enggan keluar dari kediaman mereka.

Mangsa yang tidak tahan dibelasah membuat laporan di Balai Polis Kepong dengan ditemani ibunya.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, pertelingkahan antara pasangan suami isteri itu berlarutan sejak beberapa minggu lalu namun kemuncaknya kelmarin kira-kira jam 11 malam apabila lelaki terbabit bagaikan dirasuk pulang ke rumah dalam keadaan mengamuk.


“Tidak mempedulikan ibu mentuanya yang turut tinggal bersama, lelaki terbabit terus menghempas barangan dalam rumah dan membuang semua pakaian mangsa sebelum menghamburkan kata-kata kesat,” katanya.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan luar kawalan suaminya cuba bertanya meminta kepastian namun sekali lagi dimaki dan dituduh berlaku curang,” katanya.


Sumber berkata, mangsa menafikan tuduhan itu dan memberitahu ia hanya salah faham malah meminta suaminya bertenang.

“Namun, lelaki terbabit enggan sebelum memberi tempoh dua minit untuk isterinya itu mengemas barang dan segera keluar dari kediaman mereka.


“Malah, jika mangsa enggan dia akan membelasahnya menyebabkan wanita terbabit yang ketakutan hanya menuruti dan terus mengambil pakaian yang berselerak untuk dikemas,” katanya.


Menurutnya, namun dia yang berang selepas isterinya masih berada di dalam walaupun tempoh masa diberikan tamat menyebabkan dia mengamuk sekali lagi dan terus mencekik mangsa dan mengheretnya ke pintu rumah.


“Tidak cukup dengan itu, dia turut membelasah mangsa menyebabkan wanita terbabit yang dalam kesakitan merayu dilepaskan.


“Malah kekecohan yang berlaku disedari ibu mangsa yang berada di dalam bilik dan terus bertindak meleraikan pergaduhan itu,” katanya.


Suami berkenaan kemudian terus menghalau isterinya dan jika enggan akan dibelasah sekali lagi menyebabkan mangsa bersama ibunya nekad keluar dan membuat laporan polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

myMetro | Lelaki cekik isteri depan mentua angkara cemburu:

'via Blog this'

Tubuh menggigil

KUALA TERENGGANU: “Menggeletar tubuh melihat tangan kiri dan kaki kanan melecur teruk selepas disambar api, muka pula berasa sangat panas tidak ubah seperti dibakar,” kata Mohd Ayob Abdullah, 22, dari Taman Hadhari, Paka, Dungun, antara mangsa disambar api ketika melakukan kerja baik pulih loji milik Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd di Kerteh, Kemaman, kelmarin.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah rakannya Mohd Zakaria Abd Ghani, 28, dari Kampung Limbong, Paka, Dungun yang melecur muka dan tangan kanan manakala dua lagi rakan sekerjanya cedera ringan.


Semua mangsa dikejarkan ke Klinik Rantau Petronas sebelum Mohd Ayob dan Mohd Zakaria dirujuk ke HSNZ manakala dua rakannya yang cedera ringan dirawat di Hospital Dungun.

Mohd Ayob yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam, berkata sebelum kejadian dia dan tiga rakan menjalankan kerja baik pulih di loji itu seperti biasa sejak sembilan hari lalu apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berhampiran kawasan kerja kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.


“Saya terkejut apabila api besar menyambar muka dan tangan kiri menyebabkan saya ketika itu berada di atas loji, terpelanting jatuh.


“Cemas melihat kecederaan tangan dan kaki, saya memekik meminta tolong sebelum pasukan keselamatan datang membantu. Mereka membawa saya dan rakan yang cedera ke Klinik Rantau Petronas sebelum dihantar ke HSNZ,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, dia mendengar bunyi seakan-akan gas bocor sebelum berlaku letupan dan api menyambar muka dan tangan kanannya.


Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Zulkifly M Ismail yang ditemui semalam, mengesahkan kejadian berkenaan.

myMetro | Tubuh menggigil:

'via Blog this'

Mayat berulat dalam flat

KUALA LUMPUR: Misteri bau busuk yang dihidu dari bawah rumah sebuah flat terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki yang sudah berulat, tengah hari semalam.

Mangsa, Ahmad Dahalan, 66, dipercayai meninggal dunia seminggu lalu ketika bersendirian di rumahnya di tingkat 4 sebuah flat di Taman Melati, dekat sini.


Menurut adik mangsa, Siti Zainah Dahalan, 59, abangnya yang juga bekas kakitangan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) tinggal bersendirian di rumahnya kerana tidak berkahwin.

“Kali terakhir saya menjenguk abang pada 21 November lalu, namun tidak berjumpa dengannya kerana dia tiada di rumah ketika itu,” katanya. Jiran mangsa, Najib Asri Nordin, 30, berkata, kali terakhir dia berjumpa mangsa kira-kira seminggu lalu di tangga flat berkenaan.


“Saya baru pulang dari bercuti seminggu dan terkejut mendengar berita kematiannya memandangkan seminggu lalu dia kelihatan sihat dan ceria,” katanya.

myMetro | Mayat berulat dalam flat:

'via Blog this'

Ibu diseret 100 meter

GEORGETOWN: Hajat seorang wanita menjemput anak gadisnya pulang dari tempat kerja di sebuah restoran makanan segera tidak kesampaian apabila dia terbunuh selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Batu Lancang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa, Ooi Hai Keok, 52, dikatakan turut diseret kereta berkenaan kira-kira 100 meter.

Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit terus memecut melarikan diri.

Lebih menyayat hati apabila anak mangsa yang hairan selepas menunggu lama di tempat kerja cuba menghubungi ibunya menerusi telefon bimbit, namun panggilan itu dijawab seorang lelaki yang memaklumkan ibunya terbabit kemalangan.


Berikutan itu, anak mangsa terus berjalan dari tempat kerjanya kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian untuk melihat keadaan sebenar dan sejurus tiba, dia hanya mampu meraung dan menangis apabila melihat ibunya sudah tidak bernyawa sebelum beberapa ahli keluarga lain tiba.

myMetro | Ibu diseret 100 meter:

'via Blog this'

Tahu anak maut lepas baca HM

KUALA PILAH: “Saya terkilan kerana angah (Suzimah) tidak sempat menikmati patin masak tempoyak kegemarannya,” kata Shuhaimi Hashim, 54, bapa kepada Suzimah, 28, yang terbunuh akibat lemas selepas kereta dipandunya terjunam dalam kolam pancing di Kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kampung Gedang, di sini, kelmarin.

Menurutnya, arwah anaknya yang bekerja di salun kecantikan dalam perjalanan pulang dari Felda Temangau, Pahang menghala Puchong, Selangor selepas menghadiri majlis pertunangan adik ketiganya.


“Saya tidak menyangka mangsa kemalangan itu angah dan hanya mengetahui kemalangan menimpanya selepas membaca Harian Metro, jam 6.30 pagi tadi (semalam).

“Lebih menyedihkan, saya tidak sempat menunaikan permintaannya yang beria-ia meminta mencarikan patin masak tempoyak kegemarannya kerana semua kedai tutup jam 11 malam, beberapa jam sebelum kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini, semalam.


Katanya, lebih menyedihkan apabila dia juga tidak sempat mengenali bakal suami anak perempuannya itu.


“Arwah memberitahu mahu membawa bakal suaminya dari Kuala Perlis berjumpa kami sekeluarga sebelum menetapkan tarikh perkahwinan pada 2 Februari depan.

“Saya reda pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya dan angah seorang anak yang baik,” kata bapa kepada tujuh anak itu.


Menurutnya, dia cukup terkilan kerana tidak bertegas untuk menghantar anak keduanya itu ke Seremban.

“Saya tahu arwah tidak biasa keadaan jalan di Seremban, lebih-lebih lagi Kuala Pilah dan disebabkan itu, saya bercadang menghantarnya hingga selamat memasuki Lebuhraya Utara-Selatan menghala Kuala Lumpur, namun dia menghalang mengatakan boleh pergi sendiri. “Bagaimanapun, saya sudah berasa tidak sedap hati ketika itu, namun akur dengan permintaannya yang mahu memandu sendiri lebih-lebih lagi Honda Prelude itu baru dibelinya kurang enam bulan,” katanya.


Jenazah Suzimah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Temangau 2, Kemayan, Pahang kira-kira jam 3 petang, semalam.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan mangsa maut di tempat kejadian dipercayai akibat lemas selepas badannya terbelit tali pinggang keledar selepas keretanya terjunam dalam kolam.


Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala Seremban cuba memotong treler di depannya, namun gagal selepas tiba-tiba sebuah bas henti-henti berada di laluan bertentangan.


Suzimah cuba masuk semula ke laluannya, namun kenderaannya bergesel dengan treler yang cuba dipotong menyebabkan keretanya terbalik beberapa kali sebelum terjunam dalam kolam berkenaan yang terletak di kiri jalan.

myMetro | Tahu anak maut lepas baca HM:

'via Blog this'

Mati bas rempuh lori

SLIM RIVER: Tragedi ngeri hampir meragut puluhan nyawa apabila sebuah bas ekspres dipandu laju dalam hujan lebat merempuh sebuah kereta sebelum melanggar pula sebuah lori.

Dalam kejadian di Kilometer 367.3, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, jam 6 petang semalam, seorang pemandu lori terbunuh selepas dihempap kenderaannya yang terbalik sejurus dirempuh bas berkenaan.


Bas yang membawa 31 penumpang itu terlebih dulu melanggar sebuah Proton Waja dinaiki dua lelaki sebelum merempuh lori dipandu mangsa yang dikenali sebagai Vinawegamoorthi, 45, menyebabkan kenderaan berat itu terbalik.

Kemalangan dipercayai berpunca selepas lori membawa muatan rempah-ratus dari Kuala Lumpur menuju Ipoh itu hilang kawalan selepas tayar depan kirinya pecah.


Kelindan lori berkenaan berusia 60-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, lori itu dipandu perlahan oleh rakannya berikutan hujan lebat.


“Tiba-tiba tayar depan kiri meletup mengakibatkan ia hilang kawalan dan terhuyung-hayang ke kiri dan kanan jalan.

“Mangsa mengawal kenderaan sebaik mungkin untuk cuba memberhentikannya di laluan kecemasan sebelum terbalik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Perak, Wan Azmi Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 6.15 petang.

Katanya, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Tapah dan Slim River bergegas ke tempat kejadian.

myMetro | Mati bas rempuh lori:

'via Blog this'

Tumpas lepas 12 tahun edar dadah

KUALA LUMPUR: Kelicikan seorang lelaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Brickfields hingga dapat mengelak daripada ditangkap selama 12 tahun berakhir apabila ditahan bersama tiga rakannya dalam serbuan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, lelaki berumur 30 tahun itu yang juga terbabit penyalahgunaan dadah tidak pernah ditahan sepanjang penglibatannya dalam jenayah itu.


Beliau berkata, hasil maklumat orang ramai sepasukan polis menyerbu sebuah stor di tingkat bawah sebuah bangunan di Jalan Bukit Pantai, di sini, dan menahan lelaki itu serta tiga rakannya.

“Lima bungkusan berisi daun kering dipercayai ganja seberat 587 gram bernilai RM1,200 dirampas,” katanya.


Wan Abdul Bari berkata, lelaki itu serta tiga rakannya berumur 23 hingga 27 tahun yang juga pekerja syarikat pengurusan bangunan itu didapati positif dadah selepas ujian air kencing.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, taktik seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun menyimpan dadah dalam kotak makanan segera terbongkar selepas polis menahannya sebelum menemui dua bungkusan lut sinar mengandungi ketamine seberat 2020 gram berharga RM120,000 di hadapan sebuah salun kecantikan, di Desa Sri Hartamas, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada jam 4.10 petang itu, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat orang awam terserempak suspek di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan dipercayai menunggu pelanggan sambil memegang kotak terbabit.


Menyedari kehadiran polis, suspek ketakutan sebelum cuba melarikan diri.

myMetro | Tumpas lepas 12 tahun edar dadah:

'via Blog this'

Tidak mahu libat teman lelaki


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 13, 2011

KUALA KLAWANG - Sikap segelintir remaja wanita yang hamil luar nikah tidak mahu melibatkan teman lelaki ketika ditahan dan didakwa menyukarkan pihak berkuasa mengenal pasti bapa kepada bayi dilahirkan.

Akibatnya hanya si ibu yang akan berhadapan dengan hukuman setelah dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ketua Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Jelebu, Nur Hairin Khamis berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya menerima tiga aduan kes hamil luar nikah.

“Dua daripadanya sudah diambil tindakan, manakala satu kes lagi masih di dalam proses siasatan dan tindakan.

“Kita akan menahan wanita tersebut dan membawanya mendapatkan pemeriksaan kesihatan sebelum dituduh di mahkamah,” katanya.

Nur Hairin berkata, ketika di mahkamah, tertuduh perlu mengemukakan akuan sumpah dan ia juga memerlukan empat saksi, namun ia jarang berlaku.

“Tertuduh wanita boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 75 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Hamil Luar Nikah).

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang bertanggungjawab terhadap wanita terbabit juga boleh didakwa di bawah Seksyen 60 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Persetubuhan Ha­ram).

“Jika sabit kesalahan, tertuduh lelaki boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, amat sukar untuk mensabitkan lelaki bertanggungjawab dalam kes seumpama itu kerana ia perlu dibuktikan menerusi ujian DNA ke atas bayi yang dilahirkan.

“Pejabat agama tidak ada surat khas untuk mengarahkan lelaki berkenaan menjalani ujian DNA.

“Lazimnya keluarga wanita dan lelaki terbabit yang mahukan ujian itu dijalankan bagi menentukan siapa bapa bayi berkenaan,” katanya.

Tidak mahu libat teman lelaki - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jambatan runtuh dua kali


Oleh : AHMAD SYAHRUL DERAUH
Tarikh : December 14, 2011
Jambatan runtuh dua kali

ALOR GAJAH - Sejak dua minggu lalu, sudah dua kali jambatan menghubungkan Brisu dan Masjid Tanah, di sini runtuh menyebabkan satu laluan saja dibuka kepada orang ramai.

Jambatan setinggi tujuh meter itu turut menyebabkan retakan pada jalan raya ­sehingga mengundang ­ bahaya kepada pengguna jalan raya.

Penduduk, Jazam Johar, 42, berkata, runtuhan kali ­pertama berlaku membabitkan satu bongkah yang ­menyokong bawah jambatan dan keadaan lebih membahayakan apabila runtuhan kedua berlaku turut membabitkan tebing dan jalanraya.

“Ketika kejadian hujan ­lebat dan ia runtuh dengan ­sekelip mata berikutan air sungai yang mengalir dari Sungai Buloh ke Lubok China deras hingga menyebabkan hakisan kuat pada tebing tanah dan menimbulkan ­retak atas jalanraya.

“Sebelum ini pihak ­berkaitan ada menambak tebing sungai itu dengan batu-batuan, namun kejadian ­runtuhan ini turut menyebabkan batu yang ditambak jatuh ke dalam sungai mewujudkan rompong pada bahagian ­bawah jambatan itu,” katanya.

Menurutnya, terdapat satu longgokan batu krikil diletakkan bersebelahan ­dengan lokasi jambatan ­ runtuh itu sejak beberapa hari lalu, bagaimanapun sehingga kini masih belum ada tindakan ­diambil, malah tidak ketahui siapa meletakkannya.

“Buat masa ini pengguna perlu berwaspada apabila melalui jalan terbabit yang ­bergantung kepada papan ­tanda dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pengguna perlu lebih bertolak ansur melaluinya berikutan sebelah laluan sudah ditutup.

“Sepanjang dua minggu keadaan ini terbiar belum ada yang menjadi mangsa di sini. Tetapi sampai bila ia akan terus terbiar tanpa sebarang ­tindakan segera. Jangan ­sehingga sudah ada yang terhumban dalam sungai, baru ada tindakan diambil,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Brisu, Ismail Laham berkata, tebing terbabit mula runtuh sejak dua minggu lalu, diikuti runtuhan kedua pada seminggu lalu membabitkan laluan jalanraya.

“Runtuhan itu berlaku ­secara berperingkat sejak dua minggu lalu dan bernasib baik ketika kejadian berlaku sekitar 4 petang itu tiada pengguna jalanraya yang melalui jalan berkenaan.

“Namun begitu, tindakan segera perlu diambil supaya ­tidak berlakunya ‘sudah ­terhantuk baru terngadah’. Apatah lagi sekiranya jalan ini dilalui orang luar yang tidak dimaklumkan berhubung hampir separuh jambatan itu runtuh,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Melaka, Datuk Abd Karim Sulaiman berkata, tinjauan ­sudah dijalankan di tempat kejadian dan permohonan untuk membaik pulih sudah dimajukan ke Kementerian Kerja Raya.

Jambatan runtuh dua kali - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'