Search This Blog

Tuesday, December 13, 2011

Polis rampas 11 kilogram syabu di KKIA

KOTA KINABALU: Polis merampas sebanyak 11 kilogram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, malam tadi.
Berita Harian Online | Polis rampas 11 kilogram syabu di KKIA:

'via Blog this'

Dua beranak dipenjara sehari dan denda kerana beri rasuah

IPOH: Dua beranak masing-masing dipenjara sehari dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini pagi ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada seorang pegawai pejabat tanah dan galian supaya tidak mengambil tindakan perbuatan mereka mengambil pasir tanpa lesen sah.

Hakim Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM60,000 terhadap Ong Kien Choong, 25, kerana memberi suapan RM12,000 kepada pegawai terbabit pada 11 Disember 2010.
Ong Eng Lin, 47, pula dihukum penjara sehari dan denda RM12,500 kerana memberi suapan RM2,500 pada 11 Januari 2011.
Berita Harian Online | Dua beranak dipenjara sehari dan denda kerana beri rasuah:

'via Blog this'

Dua pelajar maut dalam tunjuk perasaan di Mexico

CHILPANCINGO: Dua pelajar terbunuh hari ini apabila polis cuba untuk meleraikan tunjuk perasaan di lebuh raya utama antara Mexico dan bandar peranginan Pasifik, Acapulco.

Seorang wartawan AFP menjadi antara saksi kejadian berkata, polis menembak ke udara semasa tunjuk perasaan yang berlangsung kira-kira setengah jam di ibu negeri wilayah Guerrero, Chilpancingo kira-kira 270 kilometer di selatan Mexico City.
Dua mayat pelajar terbabit terbujur di atas jalan raya berkenaan. - AFP
Berita Harian Online | Dua pelajar maut dalam tunjuk perasaan di Mexico:

'via Blog this'

Anggota polis, buruh berdepan hukuman mati rompak kedai emas

MARANG: Seorang anggota polis dan seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merompak sebuah kedai emas di Wakaf Tapai dengan menggunakan sepucuk revolver pada 28 November lalu.

Anggota polis berkenaan Lans Koperal Azizan Shaari, 28 yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, dituduh bersama-sama Jeffridin Manan, 31 melakukan rompakan tersebut di Kedai Emas Swee Heng, Wakaf Tapai 11.30 pagi hari berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Azizan 48, didakwa melepas tembakan dengan menggunakan senjata api jenis revolver dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan pemilik kedai emas tersebut Fong Swee Heng, 48.
Dia dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) (Akta 37) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama akta tersebut yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Rakannya, Jeffridin dituduh bersama-sama dengan Azizan melakukan rompakan tersebut dengan mempunyai pengetahuan bahawa Azizan mempunyai sepucuk revolver dalam milikannya dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api tersebut dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pemilik kedai emas tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat ) 1971 (Akta 37) yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Kedua-dua tertuduh yang didakwa berasingan mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh Majistret Nor Azizah Yusof.
Bagaimanapun tiada pengakuan bersalah direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi sementara menunggu laporan balistik.

Tiada jaminan ditawarkan, manakala pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud dan Nazlyza Mohd Nazri. - BERNAMA
Berita Harian Online | Anggota polis, buruh berdepan hukuman mati rompak kedai emas:

'via Blog this'

2 ditahan, 203 butir peluru ditemui

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan polis Ahad lalu berhubung penemuan 203 butir peluru di sebuah rumah di Jalan Belibis, Taman Perling baru-baru ini.

Semasa penahanan lelaki berusia 32 tahun dan wanita berusia 29 tahun itu di Kawasan Rehat Simpang Renggam, polis turut menemui sepucuk Revolver 38 Special berserta tujuh butir peluru dan satu kelongsong peluru.
Turut ditemui daripada mereka ialah enam paket dadah seberat lebih kurang tiga gram.
"Kedua-dua suspek yang tiada rekod jenayah sebelum ini didapati positif dadah jenis syabu dan ditahan reman sehingga esok," kata Ketua Polis Johor Deputi Komisioner Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

Dalam kes berlainan, Mohktar berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warganegara Singapura berumur 23 tahun kerana didakwa mencabul seorang gadis 16 tahun dari negara itu di Jalan Wong Ah Fook di sini Sabtu lalu.
Suspek ditahan reman sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan di mana boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan. - BERNAMA
Berita Harian Online | 2 ditahan, 203 butir peluru ditemui:

'via Blog this'

2 didakwa pecah rumah, curi harta benda pegawai polis

KUALA LUMPUR: Dua lelaki berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan pecah rumah seorang pegawai polis, Jun lalu.

Muhammad Elham Jamaluddin, seorang jurugambar sambilan dan Muhammad Izak Umar Baki, seorang penganggur didakwa memecah masuk rumah Mohd Azani Omar, 37, di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, Jalan Travers, Brickfields di sini antara 1 petang 9 Jun hingga 10 pagi 10 Jun lalu.
Mereka didakwa melarikan kereta jenis Toyota Altis, sebuah televisyen, tiga bentuk cincin emas dan seutas jam yang kesemuanya bernilai kira-kira RM92,000.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Majistret Zulkpli Abdullah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes. Kedua-dua tertuduh membayar jaminan tersebut.

Sementara itu, Muhammad Elham juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua mencuri dan menyimpan harta curian iaitu dua buah kamera, milik V G Shila, 45, Jumaat lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah D4, Balai Polis Petaling, Batu 5, Jalan Klang Lama di sini pada 8.45 malam, 2 Disember lalu.
Muhammad Elham didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman enam bulan hingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Zulkpli kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes. Muhammad Elham membayar jaminan tersebut.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin. - BERNAMA
Berita Harian Online | 2 didakwa pecah rumah, curi harta benda pegawai polis:

'via Blog this'

Ibu maut dalam nahas langgar lari di Georgetown

GEORGETOWN: Seorang wanita yang dalam perjalanan menjemput anaknya pulang dari tempat kerja terbunuh dalam satu kemalangan langgar lari di Jalan Batu Lancang di sini pada jam 1.30 pagi tadi.

Ooi Hai Keok, 52, yang mati di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta sebelum diseret kira-kira 100 meter, kata jurucakap polis.
Anak Ooi yang bekerja di sebuah restoran makanan segera yang menunggu lama cuba menghubunginya menerusi telefon bimbit ibunya tetapi dijawab oleh seorang lelaki yang memaklumkan Ooi terbabit dalam kemalangan.
"Anaknya yang terkejut dengan berita itu terus berjalan lebih lima kilometer dari tempat kerjanya ke tempat kemalangan dan sebaik sampai dia terus meraung melihat mayat ibunya," kata jurucakap itu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota berwarna hitam melanggar motosikal yang ditunggangi Ooi sebelum pemandunya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan. - BERNAMA
Berita Harian Online | Ibu maut dalam nahas langgar lari di Georgetown:

'via Blog this'

4 cedera dalam kebakaran kecil di loji Petronas Kerteh

KUALA TERENGGANU: Empat pekerja kontrak yang sedang menjalankan kerja baikpulih di salah sebuah loji Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd cedera dalam satu kebakaran kecil, petang semalam.

Kebakaran di kilang Crude Distillation Unit (CDU) di Kerteh, Kemaman yang dalam proses penyelenggaraan dan baikpulih, dipadamkan dalam masa 15 minit oleh Pasukan Keselamatan Petronas sendiri.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Zulkifly Mohd Ismail, berkata kebakaran jam 5 petang itu berlaku secara tiba-tiba ketika sekumpulan pekerja kontrak sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di loji itu.
Katanya, dua daripada pekerja berkenaan, Mohd Ayub Abdullah, 22, dan Mohd Zakaria And Ghani, 28, melecur di muka dan tangan, dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan.

"Kecederaan yang dialami tidak serius, saya sempat melawat mereka pagi tadi dan mereka dalam keadaan stabil. Mungkin dua tiga hari lagi mereka dibenarkan pulang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, dua lagi pekerja kontrak tersebut, tidak dapat dikenalpasti identitinya hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Daerah Dungun.

Zulkifly berkata, siasatan mengenai punca sebenar kebakaran itu masih lagi dijalankan dan kebakaran berkenaan tidak menyebabkan kerosakan besar loji tersebut.
Katanya, pihak syarikat sentiasa berusaha mempertingkatkan aspek keselamatan loji di situ bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Usaha kita untuk meningkatkan aspek keselamatan tidak pernah berhenti, ia berterusan sebab kita tak mahu sesiapa pun tercedera," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | 4 cedera dalam kebakaran kecil di loji Petronas Kerteh:

'via Blog this'

Buruh ke tali gantung edar methamphetamine


KOTA BHARU: Seorang buruh hari ini dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengedar 4,992 pil dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosdi Taib, 43, dari Rantau Panjang, selepas mensabitkan tertuduh dengan kesalahan tersebut.
Tertuduh didakwa mengedar dadah itu di depan sebuah kedai runcit di tepi jalan Kampung Batu Karang, Pasir Mas pada 7 petang, 8 Dis 2009 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Rosdi kelihatan tenang sewaktu mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Nor Hidayah Mohd Razali. - BERNAMA
Berita Harian Online | Buruh ke tali gantung edar methamphetamine:

'via Blog this'

Wanita muda dalangi operasi pengedaran dvd cetak rompak

ALOR SETAR: Seorang wanita muda berusia 21 tahun yang menjadikan sebuah rumah teres setingkat di sini sebagai pusat pengedaran cakera video digital (DVD) cetak rompak terbongkar apabila diserbu Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Kedah/Perlis, semalam.

Dalam serbuan jam 4.05 petang itu, pegawai Bahagian Kawalan Filem dan Penguatkuasaan KDN cawangan itu merampas 22,626 keping DVD cetak rompak filem Melayu, Cina dan Inggeris bernilai RM113,130.
Ketua cawangan bahagian itu, Zainal Abidin Othman, berkata dalam operasi itu, pihaknya menahan wanita muda itu yang dipercayai dalang sindiket terbabit serta dua pekerjanya iaitu seorang wanita dan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an.
"Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek sedang membungkus DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B untuk dipasarkan di sekitar bandar ini. Rampasan itu adalah terbesar untuk tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati mereka menjalankan kegiatan haram di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu dan pihaknya menjalankan intipan sejak sebulan lalu selepas mendapat maklumat orang awam.

Zainal Abidin berkata, rumah berkenaan dijadikan stor menyimpan DVD haram sebelum bekalan dipasarkan kepada peniaga pasar malam di sekitar bandar itu.

"Kes ini disiasat dibawah Seksyen 6(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun," katanya.
Katanya, beliau percaya masih ada lagi sindiket lain yang menjalankan kegiatan yang sama kerana pihaknya mendapati masih banyak DVD yang tidak mempunyai sijil perakuan B dijual di pasar malam di sekitar bandar itu. - BERNAMA
Berita Harian Online | Wanita muda dalangi operasi pengedaran dvd cetak rompak:

'via Blog this'

Cubaan seludup syabu RM3.3 juta ke Sabah digagalkan

KOTA KINABALU: Polis menggagalkan satu cubaan untuk menyeludup ke Sabah dadah bernilai RM3.3 juta dengan tertangkapnya seorang tukang paip di Lapangan Terbang Antarbangsa Kota Kinabalu, malam semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata dadah itu dipercayai jenis syabu seberat 11 kilogram ditemui dalam bungkusan teh herba Cina dan beberapa kotak ketika lelaki berusia 31 tahun itu tiba di Terminal 2 pada jam 10.40 malam semalam dari Kuala Lumpur.
"Lelaki itu juga didapati mempunyai kes penyalahgunaan dadah dan masih berada di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan," katanya kepada pemberita, hari ini.
Hamza berkata, lelaki berkenaan kini direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket pengedaran dadah di Sabah berikutan tangkapan itu. - BERNAMA
Berita Harian Online | Cubaan seludup syabu RM3.3 juta ke Sabah digagalkan:

'via Blog this'

Suami isteri mengaku terima deposit tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengaku menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah, lima tahun lalu.

Dahlan David Abdullah, 46, dan Ramunatul Aida Rahmat, 43, kedua-duanya pengarah syarikat Jazmeen (M) Sdn Bhd, didakwa melakukan kesalahan itu di Cheras Business Centre antara 29 Disember 2006 hingga 30 Julai 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Syarikat Jazmeen, yang menjalankan perniagaan berbentuk perdagangan, turut berdepan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen pada waktu dan tempat yang sama.

Hakim S M Komathy Suppiah menetapkan esok untuk hukuman dan memerintahkan tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Buloh selepas membenarkan permohonan pendakwaan agar pasangan itu tidak dibenarkan ikat jamin.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Mohd Shukri Abdul Mansur berkata, kedua-dua tertuduh pernah menghilangkan diri daripada buruan pada 15 Julai 2009 berhubung kesalahan itu.

Beliau berkata, mereka dijumpai semula di depan Bank Rakyat Desa Pandan pada jam 3 petang semalam hasil maklumat orang ramai. - BERNAMA
Berita Harian Online | Suami isteri mengaku terima deposit tanpa lesen:

'via Blog this'

Keluarga warga emas terselamat rumah roboh akibat tanah runtuh

KUANTAN: Sebuah keluarga nyaris maut apabila sebahagian besar rumah mereka di Kampung Sungai Charu di Jalan Sungai Lembing di sini roboh akibat runtuhan tanah, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, dua bilik tidur dan tandas rumah berkenaan yang terletak di kawasan lereng bukit runtuh selepas berlaku pergerakan tanah di tapak rumah.
Anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, yang melawat keluarga terbabit, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada laluan air bawah tanah.
"Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian berkenaan. Jumlah kerugian dianggarkan RM20,000," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika kejadian, rumah berkenaan didiami Wan Mah Wan Ali, 70, anaknya Mohd Shafie Adam, 30, dan dua cucunya, Taufik Mohd Shafie, 11, dan Nor Shafikah Hafizah Mohd Shafie, 9.

Abdul Manan berkata, keluarga berkenaan kini ditempatkan sementara di Pusat Komuniti Pancing.

Wan Mah ketika ditemui berkata, cucunya, Taufik yang sedang bermain di luar rumah memberitahunya berkenaan hakisan di kawasan rumah mereka.
"Saya keluar untuk melihat dan terkejut apabila secara tiba-tiba tandas dan dua bilik tidur rumah runtuh. Dalam keadaan kelam kabut, saya hanya mampu melihat sebahagian rumah kami ranap sekelip mata," katanya.

Beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu. - BERNAMA
Berita Harian Online | Keluarga warga emas terselamat rumah roboh akibat tanah runtuh:

'via Blog this'

Air sungai masuk kampung

ENDAU: “Ketika air memasuki rumah, kami sedang tidur. Sebaik sedar, kami hanya mampu menyelamatkan diri dengan membawa dokumen penting,” kata Norhidah Awang Kechik, 38, mengenai banjir berpunca benteng penghadang air Sungai Endau yang pecah hingga menenggelamkan empat rumah di Sungai Padang dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, 16 penduduk membabitkan empat keluarga terpaksa dipindahkan ke dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Endau, selepas rumah masing-masing dimasuki air.
Norhidah berkata, air sedalam 0.4 meter itu disedari memasuki rumah kira-kira jam 3.00 pagi menyebabkannya bergegas mengejutkan suami yang cacat penglihatan dan tiga lagi anak mereka berusia antara 10 hingga 13 tahun sebelum mereka dipindahkan anggota Bomba dan Penyelamat Endau.
Katanya, sebuah motosikal dan sebahagian perabot di bahagian ruang tamu rumahnya ditenggelami air menyebabkan keluarganya mengalami kerugian yang masih belum dapat ditaksirkan jumlahnya.

“Rumah saya kini masih dipenuhi lumpur, selepas air surut, kami terpaksa membersihkan rumah serta membaiki motosikal yang rosak akibat ditenggelami air masin.

“Motosikal ini penting bagi keluarga saya kerana itulah kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki dengan menjaja kuih di sekitar Pekan Endau,” katanya.

Tinjauan mendapati pihak berkuasa giat menjalankan kerja menyiapkan benteng sementara bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Penduduk, Abu Bakar Mat Ros, 63, berkata kejadian itu sudah dijangkakan selain banjir kerana air laut pasang pada tengah malam serta hujan lebat tidak berhenti sejak petang.

“Sejak awal petang semalam lagi, penduduk sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana kampung ini sering berlaku kejadian banjir berikutan penempatan penduduk terletak di kawasan rendah dan berhampiran sungai, rumah saya turut dinaiki air tetapi tidak sampai tahap kena berpindah,” katanya.

Katanya, sebelum ini kejadian sama pernah berlaku bulan lalu disebabkan benteng pecah dan kali ini benteng sementara yang dibina pecah sekali lagi sehingga gagal menghalang air sungai memasuki kampung.

“Kami berharap benteng lebih kukuh dibina bagi mengurangkan risiko banjir air laut setiap kali berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat,” katanya.
Berita Harian Online | Air sungai masuk kampung:

'via Blog this'

Tunjuk samseng elak dicekup

PETALING JAYA: Tiga lelaki warga Nigeria sanggup berhimpit di bawah katil dalam sebuah bilik bagi mengelak dicekup ketika anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor melakukan Operasi 6P di Apartmen Baiduri Court, Bandar Bukit Puchong di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, seorang lagi rakan serumah mereka bersembunyi dalam sebuah lagi bilik dan menguncinya dari dalam, menyebabkan anggota operasi terpaksa memecahkan pintu bilik selepas lelaki berkenaan enggan membuka pintu seperti diarahkan.
Selepas pemeriksaan dilakukan, empat warga Nigeria yang masuk ke negara ini menggunakan ‘lesen’ pelajar itu didapati cuba mengelak ditahan kerana pas pelajar mereka sudah tamat tempoh dan berada di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.
Dalam operasi selama empat jam itu, seorang lelaki warga Nigeria tercedera selepas bergelut dengan beberapa anggota operasi ketika cuba menghalangnya terjun dari tingkat dua bangunan pangsapuri setinggi 10 tingkat itu.

Ketua Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montin, berkata akibat pergelutan itu, lelaki berkenaan cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan pesakit luar.

“Dalam operasi disertai 58 pegawai dan anggota ini, kami memeriksa 79 warga asing yang menyewa di 22 unit apartmen itu dan hasilnya, kita menahan 12 lelaki warga Nigeria serta tiga lagi lelaki masing-masing dari Bostwana, Uganda dan Pakistan berusia antara 22 hingga 35 tahun atas beberapa kesalahan.

“Antara kesalahan utama adalah pas pelajar atau dokumen perjalanan sudah tamat tempoh dan tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat permit pekerjaan,” katanya di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana melanggar syarat permit pekerjaan dengan bekerja pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan, sedangkan dia diberi permit bekerja dalam sektor perladangan.

Othman berkata, semua 15 lelaki ditahan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan dan mereka dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk tindakan selanjutnya.
Berita Harian Online | Tunjuk samseng elak dicekup:

'via Blog this'

Cemas ombak besar luar biasa


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 13, 2011
bencana3

TELUK LIPAT - Kejadian ombak besar yang disifatkan tsunami kecil melanda perairan pantai Dungun malam kelmarin bukan lagi satu fenomena baru bagi penduduk tempatan.

Namun, kejadian ombak setinggi kira-kira lima meter sehingga melintasi jalan raya utama di kawasan peranginan Pantai Teluk Lipat kira-kira jam 10 malam itu agak mencemaskan peniaga berdekatan kerana kawasan perniagaan mereka digenangi air laut sehingga mencecah kira-kira 0.25 meter.

Saksi kejadian, Wan Rohani Hassan, 54 berkata, fenomena ombak besar itu merupakan satu kejadian biasa setiap kali kedatangan musim tengkujuh.

Bagaimanapun kejadian pada malam kelmarin dianggap agak luar biasa kerana selain ombak besar, air laut juga turut melimpah masuk ke daratan sehingga membanjiri kawasan deretan medan selera Pantai Teluk Lipat.

Menurutnya, akibat kejadian yang disifatkan Wan Rohani sebagai tsunami kecil itu, dia terpaksa menghentikan operasi lebih awal kerana bimbang jika berlaku situasi lebih buruk sehingga boleh mengancam keselamatan pekerja yang rata-rata terdiri daripada ahli keluarganya.

“Kami terpaksa menutup operasi kerana takut kalau-kalau dihanyutkan ombak besar. Jika keadaan ini berterusan, maka saya bersama peniaga lain mungkin terpaksa menutup operasi buat sementara waktu sehingga keadaan cuaca kembali pulih,” katanya.


Berbeza daripada tahun lalu

Menurutnya, fenomena ombak besar tahun ini agak berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana selain saiz ombak yang menghempas pantai dikatakan lebih besar, ia turut melanda beberapa lokasi lain yang berada berhadapan perairan pantai Dungun.

“Kalau sebelumnya, ombak besar ini hanyalah di kawasan pantai Teluk Lipat, tapi kali ini ia turut melanda beberapa lokasi lain seperti Teluk Bidara dan Sura.

“Jadi saya bimbang jika tragedi banjir besar yang berlaku di negara jiran turut melanda negara kita dan kejadian ombak besar ini merupakan satu petanda awal,” katanya.


Rumah guru Al-Quran nyaris hanyut dipukul ombak

“Ketika itu, mak cik tak mampu nak buat apa-apa, hanya membaca ayat suci agar ombak reda sedikit, masa itu mak cik hanya ingat Tuhan sahaja,” kata Wan Ngah Wan Mohd, 59, guru Al-Quran yang terpaksa bertarung nyawa setelah rumahnya di tepi laut di Teluk Bidara yang
didiami sejak puluhan tahun itu dipukul ombak besar, malam kelmarin.

Menceritakan detik cemas ketika kejadian itu, Wan Ngah yang juga seorang ibu tunggal berkata, pengalaman berhadapan ombak besar itu amat menakutkannya.

Katanya, ketika itu dia dapat merasai ombak sudah mulai menghempas dinding rumahnya selain bawah rumah sudah dinaiki air laut sedalam kira-kira 0.5 meter.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan terpaksa reda kerana tidak mampu untuk mencari tempat berlindung yang lebih selesa berikutan kesempitan hidup yang dilaluinya.

“Makcik tak tahu nak pindah ke mana, mak cik tiada tanah untuk buat rumah, walaupun tahu bahaya tinggal di sini, namun hanya pondok usang ini sahajalah yang mak cik ada. Kalau ditakdirkan mak cik habis nyawa dekat sini pun, mak cik reda,” katanya yang kini turut mengajar kanak-kanak mengaji untuk menyara kehidupan.


Laluan pantai masih selamat?

Orang ramai yang sering menggunakan laluan jalan pantai dari Teluk Gadung ke Kuala Dungun kini bimbang dengan tahap keselamatan ekoran berlakunya beberapa kejadian tanah runtuh akibat kejadian ombak besar malam kelmarin.

Seorang pengguna, Mokhtar Mamat, 50, berkata, pihak berkaitan diharap sentiasa membuat pemantauan serta lebih peka dengan situasi semasa.

“Kalau boleh diletakkan papan tanda amaran selain menutup laluan yang difikirkan boleh membaha-yakan keselamatan pengguna berikutan terdapat kejadian tanah runtuh dan pokok yang hampir menyembah bumi,” katanya.

Cemas ombak besar luar biasa - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Suami dipenjara 12 tahun, isteri longlai


Oleh : SH KELANTAN
Tarikh : December 12, 2011
longlai

KOTA BHARU – Suasana di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diselubungi hiba apabila seorang isteri menangis sambil mencium tangan suaminya sejurus bapa empat anak itu dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan 10 kali rotan selepas disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah, tahun lalu.

Tambah memilukan apabila, Matini Ismail, 42, dilihat beberapa kali longlai dalam pangkuan suaminya, Che Razaman Che Isa, 48, ketika dibenarkan bertemu tukang kebun itu sebelum tertuduh dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa untuk menjalani hukuman.

Keputusan dibuat selepas Che Razaman mengaku bersalah pada pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki 1,792.6 gram kanabis di sebuah rumah tanpa nombor di RPT Limau Kasturi, Gua Musang pada jam 5 petang, 2 Disember 2010.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim dan peguam bela, Datuk Syukri Mohamed.

Mereka pada asalnya dituduh secara bersama mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah berkenaan, bagaimanapun, pertuduhan itu dipinda dan Che Razaman mengaku bertanggungjawab ke atas kesemua dadah yang ditemui.

Berdasarkan fakta kes, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang menerima maklumat dadah mengekori sebuah Proton Waja dinaiki tertuduh sehingga ke sebuah rumah tanpa nombor di Limau Kasturi, Gua Musang.

Selepas memperkenalkan diri, tertuduh cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan dan pemeriksaan menjumpai dadah tersebut dalam sebuah bungkusan plastik dipegang Martini. Pemeriksaan lanjut mengesahkan bungkusan tersebut mengandungi dadah kanabis.

Hakim Azman Abdullah dalam keputusannya berkata, hukuman diputuskan selepas meneliti semua hujah pendakwa dan rayuan tertuduh.

“Gejala dadah adalah musuh nombor satu negara yang masih belum dapat dibanteras. Sehubungan itu, hukuman perlu mencerminkan keseriusan masalah ini selain dapat memberi peringatan serta ketakutan kepada masyarakat untuk melakukan kesalahan sama,” katanya.

Suami dipenjara 12 tahun, isteri longlai - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Samun pekerja stesen minyak


Oleh : NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
Tarikh : December 13, 2011
samun

IPOH – Seorang kakitangan agensi pekerja asing dihukum tiga tahun penjara serta satu sebatan dan denda RM40 kerana bersalah terhadap tiga pertuduhan menyamun, memiliki senjata berbahaya dan barang haram di Tambun pada Februari dan Mac lalu.

Majistret Rabiatul Adawiyyah Che Khalib memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh ditangkap setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh, Yahisyal Yahaya, 26.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dikenakan dua tahun penjara atas kesalahan menyamun seorang pekerja stesen minyak warga Pakistan dengan menyamar sebagai polis dan merompak sebuah telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM300 dan dokumen penting milik mangsa.

Dia melakukan perbuatan itu di stesen minyak Batu 6, Tambun pada jam 2 petang, 19 Februari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati bersalah memiliki senjata berbahaya iaitu pisau, parang panjang dan pemotong dawai ketika ditahan oleh anggota polis di Taman Perpaduan pada jam 3.30 petang, 6 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Yahisyal dikenakan penjara setahun dan satu sebatan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Yahisyal juga dikenakan denda RM40 atas kesalahan memiliki barang haram iaitu satu vest hijau, topi hitam mempunyai logo PDRM, gari dan anak kunci serta mempunyai pelekat kenderaan tertera logo PDRM dan Polis Gerakan Am (PGA) pada waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa dibawah Seksyen 16 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50 atau enam minggu penjara.

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai tiga anak kecil dan mahu hukuman dijalankan serentak. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nor Abdurrahim.

Samun pekerja stesen minyak - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Taktik sorok dadah dalam tanah liat terbongkar


Oleh : SH UTARA/ GOKINA MORGANAN
Tarikh : December 12, 2011
sorok dadah dalam tanah liat

GEORGETOWN - Polis mengesan satu lagi taktik baru penyeludupan dadah di sebuah gudang simpanan dadah di Kawasan Perindustrian Bebas, Batu Maung oleh warga asing iaitu dengan menyorok dadah dalam kampit berisi tanah liat.

Cara ini dikesan apabila kelima-lima suspek terdiri daripada dua warga Iran dan tiga warga Algeria berusia antara 27 tahun hingga 37 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Pulau Pinang, 9 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, serbuan pada awal pagi dibuat berdasarkan maklumat yang diterima mengenai kemasukan bekalan dadah menggunakan kontena di Pelabuhan Pulau Pinang.

Menurutnya, hasil pemerhatian yang dijalankan polis sejak sekian lama membongkar taktik terbaru yang digunakan sindiket terbabit selepas menyerbu sebuah stor simpanan dadah jenis syabu itu.

“Dalam serbuan tersebut, kita menahan kelima-lima suspek itu dan daripada 240 kampit yang diperiksa kita telah menemui 11 kampit syabu seberat 72.1 kilogram.

“Syabu yang dirampas itu bernilai RM14.4 juta dan dipercayai telah diseludup masuk dari Pelabuhan di Bandar Abbas, Iran menggunakan jalan air ke negeri ini dengan cara disembunyikan dalam serbuk tanah liat untuk mengelak daripada dikesan. Rampasan itu adalah yang terbesar di Pulau Pinang dan kedua di negara ini," katanya pada sidang media di Pusat Media IPK negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan S Batumalai dan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden M Muniandy.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut merampas harta milik sindiket terbabit bernilai RM125,000 daripada hasil dadah yang diperoleh.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 15 Disember ini di Balai Polis Central, Jalan Pintal Tali untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Justeru, Noor Rashid berkata, polis percaya telah menumpaskan usaha penyeludupan dadah di negara ini dan berjaya memintas modus operandi terbaru yang digunakan penyeludup dadah berkenaan.

“Saya percaya kawalan ketat pihak berkuasa di beberapa lapangan terbang dan pelabuhan maritim di Lembah Klang, sindiket cuba mengalihkan aktiviti penyeludupan mereka ke lain-lain pintu masuk negara.

“Bagaimanapun, dengan kerjasama erat pelbagai agensi penguat kuasa dadah termasuk sokongan orang ramai usaha polis menumpaskan cubaan seludup dadah akan dipertingkatkan,” katanya.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah di sebuah stor simen dalam serbuan awal pagi.

Taktik sorok dadah dalam tanah liat terbongkar - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kereta terjunam dalam kolam


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 13, 2011
kereta terjunam

TERACHI - Seorang wanita maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas sebelum terjunam ke dalam kolam pancing di Kampung Gedang di Kilometer 24.5, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, be­rasal dari Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor menaiki kereta jenis Honda berwarna putih dalam perjalanan ke Kuala Pilah menghala ke Seremban.

Mangsa ditemui maut selepas kereta yang dinaiki dikeluarkan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PDA) dari Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kenderaan yang menghala ke Seremban dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya walau bagaimanapun tidak sempat kerana ada sebuah bas dari arah bertentangan.

Menurutnya, ketika tiba di jalan itu, kereta mangsa dipercayai cuba memasuki semula lorongnya, namun terlanggar bahagian belakang lori terbabit lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kereta itu hilang kawalan lalu terbabas hingga menjunam ke dalam kolam ikan pancing sedalam 3 meter,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, setakat ini, hanya seorang penumpang sahaja dikenal pasti.

“Pihak polis akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan kepada alamat yang tertera di kad pengenalan mangsa.

“Pihak polis tetap berusaha menghubungi saudara mangsa, bagi melihat sama ada mangsa bersama orang lain ataupun seorang diri. Kerja-kerja menyelamatkan ditamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat daerah, Kamarudin Salleh berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.15 petang dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 2.40 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, kea­daan kereta itu terbalik dengan tayar keempat-empat ke atas. Kenderaan dua pintu itu ditarik keluar dibantu oleh jentera bomba dan dibantu oleh sebuah treler untuk menariknya ke atas.

“Buat masa ini, seorang mangsa dijumpai. Pihak bomba bersama tiga orang dari PDA bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, anggota dari Bomba dan Penyelamat dari Kuala Pilah seramai enam orang bagi membantu kerja-kerja menyelamat.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya

Kereta terjunam dalam kolam - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki dikehendaki bantu siasatan

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 13, 2011
KUANTAN - Orang ramai diminta membantu untuk mengesan seorang lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun di sebuah kedai cermin di Jalan Sungai Lembing di sini yang berlaku pada 8 Disember tahun lalu.

Lelaki yang dikenali Ishak Ibrahim, 43 dengan alamat terakhir, Kampung Mengkasar, Pekan diperlukan untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah di sini pada 16 Disember ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.50 petang itu, lelaki tersebut berpura-pura untuk menempah cermin di kedai milik mangsa sebelum keluar dan memasuki semula kedai terbabit.

“Lelaki itu menyerang mangsa menggunakan gergaji besi milik kedai tersebut dan merampas duit milik mangsa dan kedai itu.

“Kerugian dianggarkan kira-kira RM2,500 dan lelaki tersebut berjaya ditangkap pada 18 Januari lalu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini lelaki tersebut melakukan pelbagai pekerjaan seperti pelayan kedai makan dan turut mempunyai tujuh kes lampau iaitu enam kes jenayah dan selebihnya narkotik.

“Lelaki ini dipercayai sudah melarikan diri ke negara jiran, Thailand dan kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi talian 09-5132222 ataupun berhubung Inspektor Kamarul Izani Kamarudin di talian 012-9604092,” katanya.
Gambar Berkaitan
Lelaki dikehendaki bantu siasatan - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'