Search This Blog

Monday, December 12, 2011

Pura-pura beli minuman

Pura-pura beli minuman - Melaka & NS - Sinar Harian:


Oleh : SYAMILAH ZULKIFLI
Tarikh : December 12, 2011
disamun
SEREMBAN - Dua lelaki berpura-pura menyamar sebagai pelanggan sebelum cuba menyamun seorang peniaga dan menantu perempuannya di sebuah kedai makan di Jalan Tampin Lama, Rahang dekat sini, Khamis lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, 70-an, berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 7 petang itu, dia dan menantunya yang berumur sekitar 30-an sedang mengemaskan kedai sebelum menutup premis berkenaan.

“Semasa kami sedang sibuk berkemas, dua lelaki datang dengan menaiki motosikal dan singgah di kedai makan saya. Seorang daripada mereka memberitahu ingin membeli air.

“Saya cuba menjelaskan kedai sudah ditutup namun mereka tetap bertegas mahu membeli sebotol air minuman menyebabkan saya tidak dapat menolak permintaan itu,” katanya di sini, semalam.

Menurut Raja, lelaki terbabit tidak meninggalkan kedainya selepas membuat bayaran tetapi memerhatikan keadaan sekeliling dan gerak-gerinya mencurigakan.

Dia berkata, suspek tiba-tiba meluru ke arahnya sebelum meletakkan sebilah pisau memburu ke lehernya sambil mengugut akan mencederakannya jika tidak menyerahkan wang.

“Rakan suspek pula cuba meragut rantai leher yang dipakai menantu saya namun mujurlah dia sempat melarikan diri.

“Dua lelaki berkenaan kemudian menjadi panik dan meninggalkan kedai saya tanpa sempat mengambil apa-apa pun,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Raja, lehernya cedera akibat terkena pisau memburu digunakan suspek mengakibatkannya menerima lima jahitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin ketika mengesahkan menerima laporan tentang kejadian berkata, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati sekiranya ternampak individu yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

Awas! minyak masak terpakai

Awas! minyak masak terpakai - Melaka & NS - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
minyak masak
TANJUNG IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa pengguna supaya lebih berhati-hati ketika membeli produk supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Pegawai KPDNKK Kuala Pilah, Zulkifli Mat, berkata, pengguna perlu bijak memilih barang termasuklah minyak masak kerana pihaknya mengenal pasti terdapat minyak kitar semula yang dijual di pasaran.

“Isu minyak masak kitar semula ini berlaku di Selangor, namun sebelum ia menular di daerah ini, saya nasihatkan pengguna supaya peka dengan pembelian produk berkenaan.

“Minyak masak kitar semula ini mengandungi hanya 20 peratus kandungan minyak asli, manakala 80 peratus dicampur dengan minyak yang telah digunakan yang dipe­roleh daripada restoran dan hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat kepenggunaan anjuran Lembaga Keba­jikan Perem­puan Islam Malaysia (LKPIM) Kuala Pilah di Balai Muhibbah, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga LKPIM Kuala Pilah, Rosnah Mohd Said.

Sementara itu, beliau turut menerangkan perbezaan antara minyak masak kitar semula dengan yang asli sekali gus menggesa pengguna supaya lebih bijak menilai.

“Kita hanya perlu lihat label daripada kilang mana ia diproses selain logo halal. Jika tiada alamat kilang dan logo tersebut, minyak itu adalah tiruan dan pengguna perlu melaporkan kepada kami.

“Bahayanya minyak masak kitar semula ialah dari segi kebersihan yang tidak terjamin. Tambahan pula, sebagai orang Islam, kesucian itu diberi keutamaan terutama dalam masakan,” katanya.

Dalam pada itu, taklimat yang diadakan adalah bagi memberi kesedaran berkaitan hak-hak pengguna dengan melaporkan kepada KPDNKK sekiranya terdapat produk yang mencurigakan termasuk peraduan gores dan menang, barangan tiruan, tamat tempoh dan lain-lain.

Dalam pada itu, katanya, taklimat yang dilaksanakan ini bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna tentang hak-hak mereka.

“Saya juga minta pengguna di luar bandar agar lebih bijak menggunakan kuasa beli mereka supaya peniaga tidak menekan harga barangan sesuka hati,” katanya.

‘Keldai’ wanita ditahan

‘Keldai’ wanita ditahan - Utara - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
dadah
ALOR SETAR - Satu lagi cubaan menjadikan Kedah sebagai laluan pengedaran dadah, berjaya ditumpaskan polis dengan tertangkapnya seorang wanita warganegara Thailand berusia 29 tahun, dalam operasi di Terminal Bas Shahab Perdana, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, penahanan wanita terbabit dalam serbuan kira-kira jam 8.15 malam itu membawa kepada penemuan 18 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja, yang dimasukkan ke dalam beg pakaian.

Menurutnya, wanita terbabit dipercayai dalam perjalanan membawa dadah dari negeri ini untuk pasaran Kuala Lumpur.

“Kesemua 18 ketulan dadah itu dianggarkan seberat 17.4 kilogram (kg) dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM43,200, dan wanita terbabit kini direman bermula 9 Disember hingga 16 Disember ini untuk siasatan lanjut.

“Dua telefon bimbit milik wanita berkenaan turut dirampas manakala maklumat pada pasport wanita terbabit menunjukkan bahawa ini adalah kali pertama dia masuk ke negeri ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media, semalam.

Ahmad berkata, selepas penahanan beberapa warga asing dalam serbuan bersama polis dari Bukit Aman ke atas makmal dadah di Mergong bulan lalu, Kedah masih terus menjadi laluan pengedar dadah dari negara jiran.

“Kedah didapati menjadi laluan oleh pengedar dadah dari negara jiran termasuklah menggunakan stesen bas sebagai laluan mereka.

“Nampaknya masih ada pihak-pihak tertentu yang tidak merasa takut walaupun sudah banyak tangkapan yang dibuat, bagaimanapun kita berdiam diri sebaliknya akan terus membuat pemerhatian dari semasa ke semasa,” katanya.

Turut hadir pada sidang media semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin dan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ab Halim Mohd Sajudi.

Pada 11 November lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kedah berjaya menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang didakwa didalangi warga asing di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Mergong dan merampas dadah bernilai RM20 juta.

Rentetan serbuan itu, 10 lelaki termasuk empat ‘Mat Salleh’ ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan mengedar dadah Methylenedioximethamphetamnine (MDMA) seberang 3.45 kg.

Lima ditahan, barangan RM2.2j dirampas

Kosmo! Online - Terkini:


12/12/2011 4:26pm

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menahan lima orang dan merampas minuman keras dan rokok putih bernilai hampir RM2.2 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di Lembah Klang pada Jumaat lepas dan malam Ahad lepas.
Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, pada pemeriksaan pertama di sebuah gudang awam di Jalan Telok Kapas, Rantau panjang, Kapar pada pukul 11 pagi Jumaat lepas, kastam menemui dua unit kontena yang bermuatan minuman keras berjenama Kingfisher dan Bavaria serta rokok putih berjenama Cordon.
“Melalui pemeriksaan itu, kastam berjaya merampas 1,536 pak minuman keras berjenama Kingfisher dan Bavaria yang kesemuanya mengandungi 36,864 tin minuman. Turut dirampas ialah sebanyak 9,800 karton rokok putih.
“Kesemua barangan ini bernilai RM153,296 dengan nilai cukai RM1.238 juta,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.
Abdul Azis berkata, dalam serbuan kedua pada hari sama di sebuah premis tidak bernombor di Balakong kira-kira pukul 3.20 petang, kastam turut merampas 1,678 pak minuman keras berjenama bernilai RM92,193 dan melibatkan cukai RM119,262.
Beliau berkata, kastam turut menyita empat buah lori yang diletakkan di premis itu yang dipercayai digunakan untuk tujuan memindahkan barangan belum dilulus kastam. – Bernama

Mengaku bersalah miliki pedang samurai 14in

Kosmo! Online - Terkini:


12/12/2011 4:28pm

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pedang samurai berukuran 14 inci dan dua pil yang mengandungi dadah jenis Erimin 5, Khamis lepas.
Abdul Halil Kamaruzaman, 41, didakwa memiliki sebilah pedang samurai tertera tulisan T5E tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa di dalam bilik Hotel Grand Millenium, Jalan Bukit Bintang, Dang Wangi di sini pada 10.30 malam, 8 Disember lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Sejata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan kedua, Abdul Halil didakwa memiliki dua pil yang mengandungi dadah jenis Erimin 5 anggaran berat 0.6 gram di Tingkat 3, tempat letak kereta hotel yang sama pada pukul 11 malam, hari yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut Seksyen 12(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Majistret Parvin Hameedah Natchiar menetapkan 12 Januari depan untuk jatuh hukum bagi kedua-dua kes itu. – Bernama

Rasuah: Pekerja syarikat pasir didakwa lagi

Kosmo! Online - Terkini:

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja syarikat pengeluar pasir sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memberi suapan kepada Komander Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Wilayah Maritim Timur Kuantan, Pahang, tahun lepas.
Bagaimanapun Abdullah Sani Cheah Abdullah, 42, dari Ipoh, Perak mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Sebelum ini, Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan memberi suapan kepada Komander Maritim, Syd Mohd Fuzi Syd Hasan membabitkan RM18,000 pada 22 Ogos lepas.
Dalam prosiding hari ini, Abdullah didakwa memberi suapan wang tunai RM9,500 kepada orang yang sama di bilik No 511, Hotel Ancasa dan Spa, dekat sini antara jam 8.15 hingga 8.30 malam pada 8 Oktober 2010.
Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas bot tunda dan tongkang yang membawa muatan pasir sungai dari Muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 hingga 9 Mac tahun depan untuk kes dibicarakan sekali. – Bernama

Bayi perempuan 7 hari ditemui di Kajang

Berita Harian Online | Bayi perempuan 7 hari ditemui di Kajang:

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan dipercayai baru seminggu dilahirkan ditemui di Taman Cheras Prima, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab, berkata bayi tersebut ditemui oleh pelajar perempuan berumur 17 tahun ketika melalui sebuah taman permainan di taman itu kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Beliau berkata, pengadu yang tinggal berhampiran kawasan tempat kejadian berjalan kaki melalui taman permainan itu dan terjumpa bayi perempuan dalam gelongsor.
"Bayi itu dibalut dengan sehelai seluar pendek berwarna biru dan tidak menangis serta ada gigitan semut di bahagian badan bayi," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, pelajar itu kemudiannya membawa bayi itu ke rumahnya sebelum membuat laporan polis hari ini.

"Pemeriksaan doktor mendapati bayi tersebut dipercayai berumur seminggu berpandukan tali pusat yang masih baru dan dipotong serta bersimpul. Namun bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat," katanya. - BERNAMA

Pasar raya rugi RM60,000 dalam kejadian pecah masuk

Berita Harian Online | Pasar raya rugi RM60,000 dalam kejadian pecah masuk:
KUANTAN: Sebuah pasar raya di Jalan Bukit Ubi di sini, kerugian kira-kira RM60,000 apabila peti besi simpanan wang tunai dipecahkan dalam satu kejadian pecah masuk, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Zulkifli Taha, berkata kejadian itu disedari penyelia pasar raya terbabit ketika beliau mahu membuka pintu untuk memulakan perniagaan pagi ini.
Beliau berkata, penyelia berusia 30 tahun itu bergegas ke ruang pejabat apabila menghidu bau hangit sebelum mendapati peti besi simpanan wang terbuka.
"Penyelia terbabit kemudiannya mendapati satu siling sudah dipecahkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, siasatan awal polis yang tiba di tempat kejadian jam 10 pagi itu mendapati suspek yang dipercayai lebih daripada seorang memasuki pasar raya tersebut melalui tangga keselamatan di belakang bangunan.

"Mereka dipercayai memasuki pasar raya itu tengah malam semalam sehingga awal pagi tadi melalui tangga belakang bangunan lalu memecahkan pintu di tingkat dua sebelum mengetuk siling pasar raya.

"Peti besi yang disimpan dalam ruang pejabat itu dipercayai dipecahkan menggunakan mesin gerudi," katanya.
Beliau berkata, polis percaya suspek tersebut membuat pemantauan ke dalam pasar raya terbabit sebelum kejadian pecah masuk itu. - BERNAMA

Penganggur didakwa pecah rumah, curi kereta pengurus syarikat

Berita Harian Online | Penganggur didakwa pecah rumah, curi kereta pengurus syarikat:
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan pecah rumah dan mencuri kereta Mercedes milik seorang pengurus syarikat pada April lalu.

Ng Kien Wien, 27, didakwa memecah rumah dan mencuri kereta milik Chuah Evve Tek, 42, di No 294, Persiaran Za'aba, Taman Tun Dr Ismail di sini pada jam 11 malam hingga 5 pagi, 5 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Ahmad menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam gagal membayar ikat jamin tersebut.

Majistret Azmil Muntapha Abas menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

2 dikhuatiri lemas kereta terjunam dalam kolam ikan

Berita Harian Online | 2 dikhuatiri lemas kereta terjunam dalam kolam ikan:
KUALA PILAH: Dua dikhuatiri lemas apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam kolam ikan di Kampung Gedang, Terachi, di sini kira-kira jam 2 petang tadi.

Setakat ini, satu mayat perempuan sudah dibawa naik.
Bomba masih lagi meneruskan operasi mengesan mangsa di dalam kolam ikan itu.

Dua sahabat karib dihukum gantung edar dadah

Berita Harian Online | Dua sahabat karib dihukum gantung edar dadah:

'KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua sahabat karib selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine, Februari tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hazlani Che Hussin dan Mohd Azlan Mat Nor yang kedua-duanya berumur 20 tahun selepas disabitkan kesalahan mengedar 23.11 gram dadah itu.
"Walaupun tertuduh pertama (Mohd Hazlani) hanya muncul sekali, namun ia menunjukkan niat bersama kerana datang selepas tertuduh kedua menghubunginya. Hanya ada satu hukuman untuk kesalahan ini iaitu hukuman gantung sampai mati," katanya ketika membuat penghakiman itu.
Mohd Hazlani dan Mohd Azlan yang masing-masing berasal dari Pasir Mas didakwa melakukan kesalahan itu di depan pintu gerbang Masjid Beijing, di Rantau Panjang, pada jam 2 petang, 3 Februari 2010.

Kedua-dua sahabat itu dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sebaik Azman menjatuhkan hukuman itu, kedua-dua tertuduh hanya saling berpandangan di dalam kandang tertuduh sebelum dibawa keluar dari bilik mahkamah.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed.
Sukri ketika membuat rayuan bagi pihak anak guamnya berkata, ketika ditangkap kedua-dua tertuduh masih remaja dan masih belum berkahwin.

Katanya, tertuduh pertama ketika itu adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam, manakala rakannya sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). - BERNAMA

Mayat warga Pakistan ditemui di Kajang

Berita Harian Online | Mayat warga Pakistan ditemui di Kajang:
KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki warga Pakistan dengan kesan cedera pada badan dipercayai dilanggar ditemui di Batu 9 Cheras, Kajang, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab, berkata mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Yusof, 44 tahun, mengalami kecederaan di dada, kepala dan tangan.
Beliau berkata, Muhammad Yusof yang tinggal di Shah Alam dan mendaftar dalam Program 6P, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 1.17 tengah hari tadi dan dipercayai mati dalam tempoh kurang satu jam sebelum ditemui.
"Pemeriksaan forensik mendapati hanya ada kesan langgar dan tiada sebarang kesan tikaman atau dipukul dengan objek tajam," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - BERNAMA

196 dipindahkan akibat ombak besar, air pasang di Kuala Besut

Berita Harian Online | 196 dipindahkan akibat ombak besar, air pasang di Kuala Besut:

BESUT: Seramai 196 orang daripada 41 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap, dekat Kuala Besut, di sini, terpaksa berpindah apabila rumah mereka ditenggelami air laut pasang besar serta dipukul ombak setinggi empat meter malam tadi.

Mereka yang terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa dan 44 kanak-kanak lelaki serta 30 kanak-kanak perempuan itu kini ditempatkan di Balai Raya Pengkalan Atap yang letaknya kira-kira 500 meter dari kawasan terbabit sejak jam 9 malam tadi.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, berkata kesemua mangsa kini selamat dan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dibekalkan selimut dan makanan.
Katanya, air pasang mula berlaku kira-kira jam 8 malam lagi dengan diikuti ombak setinggi antara tiga hingga empat meter menyebabkan kesemua rumah penduduk yang terletak kira-kira 400 meter dari pinggir laut itu mula dimasuki air.

"Keadaan bertambah cemas apabila benteng tanah yang dibina bagi mengelakkan ombak berhampiran perumahan di situ roboh di dua tempat menyebabkan air laut masuk," katanya yang turut melawat tempat kejadian malam tadi dan pagi ini.

Tinjauan ke kampung berkenaan pagi ini mendapati hampir kesemua rumah kosong ditinggalkan penghuninya ke tempat perpindahan.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa penduduk yang datang semula pagi ini bagi membersih rumah masing-masing selepas air mulai surut.
Salah seorang penduduk, Mak Ya@Saunah Ali, 61, berkata beliau dan keluarga mula berpindah jam 2 pagi apabila mendapati paras air laut yang memasuki rumahnya semakin tinggi.

Katanya, keadaan itu jarang-jarang berlaku dan dia sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke balai raya kerana bimbangkan keselamatan keluarga. - BERNAM

Penunggang warga emas maut dirempuh motosikal

Penunggang warga emas maut dirempuh motosikal - Utara - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
warga emas
GEORGETOWN - Seorang wanita warga emas menemui ajal dalam satu kemalangan ngeri berhampiran Maybank di Jalan Jelutong, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa Liang Took How, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala selepas motosikal ditungganginya dikatakan dirempuh sebuah motosikal.

Kemalangan itu membabitkan tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPPP) untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Inspektor Zhafran Ariff Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Setakat ini, polis masih menyiasat punca berlakunya kemalangan ini.

“Mana-mana saksi awam yang melihat atau mengetahui kemalangan ini diminta menghubungi telefon bimbit saya di talian 0197172681 atau IPDTL di talian 06-2834139 membantu siasatan,” katanya.

Mayat Took How dihantar ke HPP untuk dibedah siasat.

1 terbunuh, 1 cedera ditikam nelayan China

Berita Harian Online | 1 terbunuh, 1 cedera ditikam nelayan China:

SEOUL: Seorang pegawai pengawal pantai terbunuh manakala seorang lagi cedera hari ini apabila ditikam kapten bot nelayan warga China selepas mereka disyaki menangkap ikan secara haram di perairan Korea Selatan.

Pegawai pengawal pantai berkata, dua bot dari China ditahan di perairan Laut Kuning yang kaya dengan ketam biru dan ikan bilis.
Bagaimanapun, maklumat lanjut berhubung punca pergaduhan itu masih belum diketahui.
Seorang pegawai lain berkata, pegawai Korea Selatan yang ditikam dibawa ke hospital berdekatan bandar pelabuhan Incheon.

Sementara itu, beliau berkata, sembilan ditahan bagi membantu siasatan. - AFP

Bekas pengarah JPJ mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

Berita Harian Online | Bekas pengarah JPJ mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah:

SEREMBAN: Bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Mohd Kamal saad, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi, atas dakwaan rasuah dalam bentuk tiket penerbangan dan penginapan di hotel bernilai RM688 daripada seorang pemilik institut memandu.

196 dipindahkan akibat ombak besar di Kuala Besut

Utusan Malaysia Online - Terkini:


12/12/2011 12:53pm

BESUT 12 Dis. - Seramai 196 orang daripada 41 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap dekat Kuala Besut di sini terpaksa berpindah apabila rumah mereka ditenggelami air laut pasang besar serta dipukul ombak setinggi empat meter malam tadi.
Mereka yang terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa dan 44 kanak-kanak lelaki serta 30 kanak-kanak perempuan itu kini ditempatkan di Balai Raya Pengkalan Atap yang letaknya kira-kira 500 meter dari kawasan terlibat sejak pukul 9 malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A Rahman Mokhtar berkata, kesemua mangsa kini selamat dan telah dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dibekalkan selimut dan makanan.
Katanya, air pasang mula berlaku kira-kira jam 8 malam lagi dengan diikuti ombak setinggi antara tiga hingga empat meter menyebabkan kesemua rumah penduduk yang terletak kira-kira 400 meter dari pinggir laut itu mula dimasuki air.
"Keadaan bertambah cemas apabila benteng tanah yang dibina bagi mengelakkan ombak berhampiran perumahan di situ roboh di dua tempat menyebabkan air laut masuk,” katanya yang turut melawat tempat kejadian malam tadi dan pagi ini. - Bernama

Dua maut serangan di universiti AS

Dua maut serangan di universiti AS - Global - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 10, 2011
VIRGINIA - Dua orang, termasuk polis kampus, terbunuh selepas penyerang bersenjatakan pistol menyerang Universiti Virginia Tech, kelmarin, iaitu lokasi serangan tembakan paling buruk di Amerika Syarikat.

Polis belum mendedahkan identiti penyerang yang dipercayai terbunuh dalam serangan itu dan motif serangan masih disiasat.

Pada April 2007, pelajar universiti itu yang mempunyai masalah mental menembak mati 32 orang serta mencederakan 25 yang lain sebelum membunuh diri.

Telinga pemuda dihiris

Telinga pemuda dihiris - Kelantan - Sinar Harian:


Oleh : AZURA MOHAMAD
Tarikh : December 12, 2011
telinga dihiris
PASIR MAS - Akibat perselisihan faham, seorang pemuda berumur 21 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya di sini terpaksa menanggung sengsara apabila telinganya cedera dihiris manakala kaki kanan dikelar dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin.

Semasa kejadian, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dikatakan baru sahaja selesai makan tengah hari sebelum menyambung kembali tugasnya.

Sejurus selepas itu, mangsa yang hampir setahun bekerja di pasar raya berkenaan kemudiannya didatangi empat lelaki tidak dikenali dan membawanya menaiki sebuah kereta ke suatu kawasan sebelum dicederakan.

Mangsa yang berasa dari Chetok kemudiannya ditinggalkan di sebuah kawasan di Kampung Kumbang Bembang di sini, kira-kira jam 8.45 malam sebelum ditemui penduduk dan dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan.

Akibat kecederaan teruk di telinga dan kaki, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zanab II, Kota Baru untuk mendapatkan rawatan lanjut

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Assisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa dan masih meneruskan siasatan berhubung kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Ketika ditanya dakwaan kes terbabit mempunyai kaitan lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan isteri orang lain, Haliludin enggan mengulas lanjut dan menjelaskan kes tersebut masih dalam siasatan.

Penarik kereta dipenjara 12 tahun, 10 sebatan sebab miliki kanabis

Penarik kereta dipenjara 12 tahun, 10 sebatan sebab miliki kanabis - Jenayah - Sinar Harian:

Oleh : SH UTARA/ GOKINA MORGANAN
Tarikh : December 12, 2011
GEORGTOWN - Seorang penarik kereta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki dadah jenis kanabis seberat 224 gram, di kawasan berhampiran kompleks tempat kereta bertingkat arena sukan antarabangsa Bayan Lepas, pada 18 Mei 2009.

Angkara dendam buruh bagai dirasuk

Angkara dendam buruh bagai dirasuk - Terengganu - Sinar Harian:


Oleh : RUBIAH OMAR
Tarikh : December 12, 2011
Zamri-Shamsuddin
KUALA TERENGGANU- Angkara dendam lama, seorang buruh seolah-olah dirasuk hantu dengan bertindak membelasah rakan sekampungnya sehingga hampir pecah kepala dalam satu kejadian di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, suspek, 24, dari Kampung Bukit Tunggal, di sini, dipercayai membelasah mangsa berusia 20-an menggunakan kunci pendua motosikal (kunci Fox) menyebabkan mangsa terpaksa menerima beberapa jahitan di bahagian kepala sebelah kanan.

Sinar Harian difahamkan, suspek sememangnya selama ini memburu mangsa kerana ingin membalas dendam terhadap mangsa yang didakwa pernah memukulnya sebelum ini.

Disebabkan itulah, suspek tidak melepaskan peluang dan langsung tidak menghiraukan persekitaran sejurus ternampak mangsa yang ketika itu sedang membeli barang di tapak pasar malam berkenaan.

Susulan kejadian itu, suspek ditahan di kediamannya pada hari kejadian dan kini direman sehingga 14 Disember depan untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam mengesahkan menerima laporan kejadian.

Leher ditikam, dada dirodok

SIASAT...anggota polis memeriksa tempat kejadian mangsa dibunuh di Jeti Maling, dekat Dataran Sibu Fasa II.
SIASAT...anggota polis memeriksa tempat kejadian mangsa dibunuh di Jeti Maling, dekat Dataran Sibu Fasa II.
SIBU: Lima kesan tikaman termasuk empat di dada dan satu di leher dipercayai menggunakan pisau ditemui pada tubuh seorang wanita yang menanggung azab lebih sejam sebelum menemui ajal di Jeti Maling, berdekatan Dataran Sibu Fasa II, malam kelmarin.
Mangsa dipercayai diserang sebelum diheret ke dalam semak di kawasan itu.
Sebelum kejadian, mangsa, Chiew Ming, 40, bersendirian menunggu feri untuk pulang ke rumah keluarganya di Sungai Bidut, sebaik selesai kerja, jam 8 malam.

Mangsa yang menetap di Jalan Chong Sang, di sini, dan masih bujang menunggang motosikal berhenti di jeti terbabit sebelum diserang individu tidak dikenali.

Sumber berkata, ketika diserang, seorang wanita yang melalui tempat kejadian terdengar suara individu menjerit meminta pertolongan.

Berikutan itu, dia yang dibantu orang ramai kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui mangsa dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.
myMetro | Leher ditikam, dada dirodok:

'via Blog this'

Nekad terjun tingkat 2

myMetro | Nekad terjun tingkat 2:

DUKUNG... anggota Rela, Vejaya Kumar mengusung warga Afrika yang cedera selepas terjun dari tingkat 2 ketika mengelak ditahan dalam operasi, semalam.
DUKUNG... anggota Rela, Vejaya Kumar mengusung warga Afrika yang cedera selepas terjun dari tingkat 2 ketika mengelak ditahan dalam operasi, semalam.
MANTIN: Tindakan ‘berani mati’ seorang pelajar kolej swasta warga Afrika nekad terjun dari tingkat dua sebuah kondominium, di sini bagi mengelak dicekup mengundang tragedi apabila patah kaki dalam satu serbuan, semalam.
Dalam Ops Ajar bermula jam 8 malam, lelaki berusia 26 tahun itu panik melihat kehadiran penguat kuasa Jabatan Imigresen dan Rela sebelum nekad terjun dari tingkat dua dalam usaha melarikan diri.
Namun, warga Nigeria itu ditemui terbaring akibat patah kaki kiri dan pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal lebih masa di negara ini.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) mencurigakan pada telefonnya yang kebanyakannya mendakwa suspek menipu wang beberapa individu selain terbabit dalam penyamaran.

Lelaki itu kemudian membawa penguat kuasa ke rumahnya di situ, namun tiga rakannya yang berada di dalam enggan membuka pintu menyebabkan penguat kuasa memecahkannya.

Serbuan di rumah itu mendedahkan mereka anggota kumpulan ‘African Scam’ yang dipercayai bergiat aktif memperdaya mangsa sejak beberapa tahun lalu.

Ugut bunuh menantu

myMetro | Ugut bunuh menantu:

KUALA LUMPUR: Gara-gara perselisihan faham, seorang wanita warga emas tergamak membelasah menantu perempuannya dengan batang kayu, selain mengugut mahu membunuh mangsa sebelum menghalau wanita terbabit dari rumahnya, Rabu lalu.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu berlaku apabila warga emas berusia 60-an terbabit tidak menyukai sikap menantunya berusia 34 tahun yang tinggal bersama sejak tiga tahun lalu, sebelum bertindak luar kawalan membelasah mangsa di rumahnya di Jinjang.
Pada mulanya, mangsa dikatakan bertengkar dengan ibu mentuanya sebelum kejadian bertukar ganas menyebabkan mangsa terpaksa melarikan diri bersama anak perempuannya berusia setahun dan menumpang di rumah seorang rakannya.

Selepas dinasihatkan rakannya itu, mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Jinjang, kelmarin memandangkan seorang lagi anak lelaki mangsa berusia tiga tahun masih tinggal bersama keluarga mentuanya.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila ibu mentua mangsa dikatakan tidak berkenan dengan tindakan mangsa menegurnya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Pakistan ancam tembak dron AS

myMetro | Pakistan ancam tembak dron AS:

ISLAMABAD: Berikutan ketegangan antara Amerik Syarikat dengan Pakistan, Islamabad semalam memberi amaran akan menembak dron pembunuh Amerika Syarikat yang menceroboh ruang angkasanya.

“Apa saja objek yang memasuki ruang angkasa kami, termasuk dron Amerika Syarikat, akan dianggap musuh dan ditembak jatuh,” kata seorang pegawai kanan tentera Pakistan ketika diwawancara rangkaian televisyen Amerika, NBC.


Perkembangan itu adalah susulan kepada serangan Nato yang diketuai Amerika Syarikat terhadap dua pos sempadan di barat laut Pakistan pada 26 November lalu dan menyebabkan 24 tentera Pakistan terbunuh.

Lanjutan daripada kejadian itu, Islamabad bertindak menutup pusat menyeberang sempadan Pakistan yang digunakan oleh pakatan tentera Barat untuk mengangkut minyak dan bekalan lain bagi pasukan tentera asing yang diketuai Amerika Syarikat di Afghanistan.


Pakistan turut menggesa Amerika meninggalkan Pangkalan Udara Shamsi di wilayah Baluchistan.


Tentera Pakistan mengambil alih penguasaan terhadap pangkalan berkenaan Sabtu lalu selepas kebanyakan anggota tentera Amerika meninggalkannya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani memberi amaran kepada Amerika dan Nato bahawa negaranya akan bertindak balas terhadap sebarang serangan merentas sempadan.


“Kerajaan demokratik Pakistan tidak akan membenarkan serangan seumpama itu dan akan bertindak balas terhadap sebarang cubaan pada masa depan,” kata Yousuf. - Agensi


2 lelaki cuba letup masjid dipenjara

myMetro | 2 lelaki cuba letup masjid dipenjara:

LONDON: Seorang anggota Liga Pertahanan Inggeris (EDL) dan rakannya dipenjara 10 tahun selepas didapati bersalah sengaja membakar sebuah masjid di Stoke-on-Trent, Staffordshire.
Simon Beech, EDL anggota tentera dan juga anggota Parti Kebangsaan Britain serta rakannya, Garreth Foster membakar tingkat bawah masjid Jalan Regent itu dan menyalurkan paip gas dari sebuah bangunan berhampiran ke masjid itu untuk meletupkannya.

Bagamanapun, Beech, 23, dan Foster, 29, menolak dakwaan cuba meletupkan masjid berkenaan yang mengalami kerosakan bernilai RM250,000 akibat kebakaran itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Staffordshire, Bernie O'Rielly berkata, kedua-dua lelaki itu memang mempunyai niat untuk meletupkan masjid berkenaan.

“Ia sudah pasti akan mencetuskan rasa benci dalam masyarakat, perpecahan dan kemusnahan terhadap semua usaha baik yang sudah kita lakukan,” katanya “Masyarakat di sekitar kawasan itu boleh diberi pujian. Mereka begitu sabar dalam berdepan dengan tindakan provokasi itu,” katanya. - Agensi

Remaja AS bebas selepas 5 bulan diculik

myMetro | Remaja AS bebas selepas 5 bulan diculik:

MANILA: Satu kumpulan bersenjata Filipina semalam membebaskan seorang remaja Amerika Syarikat yang mereka tahan selama lima bulan di sebuah pulau di selatan negara itu.
Kevin Eric Lunsmann, 14, dan ibunya serta seorang sepupu, bercuti berhampiran Zamboanga, Julai lalu apabila kediaman mereka diserbu dan diculik ke Pulau Basilan, kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf yang ada hubungan dengan al-Qaeda.

“Dia selamat dan kini berada bersama-sama anggota tentera kami,” kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut sama ada pembebasan itu membabitkan pembayaran wang tebusan. - Reuters

Dipukul 10 penipu

myMetro | Dipukul 10 penipu:
KUALA LUMPUR: Gara-gara membantu seorang wanita daripada ditipu sindiket gores dan menang, seorang lelaki teruk dibelasah sekumpulan 10 anggota sindiket berkenaan yang berang campur tangan mangsa dalam kejadian di Kelana Jaya, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia 31 tahun itu mulanya berjalan menuju jejantas stesen transit aliran ringan (LRT) sebelum terserempak seorang lelaki sedang mempromosikan peraduan gores dan menang kepada seorang wanita.

Menurut sumber, pada mulanya wanita berkenaan enggan dan ingin berlalu pergi tetapi dihalang suspek yang terus memujuknya menyebabkan wanita itu akhirnya mengalah dan mengambil kad gores dan menang diberikan.
“Mangsa yang menyaksikan kejadian itu bertindak menghampiri mereka sebelum menasihatkan wanita berkenaan berhati-hati bagi mengelak tertipu.

“Selepas memberikan nasihat, mangsa terus berlalu pergi, namun tindakannya itu mengundang padah apabila lelaki terbabit yang geram terus mengekori mangsa sebelum menahannya,” katanya.

Sumber itu berkata, terkejut apabila dihalang suspek, mangsa terus menolak menyebabkan beberapa rakan suspek yang berada di tempat kejadian datang dan mengepungnya.
“Semua mereka kemudian membelasah mangsa hingga terjatuh sebelum menyepak kepalanya menyebabkan mangsa mengerang kesakitan.

“Tidak tahan dipukul, mangsa cuba melarikan diri tetapi gagal menyebabkannya yang ketakutan merayu dilepaskan dan meminta maaf,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, rayuan mangsa tidak diendahkan, sebaliknya kumpulan suspek itu bertindak mengangkat mangsa dengan kepala ke bawah sebelum menghempas ke tanah.

“Mujur ketika kejadian, terdapat orang awam yang melalui kawasan itu yang menjerit menyebabkan suspek yang panik terus melarikan diri dan mangsa yang cedera di kepala, muka dan badan dibantu dan dihantar ke klinik untuk rawatan,” katanya.

Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.