Search This Blog

Sunday, December 11, 2011

Empat Lelaki Larikan Barangan Bernilai RM10,000 Dari Kedai Emas


KLANG: Empat lelaki bersenjatakan parang dan kapak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata dalam kejadian 8.15 malam itu, mereka hanya sempat melarikan barang kemas yang dipamerkan iaitu dua utas rantai, sepasang subang dan dua bentuk cincin emas.

"Suspek yang membawa sebilah kapak dan dua bilah parang kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ketika kejadian, suspek yang berumur antara 20 dan 30 tahun, tidak memakai topeng muka dan polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kedai itu.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

mStar Online : Empat Lelaki Larikan Barangan Bernilai RM10,000 Dari Kedai Emas:

'via Blog this'

Wanita Thai ditahan seludup dadah

Kosmo! Online - Terkini:


11/12/2011 3:44pm

ALOR SETAR — Polis menahan seorang wanita Thai yang cuba menyeludup ganja bernilai RM43,000 ke Kuala Lumpur ditahan di Stesen Bas Shahab Perdana di sini Jumaat lalu.
Wanita berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 8.15 malam ketika sedang menunggu bas di stesen tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan di dalam dua beg pakaian yang dibawa suspek, mendapati terdapat 18 ketulan mampat yang dipercayai ganja seberat 17.4 kilogram disorok bersama pakaiannya.
"Siasatan awal mendapati suspek baru pertama kali masuk ke negara ini pada hari yang sama secara sah dan menggunakan stesen bas Shahab Perdana sebagai tempat persinggahannya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan ganja tersebut kepada satu sindiket di sana.
"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat lepas hingga Jumaat ini bagi memabantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Wanita berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

37 ditahan dalam Ops Pengemis Dua

37 ditahan dalam Ops Pengemis Dua - Perak - Sinar Harian:


Oleh : ROSDALILAH ZAHARI
Tarikh : December 10, 2011
pengemis
IPOH – Bekas pegawai pemasaran antara 37 yang ditahan dalam operasi bersepadu Ops Pengemis Dua diketuai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kinta dalam operasi yang berakhir jam 4 pagi semalam.

Lelaki berusia 44 tahun yang dikenali sebagai Syed itu sudah enam kali mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) namun masih belum pulih.

Beliau yang mendakwa masih bujang ditahan anggota JKM ketika bergelandangan di Pekan Lama bersama rakan. Sebilah pisau lipat turut ditemui bersamanya.

Ketika ditanya kenapa pisau lipat itu dibawa, Syed mengaku digunakan untuk menjaga keselamatan mereka.

“Kami sentiasa diganggu terutamanya budak-budak nakal. Mereka selalu melontar batu malah membaling kayu ke arah kami tanpa sebab.

“Sebab itu, saya akan mengeluarkan pisau dan menggertak,” katanya ketika ditemui di pekarangan JKM.

Seorang lagi pengemis dikenali sebagai Sein Oo dari Myanmar mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan petugas JKM.

Tidak kurang juga beberapa pengemis dan kutu rayau yang mengeluarkan kata-kata kesat ketika ditempatkan di khemah hadapan JKM sebelum menjalani ujian saringan air kencing yang dilakukan petugas AADK.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Kinta, Mohd Mahir Mohd Tahir berkata, seramai 37 pengemis dan kutu rayau termasuk tiga warga asing dari Indonesia dan Myanmar ditahan dalam operasi yang bermula jam 10.30 malam itu.

“Seramai 103 anggota yang terdiri daripada JKM, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), AADK, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negeri terbabit melibatkan lapan ‘hot spot’ pengemis dan kutu rayau di bandar raya ini.

“Kawasan ‘hot spot’ yang dimaksudkan termasuklah Super Kinta/Pasar Besar Ipoh, Gerbang Malam, Taman Kanak-Kanak, Jalan Datuk Onn Jaafar/panggung Lido, Waller Court, Masjid Negeri, Restoran Nashmir berhampiran Riverfront, Medan Kidd dan stesen kereta api,” katanya.

Menurutnya, operasi itu bertujuan memastikan bandar raya Ipoh ‘bersih’ daripada pengemis dan kutu rayau serta mengelakkan mereka mengganggu ketenteraman awam.

“Keadaan dan perilaku mereka mengganggu orang ramai dan operasi ini diharap dapat mengurangkan golongan itu di sini,” katanya.

Imigresen tahan 17 warga asing

Kosmo! Online - Terkini:


11/12/2011 3:56pm

PETALING JAYA — Seramai 17 warga asing termasuk enam wanita ditahan kerana melanggar peraturan imigresen.
Mereka ditahan dalam operasi yang dilakukan sejak 9 malam tadi hingga 3 pagi ini. Secara keseluruhan 157 warga asing diperiksa dalam operasi itu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita Nigeria, dua lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, dua wanita Uganda dan masing-masing seorang lelaki Bostwana, Nepal, Yemen dan Bangladesh.
"Dalam operasi yang kita jalankan, kita dapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan yang sah,” kata Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad kepada pemberita selepas operasi itu.
Mereka yang berusia sekitar 20-an dan 40-an itu dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)© Akta yang sama. - Bernama

Kereta jururawat hangus terbakar

Kereta jururawat hangus terbakar - Johor - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 11, 2011
Kereta jururawat hangus terbakar
LEDANG – Seorang jururawat nyaris maut apabila kereta Proton Saga BLM yang dinaikinya hangus terbakar dalam kemalangan di Kilometer 167.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi apabila Basrah Abd Talib, 27, dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Apabila tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu jururawat berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan.
Akibatnya kereta itu terbabas lalu mengeluarkan api di bahagian hadapan sebelum terbakar di tempat kejadian.
Bagaimanapun, Basrah berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.
Jurucakap polis berkata, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tangkak.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Malley Mohd Salim berkata, sejurus menerima laporan, seramai tujuh anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian.
“Pihak bomba mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk memadam kebakaran pada kenderaan tersebut,” katanya.

Jangan ditipu ejen palsu

Jangan ditipu ejen palsu - Kelantan - Sinar Harian:

Oleh : ROSMIZA KASIM
Tarikh : December 11, 2011
KOTA BHARU - Dalam kegembiraan mendapatkan borang wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), rakyat di negeri ini dinasihatkan berhati-hati supaya tidak tertipu ejen palsu sehingga menyebabkan nama tercicir mendapat RM500 itu.
Pengerusi Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Pengkalan Chepa, Datuk Dali Husin mengingatkan orang ramai untuk tidak memberikan sebarang bayaran ketika mendapatkan borang kerana kerajaan mengedarnya secara percuma.
Menurutnya, individu juga perlu menghantar borang-borang berkenaan kepada pihak yang ditetapkan seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sekolah-sekolah terpilih, cawangan Lembaga Hasil Dalam Negara sebelum 31 Disember ini.
“Mungkin ada individu yang akan mengambil kesempatan ketika ini dan saya ingatkan supaya jangan serahkan borang kepada pihak tidak berkenaan termasuk memberikan bayaran kepada sesiapa untuk mendapatkan borang.
“Saya bimbang nanti ada yang merungut tidak mendapat wang berkenaan sedangkan mereka berurusan dengan pihak tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau meminta penduduk setempat menghargai pemberian yang disediakan kerajaan bagi meringankan tanggungan ketua isu rumah.
Tinjauan Sinar Harian pada hari pertama pengambilan borang di Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim 1 semalam menunjukkan penduduk mula menyerbu kaunter disediakan seawal jam 8 pagi.
Seorang ibu, Siti Zaiha Awang, 42, berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan wang bantuan tersebut untuk meringankan beban ketua isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000.
“Pendapatan bulanan saya hanya RM400 dengan mengambil upah mewarnakan batik dan saya berharap akan menerima wang itu untuk menampung perbelanjaan sekeluarga,” katanya.
Bagi ibu tunggal, Zarah Salleh, 59, pula wang tersebut amat diperlukan kerana boleh meringankan beban tanggungannya.

Laluan maut ragut lebih 5 nyawa

Laluan maut ragut lebih 5 nyawa - Kelantan - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 11, 2011
Laluan maut ragut lebih 5 nyawa
RANTAU PANJANG – Laluan Rantau Panjang, Panglima Bayu di Kuala Itik di sini, meragut lebih lima nyawa sejak dua tahun kebelakangan ini dan dianggap sebagai jalan maut oleh penduduk setempat.
Bekas Penghulu Kuala Itik, Othman Ismail berkata, kali terakhir kemalangan meragut nyawa seorang penunggang motosikal sebelum Ramadan lalu dan kelmarin turut meragut nyawa dua daripada tiga sahabat yang dalam perjalanan­ ke Golok, Selatan Thailand.
Menurutnya, di laluan itu terdapat dua selekoh merbahaya dan pengguna perlu berhati-hati ketika melaluinya berikutan kedua-duanya terletak agak dekat dan berbahaya bagi pengguna yang jarang melaluinya.
“Jalan di sini berselekoh, jadi saya berharap orang ramai yang melaluinya berhati-hati bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya semasa mengulas mengenai keadaan jalan di kampungnya yang sering mengakibatkan kemalangan.
Othman berkata, kemalangan mengakibatkan kecederaan boleh dikatakan berlaku setiap bulan sepanjang jalan Kampung Kuala Itik .
Menurutnya, kebanyakan mangsa mengalami kecederaan­ selain kenderaan turut mengalami kerosakan.
“Selalunya bila berlaku kemalangan pengguna memberikan alasan disebabkan faktor jalan, tetapi jika pemandu berhati-hati kemalangan dapat dielakkan,” katanya.
Othman berkata, dahulu terdapat sebuah rumah di tepi jalan di Kampung Kuala Itik sering dirempuh kenderaan yang melalui jalan itu.
Menurutnya, disebabkan terlalu kerap dilanggar, pemilik mengambil keputusan untuk berpindah beberapa meter dari lokasi asal.
Kelmarin, Mohamad Aiezat Sharifuddin, 21, dari Kampung Jerangau, Tanah Merah yang duduk di sebelah pemandu dan Lukmanulhakim Che Kamaruddin, 21, dari Kamung Cherang Lali, Tanah Merah, penumpang belakang maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di kilometer 10, Kuala Itik.
Pemandu Proton Iswara, Sazali Muhamad, 21, cedera parah di kepala dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut.
Kenderaan yang dinaiki tiga sahabat ini remuk teruk pada bahagian penumpang hadapan serta belakang di samping bahagian hadapan kereta.

Mayat mangsa lemas ditemui

Mayat mangsa lemas ditemui - Kelantan - Sinar Harian:

Oleh : Azura Mohamad
Tarikh : December 11, 2011
Mayat mangsa lemas ditemui
RANTAU PANJANG – Mayat mangsa lemas di Sungai Golok petang kelmarin ditemui kira-kira jam 3 petang iaitu hampir 20 jam selepas dilaporkan hilang oleh Unit Penyelam Scuba Bomba dan Penyelamat.
Mangsa, Mohd Zulhilmi Mahmood, 29, yang berasal dari Banggol Kulim dikatakan terjatuh ke sungai berhampiran Pangkalan Korok bersama seorang rakan bagaimanapun hanya dia yang lemas berikutan tidak pandai berenang.
Bapa mangsa, Mahmood Jusoh, 56, berkata, dia bersyukur mayat anaknya berjaya ditemui selepas dilaporkan hilang oleh rakannya kira-kira 7.30 petang kelmarin.
Menurutnya, rakan mangsa memberitahu dia hilang kira-kira jam 7.10 malam sementara dimaklumkan selepas 20 minit kejadian.
“Sebelum kejadian, arwah keluar dengan rakannya tanpa memberitahu destinasi hendak dituju, ketika itu emaknya sedang menunaikan sembahyang Asar, mungkin kerana itulah dia tidak memberitahunya, sementara saya tidak ada di rumah.
“Kebiasaannya arwah lebih banyak tinggal di rumah neneknya di Kampung Dangar, tidak jauh dari tempat kejadian berbanding rumah kami di Banggol Kulim,” katanya.
Mahmood berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak akhir-akhir ini cuma dia tidak memaklumkan hendak keluar kepada dia atau isterinya sahaja.
Menurutnya, anak sulung daripada tujuh beradik itu bekerja sendiri dan biasa ke Golok, Selatan Thaiand.
“Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang secepat mungkin iaitu selepas segala urusan selesai.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari mayat anak saya hingga berjaya menemuinya terutamanya Unit Scuba Bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Ghani Mamat berkata, mayat ditemui di dasar sungai kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang dalam keadaan tertiarap.
Menurutnya, mayat ditemui Timbalan Operasi Bomba Negeri, Shahril Yusmar Mat Yusof.
“Operasi dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan 30 kekuatan bermula jam 9 pagi dan dihentikan 1 petang.
“Kita mengubah strategi pada sebelah petang dengan menggunakan teknik hanyutkan badan dalam air mengikut arus air sehingga mangsa ditemui,” katanya.
Turut hadir ketika operasi mencari dan menyelamat, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Azmi Osman.

Dua bot terbakar, nelayan kerugian

Dua bot terbakar, nelayan kerugian - Terengganu - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 11, 2011
Dua bot terbakar, nelayan kerugian RM350,000
TELAGA PAPAN – “Sejak 40 tahun menjadi nelayan ini pe-ngalaman yang paling sukar dilupakan kerana bot yang dibeli dengan harga RM300,000 terbakar dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam,” kata Abdul Wahab Yaacob, 54.
Abdul Wahab berkata, bot yang terbakar itu sebenarnya masih dalam penyelenggaraan dan tidak sangka pula ia meninggalkan detik hitam dalam sejarah hidupnya terutama bagaimana untuk menyara ahli keluarga seramai 14 orang.
“Bot ini sebenarnya dalam proses baik pulih sementara musim tengkujuh melanda negeri ini dan buat masa ini saya sedang membuat rumah enjin bersama awak-awak.
“Selepas kejadian ini saya seolah-olah hilang punca pendapatan selain memikirkan kebajikan awak-awak seramai 16 orang yang sudah lama bekerja bersama saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohon bantuan agar dapat turun ke laut
Abdul Wahab berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Penarik dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak yang berkenaan.
“Kami berharap bantuan daripada pihak berkenaan agar usaha untuk turun ke laut semula dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.
Manakala, seorang lagi mangsa bot terbakar, Mukhtar Ismail, 36, berkata, dia berhajat untuk memasang enjin bot yang baru hari ini (semalam) selepas selesai kerja baik pulih beberapa hari lepas.
“Namun, selepas diberitahu oleh rakan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi semalam saya berasa tidak percaya tetapi apabila sampai ke tempat keja-dian ternyata keseluruhan bot saya musnah.
“Pada waktu itu saya hanya mampu melihat sahaja rangka bot itu yang masih berasap di tepi jeti,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, sebelum kebakaran berlaku dia bersama nelayan lain ada datang ke jeti itu pada jam 12 tengah malam untuk mengalihkan bot ke tempat yang lebih selamat kerana air pasang.
“Tidak sangka tindakan untuk memastikan bot tidak dihanyutkan air bertukar tragedi yang sukar untuk dilupakan sehingga menyebabkan saya kerugian hampir RM50,000,” katanya yang menjadi nelayan hampir 20 tahun lalu.

Nampak cahaya api dari jeti
Sementara itu, Shamsuddin Ali, 54, berkata, kira-kira jam 5.15 pagi pengawal keselamatan Chalet Pulau Besar bangun untuk solat Subuh dan dia sudah ternampak cahaya api dari arah jeti yang menempatkan bot nelayan.
“Saya tidak menyangka pula berlaku kebakaran bot di situ kerana pada waktu itu hujan renyai-renyai dan tidak terdengar sebarang bunyi letupan dari situ.
“Cuma, saya sedar kebakaran itu berlaku pada jam 7.15 pagi selepas bunyi bising di tempat kejadian dan barulah mengetahui cerita lanjut daripada nelayan setempat,” katanya.
Bantu mangsa kebakaran
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Sinar Harian sempat menemubual Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu, Salleh Yaacob ketika membuat tinjauan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, bagi tindakan susulan pihak PNK akan menunggu hasil laporan dan perbincangan bersama Lembaga Pengarah PNK akan dilakukan dalam jangka masa terdekat.
“Insya-Allah kita akan membantu mangsa bot terbakar melalui beberapa bantuan yang diperuntukkan bagi membolehkan nelayan yang terbabit dapat meneruskan semula rutin harian mereka ke laut,” katanya.
Salleh berkata, kejadian bot terbakar pertama kali berlaku di kawasan operasi PNK Setiu dengan membabitkan nilai kerugian secara keseluruhan sebanyak RM350,000.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani mengesahkan menerima laporan itu dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Satu maut, sembilan parah

Satu maut, sembilan parah - Pahang - Sinar Harian:

Oleh : AZIZAH SHAFIEI
Tarikh : December 11, 2011
Satu maut, sembilan parah
BERA – Hasrat sebuah keluarga berketurunan Orang Asli untuk menerima sumbangan persekolahan tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Simpang Kerayong - Purun – Kepayang, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan dua kereta jenis Nissan Pulsar berwarna hijau dan Proton Satria berwarna merah.

Pemandu kereta Proton Satria, Mohd Alif Abu, 19, maut di tempat kejadian, sementara sembilan mangsa lain cedera parah.

Seorang mangsa, Norlijah Lee Nai Kown, 32, berkata, kereta Proton Satria itu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kereta dipandu suaminya, Nordin Anjah, 34.

Menurutnya, suaminya tidak sempat berbuat apa-apa kerana kereta itu terlalu laju.

“Saya nampak kereta itu memasuki arah bertentangan dan berpusing-pusing sebelum merempuh kereta kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Norlijah sempat menghubungi saudara-mara dan kenalan untuk memaklumkan kejadian itu kerana bimbangkan keadaan suaminya yang tersepit dan ahli keluarga lain yang cedera parah.


Dakwa kereta dipandu laju

Sementara itu, seorang saksi, Nora Huing, 36, berkata, mereka termasuk keluarga mangsa dalam perjalanan ke Kompleks Rakan Muda, Kerayong untuk menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jalinan Murni.

Menurutnya, semasa kejadian, hampir semua penduduk dari Batu 10, Kampung Ibam secara konvoi sama ada menaiki kereta atau motosikal menuju ke tempat sama.

“Kami berkonvoi tiga kereta. Kereta mangsa berada di belakang. Saya perasan kereta merah itu dipandu laju dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat.

“Bila menoleh, saya dapati kereta itu merempuh kereta mangsa dengan bahagian depan remuk menyebabkan pemandu dan penumpang di hadapan tersepit,” katanya.


Bantu selamat mangsa

Manakala, Ismail Yusuf, 57, berkata, pada awal kejadian, semua mangsa tidak mampu keluar dari kenderaan masing-masing.

Katanya, sehubungan itu, dia bersama beberapa orang awam yang tiba di tempat kejadian segera mengeluarkan mangsa.

“Saya cuba mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Satria, tetapi pintu tidak dapat dibuka walaupun ditendang beberapa kali.

“Jadi, saya mengopak sedikit bahagian atas pintu sebelah pemandu untuk menarik keluar mangsa mengikut tingkap. Pada masa itu, semua mangsa masih hidup,” katanya.

Semua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar 32 sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk pemeriksaan lanjut.


Tiada kesan brek pada jalan

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam kejadian itu, kereta jenis Proton Satria dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki jalan bertentangan.

Menurutnya, mangsa bersama tiga penumpang lain berasal dari Felda Triang 1 dalam perjalanan ke arah Felda Kepayang, sementara sebuah lagi kereta jenis Nissan Pulsar dinaiki keluarga Orang Asli menuju ke arah Kerayong.

“Siasatan awal mendapati tiada kesan brek pada jalan di lokasi kejadian. Dipercayai kereta Proton Satria itu dipandu laju dan hilang kawalan.

“Dalam kejadian itu juga, dua mangsa di bahagian hadapan kereta Nissan Pulsar itu tersepit, sementara penumpang di bahagian belakang cedera parah,” katanya.

Mereka yang cedera parah ialah Nordin Anjah, 34 (pemandu Nissan Pulsar); Leboi Pendek, 54; Hor Pui Kuan, 14; Hor Pui Yee, 12; Norlijah Lee Nai Kwon, 32 dan anak perempuannya berusia 6 tahun, sementara maklumat mangsa yang menaiki Proton Satria masih belum diperoleh.

Mohd Zahid berkata, semasa kejadian, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus, rata dan kering.

“Semua mangsa dibawa ke Hoshas untuk rawatan susulan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Beliau turut memuji keprihatinan orang awam membantu mengeluarkan mangsa terutama kakitangan Klinik Kesihatan Purun yang kebetulan dalam perjalanan ke Hoshas dan sanggup berhenti untuk memberi rawatan kecemasan kepada semua mangsa.

13 terbunuh pesawat jatuh atas sekolah

Berita Harian Online | 13 terbunuh pesawat jatuh atas sekolah:



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan tugas di tempat nahas pesawat ringan terhempas di Manila, semalam. - Foto AFP
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan tugas di tempat nahas pesawat ringan terhempas di Manila, semalam. - Foto AFP
Kapal terbang mohon mendarat cemas terbakar sejurus terhempas

MANILA: Sekurang-kurangnya 13 maut, termasuk dua kanak-kanak apabila sebuah pesawat ringan terhempas ke atas bangunan sebuah sekolah berhampiran ibu negara Filipina semalam selepas juruterbangnya memohon melakukan pendaratan kecemasan sejurus berlepas.

“Pesawat malang itu terbakar selepas terhempas”, kata Datuk Bandar Paranaque, Florencio Bernabe.
Tiada kelas diadakan ketika kejadian tetapi pegawai masih menentukan berapa ramai mangsa di darat yang cedera atau terbunuh.
Barnabe berkata pasukan bomba melaporkan pihaknya menemui mayat rentung maut termasuk juruterbang dan pembantunya. Bagaimanapun, kedua-dua mereka berada dalam pesawat.

Inspektor Kanan Polis, Dennis Sirilan, berkata api merebak dengan cepat ke rumah setinggan berhampiran sekolah selepas pesawat dua enjin itu terhempas.

Sirilan berkata, beliau melihat pesawat itu berlegar di udara sebelum terjunam ke atas Sekolah Rendah F Serrano, yang rosak teruk akibat kebakaran.

Pasukan bomba lambat tiba di tempat kejadian berikutan keadaan jalan sempit. Kesan kebakaran masih dapat dilihat di kawasan itu selepas api berjaya dikawal tiga jam kemudian.
Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah Filipina, Gwen Pang, berkata seorang bayi dan seorang kanak-kanak antara yang terkorban.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 mangsa dibawa ke hospital, termasuk lima yang mengalami kebakaran teruk.

Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Ramon Gutierrez, berkata pesawat Beechcraft Queen Air yang mempunyai enam hingga lapan tempat duduk itu melakukan panggilan kecemasan sejurus berlepas dari Manila ke Pulau Mindoro. Ia terhempas sebelum sempat pulang ke lapangan terbang. – AP

Cubaan wanita Thai seludup dadah bernilai RM43,000 ke ibu negara gagal

Berita Harian Online | Cubaan wanita Thai seludup dadah bernilai RM43,000 ke ibu negara gagal:

ALOR SETAR: Polis menahan seorang wanita warganegara Thailand yang cuba menyeludup ganja bernilai RM43,000 ke Kuala Lumpur di Stesen Bas Shahab Perdana di sini, Jumaat lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 8.15 malam ketika sedang menunggu bas di stesen tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata hasil pemeriksaan di dalam dua beg pakaian yang dibawa suspek, mendapati terdapat 18 ketulan mampat yang dipercayai ganja seberat 17.4 kilogram disorok di dalam pakaiannya.

"Siasatan awal mendapati suspek baru pertama kali masuk ke negara ini pada hari yang sama secara sah dan menggunakan stesen bas Shahab Perdana sebagai tempat persinggahannya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan ganja tersebut kepada satu sindiket di sana.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Wanita berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Pasar raya musnah dalam kebakaran di Bera

Berita Harian Online | Pasar raya musnah dalam kebakaran di Bera:

BERA: Sebuah pasar raya musnah dalam kebakaran di pekan Kerayong di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, DSP Zahid Mohamed Noor, berkata kebakaran pada 2.45 pagi itu disedari oleh anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut apabila ternampak asap dan api dipercayai dari kedai menjual cakera padat yang terdapat dalam pasar raya itu.
Beliau berkata, anggota polis itu kemudian menghubungi pasukan bomba dan penyelamat sebelum dua jentera bersama 17 anggota dari balai bomba Triang dan Temerloh tiba 10 minit kemudian.

"Kedai lain yang terdapat dalam pasar raya terbabit termasuk kedai pakaian, kedai makan dan kedai cakera padat serta gelanggang futsal turut musnah dalam kebakaran itu," katanya ketika dihubungi.

Zahid berkata, kerugian yang dialami pengusaha pasar raya dan tujuh peniaga di bangunan itu masih belum ditaksirkan tetapi dianggarkan melebihi RM1 juta.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Triang, M Manoharan berkata 95 peratus bangunan itu hangus terbakar. - BERNAMA