Search This Blog

Saturday, December 10, 2011

Datin tak ghairah lagi

myMetro | Datin tak ghairah lagi:

KESAL...Rina ketika ditemuramah wartawan Harian Metro.
KESAL...Rina ketika ditemuramah wartawan Harian Metro.
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk menyeksa kehidupan isteri keduanya dengan mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin hampir empat tahun selepas wanita itu meminta diceraikan kerana tidak tahan dengan perangai kasanova suaminya.
Si isteri meminta cerai bukan sekadar tidak tahan kerana pantang melihat wanita ‘berdahi licin’, tetapi lelaki berusia 50-an itu juga mempunyai tabiat jijik iaitu gemar merakam gambar dan video aksi lucahnya bersama pasangan kekasih yang berlainan.
Isteri kedua itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rina, 38, berkata setiap kali rahsia terbongkar, suaminya memujuk serta bersumpah tidak mengulangi perangai buruknya, namun janjinya tidak kekal.

Menurutnya, dia hilang sabar dengan sikap ‘kaki perempuan’ suaminya sejak berkahwin hampir 10 tahun lalu dan tidak berubah walaupun kini berusia 50-an.

“Saya banyak kali terjumpa gambar dan rakaman video dia dengan pasangannya ‘beraksi’. Kalau dia pergi ke luar negara, pasti saya memeriksa kameranya kerana saya pernah lihat banyak gambar ‘melaram’ dengan wanita asing.

Cinta palsu RM1j

myMetro | Cinta palsu RM1j:

KECEWA...Lim menunjukkan laporan polis berhubung penipuan RM1 juta oleh lelaki warga Afrika.
KECEWA...Lim menunjukkan laporan polis berhubung penipuan RM1 juta oleh lelaki warga Afrika.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita kerugian RM1 juta apabila ditipu lelaki warga Afrika yang mengaku sebagai jurutera syarikat cari gali minyak di pantai timur.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lim, 47, sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Kevin Axcel Brown atau Joe, 48, sejak September lalu melalui sebuah laman web cari jodoh.
Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, Lim mula mengenali Joe yang menyamar warga Kanada dan bekerja di sebuah syarikat cari gali minyak.

“Mereka hanya berhubungan melalui telefon sebelum Joe merayu Lim memasukkan wang berjumlah RM1 juta ke dalam akaunnya kerana terdesak memerlukan wang bagi menguruskan satu projek syarikatnya.

“Tertipu dengan pujuk rayu Joe, mangsa memasukkan wang ke dalam tiga akaun berbeza yang kemudian dikenal pasti pemilik akaun berkenaan seorang wanita warga tempatan.

‘Mujur saya sempat kejar’

myMetro | ‘Mujur saya sempat kejar’:
SYUKUR...Jennifer bersyukur Ashley terselamat daripada menjadi mangsa culik.
SYUKUR...Jennifer bersyukur Ashley terselamat daripada menjadi mangsa culik.
KUALA LUMPUR: “Saya melihat sendiri anak perempuan dibawa seorang wanita ke lorong belakang kedai. Saya menjerit supaya dia berhenti, tetapi wanita itu tidak menghiraukan jeritan saya.
“Apabila mereka hilang daripada pandangan, saya berlari sekuat hati mengejar dan sebaik saja menemui mereka saya menarik anak saya daripada genggaman wanita itu,” kata Jennifer Low, 43, menceritakan kejadian anaknya hampir diculik, malam kelmarin.
Wanita itu berkata, anaknya, Ashley Deborah yang berusia dua tahun nyaris menjadi mangsa culik seorang wanita dipercayai rakyat tempatan ketika kanak-kanak itu dijaga seorang rakannya di Taman Connaught, di sini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, kebanyakan kedai di situ sudah menamatkan perniagaan dan Jennifer yang turut menjalankan perniagaan juga sudah bersedia untuk pulang sebelum seorang rakannya datang mengambil barang ditempah.

“Saya masuk semula ke dalam salun untuk mengambil barang tempahan rakan. Saya berpesan kepada rakan supaya menjaga Ashley sementara saya pergi mengambil barang.

Saman RM850

myMetro | Saman RM850:

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga mendakwa teraniaya apabila dikenakan satu saman letak kereta berjumlah RM850 bagi kesalahan yang dilakukan di laluan di pusat bandar raya ini pada 16 Mei lalu.
Norzaman Ali Affandi, 56, berkata dia menyedari perkara itu apabila menerima notis pemberitahuan daripada syarikat pelaksana perkhidmatan e-Kerajaan MyEG pada awal September lalu sebelum merujuknya di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Menurut Norzaman, menerusi rekod yang diperoleh daripada pihak berkuasa, dia difahamkan saman itu dikenakan bagi kesalahan meletak kenderaan di Jalan Dhoby sedangkan gambar yang dirakam kereta peronda (MPV) menunjukkan ia di Jalan Pahang.
Katanya, mengikut rekod saman itu, kenderaan milik isteri yang digunakannya itu dikenakan tiga saman kerana diletakkan di tepi laluan terbabit.

“Ia membabitkan kesalahan tidak mengikut peraturan jalan raya, meletakkan kenderaan pada jarak kira-kira sembilan meter dari simpang dan menghalang lalu-lintas,” katanya.

Menurut Norzaman, hingga kini dia juga tidak menerima sebarang saman secara rasmi.
Katanya, tiga saman yang dikenakan itu pada asalnya berjumlah RM400 dan denda tambahan dikenakan berikutan kegagalan membayar saman dalam tempoh dua minggu hingga ia mencecah RM850.

Katanya, dia masih keliru kerana anggota polis yang mengeluarkan saman gagal meletakkan notis saman di depan kereta mahu pun memaklumkannya secara rasmi menerusi surat-menyurat.
“Saya akur dengan kesilapan itu namun berasakan denda sebanyak RM850 adalah terlalu tinggi bagi kesalahan letak kereta.

“Saya membuat rayuan kepada cawangan trafik tetapi tiada tindakan diambil hingga mengakibatkan saya tertekan.

“Saya berharap rayuan dikemukakan ini diambil perhatian oleh pihak atasan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, saman berkenaan dikeluarkan berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya bertujuan untuk mendidik mereka.

2,465 kes baru HIV dikesan sembilan bulan pertama 2011

Utusan Malaysia Online - Terkini:


10/12/2011 9:43pm

SANDAKAN 10 Dis. – Sebanyak 2,465 kes baru jangkitan HIV dicatatkan bagi sembilan bulan pertama tahun ini dengan 1,958 adalah golongan lelaki, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata, penyumbang utama jangkitan HIV dan AIDS di negara ini adalah perkongsian jarum suntikan tercemar kuman HIV, hubungan seksual dengan mereka yang dijangkiti, hubungan seks bebas dan jangkitan kepada anak melalui ibu yang menghidap HIV.
Secara keseluruhannya, sejak 1986 hingga September tahun ini, 93,827 kes jangkitan HIV dikesan di negara ini, katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Lokman Hakim Sulaiman.
Rosnah berkata, melalui langkah pencegahan secara menyeluruh itu, kerajaan berjaya mengurangkan kes baru jangkitan HIV secara signifikan.
Katanya, mulai 2003, kes jangkitan HIV baru menurun kepada 6,756 kes dan penurunan terus berlaku secara konsisten. – Bernama

Rompak: 4 lelaki larikan barangan RM10,000

Kosmo! Online - Terkini:


10/12/2011 9:46pm

KLANG – Empat lelaki bersenjatakan parang dan kapak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, dalam kejadian 8.15 malam itu, mereka hanya sempat melarikan barang kemas yang dipamerkan iaitu dua utas rantai, sepasang subang dan dua bentuk cincin emas.
"Suspek yang membawa sebilah kapak dan dua bilah parang kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, ketika kejadian, suspek yang berumur antara 20 dan 30 tahun, tidak memakai topeng muka dan polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kedai itu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Bernama

Hospital terbakar, 89 maut

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:




Anggota bomba menurunkan seorang pesakit yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah hospital swasta di Kolkata, timur india, semalam. - REUTERS



KOLKATA 9 Dis. - Sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh apabila sebuah hospital di Kolkata, timur India terbakar hari ini, dengan kebanyakan pesakit dipercayai mati disebabkan terhidu asap.
Timbalan Pesuruhjaya Polis, B. Dasgupta berkata, 60 orang berjaya diselamatkan dalam insiden yang berlaku di Hospital Amri itu.
Kebanyakan mangsa terperangkap dalam asap tebal dan api yang marak dengan cepat dalam bangunan hospital swasta itu.
Menurut pengarah bomba, Gopal Bhattacharya, mereka telah memindahkan 50 pesakit ke sebuah hospital berdekatan.
Kebakaran itu berlaku pada pukul 3 pagi (5 pagi waktu Malaysia) dan penyiasatan awal menunjukkan api bermula dari tingkat bawah tanah bangunan lima tingkat itu.
Kebakaran tersebut berjaya dikawal pada pukul 9 pagi tetapi asap berkepul-kepul keluar dari tingkap-tingkap yang pecah.
Kereta bomba sebelum itu menghadapi kesukaran untuk sampai ke hospital itu kerana ia terletak di kawasan yang mempunyai jalan-jalan yang sempit dan bengkang-bengkok. - AFP

Lagi wanita jadi mangsa cinta siber

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 9 Dis. – Walaupun pelbagai laporan mengenai cinta Internet didedahkan akhbar, namun masih ada yang terus menjadi mangsa khususnya kalangan wanita yang ‘kesunyian’ dan menjadikan beberapa laman web untuk bersembang serta mencari jodoh.
Terbaru, seorang ahli perniagaan wanita tempatan kerugian RM1.02 juta selepas terpedaya dengan janji dan kata-kata manis teman lelaki yang dikenalinya menerusi Internet dipercayai warga Afrika.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, mangsa yang berasal dari Johor Bahru dan dikenali sebagai Madam Lim, berusia 47 tahun, berkenalan dengan teman lelakinya, Kevin Axcel Brown, berasal dari Kanada dalam laman web, Match.com, September lalu.
Katanya, Kevin mendakwa bekerja di Terengganu sebagai jurutera dan memiliki sebuah syarikat yang dilantik sebagai subkontrak syarikat konglomerat tempatan, Petronas.
“Dalam tempoh itu, kedua-dua mereka sering berhubung melalui telefon. Kevin turut mengupah seorang wanita untuk menyamar sebagai ibunya bagi meyakinkan Madam Lim yang telah bercerai dan mempunyai dua anak bahawa dia seorang yang baik dan bertanggungjawab.
“Perbualan dengan ‘ibu’ Kevin meyakinkan Madam Lim bahawa dia seorang yang baik dan serius dalam perhubungan mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.
Tambah Michael, Kevin kemudian meminta mangsa meminjamkannya wang tunai RM1 juta selepas dia menerima kontrak baru selain menampung masalah kos-kos pengurusan syarikatnya.
Difahamkan, Kevin turut menggunakan kepala surat Petronas Gas Bhd. bagi meyakinkan Madam Lim mengenai masalah yang dihadapi.
Katanya, akibat percaya dengan pujuk rayu dan janji manis Kevin yang akan membayar semula wang itu, Madam Lim telah memasukkan wang tunai RM1 juta seperti yang diminta ke tiga bank tempatan iaitu Maybank, RHB dan AmBank.
Jelas beliau, Kevin kemudian memaklumkan kepada Madam Lim bahawa pihak syarikat telah menawarkannya untuk mengendalikan satu projek di Nigeria.
“Sebaik sahaja berada di Nigeria, suspek telah menghubungi Madam Lim dan menyatakan hasrat datang ke Malaysia bagi membayar wang yang dipinjamnya daripada mangsa.
“Namun, mangsa perlu memasukkan wang tunai RM21,000 melalui kiriman wang Western Union dan mengarahkan Madam Lim menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
“Madam Lim sekali lagi memasukkan wang itu. Namun mangsa kecewa apabila Kevin tidak muncul di KLIA dan selepas beberapa jam menunggu, mangsa membuat laporan polis,” katanya.

58 PATI ditahan dalam operasi khas

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak:


PENAMPANG 9 Dis. - Seramai 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi khas di sekitar pekan ini, di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ratan Kumar Singh berkata, seramai 69 orang diperiksa dalam operasi selama empat jam bermula pukul 12 tengah malam.
"Mereka yang diperiksa terdiri daripada 34 lelaki, 24 wanita dan 11 kanak-kanak.
Hanya 58 orang ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya di sini hari ini.
Menurutnya kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Polis cari saksi kemalangan maut

Utusan Malaysia Online - Johor:


JOHOR BAHRU 9 Dis. - Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan maut di Kilometer 33, Lebuh Raya Pasir Gudang di sini pada 26 November lalu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kemalangan berhampiran Taman Rinting, Masai pada pukul 8.30 malam itu membabitkan sebuah motosikal bernombor pendaftaran JLV 341 dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti yang kemudian melarikan diri menghala ke Johor Bahru dan sehingga kini belum membuat laporan polis.
Menurut Roslan, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, tiada butiran yang jelas dan sebarang petunjuk lain yang boleh membantu siasatan kerana motosikal yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian.
Kes tersebut, menurut beliau, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azri Yaacob di talian 07-3860422 atau 07-3865422.

Pemandu, kelindan nyaris maut lori tangki terbakar

Utusan Malaysia Online - Selatan:


JELEBU 9 Dis. - Seorang pemandu dan kelindan nyaris maut selepas lori tangki membawa muatan minyak diesel dipandunya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 17 Kampung Ulu Klawang, Kuala Klawang dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu, Suhaimi Salim, 35, yang menetap di Taman Uda Jaya, Ampang, Selangor cedera di kaki kiri dan menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dekat sini.
Kelindan lori berkenaan, Ahmad Shahdydy Adnan, 29, yang beralamat di Bukit Pelandok, Port Dickson dekat sini, pula melecur di tangan kanan serta pinggang dan kini dirawat di Hospital Jelebu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Stapa Yusof memberitahu, lori tangki berkenaan yang dipercayai dari Port Dickson dalam perjalanan menuju ke sebuah stesen minyak di Kuala Klawang.
"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri lalu terbalik di bawah tebing dan terbakar.
"Sebuah kereta Proton Saga yang secara kebetulan diletakkan di lokasi kejadian turut hangus terbakar akibat rempuhan lori berkenaan.
"Pemandu dan kelindan berkenaan namun sempat menyelamatkan diri dengan bertindak terjun dari lori apabila api marak," katanya di sini, hari ini.
Jelas Stapa, kedua-dua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan pihak polis masih lagi menyiasat mengenai punca kejadian berkenaan.

Lelaki maut dihempap lif ditemui

Utusan Malaysia Online - Kota:

'


KUALA LUMPUR 9 Dis. – Mayat seorang lelaki dipercayai penagih dadah ditemui dalam keadaan separuh badannya dihempap sebuah lif di sebuah bangunan lama di Jalan Ampang, di sini hari ini, dipercayai semasa cuba hendak mencuri kabel.
Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui rakannya di lokasi kejadian pukul 3.45 petang selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah sejak semalam.
Rakannya yang terkejut dengan penemuan itu segera menghubungi polis dan memaklumkan kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis yang menerima laporan itu bergegas ke tempat kejadian kira-kira pukul 4 petang.

Pekerja lari biarkan 89 pesakit hangus

Berita Harian Online | Pekerja lari biarkan 89 pesakit hangus:

ANGGOTA bomba menyelamatkan pesakit yang terperangkap dalam kebakaran Hospital Amri  di Kolkata, semalam. - AP
ANGGOTA bomba menyelamatkan pesakit yang terperangkap dalam kebakaran Hospital Amri di Kolkata, semalam. - AP
Polis siasat kebakaran hospital di selatan India

KOLKATA: Polis memulakan siasatan kes jenayah terhadap pengurusan hospital selepas kakitangan di sebuah hospital di India dipercayai mengabaikan pesakit dan lari menyelamatkan diri awal pagi semalam dalam kebakaran yang menyebabkan sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh.

Pegawai kerajaan berkata, kebanyakan mangsa maut dalam kebakaran di Hospital Amri akibat tersedut asap tebal.
Ibu saya berada di unit rawatan rapi. Beliau berusia 70 tahun. Saya tidak tahu sama ada beliau selamat atau tidak, kata Khokon Chakravathi.
Berdasarkan laporan awal oleh pasukan bomba, polis dikatakan memulakan siasatan kes jenayah terhadap pengurusan hospital berkenaan.

Bagaimanapun sumber berkata bahawa pengurusan tertinggi hospital itu sudah mengambil tindakan.

Ketika pasukan penyelamat cuba menyelamatkan mangsa, polis memfailkan kes terhadap hospital di timur Kolkata itu kerana melanggar prosedur keselamatan dan pegawai tertinggi hospital bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Ia adalah kesalahan yang amat serius dan kami akan mengambil tindakan tegas, kata Banerjee di tempat kejadian di Hospital Amri.
S Upadhay, seorang naib presiden kanan syarikat Hospital Amri berkata ada 160 pesakit di hospital yang mempunyai 190 katil itu.

Api dan asap pada mulanya disedari penduduk yang tinggal di kawasan setinggan berhampiran hospital, kata saksi. Sebilangan mereka berkejar ke hospital dan menekan penggera tetapi pengawal keselamatan meminta mereka pulang dengan mengatakan hanya kebakaran kecil di dapur dan tiada perkara yang buruk berlaku. Sebaik saja asap mula memenuhi bangunan, penduduk setinggan mula menyertai usaha menyelamat.

Pasukan bomba mengambil masa lebih satu jam untuk tiba selepas kebakaran berlaku, kata seorang saksi, Pradeep Sarkar. Bapa saudaranya dimasukkan hospital sebelum itu selepas mengalami serangan jantung di rumah dan beliau berpindah ke hospital berham-piran selepas hospital terbabit dilanda kebakaran.

Pegawai berkata, kakitangan hospital tidak melakukan apa-apa bantuan dalam operasi menyelamat.

Adalah sangat mengecewakan apabila diketahui bahawa pihak berkuasa hospital tidak melakukan usaha menyelamat mangsa yang terperangkap. Mereka sebaliknya melarikan diri, kata Subrata Mukherjee, Menteri Tempatan Bagi Kejuruteraan Kesihatan Awam.

Ketua Menteri Barat Bengal, Mamata Banerjee berkata, angka kematian dalam kebakaran itu dilaporkan mencecah 89.

Sebilangan pesakit berjaya diselamatkan. Kami memindahkan 50 pesakit ke sebuah hospital berhampiran. Keadaan amat murung pada masa ini, kata pengarah bomba Gopal Bhattacharya.

Banerjee memberitahu pemberita, 41 mayat dipindahkan ke sebuah rumah mayat sementara di hospital berhampiran.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 3 pagi dan dipercayai bermula di bahagian tingkat bawah bangunan hospital lima tingkat itu. - Agensi/AFP

Tiga sekeluarga dikurung

Tiga sekeluarga dikurung - Melaka & NS - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 10, 2011
TAMPIN - Bukan saja rumah mereka diceroboh, malah tiga sekeluarga di sebuah rumah dekat Taman Indah, di sini berdepan detik mencemaskan apabila dikurung dalam bilik air oleh sekumpulan penjenayah bertopeng.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam, Rabu lalu, apabila empat penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam rumah keluarga berkenaan menerusi pintu hadapan rumah.

Difahamkan, ketika itu, pintu rumah berkenaan tidak berkunci dan ketika kejadian kesemua keluarga berkenaan sedang berehat dalam rumah.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka bersama seorang pembantu rumahnya warga Indonesia diarahkan naik ke tingkat atas rumah sebelum mereka dikurung dalam bilik air rumah berkenaan.

Bagaimanapun, sumber terbabit tidak mendedahkan identiti serta usia mangsa.

“Empat lelaki penjenayah yang tidak dikenali itu menggeledah rumah berkenaan dan sempat melarikan barangan berharga termasuk wang tunai termasuk not kertas mata
wang asing berjumlah kira-kira RM40,000,” katanya.

Lebih malang, katanya, sijil-sjil termasuk ijazah milik anak mangsa yang baru saja tamat pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi luar negara turut dibawa lari bersama.

“Selain itu wang tunai, komputer riba, jam tangan dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 turut dibawa lari,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian berjaya keluar dari ‘kurungan’ kira-kira 20 minit selepas itu dengan membuka sendiri tombol pintu bilik air apabila menyedari penjenayah berkenaan sudah pun melarikan diri.

Katanya, keluarga berkenaan bukan saja kesal kerana kehilangan banyak barang berharga, malah menyebabkan anak mangsa berusia lingkungan 20-an itu mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan sijil milik anaknya sudah dibawa lari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian.

Menurutnya, berdasarkan siasa-tan awal, suspek dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan boleh menghubungi pihak polis di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Kooi Cheang turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak kenderaan asing atau mencurigakan berlegar-legar di kawasan kediaman mereka supaya insiden seperti ini tidak berulang.

11 babi hutan ditembak

11 babi hutan ditembak - Kelantan - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 10, 2011
khinzir
KANGKONG – Kesepakatan pasukan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kangkong bersama anggota Perhilitan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kangkong dan Rantau Panjang berjaya menembak 11 babi hutan yang mencecah sehingga 100 kilogram setiap satu, semalam.

Pegawai Perhubungan Rela Kangkong, Che Md Noor Md Salleh berkata, pihaknya menggiatkan usaha membanteras binatang perosak ini kerana ia menyebabkan kerosakan tanaman dan mengancam keselamatan penduduk Md Noor berkata, masalah menjadi parah 12 April lalu, apabila beberapa babi hutan dilanggar kenderaan di Jalan Pasir Mas Tanah Merah, menyebabkan ia hilang arah dan berkeliaran di dalam Masjid Mahmudiah, Kangkong.

“Bagi memastikan keselamatan penduduk dan hasil tanaman mereka terpelihara, kita menggiatkan usaha dengan mengadakan gerakan memburu binatang tersebut.

“Ini merupakan operasi ke dua yang mana operasi pertama dijalankan sehari selepas binatang ini masuk ke dalam masjid,” katanya.

Beliau berkata, operasi ini tidak akan dihentikan kerana pihaknya percaya, pembiakan babi hutan amat cepat maka operasi ini dapat mengurangkan bilangannya daripada terus memusnahkan tanaman penduduk.

Sementara itu, Pengerusi KRT Kangkong, Muhamad Semail berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuklah Skuad Anjing Buruan.

“Sebelum ini, penduduk mengalami kerugian yang banyak apabila hasil tani dirosakkan malah kawasan babi hutan ini juga menyebabkan bau busuk sehingga ke kawasan penempatan penduduk.

“Saya berharap operasi ini dapat dijalankan di masa hadapan, agar keselamatan penduduk lebih terjamin, malah hasil tanaman mereka terpelihara,” katanya.

Gempar langsuir bertenggek

Gempar langsuir bertenggek - Utara - Sinar Harian:


Oleh : SHAIFUL AZHAR MOHD ALI
Tarikh : December 10, 2011
Pili
HI-TECH, Kedah - Penduduk di Taman Kulim Perdana dekat sini digemparkan dengan penemuan lembaga wanita berambut panjang, serba putih yang sering bertenggek di palung air di selekoh masuk ke taman perumahan itu pada waktu malam.
Pekerja industri, Hamzah Mohamad, 32, berkata, dia pernah ternampak lembaga itu sekitar jam 1 pagi ketika dalam perjalanan balik ke rumahnya.
Menurutnya, lembaga itu sangat menggerunkan kerana ia dapat dilihat dari jauh.
“Ketika kejadian saya baru sahaja selesai menghantar pekerja industri yang bekerja petang balik ke rumah.
“Saya kemudiannya menggunakan jalan pintas di hadapan Politeknik Kulim untuk ke Sungai Kob. Dari jarak 40 meter sebelum sampai ke selekoh masuk ke Taman Kulim Perdana, saya nampak kelibat seorang wanita berdiri di tepi jalan.
“Apabila jarak saya semakin hampir dengan selekoh itu, saya nampak dengan jelas lembaga itu bertenggek di atas paip air. Lebih menakutkan apabila dia memandang ke arah saya di mana kepalanya berpusing hingga ke belakang,” katanya.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan tradisional yang hanya mahu dikenali Rosli berkata, lembaga yang dilihat selama ini adalah langsuir.
“Langsuir ini merupakan seorang wanita yang terbunuh ketika bersalin atau dibunuh. Mungkin lembaga itu pernah terbunuh dalam kemalangan di sekitar kawasan itu.
“Bagi mereka yang menggunakan jalan itu harus lebih berhati-hati kerana kecuaian atau terlalu memberikan perhatian kepadanya akan mengakibatkan mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Cubaan Sinar Harian pergi ke tempat kejadian untuk merakamkan imej lembaga itu bagaimanapun gagal.

Identiti mayat dikenal pasti

Identiti mayat dikenal pasti - Pahang - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 10, 2011
cari mayat
RAUB – Penemuan mayat yang tertiarap dalam anak sungai bersebelahan gelanggang futsal dekat Jalan Tengku Abdul Samad kelmarin menggemparkan penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, orang ramai menghubungi polis lebih kurang jam 2.45 petang sebaik sahaja menemui mayat yang lengkap berpakaian itu.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Keneth Kow Hock Siew, 55, dan menetap di sebuah rumah kedai dekat Kampung Baru Sungai Lui.

“Mayat kemudiannya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Siasatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat ‘Cerebral Hypoxia Secondary’ dipercayai akibat penggunaan dadah berlebihan,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa juga mempunyai rekod perubatan dan rawatan penyakit Hepatitis B.

Katanya, si mati juga pernah menerima rawatan akibat tekanan mental di Hospital Daerah Raub.

“Secara keseluruhannya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kerana tiada kesan trauma pada badan mangsa,” katanya.

Kempunan makan bubur Asyura

Kempunan makan bubur Asyura - Kelantan - Sinar Harian:


Oleh : AZURA MOHAMAD
Tarikh : December 10, 2011
KEMALANGAN
RANTAU PANJANG – Hasrat tiga rakan baik makan bubur Asyura di Golok, Selatan Thailand, tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut kemalangan di Kilometer 10, Kampung Kuala Itik, Jalan Rantau Panjang, Panglima Bayu, kira-kira jam 10.20 pagi semalam.

Berikutan kejadian, Mohamad Aiezat Sharifuddin,21, dari Kampung Jerangau, Tanah Merah yang duduk sebelah pemandu dan Lukmanulhakim Che Kamaruddin, 21, dari Kamung Cherang Lali, Tanah Merah, penumpang belakang maut di tempat kejadian.

Pemandu Proton Iswara, Sazali Muhamad, 21, cedera parah kepala dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk rawatan lanjut.

Kenderaan yang dinaiki tiga sahabat ini remuk teruk bahagian depan penumpang dan belakang kereta.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila mangsa yang melalui selekoh Kampung Kuala Itik tidak dapat mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian hadapan lori dari arah bertentangan.

Pemandu lori, Mohd Azman Omar, 28, berkata, sebaik sampai beberapa meter dari tempat kejadian, dia curiga melihat kenderaan dipandu Sazali Muhamad kerana seperti hilang kawalan.

Menurutnya, dia memperlahankan kenderaan dan percaya akan dilanggar kerana jarak kenderaan mereka ketika itu agak dekat.

“Saya sempat memperlahankan lori dan melihat kereta berpusing, serta tidak mampu berbuat apa-apa hanya menunggu apa yang akan berlaku ketika itu.

“Selepas menghentam bahagian penumpang, kereta tersebut jatuh ke tebing,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Mohd Azman berkata, dia turun melihat keadaan mangsa dan kembali ke lorinya kerana tidak sanggup melihat keadaan mangsa ketika itu.

Menurutnya, dia dan Azmi tidak mengalami sebarang kecederaan cuma terkejut dengan kejadian tersebut.

“Disebabkan kemalangan pagi ini, kami batal hasrat ke Kedah untuk mengambil ayam yang sepatutnya dijangka sampai pagi esok dan kembali semula ke Kota Baru sebaik selesai kerja di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Pasir Mas, Deputi Superintendan Makhetar Yaakob mengesahkan kejadian.

Rumah wartawan Sinar Harian dipecah masuk

Rumah wartawan Sinar Harian dipecah masuk - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : ANITA ABU HASAN
Tarikh : December 9, 2011
SHAH ALAM - Wartawan Sinar Harian, Mohd Syairi Mohamad Shaari, 35, kerugian lebih RM5,000 selepas kediamannya di sebuah perumahan di Gombak dipecah masuk penyamun dalam kejadian , kira-kira 11 malam kelmarin.
Mohd Syairi berkata, ketika kejadian itu, dia dan isteri, Sharifah Muhayazatul Shimar Syed Mohamed, 35, berada di Bentong, Pahang kerana hadir majlis tahlil arwah sepupunya.
“Saya terima panggilan telefon daripada seorang jiran yang beritahu grill pintu dapur rumah saya telah diumpil. Saya terus bergegas pulang ke Gombak.
“Saya periksa dalam rumah dan dapati barang kemas isteri saya, komputer riba dan duit dalam tabung sebanyak RM500 milik anak saya hilang. Saya kerugian keselurahan kira-kira RM5,000,” katanya.
Menurutnya, dia percaya penyamun yang masuk ke rumahnya sempat mandi dan menggunakan tandas berikutan terdapat kesan seperti lantai dan tuala basah dalam rumah.
Mohd Syairi berkata, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak petang, semalam dan polis telah datang ke rumahnya untuk siasatan.

Sindiket guna teksi edar dadah tumpas

Sindiket guna teksi edar dadah tumpas - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : NORAIZURA AHMAD
Tarikh : December 9, 2011
Sindiket guna teksi edar dadah tumpas
KUALA LUMPUR – Tembelang dua lelaki yang menyamar sebagai pemandu dan penumpang teksi terbongkar selepas mereka ditahan polis kerana dipercayai membawa dadah dalam kenderaan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, dengan penangkapan dua suspek itu, polis menumpaskan sindiket yang aktif menggunakan teksi untuk mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

Amar Singh berkata, ketika di Jalan Imbi kira-kira 12.45 tengah hari kelmarin, dua lelaki tersebut berlagak seperti pemandu dan penumpang teksi tetapi dilihat sangat mencurigakan lalu polis menahan mereka.

Menurutnya, selepas memeriksa teksi tersebut, polis menjumpai dua paket plastik disyaki dadah jenis syabu seberat 1.6 kilogram di bahagian kerusi penumpang.

“Kedua-dua suspek dipercayai ada kaitan kerana pernah bekerja di tempat sama, sebagai pembantu tadbir am di salah sebuah universiti tempatan.

“Suspek berusia 28 dan 24 tahun itu kini direman hingga 13 Disember ini untuk siasatan,” katanya di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Amar Singh berkata, salah seorang suspek mempunyai rekod lampau dan kedua-duanya positif dadah ketika ditahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurutnya, polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan punca bekalan dadah diperoleh.

Amar Singh berkata, pada tahun ini, polis Kuala Lumpur telah melaksanakan pemusnahan barang kes dadah sebanyak tiga kali dengan melibatkan pelbagai jenis dadah.