Search This Blog

Friday, December 9, 2011

Remaja dalang kes pecah rumah

Oleh : HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR
Tarikh : December 7, 2011
JOHOR BAHRU - Tidak padan dengan usia, sekumpulan pelajar bertindak berani memecah masuk sebuah rumah di Taman Universiti, dekat sini, dan melarikan pelbagai jenis barangan berharga.

Lebih memeranjatkan apabila lima pelajar berusia antara 15 hingga 16 tahun itu menjalankan kegiatan itu pada waktu petang tanpa memikirkan risiko yang bakal mereka hadapi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang, 26 November lalu, polis menerima satu laporan daripada mangsa yang berusia 58 tahun berhubung rumahnya yang dipecah masuk sekumpulan pelajar terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, ekoran laporan itu, beberapa siri serbuan dijalankan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) di sekitar bandar raya ini bagi mengesan suspek.

"Hasilnya, polis berjaya menangkap lima lelaki yang juga pelajar sekolah menengah yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah itu.

"Polis juga berjaya merampas semula pelbagai barangan yang disyaki hasil daripada kegiatan terbabit antaranya sebuah televisyen jenis Plasma, empat bekas peralatan, satu kotak spanar, satu jam tangan, sebuah kamera dan dua alat kawalan jauh serta dua patung,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam satu kejadian samun di kedai telefon bimbit di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram membabitkan tiga suspek lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam pada 15 November lalu, mangsa didatangi suspek yang bersenjata menyerupai pistol, sebelum melarikan 500 kad I-Talk bernilai RM10; 100 kad I-Talk bernilai RM20; 100 kad I-Talk bernilai RM300; dan 48 kad I-Talk bernilai RM50.

Mohd Mokhtar berkata, selaintu, suspek turut melarikan 800 kad tune talk bernilai RM5; 747 kad tune talk bernilai RM10; dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa.

"Ekoran kejadian terbabit, polis berjaya menahan tiga suspek pada 27 November lalu yang berusia lingkungan 25 tahun hingga 35 tahun selain berjaya merampas semula semua barangan yang dilarikan suspek.

"Hasil siasatan semua suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan semua mereka ditahan reman sehingga 8 Disember ini.Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.Remaja dalang kes pecah rumah - Johor - Sinar Harian:

Lelaki ditahan kerana sorok dadah

Lelaki ditahan kerana sorok dadah - Johor - Sinar Harian:

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 9, 2011
Helah gagal

MUAR – Tindakan berani seorang lelaki menyembunyikan sejumlah dadah dalam kotak rokok mengundang padah apabila dia ditahan polis dalam operasi sekatan jalan raya di Jalan Salleh di sini, kira-kira jam 11 pagi pada 5 Disember lalu.

Ketika ditahan, suspek berusia 29 tahun itu memandu kenderaan jenis pacuan empat roda Toyota Hilux secara bersendirian.

Bagaimanapun, dia ditahan dalam sekatan itu apabila didapati dalam keadaan yang mencurigakan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Ko­misioner Mohamad Nasir Ramli berkata, susulan pemeriksaan yang dijalankan dalam kenderaan itu menjumpai kotak rokok mengandungi dadah jenis syabu seberat satu gram yang dibungkus dalam plastik.

Menurutnya, polis turut menjumpai 10 biji dadah jenis pil eramin 5 dan ganja seberat 0.25 gram.

“Kami tidak menolak kemungkinan, dadah itu untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pelanggannya.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan lan­­jut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kes disiasat mengikut Sek­syen 39 a (2) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama.

12 warga Filipina dipenjara

12 warga Filipina dipenjara - Perak - Sinar Harian:


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 9, 2011

TELUK INTAN - Tujuh lelaki daripada 12 warga Filipina dijatuhkan hukum penjara antara empat hingga enam bulan selain masing-masing dikenakan dua sebatan apabila didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 oleh Mahkamah Seksyen Teluk Intan.

Selebihnya, lima wanita warga Filipina turut dijatuhi hukum penjara empat bulan oleh mahkamah sama daripada tarikh mereka ditahan sebelum diusir keluar dari negara ini.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, kesemua warga Filipina berusia di antara 19 hingga 45 tahun itu ditahan dalam Ops 6P (pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pe­ngusiran) di kawasan perumahan Taman Seri Acheh, Sitiawan, Manjung, pada 22 November lalu, kira-kira jam 1.15 pagi.

Menurutnya, sebanyak 12 warga Filipina telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dalam negara tanpa permit yang sah sebelum dibawa ke Mahkamah Seksyen Teluk Intan untuk diadili.

“Perbuatan mereka memasuki negara secara haram menerusi Sandakan, Sabah menggunakan feri sebelum ke Sitiawan, Manjung dengan kapal terbang mengundang padah kerana bakal dikenakan tindakan oleh Hakim Mahkamah Seksyen Teluk Intan pada 5 Disember lalu.

“Sebelum ini, mereka diuruskan oleh agen yang dikatakan menjanjikan pekerjaan, malangnya mereka ini tiada permit sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di Pejabat Imigresen cawangan Teluk Intan, di sini semalam.

Operasi 6P berkenaan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Irwan Zahid bersama 40 anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Ipoh dan cawangan Lumut serta 26 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak dan Ibu Pejabat Putrajaya.

Khairul Anuar berkata, sebanyak 94 warga asing disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.

“Menerusi pemeriksaan, sebanyak 41 warga asing, iaitu lapan warga Bangladesh, 26 warga Filipina, satu warga India, enam warga Indonesia telah didaftarkan di bawah program 6P.

“Baki sebanyak 53 yang terdiri daripada 39 lelaki dan 14 wanita dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, di bawa ke pejabat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, operasi yang yang dijalankan itu adalah kesinambungan Program 6P di bawah kelolaan Kerajaan yang mahu Pati di negara ini ditahan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

“Sebelum ini, pihak kerajaan telah memberikan peluang dan ruang untuk mereka (warga asing) untuk mendaftarkan di bawah 6P, namun masih ada berdegil dan tidak mengambil peluang diberikan sebelum ini.

“Kini sudah masanya kami (Jabatan Imigresen) bertindak lebih tegas terhadap mereka,” katanya.

Pelajar rempit, curi motosikal

Pelajar rempit, curi motosikal - Perak - Sinar Harian:


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 9, 2011
Pelajar rempit, curi motosikal

TAIPING – Pelajar berusia 14 tahun antara empat remaja yang ditangkap dalam operasi membanteras mat rempit awal bulan ini atas kesalahan mencuri motosikal dan merempit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner, Yusuf Mohd Diah berkata, sebanyak 12 motosikal disita dan lapan saman dikeluarkan kepada pemilik dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, dua motosikal curi adalah berkaitan dengan laporan kecurian di Gunung Rapat, Ipoh pada 23 September lalu manakala sebuah lagi didapati hilang di Taiping pada 8 November lalu.

“Pelajar ini didapati mencuri motosikal di Gunung Rapat Ipoh sementara remaja berusia 19 tahun mencuri motosikal di Taiping.

“Kesemua empat remaja ini di reman selama empat hari dan akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.

Yusuf berkata, dua daripada remaja itu akan didakwa di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dalam keadaan berbahaya.

“Jika sabit kesalahan boleh di penjara enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Manakala dua remaja lagi ditangkap kerana terbabit kes curi motosikal dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan penjara mandatori tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan dikenakan denda,” katanya.

Sementara itu, pihaknya menjalankan operasi di lokasi Kamunting, Changkat Jering; Jalan Kota Taiping, Stesen Bas Kamunting, Yawata Kamunting dan Batu 2 ½ Jalan Simpang.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan pihak

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); iaitu nombor kecil yang tidak boleh dibaca, ekzos diubah suai dan mengeluarkan bunyi bising.

Katanya, sepanjang Januari hingga 6 Disember lalu, seramai sembilan remaja ditangkap kerana kesalahan merempit.

“Hampir 80 peratus kegiatan merempit ini dilakukan ketika cuti sekolah terutama remaja lingkungan 14 hingga 20 tahun.

“Mereka dikatakan menjalankan aktiviti sekitar jam 1pagi hingga jam 4.30 pagi,” katanya.

Maut selepas pulang haji

Maut selepas pulang haji - Perak - Sinar Harian:


Oleh : ROSDALILAH ZAHARI, SAIFUL BAHARIL BASERI
Tarikh : December 9, 2011
balik hj

IPOH – Kegembiraan suami isteri yang baru pulang dari tanah suci Mekah bertukar tragedi apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 263.3, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) kira-kira dua kilometer sebelum memasuki terowong Menora, awal pagi semalam.

Kereta jenis Honda Accord yang dinaiki lima sekeluarga itu merempuh belakang sebuah lori muatan tiga tan yang membawa barangan pejabat yang dipercayai untuk dihantar ke UiTM Arau, Perlis.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke kampung Alor Pongsu, Bagan Serai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, mangsa Abdul Rashid Idris, 62, dan isteri Rahmah Mat Saboot, 59, merupakan jemaah haji yang baru tiba dari Mekah di KLIA kira-kira jam 12 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian itu, kereta yang dipandu anak mangsa, Mohd Shahril Abdul Rashid, 30, yang dipercayai melanggar belakang lori sehingga menyebabkan bapanya tersepit dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu secara perlahan sewaktu mendaki bukit menyebabkan pemandunya tidak sedar lalu melanggar kenderaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat manakala isterinya, bersama dua anaknya yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

“Pemandu kereta masih dirawat di HRPB kerana dia mengalami kecederaan yang serius manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Abdul Rashid yang juga bekas pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran, dibawa pulang ke Alor Pongsu untuk pengebumian.

Koma angkara lubang jalan

Koma angkara lubang jalan - Kelantan - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 9, 2011
gushari-koma

TEMANGAN - Jika dua minggu lalu, seorang wanita tidak sedarkan diri apabila motosikal yang dinaikinya terjatuh di dalam lubang di Kampung Pangkal Chuit, kelmarin seorang warga emas pula menjadi mangsa.

Gushari Ismail, 60, cedera parah di bahagian kepala dan masih tidak sedarkan diri di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia, sejak mengalami kemalangan pada Selasa lalu.

Adiknya, Mohd Zaid, 40, berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11 malam ketika Gushari keluar ke kedai.

Katanya, Gushari yang menunggang motosikal terjatuh ke dalam lubang berhampiran rumah mereka di sini, sebelum tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Masalah jalan rosak di Temangan ini, perlu ditangani segera memandangkan ia telah lama berlarutan dan ramai penduduk yang menjadi mangsa.

“Dua penduduk cedera parah dan tak sedarkan diri, namun saya percaya ramai lagi yang turut menjadi mangsa terutamanya melibatkan kerosakan kenderaan.

“Kalau elak lubang, pemandu terpaksa masuk ke jalan bertentangan dan kedua-duanya membahayakan terutamanya bagi kenderaan kecil seperti motosikal dan basikal,” katanya.

Sinar Harian beberapa kali menyiarkan kebimbangan penduduk mengenai masalah tersebut dan menurut Adun Temangan, Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan, perkara itu dibincangkan dengan pihak yang terbabit dan akan diselesaikan secepat mungkin namun seminggu berlalu, masih tiada tindakan yang diambil.

Mohd Zaid berkata, masalah itu hanya mampu diselesaikan apabila kenderaan berat yang dipercayai menjadi punca masalah itu tidak dibenarkan menggunakan jalan itu lagi.

Katanya, dia bimbang jika tidak dibaiki segera, kejadian yang sama akan berlaku kepada pengguna lain pula.

“Menurut doktor, abang saya hanya bergantung hidup kepada mesin pernafasan dan tidak dapat memberi jaminan dia akan selamat.

“Kami tidak mahu orang lain turut menerima nasib sama macam kami,” katanya.

Dua pengedar licik tumpas

Dua pengedar licik tumpas - Terengganu - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 9, 2011
penagih-dadah

KEMAMAN – Dua pe­ngedar dadah yang dikehendaki polis akhirnya terjerat apabila berjaya dicekup bersama 25 penagih setelah polis menyerbu port penagi­han dadah di tepi Jalan Mak Lagam, dekat Bandar Cheneh Baru, di sini, Selasa lalu.

Biarpun kedua-dua lelaki berusia 31 dan 29 tahun yang berasal dari Felda Neram 2 itu licik, namun polis lebih cekap malah sebanyak 13 paket heroin dianggarkan bernilai RM1,950 turut dirampas bersama kedua-dua suspek.

Sembilan paket heroin seberat 20 gram bernilai RM1,350 ditemui pada lelaki berusia 31 tahun dan empat paket heroin seberat 9 gram bernilai RM600 pula dirampas daripada lelaki berusia 29 tahun.

Dengan serbuan itu, polis juga berjaya merampas 20 motosikal pelbagai jenis termasuk sebuah daripadanya merupakan motosikal curi yang dilaporkan hilang di Kuantan, Pahang beberapa hari sebelumnya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah berkata, penagih dadah yang ditahan pula berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Menurutnya, operasi yang berakhir jam 12 tengah hari itu dilakukan polis Bahagian Jenayah Narkotik Daerah dengan kerjasama enam anggota dari Balai Bandar Cheneh Baru selepas pihaknya melakukan intipan selalam sebulan yang lalu.

“Sebaik mendapat maklumat daripada penduduk polis menjalankan risikan sebelum memasuki kawasan berkenaan yang dipercayai baru dua bulan dijadikan tempat penagihan membabitkan anak dan peneroka di kawasan itu.

“Dengan tertangkapnya pengedar dan penagih ini, ia dapat mengurangkan kes dadah di kawasan Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru dan Felda Cerul,” katanya.

Katanya, dalam operasi tersebut polis juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang menggunakan motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai dicuri di Kuantan selain dua penagih yang ditangkap berusia 25 dan 26 tahun dari Felda Cherul turut didapati terbabit dalam jenayah curi besi.

Semua penagih dan penge­dar terbabit ditahan secara berperingkat sebaik mereka memasuki kawasan berkenaan pada waktu siang untuk melepaskan ketagihan dadah.

“Polis akan memerangi kegiatan dadah habis-habisan terutama dikawasan penempatan Felda yang membabitkan remaja dan peneroka,” katanya.

Hamzah berkata, pe­ngedar berumur 31 tahun yang ditangkap disiasat me­ngikut Seksyen 39(b)Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki yang berusia 29 tahun disiasat mengikut Seksyen 39(A)(2) akta sama.

Terlanggar kabel elektrik

Terlanggar kabel elektrik - Kelantan - Sinar Harian:

Oleh : ROSALWANI CHE SOH
Tarikh : December 9, 2011
bengkak

KOTA BHARU - Akibat terlanggar kabel elektrik yang merentangi jalan raya di Kampung Pendek-Salor di sini, seorang suri rumah yang membonceng motosikal bersama anaknya, mengalami kecederaan di bahagian muka, luka di lengan kiri, patah empat gigi serta sakit di bahagian pinggul.

Kejadian yang berlaku pada jam 3 petang Sabtu lalu, mengakibatkan mangsa, Norizam Jusoh, 48 yang membonceng motosikal bersama anak sulung, Nordiana Zamri, 19, jatuh di atas jalan raya manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat mengelak kabel berkenaan.

Norizam berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya menuju ke rumah kenalan bagi menghadiri kenduri kahwin.

“Semasa melalui jalan terbabit, wayar kabel berkenaan memang sudah kendur tetapi kenderaan masih lagi boleh melalui jalan itu.

“Entah bagai mana secara tiba-tiba wayar kabel terbabit jatuh betul-betul selepas anak saya melaluinya dan menyebabkan saya tidak dapat mengelak lalu jatuh tergolek,” katanya kepada Sinar Harian.

Norizam berkata, walaupun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka dan mulut, dia masih mampu bangun dan dipapah ke tepi.

“Mujurlah saya sempat bangun selepas kejadian, jika tidak mungkin saya dilanggar kenderaan lain kerana jalan di kawasan ini menjadi laluan utama penduduk di sini.

“Selepas kejadian, ada beberapa orang awam yang berada di kawasan itu membantu dan membawa saya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan,” katanya.

Norizam membuat laporan polis pada malam kejadian, atas kecuaian pihak terbabit yang tidak mengambil tindakan selepas laporan mengenai kabel terbabit yang membahayakan pengguna jalan raya diajukan penduduk kepada pihak berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

“Saya rasa perkara ini perlu diketengahkan kerana ia melibatkan nyawa orang ramai dan harapan saya agar pihak terbabit dapat membayar pampasan kepada keluarga akibat kecuaian mereka.

“Laluan ini merupakan jalan utama, sepatutnya tindakan proaktif perlu dilakukan pihak terbabit supaya perkara seumpama ini tidak akan berulang dan membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Sementara itu, menurut suami mangsa, Mohd Nazar Said, 41, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.

“Saya hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan dari anak, walaupun isteri hanya mengalami kecederaan, namun jika pihak terbabit bertindak menyelenggarakan wayar terbabit selepas dilaporkan, mungkin kejadian ini tidak berlaku.

“Tindakan segera perlu dilakukan kerana selepas kejadian itu, ia turut menjejaskan mata pencarian sampingan isteri yang menjahit secara sambilan di rumah, lagipun anak-anak saya masih kecil dan memerlukan perhatian,” katanya.

Tidak sempat makan bubur Asyura

Tidak sempat makan bubur Asyura - Kelantan - Sinar Harian:

Oleh : AZURA MOHAMAD
Tarikh : December 9, 2011

RANTAU PANJANG - Hasrat tiga sahabat ingin makan bubur Asyura di Golok, Selatan Thailand tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di kilometer 10 Kampung Kuala Itik, Jalan Rantau Panjang, Panglima Bayu, kira-kira 10.20 pagi semalam. - SH Kelantan-Azura Mohamad

10 suspek kes bunuh berjaya ditahan

10 suspek kes bunuh berjaya ditahan - Utara - Sinar Harian:


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 9, 2011

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menangkap 10 orang suspek berumur lingkungan 16 hingga 71 tahun yang terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di Jalan P.Patto-Taman Tanjung, Butterworth Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC II Zahruddin Abdullah berkata tiga daripada suspek yang terlibat menyerah diri secara sukarela kepada polis di Butterworth semalam.

"Berdasarkan maklumat orang ramai pihak polis berjaya memberkas suspek yang terlibat, bagaimanapun masih terdapat beberapa suspek yang belum diberkas, kesemua mereka direman sehingga 14 Dis ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mangsa, M. Jegathiswaran, 25, yang memandu sebuah kereta bersama dengan rakannya diserang lebih 10 lelaki apabila mereka berhenti di persimpangan Jalan P.Patto-Taman Tanjung di Butterworth.

Mangsa kemudian diseret keluar dari tempat duduk pemandu dan dibelasah oleh kumpulan penyerang terbabit hingga menyebabkan kematian mangsa kira-kira pukul 4.30 pagi pada hari kejadian. Bagaimanapun, rakannya yang berusia 20-an, tidak disentuh oleh penyerang terbabit.

Mangsa ditemui mati di tempat kejadian dengan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Beberapa topi keledar dan kayu juga ditemui di tempat kejadian.

Zahruddin brkata, pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan dan percaya dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, polis memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes bunuh seorang lelaki warganegara Myanmar Kyi Moe Lwin, 32, yang ditemui mati dengan tengkorak kepalanya pecah dipercayai dipukul dengan tukul besi di Relau, Bayan Lepas, Rabu lalu.

Suspek yang juga warganegara Myanmar dikenali sebagai Bashah, 32, dipercayai melarikan diri ke Bukit Mertajam.

Zahruddin berkata siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada salah faham antara suspek dengan mangsa.

"Kita telah mengenal pasti identiti suspek menerusi lakaran wajah yang diberikan oleh beberapa orang saksi yang terlibat dalam kejadian itu. Suspek
berkulit gelap dan mempunyai ketinggian sederhana," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kes diminta membantu siasatan dengan melaporkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline di nombor 04-2691999

Kedua-dua kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.- Bernama

Penagih maut dihempap lif ketika curi kabel

Penagih maut dihempap lif ketika curi kabel - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 9, 2011

KUALA LUMPUR - Seorang penagih dadah mati dihempap lif ketika cuba mencuri kabel di sebuah bangunan lama di Jalan Dang Wangi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata lelaki tempatan berumur 28 tahun itu ditemui orang awam kira-kira 4 petang.

"Lelaki itu maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Zulkarnain berkata mangsa cedera parah di bahagian badan dan kepala akibat dihempap besi lif yang terjatuh ke atasnya.

Bangunan lama tersebut dikatakan menempatkan sebuah kolej swasta sebelum ini.

"Mayat lelaki itu kemudiannya dibawa polis ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya. - Bernama

KDRM Sabah Rampas 1,068 Ekor Tenggiling Beku

mStar Online : KDRM Sabah Rampas 1,068 Ekor Tenggiling Beku:

SANDAKAN: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,068 ekor tenggiling beku selepas menahan sebuah jongkong di perairan Batu Sapi berhampiran Kampung Bahagia dekat sini semalam.

Timbalan Pengarah KDRM Sabah (Penguatkuasaan) Hamzah Sundang berkata jongkong tersebut ditahan kira-kira 6.30 petang yang dipercayai dalam perjalanan menuju ke pulau Taganak di perairan Filipina.

Katanya hanya seorang lelaki di dalam jongkong itu berjaya ditangkap, manakala yang lain melarikan diri selepas jongkong itu melanggar tebing di kawasan perairan itu.

Pemeriksaan mendapati lelaki berusia 18 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri, katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Menurutnya daging beku tenggiling itu disimpan di dalam 178 kotak yang keseluruhannya seberat 4,988 kilogram.

"Ia bernilai RM747,600 pada kadar RM150 sekilogram mengikut pasaran tempatan, manakala bagi pasaran antarabangsa, kita menganggarkan daging itu bernilai hampir RM4 juta," katanya.

Hamzah berkata kesemua daging tenggiling itu sudah hampir siap diproses dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti lokasi asal serta lokasi pemprosesan tenggiling tersebut serta individu yang bertanggungjawab. - BERNAMA

Penoreh Maut Motosikal Terbabas

mStar Online : Penoreh Maut Motosikal Terbabas:


BESUT: Seorang penoreh getah maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 2 Jalan Jerteh-Keruak dekat Kampung Balik Bukit dekat sini kira-kira 1 tengah hari, Khamis.

Razali Awang, 41, yang berasal dari Kampung Buloh, Gong Duet cedera parah di bahagian kepala setelah tercampak ke dalam parit sedalam dua meter.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata sebelum kejadian.

Mangsa dikatakan pergi ke bandar Jerteh seorang diri untuk membeli barang keperluan.

Dalam perjalanan pulang, motosikalnya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan yang mengakibatkan mangsa tercampak ke dalam longkang, kata Kamaruddin kepada media di sini Khamis.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.Razali dikatakan tinggal seorang diri setelah ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu. - BERNAMA

Bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand disoal siasat

Utusan Malaysia Online - Terkini:


09/12/2011 1:39am

BANGKOK 9 Dis. - Polis Thailand semalam menyoal siasat bekas Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban berhubung tindakan keras pihak tentera terhadap demonstrasi besar-besaran di sini tahun lalu sehingga menyebabkan berlakunya kematian penunjuk perasaan.

Thaugsuban, yang merupakan ketua keselamatan negara pada masa itu, berkata, dia bertindak mengikut undang-undang ketika menangani demonstrasi terbabit.

"Semua pegawai mengikut arahan berdasarkan undang-undang," katanya ketika ditemui selepas sesi soal siasat di ibu pejabat Metropolitan Police.

Lebih 90 penunjuk perasaan, kebanyakannya orang awam, terbunuh manakala hampir 1,900 cedera semasa demonstrasi yang diadakan pada bulan April dan Mei, disertai kira-kira 100,000 penyokong kumpulan Baju Merah. - AFP

SPRM mula siasat Alstom dari Perancis

Kosmo! Online - Terkini:


09/12/2011 11:51am

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan proaktif berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan syarikat kejuruteraan Alstom dari Perancis.

SPRM juga berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan di dalam dan luar negara bagi menyiasat dakwaan itu.

Menurut kenyataan SPRM semalam, butiran mengenai siasatan itu tidak boleh didedahkan bagi memastikan ia tidak menjurus kepada tanggapan tidak benar ke atas pihak-pihak yang berkaitan.

"Ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009.

SPRM memandang serius terhadap semua dakwaan rasuah dan akan menyiasat tanpa takut atau memilih kasih.

"Sebarang tohmahan jenayah rasuah akan disiasat jika tohmahan tersebut mempunyai asas seperti yang termaktub di bawah Seksyen 29(3) Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, SPRM turut mengingatkan usahawan dan peniaga tempatan yang beroperasi di luar negara supaya sentiasa menghindar daripada sebarang perlakuan rasuah. - Bernama

5 pekerja landasan kereta api Korea Selatan maut digilis

Berita Harian Online | 5 pekerja landasan kereta api Korea Selatan maut digilis:

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan berkata, lima pekerja maut selepas dilanggar kereta api ketika mereka sedang menggantikan landasan sebagai persiapan musim sejuk di pelabuhan ibu kota Incheon.

Pegawai pasukan bomba, Kim Dae-il, berkata mereka dilanggar kereta api awal Jumaat di mana lima maut dan seorang cedera parah.
Beliau berkata, punca kemalangan sedang disiasat. - AP

Pusat hiburan ulangi kesalahan diserbu di Georgetown

Berita Harian Online | Pusat hiburan ulangi kesalahan diserbu di Georgetown:

GEORGE TOWN: Sebuah pusat hiburan di sini yang diserbu lebih 10 kali kerana mengupah wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO), didapati terus mengulangi kesalahan itu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata dalam operasi jam 10.30 malam itu, 17 wanita warga China berusia antara 20-an dan 30-an diberkas sepasukan anggota Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap
daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. "Beberapa daripada mereka cuba meloloskan diri dan bersembunyi dalam
bilik tetapi usaha mereka gagal kerana pusat hiburan itu sudah dikepung,"
katanya di sini, hari ini.

Polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai penjaga premis itu.

Gan berkata, serbuan itu dilakukan selepas pemantauan mendapati pusat hiburan
itu masih menyediakan khidmat GRO warga asing.
Katanya, operasi berkenaan juga bertujuan membanteras kegiatan maksiat dan
penyalahgunaan dadah di pusat hiburan.

"Siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti pihak yang terbabit
dalam kegiatan membekalkan warga asing ke pusat hiburan itu selain mengesan
pemilik premis itu," kata Gan.

Katanya, pemantauan dan pemeriksaan akan diteruskan bagi memastikan kegiatan
mengupah wanita warga asing untuk bekerja sebagai GRO dapat dibendung. - BERNAMA

Pengarah syarikat dipenjara sehari, denda RM25,000

Berita Harian Online | Pengarah syarikat dipenjara sehari, denda RM25,000:

JOHOR BAHARU: Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara sehari terhadap seorang pengarah syarikat di sini, hari ini atas tuduhan merasuah seorang penyelia keselamatan kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM5,000, Julai lalu.

Hakim Madihah Hairullah yang mengarahkan Teo Swee Eng @ Teo Swee Kwong, 53, membayar denda RM25,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda itu turut mengarahkannya dilucut hak ke atas wang rasuah RM5,000 itu.
Teo, pengarah syarikat pengeluar barangan penebat dan gasket, Nipseals Sdn Bhd sebelum itu mengaku bersalah mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Tertuduh didakwa merasuah Mohd Sanusi Zakaria pada jam 11.15 malam, 6 Julai lalu di Coffee House Hotel Dorset, Plentong.

Ia adalah sebagai dorongan kepada Mohd Sanusi untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premis kilang Nipseals yang terletak di Taman Perindustrian Tropika, Ulu Tiram yang disyaki melakukan pengubahan haram sehingga menyebabkan meter eletrik tidak merekodkan bacaan yang betul.

Perbuatan itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 37 (1) dan/atau Seksyen 37(3) dan/atau Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Tertuduh melalui peguamnya, N Mariappan memohon hukuman ringan dikenakan terhadap tertuduh antara lainnya kerana itu adalah kesalahan pertama di samping menghidap penyakit ulcer hati dan darah tinggi serta terpaksa menjaga ibu mertua berusia 80 tahun yang lumpuh.
Ketika Teo dibawa keluar dari mahkamah itu, seorang lelaki yang dipercayai suaminya menghalang jurugambar daripada merakamkan wajah tertuduh dengan melibas beg ke arah mereka.

Teo membayar denda yang dikenakan ke atasnya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ridzuan Abdul Malik. - BERNAMA

Tengku Fakhry saman polis, dakwa tahan secara salah

Berita Harian Online | Tengku Fakhry saman polis, dakwa tahan secara salah:
KUALA LUMPUR: Tengku Muhammad Fakhry Petra, adinda kepada Sultan Kelantan, memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Ketua Polis, Negara Tan Sri Ismail Omar dan tiga lagi berhubung penahanannya yang didakwanya dibuat secara salah pada Ogos 2009.

Dalam writ saman itu yang difail menerusi Tetuan A S Dhaliwal, di Mahkamah
Tinggi di sini, hari ini, beliau menamakan Ismail, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Superintendan Norazman Ismail; Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat. Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata,
tindakannya itu bukan kerana wang tetapi untuk mendapatkan keadilan.

Mengikut penyata tuntutannya, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa, beliau ditahan secara salah pada 30 Ogos 2009 di perkarangan Istana Mahkota Kubang Kerian ketika sedang memandu kereta jenis Bentley Brooklands.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau membawa kenderaan itu atas arahan
Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura tetapi berikutan arahan
defendan kedua dan ketiga, anggota polis menghalang beliau memandu kenderaan tersebut dan menutup pintu pagar istana tanpa memberi sebarang alasan.
Tengku Muhammad Fakhry mendakwa, anggota polis menahan beliau selama sejam
sebelum membenarkannya keluar dari Istana Mahkota tanpa membawa kenderaan itu.

Sambil menganggap penahanan itu sebagai mala fide dan salah di sisi undang-undang, beliau memohon ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi keterlaluan dan
teladan sebanyak RM50 juta, faedah pada kadar empat peratus, kos dan lain-lain. - BERNAMA

Penunggang motosikal maut tercampak

Penunggang motosikal maut tercampak - Melaka & NS - Sinar Harian:

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 9, 2011
mangsa kemalangan

PORT DICKSON –Seorang ­penunggang motosikal maut dalam satu ­kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari bekerja.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam kelmarin di Batu 3 1/2 Jalan Pantai Port Dickson itu membabitkan motosikal dan sebuah kereta.

Jurucakap polis berkata, mangsa, S Ragendran, 34, yang menunggang motosikal dari arah Seremban ­bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan mengakibatkan mangsa tercampak.

Mangsa yang mengalami ­kecederaan parah di kepala dan ­badan maut di tempat kejadian kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat ­sebelum dituntut keluarga.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian.

Motor hilang kawalan, 2 remaja nyaris maut

Motor hilang kawalan, 2 remaja nyaris maut - Melaka & NS - Sinar Harian:

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 9, 2011
Dua remaja nyaris maut akibat gagal memotong

ALOR GAJAH - Dua remaja nyaris maut apabila motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki gagal memotong kereta pacuan empat roda sebelum bertembung kereta dipandu seorang lelaki, berdekatan Masjid Ar-Rasyidin, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, motosikal dinaiki Mohd Fahzudin Mohamad, 19, dan rakannya, Shahrul Azami Jaafar, 18, dari arah Gadek menuju ke bandar Alor Gajah hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Honda lama dari arah bertentangan.

Pemandu kereta terbabit, Norris Afendi Abd Rahman, 36, berkata, dia baru selesai mengisi minyak kereta dan cuba keluar dari simpang menuju ke rumahnya di Taman Pisang Emas, Gadek.

Menurutnya, tiba-tiba motosikal dinaiki dua remaja terbabit hilang kawalan setelah gagal memotong pacuan empat roda yang membelok ke kanan memasuki Taman Seri Bayu.

“Ketika itu, remaja terbabit cuba mengelak dari terus berlanggar dengan pacuan empat roda dengan memasuki la­luan saya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak sempat mengelak dan berlanggar dengan motosikal ditunggang dua remaja terbabit walaupun telah menghentikan keretanya.

“Salah seorang remaja terbabit tercampak ke belakang kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya sementara seorang lagi tercampak ke sebelah kiri kereta saya.

“Tidak lama kemudian, orang awam mula berkerumun dan membantu saya ke­luar melalui pintu belakang kereta berikutan pintu sebelah pemandu gagal dibuka,” kata­nya.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapat rawatan.

Sementara seorang daripada remaja terbabit terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka kerana mengalami kecederaan parah.