Search This Blog

Thursday, December 8, 2011

Polis percaya masalah keluarga punca kebakaran

Berita Harian Online | Polis percaya masalah keluarga punca kebakaran:
KUALA LUMPUR: Polis percaya wujud masalah keluarga dalam kejadian kebakaran yang menyebabkan seorang suri rumah maut akibat melecur teruk di Tingkat 15, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan, berkata siasatan mendapati tiada individu atau pihak ketiga yang terbabit semasa kejadian itu kecuali mangsa dan suaminya.
"Kita percaya punca kejadian kerana masalah keluarga. Jika ada unsur jenayah, mungkin antara mereka berdua sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat seorang anggota polis yang cedera sewaktu mengejar seorang penagih dadah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Beliau berkata, polis masih belum dapat mengambil keterangan suami mangsa kerana dia masih tidak sedarkan diri di HKL.

Dalam kejadian itu, suri rumah, Tutty Suri Yaty, 34, meninggal dunia di HKL setelah tubuhnya melecur hampir 80 peratus manakala suaminya, Raja Basir Ali Peer Bux, 56, seorang pengawal keselamatan, cedera di tangan dan kaki. - BERNAMA

Penyanyi veteran disamun di stesen minyak

Berita Harian Online | Penyanyi veteran disamun di stesen minyak:

KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi lelaki popular sekitar 80-an kerugian kira-kira RM2,000 selepas disamun di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang di sini awal pagi tadi.

Penyanyi itu dilaporkan disamun sekumpulan antara 10 hingga 15 penunggang motosikal dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan, berkata mangsa yang berusia sekitar 50-an didatangi kumpulan tersebut ketika meletakkan keretanya di stesen minyak itu untuk pergi ke tandas.
"Namun ketika keluar dari keretanya, kumpulan tersebut datang mengerumuninya dan ada antara mereka memecahkan cermin di bahagian pemandu kereta itu.

"Seorang dari mereka turut merampas telefon bimbit dan kunci kereta mangsa namun tidak sempat melarikan kereta mangsa apabila sebuah lori memasuki kawasan stesen minyak itu.

"Terkejut dengan kehadiran lori berkenaan, semua suspek terus melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, penyanyi dan pelakon tersebut yang juga bapa kepada seorang penyanyi remaja wanita yang sedang meningkat naik, tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Zakaria ditemui di Hospital Kuala Lumpur selepas melawat seorang anggota polis yang dirawat di situ akibat cedera sewaktu mengejar seorang penagih dadah sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata seorang penagih dadah cedera parah selepas terjun dari tingkat dua sebuah flat di Jinjang Selatan awal pagi tadi ketika mengelak serbuan polis.

Dia kini dirawat di HKL. - BERNAMA

KP Terengganu kesal laporan akhbar tabloid

Kosmo! Online - Terkini:


08/12/2011 6:18pm

KUALA TERENGGANU – Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa menafikan laporan sebuah akhbar tabloid tempatan kononnya pistol yang digunakan dalam rompakan kedai emas di Wakaf Tapai 28 Nov lepas adalah senjata yang dilupuskan.
Kesal dengan dakwaan itu, beliau berkata siasatan mendapati pistol berkenaan adalah yang dilaporkan hilang oleh seorang anggota polis semasa penugasan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang, tiga tahun lalu.
Menurutnya tidak berlaku kegiatan penyewaan senjata api yang akan dilupuskan dan disewakan kepada anggota bagi tujuan jenayah sebagaimana dilaporkan tabloid itu.
Menurut akhbar itu, tiga anggota polis antara empat yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menyewakan senjata api jenis revolver .38 kepada pihak tertentu yang kemudian digunakan untuk melakukan jenayah seperti rompakan.
Ia mendakwa senjata berkenaan disewakan antara RM2,000 hingga RM5,000 dan bayaran dilakukan secara komisyen menggunakan wang hasil rompakan.
Beliau berkata jika pihak media mengetahui sesuatu maklumat berhubung sesuatu kes mereka harus merujuk kepada pihak tertentu dan bukan terus melaporkan di akhbar tanpa pengesahan daripada pihak polis terlebih dahulu. - Bernama

Bekas pengerusi koperasi hadapi tiga tuduhan

Kosmo! Online - Terkini:


08/12/2011 4:13pm

KLANG – Seorang bekas pengerusi sebuah koperasi hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan di bawah Akta Koperasi 1993.
Mohd Samsuri Jamiran, 57, meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Tertuduh yang semasa kejadian memegang jawatan pengerusi Koperasi Bina Jaya Kuala Selangor Berhad didakwa gagal menguruskan dan mengawasi urusan penggunaan wang bantuan koperasi berjumlah RM240,000 sebagaimana mengikut syarat dalam surat tawaran bantuan bertarikh 16 Jun 2009 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Mohd Samsuri juga didakwa gagal menguruskan dan mengawasi urusan penggunaan wang bantuan koperasi itu di mana penggunaannya tidak mendapat kelulusan mesyuarat Lembaga Koperasi.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di No: 42a, Jalan Bendahara 10/7, Taman Bendahara, Kuala Selangor antara 16 Jun 2009 sehingga 26 Ogos 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Koperasi 1993 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 jika sabit kesalahan.
Selain itu, Mohd Samsuri juga didakwa gagal mendedahkan kepentingan beliau dalam Syarikat Dargo Enterprise sedangkan syarikat itu telah dilantik sebagai pengeluar modal permulaan dalam projek cili yang dijalankan oleh Koperasi Bina Jaya Kuala Selangor.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada 7 Feb 2009.
Bagi kesalahan itu, Mohd Samsuri didakwa mengikut Seksyen 44B(1) Akta Koperasi dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum enam tahun, jika sabit kesalahan.
Koperasi Bina Jaya Kuala Selangor yang ditubuhkan pada 2008 telah ditutup selepas siasatan dijalankan oleh SKM.
Hakim Anita membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 serta seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan melantik peguam dan penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SKM Kamarulzaman Mohamad Buhari. - Bernama

Tebang pokok: Syarikat diarah bayar pampasan

Kosmo! Online - Terkini:


08/12/2011 6:16pm

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah meminta syarikat yang membina papan tanda iklan di hadapan pusat membeli-belah Ampang Point membayar pampasan kerana telah menebang pokok berusia lebih 30 tahun bagi mendirikan papan tanda itu.
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata syarikat itu didapati menebang pokok berkenaan kira-kira 11 pagi tadi tanpa pengetahuan MPAJ.
Menurutnya, syarikat iklan itu memohon permit untuk membuat papan tanda iklan pada September lepas tetapi MPAJ tidak pula memberi kebenaran untuk menebang pokok.
"Kita terima panggilan dari kejiranan kawasan itu tentang mengapa MPAJ menebang pokok di tepi jalan begitu sahaja. Selepas itu baru kita sedar bahawa syarikat itu melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Bernama.
Norhayati bekata MPAJ kemudiannya meminta syarikat terbabit supaya menghentikan kerja-kerja pembinaan papan tanda itu dan memberi notis untuk menuntut ganti rugi.
Beliau berkata syarikat itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen Akta Kerajaan Tempatan 1976 - Undang-undang Kecil Taman MPAJ 2005. - Bernama

Awas sindiket menyamar pegawai bank: Polis

Berita Harian Online | Awas sindiket menyamar pegawai bank: Polis:

NIBONG TEBAL: Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan satu sindiket yang akan menghubungi mereka dengan menyamar sebagai pagawai bank selepas 27 kes membabitkan kerugian RM551,954.34 dilaporkan.

Ketua Polis Daerah SPS, Supt Shafien Mamat, berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menghubungi mangsa terutama pemegang kad kredit dan memaklumkan hutang perlu dilunaskan segera agar tidak dikenakan tindakan mahkamah.
"Anggota sindiket berkenaan akan menyamar sebagai pegawai bank dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran kad kredit yang tertunggak jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Shafien berkata, mangsa yang takut akan mengikut semua arahan anggota sindiket sehingga menyebabkan wang dipindahkan dari akaun mereka ke akaun sindiket.

Beliau berkatam siasatan mendapati, akaun sindiket dimiliki warga tempatan tetapi usaha mengesan tidak dapat dilakukan kerana kumulan itu menggunakan alamat palsu. - BERNAMA

Kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang

Berita Harian Online | Kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang:

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, dipercayai warga Indonesia, ditemui mati lemas dalam kolam renang Kondominium Puteri yang terletak berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman, berkata mayat mangsa ditemui orang awam pada kira-kira 1 tengah hari.
“Mayat kanak-kanak itu kemudiannya dibawa polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai kejadian daripada pihak keluarga mangsa kerana mereka masih trauma dengan kejadian itu.

"Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut," katanya.

Sementara itu, jurucakap bilik mayat HKL ketika dihubungi berkata kanak-kanak itu dikenali sebagai Brenda Patricia.

Ibu bapa mangsa dipercayai warga Indonesia yang bertugas di kedutaan negara mereka di sini. - BERNAMA

Banjir kilat landa UIC

Berita Harian Online | Banjir kilat landa UIC:

SHAH ALAM: Berbelas kenderaan di tempat letak kereta di UiTM International Centre (UIC) dimasuki air berikutan banjir kilat berhampiran pintu masuk belakang Universiti Teknologi Mara (UiTM), tengah hari tadi.

Kawasan itu dinaiki air sehingga paras lutut selepas hujan lebat tanpa henti lebih dua jam, bermula 11 pagi tadi.
Seorang pekerja di kawasan itu berkata, air mula naik kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi dan mencecah paras lutut setengah jam kemudian sebelum mula surut jam 2.30 petang.
"Saya lihat ramai orang mengalihkan kenderaan mereka ke kawasan lebih tinggi. Mujur banjir ini tidak memasuki kawasan dalam bangunan," katanya.

Tiga beradik perempuan tagih, edar dadah ditahan

Berita Harian Online | Tiga beradik perempuan tagih, edar dadah ditahan:

KAJANG: Tiga adik beradik perempuan yang menagih dan mengedar dadah secara kecil-kecilan ditahan polis di sebuah rumah di Hulu Langat semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab, berkata mereka ditahan di sebuah rumah yang mereka sewa kira-kira 2.30 pagi dan polis turut merampas 40 gram dadah dipercayai heroin di situ.
Turut ditahan bersama tiga beradik yang berusia 22, 26 dan 30 tahun itu ialah rakan lelaki mereka yang berusia 47 tahun.
"Hasil siasatan mendapati tiga beradik itu menagih dadah sejak lima tahun lalu dengan dua daripada mereka mempunyai tiga rekod menagih dadah," katanya.

Abdul Rashid berkata, mereka adalah pengedar kecil-kecilan bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah bagi kegunaan mereka sendiri.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek yag ditahan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat kira-kira 11 pagi pada hari yang sama dan menahan seorang lagi lelaki.

"Suspek berusia 39 tahun itu dipercayai menjadi sumber dadah kepada tiga beradik itu. Pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan 647 gram dadah heroin dan 46 gram syabu serta wang tunai RM39,500 yang dipercayai hasil daripada penjualan dadah," katanya.
Beliau berkata, lelaki tersebut yang juga positif dadah mempunyai empat rekod jenayah lampau dan aktif membekal dadah sejak tiga bulan lalu.

Susulan penangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun yang juga pengedar dadah di sebuah gerai di Bukit Dukung ketika dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Dalam serbuan pada 5.30 petang itu, polis menemui 30 biji pil eramin 5, 13 gram syabu dan 16 gram heroin yang disorok di dalam seluar suspek dengan cara mengikatnya di betis.

"Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Bandar Sri Putra, Kajang dan menemui heroin seberat 277.4 gram dan seorang lelaki yang positif dadah," katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan semua dadah dari keenam-enam suspek dianggarkan bernilai lebih dari RM100,000 mengikut harga pasaran.

Semua suspek kini direman selama seminggu bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA

Pesakit mental didakwa ugut warga emas

Kosmo! Online - Terkini:


08/12/2011 5:00pm

KUALA LUMPUR – Seorang pesakit mental mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mengugut seorang wanita warga emas dengan menggunakan sebilah pisau, Rabu lepas.
Mohd Norsalisham Mohd Salim, 34, didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Noriah Ngah Ramli, 61, dengan perkataan “Aku bunuh kau sial” di Blok A-4-104 Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, Sentul di sini pada pukul 6 petang, 30 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman memohon mahkamah supaya menghantar Mohd Norsalisham ke pusat psikiatri di Tanjung Rambutan, Perak, memandangkan tertuduh sedang mendapatkan rawatan sebagai pesakit mental.
Majistret Siti Shakirah Mokhtaruddin membenarkan permohonan itu dan menetapkan 9 Jan depan untuk sebutan kes. - Bernama

Wanita parah terjun dari tingkat tujuh elak polis

Kosmo! Online - Terkini:

08/12/2011 6:19pm

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Seorang wanita cedera parah selepas terjun dari sebuah unit di tingkat tujuh Projek Perumahan Rakyat Permai, Cheras di sini semalam, ketika mengelak serbuan polis.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, wanita berusia 25 tahun itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan keadaannya dilapor stabil.
"Sebelum itu, satu pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras mendapat maklumat mengenai jenayah dadah di rumah tersebut dan terus menyerbu rumah mereka kira-kira pukul 11.30 malam.
"Kita mengesan dua lelaki dan seorang wanita di dalam rumah itu, namun selepas pintu dipecahkan kita hanya menemui dua lelaki berumur 20-an dan kelibat wanita itu gagal dikesan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata polis kemudian menemui wanita itu terbaring di bahagian bawah blok bangunan.
Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek merupakan penagih dadah dan difahamkan suspek wanita itu mempunyai empat rekod jenayah lampau. - Bernama

Tiga pasang kekasih dicekup

Tiga pasang kekasih dicekup - Jenayah - Sinar Harian:

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 8, 2011
KUALA LUMPUR - Tiga pasang merpati sejoli dicekup dalam operasi cegah maksiat yang dilakukan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sekitar Ampang dan Pandan Indah di sini, awal pagi semalam.

Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, ketika ser­buan kira-kira 2.30 pagi di Ampang, seorang pekerja wanita di sebuah hotel di ibu negara dicekup bersama pasangannya dalam sebuah pangsapuri.

Menurutnya, ketika mereka tiba, wanita tersebut memakai baju tanpa lengan dan berseluar, sementara pasangan lelakinya lengkap berpakaian.

“Wanita itu cuba bersembunyi di belakang pintu bilik. Selepas disoal penguat kuasa Jais, teman lelaki wanita itu memberi alasan tumpang tidur di rumah tersebut,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, operasi ke atas sebuah kediaman di Pandan Indah dibuat hasil maklumat orang ramai.

“Dua pasang kekasih berusia lingkungan 25 tahun dicekup di dalam bilik berasingan di rumah itu,” katanya.

Ahli perniagaan disamun ketika isi angin tayar kereta

Ahli perniagaan disamun ketika isi angin tayar kereta - Melaka & NS - Sinar Harian:


Oleh : SH MNS/SYAMILAH ZULKIFLI
Tarikh : December 8, 2011
SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan menjadi mangsa samun bersenjata ketika mengisi angin tayar keretanya di sebuah stesen minyak di Seremban 2, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.08 itu, mangsa kerugian RM100,000 apabila wang yang disimpan dalam beg dan diletakkan di bahagian depan tempat duduk penumpang dilarikan penjenayah terbabit.
Sebelum kejadian malang itu, mangsa mengeluarkan wang di sebuah bank di Rasah dan mahu pulang ke rumahnya selepas singgah minum di sebuah restoran berhampiran stesen minyak terbabit.

Tembelang edar dadah dalam teksi terbongkar

Tembelang edar dadah dalam teksi terbongkar - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : SH JENAYAH/NORAIZURA AHMAD
Tarikh : December 8, 2011
KUALA LUMPUR – Tembelang dua lelaki yang menyamar sebagai pemandu dan penumpang teksi terbongkar selepas mereka ditahan polis kerana dipercayai membawa dadah dalam kenderaan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, dengan penangkapan dua suspek itu, polis telah menumpaskan sindiket yang aktif menggunakan teksi untuk mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.
Amar Singh berkata, ketika di Jalan Imbi kira-kira 12.45 tengah hari kelmarin, dua lelaki tersebut berlagak seperti pemandu dan penumpang teksi tetapi dilihat sangat mencurigakan lalu polis menahan mereka.
Menurutnya, selepas memeriksa teksi tersebut, polis menjumpai dua paket plastik disyaki dadah jenis syabu seberat 1.6 kilogram di bahagian kerusi penumpang.
“Kedua-dua suspek dipercayai ada kaitan kerana pernah bekerja di tempat sama, sebagai pembantu tadbir am di salah sebuah universiti tempatan.
“Suspek berusia 28 dan 24 tahun kini direman hingga 13 Disember ini untuk siasatan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Suami isteri ditahan kali ketiga kerana menyamun dan pecah rumah

Suami isteri ditahan kali ketiga kerana menyamun dan pecah rumah - Jenayah - Sinar Harian:

Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 8, 2011
KAJANG - Sepasang suami isteri ditahan buat kali ketiga Ahad lalu kerana masih tidak serik melakukan kerja menyamun dan pecah rumah.

Pasangan penjual burger ini yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di sebuah rumah di Sungai Long di sini bersama-sama sejumlah barangan elektronik
dan gajet yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Antara barangan tersebut ialah komputer riba, telefon bimbit, perakam video, kamera, Ipod dan Ipad.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata dengan penahanan itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes samun
dan pecah rumah di sekitar sini, Putrajaya dan kawasan lain.

Beliau berkata dipercayai pasangan tersebut turut menyamar sebagai anggota polis semasa menyamun mangsa kerana turut ditemui pada mereka ialah sepasang
gari.

Modus operandi yang digunakan oleh pasangan itu ialah dengan menyasar mangsa di pameran komputer, mencuri barangan di dalam kereta dan memecah masuk rumah, katanya.

Dalam satu kes berasingan Ahad lalu, Abdul Rashid berkata dua lelaki yang dipercayai anggota kumpulan mencuri motosikal ditahan dan ditemui beberapa komponen dan rangka motosikal yang dianggarkan bernilai RM15,000 daripada mereka.

Beliau berkata pemandu lori yang berusia 48 tahun dan remaja yang berusia 17 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar sini sejak setahun lepas.

Tiga kes kecurian motosikal dapat diselesai dengan penahanan mereka, katanya.

KDRM rampas dadah RM34 juta

Berita Harian Online | KDRM rampas dadah RM34 juta:

SEPANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, tahun ini.

Pengarah KDRM KLIA, Datuk M Govinden, berkata rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin 5 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320).

Dalam tempoh sama, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone dan Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Dalam kes terbaru, KDRM KLIA menahan empat lelaki dan seorang warga asing berusia 24 hingga 46 tahun kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 16.62 kg dianggarkan bernilai RM4.15 juta menerusi KLIA dan LCCT, sejak 20 November lalu hingga kelmarin.

Pada 3 Disember lalu, suspek keempat, wanita warga Azerbaijan berusia 30 tahun yang menaiki pesawat dari Istanbul ke KLIA ditahan kerana disyaki menyeludup syabu seberat 2.95kg (bernilai RM737,500) yang disembunyikan di dalam bingkai bagasi.

Dalam kes kelmarin pula, kita menahan seorang lelaki warga Sweden berusia 40 tahun di KLIA kerana menyeludup syabu seberat 6.15kg (bernilai RM1.5 juta) yang disembunyikan di ruang khas di bawah bagasi pakaian, katanya di sini, semalam.

Sebelum itu, KDRM merampas syabu seberat 0.7kg bernilai RM175,000 selepas mengimbas bagasi dibawa seorang lelaki warga Sierra Leone berusia 24 tahun di Terminal Utama, KLIA.
Pada 25 November lalu, syabu seberat 6.82kg dianggarkan bernilai RM1.7 juta yang disembunyi dalam dua bagasi dibawa dua lelaki warga India berusia 25 dan 46 tahun yang menaiki penerbangan dari New Dehli ke LCCT dirampas.

Dua lelaki warga India dan seorang Siarre Leone itu sudah didakwa di Mahkamah Sepang mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Wanita warga Azerbaijan yang ditahan Sabtu lalu dan lelaki Sweden ditahan semalam (kelmarin) masih ditahan reman untuk siasatan selesai, katanya.

Perubahan fizikal anak rungkai kejadian rogol

Perubahan fizikal anak rungkai kejadian rogol - Selangor & KL - Sinar Harian:

Oleh : SH SELANGOR & KL
Tarikh : December 7, 2011
KAJANG – Perubahan yang berlaku kepada fizikal anaknya mendorong seorang ibu membawa anak perempuannya berusia 16 tahun membuat pemeriksaan kesihatan dan remaja itu disahkan hamil tujuh bulan.
Tersentak dengan apa yang diberitahu kepadanya itu, ibu berkenaan kemudiannya mendesak anaknya supaya mendedahkan individu yang bertanggungjawab sebelum membuat laporan polis pada 3 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pengadu berusia 41 tahun iaitu ibu kepada gadis berkenaan membuat laporan polis mengenai anaknya dirogol teman lelakinya awal tahun ini.
“Berdasarkan laporan yang dibuat, kejadian berlaku di Kajang dan pengadu memaklumkan anaknya dirogol teman lelaki berusia 16 tahun yang juga bersekolah di tempat sama setelah melihat perubahan ketara kepada fizikal anaknya.
“Ibu gadis itu kemudiannya membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan doktor mengesahkan anaknya mengandung tujuh bulan”, katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Tebuk dinding curi barang kemas

Tebuk dinding curi barang kemas - Selangor & KL - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 8, 2011
Tebuk dinding curi barang kemas
KLANG - Sekumpulan perompak yang kepingin untuk melarikan barangan kemas yang dipercayai bernilai jutaan ringgit nekad menebuk dinding dua buah kedai dengan menggunakan gerudi untuk memasuki sebuah kedai emas di Jalan Pos Baru di sini, awal pagi semalam.
Kejadian itu hanya disedari pemilik premis yang datang untuk memulakan perniagaan seperti kebiasaan kira-kira jam 10 pagi.
Ketika membuka pintu utama kedai itu, pemilik tidak mengesyaki apa-apa sebalik terkejut selepas mendapati pintu bilik yang menempatkan dua peti berisi barangan kemas terkunci dari dalam.
Tanpa membuang masa, pemilik yang berketurunan Cina itu bertindak memecahkan pintu bilik itu bersama beberapa pekerjanya dan akhirnya terkejut selepas mendapati satu daripada dua peti kebal yang diperbuat daripada simen konkrit telah berlubang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Deputi Superintendan Beh Eng Lai berkata, pihaknya percaya perbuatan itu dilakukan perompak di antara jam 12 tengah malam hingga jam 5 pagi selepas semua kedai berdekatan menghentikan operasi perniagaan pada hari berkenaan.
“Kita yakin ia dilakukan lebih daripada dua perompak berdasarkan tindakan nekad mereka yang sanggup memecahkan dinding serta membawa pelbagai peralatan.
“Beberapa peralatan ditemui dalam kedai emas tersebut adalah dua batang kuku besi, dua unit lampu suluh dan seunit bateri kereta yang disyaki sebagai alat untuk memecahkan dinding dan peti,” katanya.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memecahkan pintu belakang sebuah kedai kain yang kosong selain menebuk lubang dinding sebelum memasuki sebuah kedai telekomunikasi yang terletak bersebelahan kedai emas itu.
“Sebaik berada dalam kedai telekomunikasi, penjenayah dipercayai telah menebuk sekali lagi dinding seterusnya masuk ke dalam sebuah bilik kedai emas yang menempatkan peti kebal.
“Kumpulan perompak juga turut memecah pintu besi sebelum menebuk satu lubang daripada dua peti kebal. Lubang yang ditebuk anggaran keluasan tangan itu dipercayai bagi memudahkan mereka menyeluk tangan ke dalam peti bagi mengeluarkan barangan kemas yang tersimpan di situ,” katanya kepada media di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebaik berjaya mendapat habuan kesemua suspek dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang sebuah kedai yang kosong.
Hingga kini, katanya, pihak polis sedang mengumpul bukti bagi memburu suspek yang terlibat.
“Bagaimanapun jumlah kerugian setakat ini masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah atau premis dan mencuri,” katanya

Pensyarah terselamat

myMetro | Pensyarah terselamat:

KUALA LIPIS: Nyawa seorang pensyarah wanita ternyata masih panjang apabila dia nyaris rentung apabila kereta Proton Persona dipandunya terbakar dan meletup beberapa minit selepas bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 13, Jalan Lipis-Benta, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, mangsa, Nur Syahila Muhamad Salleh, 26, dari Serdang, Selangor, cedera di kepala dan kini koma di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan ke Kolej Komuniti di sini, untuk memulakan tugasnya.
Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kereta dipandu mangsa terbabas ke memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

KDN siasat buku Tok Kenali

myMetro | KDN siasat buku Tok Kenali:

KUALA LUMPUR: Tindakan serius boleh diambil ke atas mana-mana penerbit dan pencetak yang mengeluarkan bahan bacaan mengelirukan termasuk mengandungi fakta yang jelas bertentangan dengan perkara sebenar.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh mengenai buku yang dilarang dan tindakan hanya boleh diputuskan selepas siasatan selesai.

“Merujuk kepada buku itu (bertajuk ‘Mengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan’) saya belum menerima laporan lengkap, namun kita akan laksana siasatan menyeluruh sebelum mengambil tindakan serius.
“Mana-mana penerbitan terlarang di negara ini tertakluk kepada akta dan boleh disabitkan atas pelbagai kesalahan, jadi kita perlu menyiasat dulu.

“Saya pasti bahagian bertanggungjawab sedang menyediakan laporan mereka dan sebab kes ini di Johor, maka ia akan diselesaikan di peringkat sana sebelum di serahkan di Putrajaya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi di sini semalam, bagi mengulas laporan penjualan buku `Mengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan' berikutan mengandungi fahaman tidak betul dan mengelirukan kerana menyamakan Allah dengan makhluk lain.
Akhbar Selasa lalu turut melaporkan buku setebal 572 muka surat itu menyelitkan penggunaan hadis yang tidak diiktiraf selain bercerita mengenai kisah seseorang individu untuk mengenal dirinya sendiri serta Allah sebagai pencipta alam.

Buku ditulis Mohd Yusof Che Wook itu dipercayai mula dicetak untuk jualan Februari lalu, dan penulisnya itu mendakwa dirinya sebagai anak murid ulama terkenal di Kelantan. Sejak dicetak, buku berkenaan tidak dipasarkan di kedai buku, tetapi dijual melalui laman web yang disediakan dan dihantar kepada alamat pembeli.
Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil, Abdul Rahim enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, akan memutuskan bentuk hukuman terbabit berdasarkan hasil siasatan.

“Bukan boleh hukum atau gantung (permit terbitan) begitu saja....kena rujuk siasatan dulu,” katanya.

Sementara itu, laman web KDN turut menyiarkan Senarai Penerbitan Larangan yang dihalang daripada diterbitkan atau dijual.

Di kubur pun sanggup mencuri

myMetro | Di kubur pun sanggup mencuri:

ONDON: Ini gambar mengejutkan yang menunjukkan seorang wanita mencuri di kubur seorang kanak-kanak.
Keluarga kanak-kanak berusia 11 tahun itu yang mati dilanggar sebuah kereta pada 1980, memasang kamera litar tertutup di tanah perkuburan di Barking, Essex, selepas barangan yang mereka letakkan di kubur itu dicuri berulang kali.

Mereka terkejut apabila rakaman kamera berkenaan menunjukkan seorang wanita mengambil pasu bunga dari kubur kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam beg tangannya.
Steve Rose, sepupu si mati, memasang kamera berkenaan di atas sebatang pokok berhampiran kubur kanak-kanak itu selepas barangan perhiasan dan bunga yang diletakkan keluarga itu hilang setiap dua minggu sejak 18 bulan lalu.

Rose, 37, berkata: “Saya baru berusia enam tahun apabila dia mati. Ibu saudara saya yang mati dua tahun lalu tidak pernah melupakan kejadian itu. “Kerana itu, kami begitu kecewa dengan kejadian curi di kubur sepupu saya.” Keluarga berkenaan sebelum ini merayu pencuri menghentikan perbuatan mereka tetapi rayuan itu tidak diendahkan.

“Kami meninggalkan nota merayu mereka berhenti mencuri, tetapi mereka tidak mempedulikannya. Mereka tidak malu,” kata Rose, pemandu teksi di London.
Sementara itu, jurucakap Polis London berkata: “Pihak kami mahukan maklumat mengenai identiti wanita dalam gambar itu. ‘Dia dikehendaki untuk disoalsiasat oleh polis berhubung kecurian bunga yang ditinggalkan di kawasan kubur di Rippleside.

“Polis memahami perasaan keluarga yang berdepan dengan kecurian seumpama itu.” Menurut Rose, kakitangan tanah perkuburan itu membenarkannya memasang kamera berkenaan.
Majlis Tempatan Barking Dan Dagenham berkata, kecurian di tanah perkuburan jarang berlaku dan berikrar untuk bekerjasama dengan polis.

Bagaimanapun, jurucakapnya enggan mengulas mengenai wanita yang gambarnya dirakam dalam kamera Rose. - Agensi

Polis Indonesia dituduh amal sikap diskriminasi dalam kes rasuah

myMetro | Polis Indonesia dituduh amal sikap diskriminasi dalam kes rasuah:

JAKARTA : Pemerhati Polis Indonesia (IPW) mengkritik pihak polis kerana bersikap diskriminasi ketika mengendalikan kes besar rasuah, menyebabkan kira-kira 20 kes itu, tidak diselesaikan.
“Data IPW menunjukkan, sejak lima tahun kebelakangan ini, kira-kira 20 kes besar melibatkan rasuah yang dikendalikan oleh polis, dibiarkan tidak diselesaikan,” kata Pengerusi IPW, Neta Pane, semalam.
“Kes berkenaan termasuklah sebuah projek perolehan peralatan komunikasi bagi polis pada 2005, yang didakwa mengakibatkan kerugian kerajaan sebanyak Rp250 bilion (RM8.44 juta).

“Seorang ahli perniagaan, Henry Siahaan, telah ditahan selama dua bulan kerana disyaki terlibat dalam kes itu, tetapi kes itu seperti sudah hilang,” kata Neta.

Dia turut menyebut kes projek perolehan untuk peralatan kesihatan, yang diserahkan oleh Suruhanjaya Pembanteras Rasuah (KPK) kepada pihak polis.

“Sudah dua tahun tetapi masih belum ada tanda kes itu akan dibawa ke mahkamah,” kata Neta.

Tambahnya lagi, sikap pihak polis yang berlengah dan diskriminasi dalam mengendalikan kes rasuah menyebabkan rakyat sukar untuk percaya dan bekerjasama dalam usaha menghapuskan rasuah. - Agensi

Biar diri dimakan piranha

myMetro | Biar diri dimakan piranha:
LA PAZ: Seorang remaja dipercayai membunuh diri selepas terjun ke dalam sungai yang penuh dengan piranha, ikan yang memakan daging.
Polis berkata, nelayan tempatan berusia 18 tahun itu dimakan hidup-hidup selepas terjun dari kanunya ke dalam sungai di timur laut Bolivia, minggu lalu.

Polis tempatan, Daniel Cayaya berkata, remaja itu dipercayai mabuk ketika itu.
Kejadian berlaku di Rosario del Yata, 640 kilometer ke utara La Paz, ibu negara Bolivia.

Kejadian itu hanya diketahui semalam selepas ia dilaporkan oleh sebuah stesen radio tempatan.

Menurut Cayaya, pihaknya mengesyaki suspek membunuh diri kerana dia adalah nelayan di wilayah berkenaan yang tahu mengenai Sungai Yata dan hidupan di dalam sungai itu. - Agensi

Ketua mafia sembunyi bawah rumah ditangkap

myMetro | Ketua mafia sembunyi bawah rumah ditangkap:

ROME: Polis Itali semalam menangkap ketua paling kanan kumpulan mafia Camorra selepas menggali tempat persembunyiannya di bawah tanah berhampiran Naples, semalam.
Ia sekali gus mengakhiri gerakan memburunya selama 16 tahun.
Michele Zagaria, 53, yang dianggap pemimpin suku Casalesi, sebelum ini dijatuhi beberapa hukuman penjara seumur hidup dalam perbicaraan tanpa kehadirannya kerana terlibat dalam pembunuhan, memeras ugut dan penyeludupan dadah.

Zagaria yang dikenali sebagai ‘Muka Herot’ kerana ciri wajahnya yang tidak sama, bersembunyi dalam kubu yang mempunyai siling tebal diperbuat daripada konkrit di bawah sebuah rumah di bandar Casapesenna, 30 kilometer ke utara Naples.

“Anda menang. Negara menang,” Zagaria dilapor berkata kepada penyiasat antimafia selepas dia ditangkap.

Ketua pendakwa raya antimafia Naples, Catello Maresca memberitahu Zagaria ketika menangkapnya: “Semua sudah berakhir.”

Zagaria adalah antara 11 penjenayah yang paling dikehendaki dan paling berbahaya di Itali, mengikut senarai yang disediakan Kementerian Dalam Negeri negara itu.

Waran tangkap peringkat antarabangsa dikeluarkan terhadapnya sejak 2000.

“Penangkapan ketua Camorra, Michele Zagaria adalah kejayaan paling penting yang akan memberikan tamparan hebat kepada suku Casalesi,” kata Laura Garavini, anggota Parlimen dari Parti Demokratik.

Pendakwa raya Itali kelmarin menangkap 47 orang dalam operasi yang mensasarkan suku Casalesi, termasuk seorang anggota Parlimen. - AFP