Search This Blog

Wednesday, December 7, 2011

Pelbagai dadah bernilai RM34 juta dirampas di KLIA tahun ini


07/12/2011 4:44pm

SEPANG – Pelbagai jenis dadah bernilai RM34 juta dirampas di kawasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT), tahun ini.
Pengarah Kastam KLIA Datuk M.Govinden berkata ia melibatkan 39 kes dengan jumlah 42 tangkapan pelbagai warganegara asing termasuk Malaysia.
"Ini adalah jumlah (statistik) bermula Januari sehingga ke hari ini, mereka yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan menggunakan pelbagai taktik dan helah.
"Bagaimanapun dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang kami ada kesemuanya berjaya diselesaikan” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi memperkuatkan lagi penguatkuasaan di kawasan KLIA dan LCCT, jabatan kastam akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa lain seperti polis.
Govinden berkata kastam juga akan sentiasa menambah anggotanya dari semasa ke semasa untuk bertugas di kawasan KLIA dan LCCT bagi mengekang penyeludupan dadah.
Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh 16 hari bermula 20 Nov lalu, Kastam telah merampas 16.62 kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM4.15 juta dan dalam tempoh itu juga lima warga asing ditahan bagi membantu siasatan. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini:

Sindiket pecah rumah, curi kenderaan dilumpuhkan


07/12/2011 8:06pm

KUALA LUMPUR - Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pecah rumah dan mencuri kenderaan dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan termasuk dalangnya dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang yang bermula pada 28 November hingga 2 Disember lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dengan penangkapan itu, polis percaya sekurang-kurangnya 20 kes jenayah pecah rumah dan samun kenderaan di sekitar Bangsar dan Travers dapat diselesaikan.
"Sindiket ini turut dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah milik seorang pegawai polis Bukit Aman yang berpangkat Inspektor pada 10 Jun lepas di mana sebuah televisyen, barangan kemas dan sebuah kereta Toyota Altis disamun.
"Hasil siasatan dan intipan yang dijalankan, pada 28 November kira-kira pukul 8.30 malam polis menahan seorang lelaki tempatan yang berusia 36 tahun di Kampung Baru, Semenyih dan menemui kembali Toyota Altis yang disamun itu,” katanya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini:

Agen rekrut keldai dadah ditahan bersama lelaki Nigeria


07/12/2011 8:15pm

KUALA LUMPUR - Wanita tempatan yang ditahan bersama empat lelaki Nigeria dalam operasi membanteras sindiket pengedaran dadah di Puchong malam tadi dikenalpasti sebagai agen yang merekrut wanita tempatan untuk dijadikan keldai dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd. Noor Rashid Ibrahim berkata, wanita tempatan berumur 21 tahun itu dikenalpasti bersekongkol dengan empat lelaki Nigeria terbabit dalam kegiatan mereka untuk menyeludup dadah jenis kokain ke luar negara.
"Mereka ditahan pukul 8.45 malam tadi di sebuah pangsapuri di Bandar Kinrara, Puchong bersama-sama 1.76 kg kokain bernilai RM500,000. Wanita terbabit pula dikenal pasti sebagai agen merekrut wanita tempatan untuk membawa dadah itu ke luar (negara),” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, dadah itu ditemui tersorok dalam ruangan khas pada sebuah beg yang telah diubah suai, dipercayai untuk diseludup ke luar negara oleh kurier yang telah direkrut sindiket berkenaan. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini:

Dua remaja perempuan maut motosikal terbabas dalam tali air

Utusan Malaysia Online - Terkini:


07/12/2011 6:01pm

KUBANG PASU 7 Dis. – Kegembiraan dua rakan karib bertemu selepas tiga minggu berpisah berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka maut setelah motosikal dinaiki terbabas dalam tali air di Kampung Stesen Keretapi Tunjang dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh sebatang jambatan besi di tali air berkenaan.
Mangsa dikatakan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian leher dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat Wirda Izwaney Daud, 13, ditemui masih berpaut pada motosikal yang ditungganginya di bawah jambatan itu sementara mayat rakannya, Amalina Adam, 14, ditemui terapung kira-kira 20 meter dari lokasi tersebut. – Utusan

Hati-hati produk tiruan


Oleh : SH UTARA/ SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
Tarikh : December 7, 2011
bsy-2
GEORGETOWN - Orang ramai dinasihati berhati-hati dengan produk tiruan menggunakan jenama BSY yang kini dipercayai dijual di kedai ubat seluruh negara.
Pengurus Pemasaran BSY, T J Ho berkata, BSY adalah produk berasaskan kesihatan keluaran tempatan di bawah syarikat Biotech BSY Sdn Bhd yang beribupejabat di Jelapang, Ipoh.
Menurutnya, produk BSY dilancarkan November tahun lalu dengan tujuh produk kesihatan bagi meningkatkan imunisasi berasaskan buah mengkudu dan diproses secara tradisional. Bagaimanapun, hanya dua produk yang ditiru iaitu pati mengkudu untuk kesihatan dan penjagaan rambut.
“Awal tahun ini, kami dapati produk kami ditiru namun terdapat beberapa perbezaan iaitu pada kotak, bungkusan serta warna ubat. Ia juga tidak mempunyai pelekat hologram yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
“Orang ramai yang ingin membeli produk BSY perlu meneliti terlebih dahulu pelekat hologram serta nombor pendaftaran MAL09122045TC. Produk BSY mempunyai kelulusan KKM di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 Peraturan 8 (8) serta sijil halal,” katanya kepada media semalam.
Selain Pulau Pinang, produk tiruan banyak berada di pasaran Johor Bahru, Melaka dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, penjual produk tiruan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau tiga tahun penjara.
"Saya sudah melaporkan kepada Pejabat Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Farmasi) dan mereka mengambil tindakan terhadap penjual barang tiruan. Namun masih ada yang berdegil dan terus menjualnya,” katanya.
Hati-hati produk tiruan - Utara - Sinar Harian:

Warga Sweden ditahan seludup syabu di KLIA

Utusan Malaysia Online - Terkini:


07/12/2011 3:30pm

SEPANG 7 Dis. – Seorang lelaki warga Sweden yang merupakan pemilik sebuah pusat hiburan di Thailand ditahan kerana cuba menyeludup masuk sejumlah 6.15 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.5 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Suspek yang berusia lingkungan 40-an ditahan kerana didapati dalam keadaan mencurigakan sebaik sahaja tiba di KLIA menaiki sebuah pesawat dari Istanbul, Turki.
Hasil pemeriksaan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di KLIA, pihak penguat kuasa menemui dadah tersebut yang disorok dalam ruang tersembunyi di bahagian bawah bagasi dibawa suspek.
Pengarah JKDM di KLIA, Datuk M. Govinden, kejayaan pihak menahan penyeludup itu bertitik tolak daripada keraguan pegawainya setelah suspek dilihat mencurigakan kerana terlalu menunjukkan rasa hormat kepada pegawai JKDM yang bertugas. – Utusan

RM34 juta dadah pelbagai jenis dirampas di KLIA, LCCT

Berita Harian Online | RM34 juta dadah pelbagai jenis dirampas di KLIA, LCCT:

SEPANG: Pelbagai jenis dadah bernilai RM34 juta dirampas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT), tahun ini.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata ia membabitkan 39 kes dengan jumlah 42 tangkapan pelbagai warganegara asing termasuk Malaysia.
"Ini adalah statistik bermula Januari sehingga ke hari ini dan mereka kebanyakannya terdiri daripada warga asing yang cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan menggunakan pelbagai taktik dan helah.
"Bagaimanapun dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang ada ia berjaya ditumpaskan" katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memperkuatkan lagi penguatkuasaan di kawasan KLIA dan LCCT, Jabatan Kastam akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa lain seperti polis.

Govinden berkata, Kastam juga akan sentiasa menambah anggotanya dari semasa ke semasa untuk bertugas di KLIA dan LCCT bagi mengekang penyeludupan dadah.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh 16 hari bermula 20 November lalu, Kastam merampas 16.62 kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM4.15 juta dan dalam tempoh itu juga lima warga asing ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Pengawal didakwa cederakan lelaki dengan topi keledar

Kosmo! Online - Terkini:


07/12/2011 3:38pm

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencederakan seorang lelaki dengan menggunakan topi keledar Rabu lepas.
Wan Abd Razak Abu Salam, 30, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada Mohd Farid Muzamer, 26, di No. 18, 7 Eleven Jalan Megan Setapak, Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Sentul di sini pada 8.30 pagi, 30 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Azura Murah kemudiannya menetapkan 16 Jan depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Wan Abd Razak, sementara menunggu laporan perubatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman. - Bernama

Kes suri rumah disambar api ada unsur jenayah - Polis

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 6 Dis. - Polis menyiasat dua kemungkinan yang mengakibatkan seorang suri rumah maut dalam kebakaran di sebuah rumah di tingkat 15, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Wangsa Maju di sini semalam iaitu cubaan membunuh atau bunuh diri.
Sumber memberitahu, ia berikutan hasil pemeriksaan menemui dua tong berisi lima liter petrol di dalam rumah itu berdekatan mangsa.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat yang memadamkan kebakaran itu mendapati wujud unsur jenayah kerana menemui dua tong bahan api. Pihak berkenaan lalu menghubungi polis.
"Salah satu daripada tong itu dibuka penutupnya seperti digunakan," katanya ketika ditemuiUtusan Malaysia di sini, hari ini.
Sumber itu berkata, siasatan pihaknya setakat ini menolak kemungkinan kejadian berkenaan melibatkan individu lain kerana tiada kesan pecah masuk.
"Kita turut percaya kejadian itu berpunca daripada masalah rumah tangga dan pergaduhan suami isteri," katanya.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa, Tutty Suriyaty Abd. Manan, 34, melecur hampir 95 peratus badannya sebelum meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah hampir empat jam bertarung nyawa.
Suami mangsa, Raja Baser Ali Peer Bux, 56, pula melecur di bahagian kaki, tangan dan kepala serta kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), HKL dan dilaporkan agak kritikal.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi hari ini memberitahu, polis masih belum mendapatkan keterangan suami mangsa kerana masih belum sedarkan diri.
Bapa saudara Tutty Suriyaty ketika ditemui di PPR Desa Rejang hari ini menyangkal dakwaan kejadian itu berpunca masalah rumah tangga pasangan tersebut yang berkahwin lebih 10 tahun.
"Sepanjang saya mengenali arwah, anak saudara saya (Tutty Suriyaty) dan Raja Baser, mereka jarang bergaduh malah kami anggap mereka pasangan bahagia meskipun tidak mempunyai zuriat bersama.
"Semalam saya juga melawat Raja Baser, namun dia masih belum mengetahui kejadian sebenar," katanya.
Tambahnya, jenazah Tutty Suriyaty telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu, pukul 11 pagi ini.
"Kematian arwah amat memberi kesan kepada bapanya, Abd. Manan dan dia masih lagi terkejut dengan pemergian anak tunggalnya itu," katanya.

3 lelaki Myanmar hidup mewah

Utusan Malaysia Online - Jenayah:




Mohd. Zamberi Abdul Aziz menunjukkan sebahagian dokumen kad pengenalan diri yang dipalsukan oleh sindiket melibatkan tiga lelaki warga Myanmar di Putrajaya, semalam.



PUTRAJAYA 6 Dis. - Siapa sangka di sebalik kondomonium mewah di Jalan Kuching, ibu kota terselindung sindiket pemalsuan dokumen kad pengenalan diri berteknologi tinggi yang didalangi tiga lelaki warga Myanmar.
Kegiatan haram yang dipercayai bergerak sejak setahun lalu itu berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen dalam satu serbuan pada pukul 1.30 tengahari semalam setelah intipan selama dua bulan dilakukan.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Imigresen, Mohd. Zamberi Abdul Aziz berkata, jenis dokumen pengenalan diri yang dihasilkan antaranya pasport Malaysia, MyKad, kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan lesen memandu yang memakan masa tidak sampai 10 minit untuk disiapkan.
"Ketiga-tiga suspek termasuk seorang yang masih bebas dikatakan turut hidup mewah kerana mampu mengaut keuntungan melebihi RM30,000 sebulan atau RM36,000 hasil jualan pasport Malaysia pada harga RM18,000 setiap satu.
"Kegiatan itu turut membabitkan pemalsuan pasport negara lain (RM250 satu), visa Malaysia (RM500 setiap satu) dan MyKad (RM300 setiap satu). Kad UNHCR pula dijual RM30 setiap satu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohd. Zamberi berkata, pihaknya juga menemui 10 pasport Malaysia, 57 pasport Myanmar, 21 pasport Bangladesh, enam pasport Indonesia, dua pasport Thailand dan satu pasport India serta 30 Mykad asli dipercayai dipalsukan serta dibeli menerusi orang tengah.
"Kami juga menemui 93 cop Imigresen Malaysia dan Imigresen Myanmar palsu, 20 keping pelekat visa Malaysia palsu, 61 keping kad UNHCR dan pas lawatan kerja sementara (PLKS).
"Peralatan memprosesnya seperti kertas pelekat keselamatan, mesin pencetak, komputer dan empat telefon bimbit dipercayai milik suspek turut ditemui di lokasi A1-32-01 Sri Putramas 2," katanya.
Sehubungan itu, pihak Imigresen menahan kedua-dua lelaki warga Myanmar berusia 30-an itu dilokap Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 12(1)(f) Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
"Kami masih menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa mereka di mahkamah.
"Seorang lagi suspek yang juga dipercayai rakan mereka masih cuba dikesan identiti dan lokasi suspek ketiga bersembunyi serta hanya menunggu masa sesuai untuk menahannya," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah mendapatkan pasport asli Malaysia, MyKad dan kad UNHCR untuk dipalsukan.
"Selepas itu ia dijual kepada mangsanya yang terdiri daripada warga asing dengan harga daripada RM30 hingga RM18,000 bergantung kepada jenisnya," katanya.
Beliau mendapati sindiket berkenaan juga mampu meniru sehingga lebih 90 peratus ciri keselamatan yang ada pada setiap dokumen perjalanan dan pengenalan diri serta PLKS bagi mengelirukan pihak berkuasa.
"Justeru, kita mahu mengingatkan warga asing supaya mendapatkan PLKS yang sah dan tidak berurusan dengan orang tengah bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa sindiket tertentu," katanya.

Padah culik Awang Hitam: Anggota polis antara ditahan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 6 Dis. - Geram melihat rakannya menjadi mangsa penipuan sindiket 'black money', seorang anggota polis bertindak membelakangkan undang-undang dengan menculik seorang lelaki warga Afrika yang dipercayai memperdayakan rakannya itu di sebuah pusat beli-belah di Ampang dekat sini pada Sabtu lalu.
Tindakan terburu-buru itu bagaimanapun membawa padah apabila dia bersama beberapa lagi rakan yang terlibat dalam penculikan akhirnya dicekup polis keesokan harinya.
Sumber memberitahu, sebelum kejadian, rakan anggota polis terbabit menemuinya untuk mengadu bahawa dia menjadi mangsa penipuan sindiket 'black money' yang didalangi seorang pelajar lelaki warga Afrika.
Beliau berkata, rakan anggota polis itu meminta suspek membantunya dan tanpa berfikir panjang, anggota polis terbabit bersama beberapa rakan lain dikatakan menculik lelaki Afrika itu dan memaksanya menyerahkan wang sebanyak RM5,000.
"Mangsa diculik di sebuah pusat beli-belah di Ampang dan diugut supaya menyediakan wang sebanyak RM5,000 untuk diserahkan kepada mereka.
"Lelaki Afrika terbabit kemudian menghubungi rakan-rakan senegara yang didakwa juga pelajar kolej supaya mengumpul wang untuk membebaskannya," kata sumber ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, tanpa pengetahuan suspek, rakan mangsa bertindak melaporkan kejadian culik itu kepada polis menyebabkan suspek bersama tiga rakannya berjaya ditangkap.
Menurut sumber, anggota polis terbabit ditahan semasa berada di kedai milik rakannya yang menjadi mangsa penipuan 'black money' di Bandar Seri Permaisuri di sini, kelmarin.
Katanya, keempat-empat suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan kemungkinan terdapat saki-baki suspek yang masih bebas.

Anak mangsa ragut minta polis tangkap penjenayah

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:




WARI Musa (kanan) bersama anak-anaknya, Mohammad Hafizuddin, Nor Atikah membaca berita mengenai kematian isterinya, Siti Delima Aladdin ketika mengejar peragut di Kampung Keluat, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan, semalam.



BACHOK 6 Dis. - Anak kepada mangsa ragut yang terbunuh ketika cuba mengejar penjenayah itu di Kampung Keluat, Beris Kubur Besar dekat sini, kelmarin, menggesa polis menangkap penjenayah terbabit dan mengheretnya ke muka pengadilan.
Anak sulung Siti Delima Aladdin, Mohammad Hafizuddin Wari, 19, berkata, hanya itu sahaja cara yang dapat memberi pengajaran kepada golongan tersebut.
Dia turut berharap jenayah ragut diberi perhatian oleh pihak berkuasa termasuk meningkatkan operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah yang dikatakan punca berlakunya jenayah terbabit.
"Saya yakin kejadian ragut memang berpunca daripada penagihan dadah dan mereka sanggup melakukan apa sahaja (jenayah) untuk mendapat sumber kewangan.
"Saya difahamkan di kampung berdekatan memang banyak kes penagihan dadah dan ia pasti berkait rapat dengan kes jenayah termasuk ragut yang menyebabkan ibu saya maut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keluat, Beris Kubur Besar, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Siti Delima, 43, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik ketika cuba mengejar peragut yang melarikan dompetnya sejauh enam kilometer.
Anak lelakinya, Mohd. Hishammuddin, 11, yang membonceng motosikal itu bernasib baik apabila hanya cedera ringan.
Mohammad Hafizuddin, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak berkata, dia kini mengambil alih tanggungjawab ibunya untuk mengurus kehidupan adik-adik di rumah.
"Selama ini segala makan dan minum diuruskan oleh ibu. Saya akan melakukan kerja sedemikian setakat termampu dengan dibantu adik perempuan, Nor Asyikin. Namun yang pastinya, ia tidak sama dengan kasih seorang ibu.
"Tugasan yang lazim dilakukan oleh ibu adalah menghantar adik-adik ke sekolah dan kini sudah pasti menjadi tanggungjawab saya," katanya dalam nada sebak.
Mohammad Hafizuddin berkata, dia tidak akan melupakan kasih sayang arwah ibu mereka yang menjaga adik beradiknya dengan penuh kasih sayang serta memberi didikan agama.

Projek tebatan banjir tertangguh antara punca banjir di Kajang

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


GEORGE TOWN 6 Dis. — Penangguhan kerja-kerja projek fasa pertama tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang didapati antara punca berlakunya banjir kilat di bandar itu Jumaat lepas.
Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia, Hanapi Mohamad Noor berkata, projek tebatan banjir itu tertangguh ekoran kegagalan Majlis Perbandaran Kajang (MPK) memindahkan 21 premis kedai yang beroperasi di tebing sungai itu.
"Setahun yang lepas kita memulakan kerja-kerja membina tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang namun projek itu terpaksa dihentikan separuh jalan kerana terdapat 21 kedai sementara beroperasi di kawasan kira-kira 200 meter dari tapak projek di tebing sungai itu.
"Pihak Majlis Perbandaran telah dimaklumkan untuk memindahkan kedai-kedai yang terlibat. Namun sehingga kini tiada tindakan diambil untuk memindahkan kedai yang berstatus sementara itu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran persidangan antarabangsa mengenai pengurusan sungai.
Hanapi berkata, projek tebatan banjir setinggi 100 meter itu dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.
Beliau berkata, selain itu, perbuatan membuang sampah yang tidak terkawal ke dalam sungai berkenaan turut menyumbang kepada bencana banjir kilat itu.
"Masalah pembuangan sampah ke dalam sungai yang tidak terkawal menyebabkan laluan air tersumbat, tambahan pula kedudukan jambatan yang menjadi penghubung Sungai Jelok hanya setinggi kira-kira dua meter dari paras air. Air melimpah keluar sehingga turut menyebabkan kerosakan jambatan itu," katanya.
Hujan lebat selama dua jam dengan kadar purata 80mm di kawasan Kajang Jumaat lepas mengakibatkan banjir sedalam 1.5 meter di pusat bandar itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS, Datuk Ahmad Husaini Sulaiman berkata, jabatan itu telah bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir.
Antara persiapan yang dilakukan ialah menubuhkan sistem ramalan dan amaran banjir di lembangan sungai-sungai di kawasan rendah dan berisko banjir, katanya. — BERNAMA

Anak bekas pegawai PDRM dicekup

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 6 Dis. - Anak lelaki kepada seorang bekas pegawai kanan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan polis baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Suspek ditahan bersama seorang lelaki warga Iran di sebuah kondominium di ibu negara kira-kira tiga minggu lalu.
Menurut sumber, polis yang membuat pemeriksaan dalam kondominium terbabit turut merampas dadah jenis syabu dipercayai seberat empat kilogram.
"Polis yang mendapat maklumat daripada orang awam bertindak menyerbu kondominium terbabit dan menahan dua lelaki bersama syabu.
"Seorang daripada lelaki yang ditahan merupakan ahli perniagaan dan juga anak kepada bekas pegawai kanan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki terbabit menjalankan perniagaan sewa khemah di ibu negara, manakala rakannya berasal dari Iran.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes pegawai SPRM: VCD, CCTV jadi bahan bukti

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:
SEPANG 6 Dis. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, rakaman video cakera padat (VCD) dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dikaitkan dengan kejadian rompakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), merupakan antara bahan bukti yang bakal dikemukakan pada perbicaraan tiga pegawai risik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perbicaraan itu turut membabitkan seorang tertuduh utama (ahli perniagaan) yang menghadapi tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap tiga warganegara Singapura melibatkan wang tunai mencecah RM1 juta. Ketiga-tiganya pula didakwa atas dakwaan bersubahat.
Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu, kebanyakan dokumen penting itu termasuk rakaman VCD sudah dikemukakan kepada pihak pembelaan untuk rujukan manakala selebihnya akan diserahkan dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu ditangguhkan selama sebulan dan menetapkan 10 Januari depan bagi sebutan semula kes.
Awang Armadajaya yang hadir bersama Peter Gregory Cyril ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, sejumlah 50 dokumen termasuk rakaman CCTV sekitar tempat kejadian yang menjadi bahan bukti perbicaraan turut akan dibekalkan kepada pembelaan.
Hari ini ditetapkan untuk sebutan kali pertama kes keempat-empat tertuduh yang memohon dibicarakan atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap tiga warganegara Singapura melibatkan wang tunai mencecah RM1 juta.
Timbalan Penguasa, S. Vijayarao, 33, dan dua pegawai berpangkat Penolong Penguasa, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, serta Aziz Jaafar, 48, hadir di mahkamah manakala T. Sritharan, 32, (ahli perniagaan) tidak hadir kerana sakit.
Sejurus selepas kes disebut, ketiga-tiganya yang kini ditahan kerja dilihat bergegas keluar menerusi pintu di sebelah kiri mahkamah bagi mengelak sekumpulan jurugambar yang menunggu di luar.
Mereka yang dibebaskan dengan jaminan RM30,000 hadir ditemani beberapa rakan turut dilihat menggunakan jaket bagi menyembunyikan wajah masing-masing daripada dirakam oleh lensa kamera sambil menundukkan kepala ketika memasuki kereta.
Dalam kes itu, Sritharan (tertuduh utama) didakwa atas tiga tuduhan utama melakukan rompakan berkumpulan ke atas Hameed Saadik Batcha, Abd. Rahman Maricar dan Mohamed Zakkariya Mohamed Shatik masing-masing melibatkan wang tunai AS$$100,000 (RM320,000).
Dia turut didakwa atas tiga tuduhan utama menipu mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM. Tertuduh yang dibebaskan dengan jaminan RM70,000 didakwa melakukan rompakan berkumpulan dan menipu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, D. Nagarajan, 34.
Kejadian itu didakwa berlaku pada pukul 11.25 malam, 15 September lalu di tandas lelaki bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satelit KLIA.
Sritharan turut menghadapi tiga tuduhan pilihan menyamar sebagai pegawai SPRM. Tuduhan menipu dan menyamar didakwa dilakukan pada pukul 11 malam, hari yang sama di Bangunan Satelit KLIA.
Ketiga-tiga pegawai risik itu pula didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Sritharan dan Nagarajan melakukan rompakan berkumpulan, penipuan dan penyamaran serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap ketiga-tiga rakyat asing itu.

Perogol bersiri mengaku rogol

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'




JALALUDDIN Abdul Rahman menunjukkan buku Pelan Strategi Pencegahan Jenayah 2012 di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Kelantan, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A. MAJID



KOTA BHARU 6 Dis. - Suspek yang ditahan pada 25 November lalu kerana disyaki perogol bersiri mengaku terlibat dalam kesemua 26 kes rogol dan cubaan rogol di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya setakat ini dapat menyelesaikan 16 kes rogol dan 10 kes menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan.
Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan modus operandi sama ketika melakukan kesemua jenayah itu sejak 2009.
"Suspek yang kita buru selama ini telah tumpas. Memang tidak ada suspek lain. Suspek sendiri mengaku merogol gadis-gadis itu dan gadis-gadis itu juga mengenalinya.
"Kita masih melakukan siasatan terperinci meliputi cap jari, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keterangan-keterangan mangsa sebelum membolehkan suspek didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Ahad lalu, seorang lelaki dipercayai suspek kes rogol bersiri membabitkan 19 gadis dan beberapa kes cubaan merogol di negeri ini, berjaya ditahan ketika cuba merogol mangsa terbarunya di dalam sebuah asrama pekerja wanita.
Modus operandi yang digunakan adalah dengan menunggu mangsa berseorangan, mengacukan pisau dan mengikat mangsa sebelum merogol.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, pihaknya menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes curi kenderaan menerusi Ops Lejang di dua lokasi di Pasir Mas malam tadi.
"Dalam kes pertama, polis berjaya menahan dua suspek berusia 48 tahun dan 28 tahun di Tendong, Pasir Mas, pada pukul 10.30 malam ketika mereka meleraikan salah sebuah daripada dua kereta dalam kawasan semak," katanya.
Katanya, tangkapan kedua dibuat selepas pihak polis terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser ketika melalui Jalan Tendong-Pasir Mas yang disyaki kereta curi berdasarkan satu laporan dibuat di Selangor.
"Ketika kenderaan itu cuba dihampiri polis, suspek cuba melarikan diri menghala ke Jalan Bunut Susu-Gelang Mas. Apabila tiba di Kampung Kubang Palas, Tendong, kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan. Ia melanggar dua batang pokok dan merempuh sebuah rumah di tepi jalan.
"Salah seorang keluar dari sebelah penumpang dan melarikan diri ke dalam semak manakala seorang lagi cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap," katanya.
Tambahnya, hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek dalam dua kes terbabit mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Warga Australia diculik di selatan Filipina

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pasukan polis khas Filipina tiba di Pekan Ilip semalam untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamatkan Warren Rodwell yang dipercayai diculik kumpulan militan Islam. – Agensi


ZAMBOANGA 6 Dis. – Pihak keselamatan Filipina hari ini melancarkan operasi besar-besaran di kawasan pergunungan di selatan negara ini untuk mencari seorang warga Australia yang dipercayai diculik oleh kumpulan militan Islam.
Jurucakap polis, Felicisimo Khu berkata, mangsa culik, Warren Rodwell merupakan warga asing yang ke-10 diculik di selatan Filipina sepanjang tahun ini selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu rumahnya di pekan perlombongan Ipil, petang semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan di kawasan berbukit Ipil,” katanya.
Ketua polis tempatan, Leopoldo de Asis berkata, pihaknya bimbang mangsa yang berusia 56 tahun itu mungkin mengalami kecederaan selepas kesan darah ditemui dalam rumahnya.
“Kelonsong peluru dan kesan darah ditemui di rumahnya. Mungkin dia (Rodwell) bergelut dan seseorang melepaskan tembakan, namun kami tidak pasti siapa yang terkena tembakan,” katanya.
Pihak polis dan tentera tidak pasti kumpulan mana yang bertanggungjawab menculik Rodwell.
Jurucakap wilayah Mindanoa, Cris Llanos berkata, kumpulan Abu Sayyaf yang mempunyai hubungan dengan rangkaian al-Qaeda, disyaki terlibat dengan penculikan tersebut.
Kumpulan itu pernah dipersalahkan menculik seorang wanita Filipina yang berkahwin dengan lelaki Britain di Ipil pada September lalu.
Pihak tentera, bagaimanapun berjaya menyelamatkan wanita tersebut dua minggu kemudian di kubu kuat Abu Sayyaf di pulau Basilan, dalam pertempuran yang menyebabkan seorang askar kerajaan terkorban. – AFP

5 buah rumah musnah dalam kebakaran

Utusan Malaysia Online - Kota:




Sebahagian sisa rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Delek Kiri, Klang, semalam.



KLANG 6 Dis. - Sebanyak lima buah rumah di Kampung Delek Kiri di sini, musnah manakala dua lagi kediaman rosak dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Raja, A. Ramzi Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.13 petang dan mengerahkan empat jentera bersama 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Andalas dan Kota Raja ke tempat kejadian dan sampai 10 minit kemudian.
"Keadaan cuaca yang panas selain faktor rumah dibina berdekatan serta rumah diperbuat daripada kayu merupakan faktor yang menjadikan kebakaran merebak dengan cepat.
"Kebakaran berjaya dikawal oleh anggota bomba pada pukul 1.44 petang. Kami juga masih menyiasat punca sebenar kejadian berlaku sebelum membuat anggaran kerugian," katanya.is'

Sisa radioaktif dalam susu bayi

Sisa radioaktif dalam susu bayi - Global - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 7, 2011
Sisa radioaktif dalam susu bayi
TOKYO - Sisa bahan radioaktif ditemui di dalam susu tepung bayi keluaran syarikat makanan dan tenusu Jepun, Meiji Holdings, menurut kenyataan dikeluarkan syarikat itu, semalam.
Meiji mengumumkan sebanyak 400,000 tin susu tepung bayi tersebut yang hanya dijual di Jepun, sedang ditarik balik dari pasaran.
Syarikat itu masih tidak dapat memastikan sumber bahan radioaktif tersebut tetapi mengesyaki ia berpunca daripada kebocoran radiasi di loji nuklear Jepun.
Kebimbangan mengenai keselamatan bekalan makanan di Jepun mula menular selepas insiden kebocoran radiasi di loji Fukushima Daiichi di utara negara itu akibat bencana gempa bumi dan tsunami, 11 Mac lalu.
Sebelum ini, sisa radioaktif turut dikesan di dalam sayuran, teh, susu, makanan laut dan bekalan air tetapi kerajaan Jepun memberi jaminan ia tidak berada pada tahap membahayakan kesihatan pengguna.

Blok asrama pekerja terbakar

Blok asrama pekerja terbakar - Johor - Sinar Harian:

Oleh : NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
Tarikh : December 7, 2011
ASRAMA TERBAKAR
MUAR - Sebuah blok asrama yang menempatkan kira-kira 50 pekerja asing musnah dalam kejadian kebakaran sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Parit Muhammad Bakri Batu 5, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan insiden tersebut pada jam 1.20 pagi.

Menurutnya, seramai 13 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian kira 10 minit kemudian.

“Kilang perabot berkenaan mempunyai enam blok dan hanya satu blok yang menjadi asrama kepada 50 pekerja telah musnah terbakar.

“Kilang perabot itu mengandungi banyak papan lapis menyebabkan api mudah marak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Keadaan tersebut memaksa pihak bomba mengambil masa hampir tujuh jam untuk mengawal keseluruhan kebakaran.

Ismail berkata, sehingga jam 6.30 petang semalam, pihak bomba masih lagi memantau lokasi kejadian kerana terdapat bara api yg masih menyala dan dikhuatiri merebak ke blok bangunan yang lain.

Dalam pada itu Ismail berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, kebanyakan pekerja sedang berehat sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

Nyaris rentung kereta terbakar

Nyaris rentung kereta terbakar - Perak - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 7, 2011
KERETA-TERBAKAR2
KUALA KANGSAR – Ketua Keselamatan Pas Lenggong, Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin, 42 dan Ketua Penerangan Pas Lenggong, Mohd Saidi Sabri, 39, berdepan detik mencemaskan apabila hampir rentung ketika menyelamatkan diri dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya Utara Selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, enjin kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandu Ramdzi tiba-tiba terhenti dan tidak dapat berfungsi sehingga terlanggar pengadang jalan sebelum berpusing lalu terbalik serta terbakar.

Ramdzi berkata, sewaktu kejadian, dia bersama rakannya Saidi dalam perjalanan pulang ke Lenggong setelah menghadiri mesyuarat di pejabat Perhubungan Pas Negeri di Ipoh.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka bernasib baik kerana sempat keluar daripada kenderaan sebelum ia meletup terbakar.

“Ketika tiba di Kilometer 247.4 lebuh raya menghala arah utara tanpa diketahui punca, enjin kenderaan tiba-tiba berhenti.

“Kemudiannya, kenderaan ini tidak dapat dikawal, berpusing dan terbalik dua tiga kali di tengah jalan serta terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui, di sini, semalam.

Ramdzi berkata, sekiranya lambat beberapa saat untuk keluar daripada kenderaan sudah tentu dia dan rakannya sudah menemui ajal.

“Saat itu sangat mendebarkan dan ketika ingin keluar saya sudah melihat api keluar dari kenderaan tetapi masih bernasib baik,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, mereka telah menga­lami kerugian kira-kira RM25,000 termasuk kehilangan barang berharga seperti sebuah kamera dan barangan penting lain.

“Semua tidak sempat diselamatkan dan apa yang penting ketika itu ialah untuk menyelamatkan diri sahaja.

“Bagaimanapun kami berdua hanya mengalami kecederaan ringan iaitu Saidi luka di bahagian kaki, manakala saya mengalami luka kecil di tangan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan ada menerima laporan berhubung kes serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tersepit bawah lori

Tersepit bawah lori - Melaka & NS - Sinar Harian:

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 6, 2011
Tersepit bawah lori
KESANG LUAR – Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah lori satu tan yang membawa bahan binaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 70 Jalan Masjid Kesang Luar, jam 8.40 pagi, semalam.

Mangsa yang merupakan warga Indonesia, Baharudin Abdullah, 22, bersama seorang pembonceng juga warga Indonesia dari arah Kesang ke Jasin gagal mengawal motosikal lalu melanggar belakang sebuah lori dari arah sama sebelum tersepit di bawah lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Che Suza Hitam mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila lori berkenaan membelok ke kanan memasuki lorong ke arah ­tanah perkuburan, namun mangsa yang tidak sempat mengelak ­melanggar bahagian kanan belakang lori.

Menurutnya, mangsa yang ­tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan pihak bomba dan penyelamat Daerah Jasin mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Walau bagaimanapun pembonceng hanya cedera ringan manakala pemandu lori terbabit melarikan diri dan pihak polis sedang mengesannya,” katanya.

Seorang penduduk, Zakaria Husain berkata, sebelum ini ­sememangnya pernah berlaku ­kemalangan di kawasan terbabit.

“Kemalangan berlaku bukan ­disebabkan faktor jalan yang kecil ­tetapi kerana kecuaian pemandu ­sendiri yang sering memotong ­laluan,” katanya.