Search This Blog

Tuesday, December 6, 2011

Jambatan punca banjir kilat di Kajang

Jambatan punca banjir kilat di Kajang - Nasional - Sinar Harian:

Oleh : SH UTARA/MOHD ISKANDAR OTHMAN
Tarikh : December 6, 2011
Datuk Ir Ahmad Husaini (kanan) melihat bahan pameran selepas majlis perasmian
BATU FERRINGHI - Dua jambatan yang merintangani Sungai Jelok dipercayai antara punca yang menyebabkan banjir kilat berlaku di Bandar Kajang Jumaat lalu.

Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir Hanapi Mohammad Noor berkata, kedua-duanya didapati tidak mempunyai paras selesa di bawah jambatan.

Selain itu, rizab sungai yang sepatutnya digunakan untuk projek tebatan banjir masih didiami 21 peniaga gerai sementara milik Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

Ir Hanapi berkata, hujan lebat selama dua jam menjadikan jumlahnya meningkat dua kali ganda kepada 80 milimeter (mm) sehingga mengakibatkan paras sungai naik mendadak dan menyebabkan berlaku limpahan.

Menurutnya, hujan lebat luar biasa itu menyebabkan jambatan yang rendah menyekat sampah sarap yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti kayu dan plastik di bawahnya hingga mengganggu kelancaran aliran.

"Ditambah pula dengan rizab sungai yang sepatutnya dibangunkan sejak setahun lalu tidak dapat diteruskan kerana MPKj masih belum dapat memindahkan 21 peniaga kerana terdapat perjanjian antara mereka.

"Kami sudah melaksanakan projek banjir dengan mendirikan dinding banjir sepanjang satu kilometer (km) dengan ketinggian dua meter dari tebing Sungai Jelok tetapi disebabkan wujudnya gerai itu sebahagian projek sepanjang 200 meter tertangguh sejak setahun lalu," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Pengurusan Sungai Antarabangsa Abad ke-21 oleh Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Ahmad Husaini Sulaiman di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Prof Dr Nor Azazi Zakaria.

Ir Hanapi berkata, pihaknya mendapati masalah banjir di kawasan itu boleh diatasi dengan menaik taraf atau menukar dua jambatan terbabit tetapi semunya bergantung kepada peruntukan yang diberi kerajaan.

"Jika perpindahan peniaga terbabit dapat dilaksanakan segera oleh MPKj, projek itu dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan dan kebarangkalian untuk berlakunya banjir adalah agak rendah," katanya.

8 Ferrari terlibat kemalangan

8 Ferrari terlibat kemalangan - Global - Sinar Harian:

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 6, 2011
8 Ferrari terlibat kemalangan

TOKYO – Satu konvoi kereta mewah di Jepun berakhir dengan kemalangan sangat mahal yang melibatkan lapan buah kereta Ferrari, sebuah Lamborghini dan dua kereta Mercedes.

Menurut polis, kemalangan itu yang berlaku di wilayah Yamaguchi, kelmarin, dipercayai berpunca daripada seorang pemandu Ferrari yang cuba menukar lorong tetapi terlanggar pembahagi jalan.
Pelanggaran itu menyebabkan kereta tersebut berpusing di tengah lebuh raya, dan kereta mewah lain berlanggar sesama sendiri semasa cuba mengelak Ferrari itu.
Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan parah dilaporkan tetapi 10 orang dirawat akibat lebam dan luka ringan dalam kemalangan itu.

Industri pembalakan catat kemalangan perindustrian tertinggi

Industri pembalakan catat kemalangan perindustrian tertinggi - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 6, 2011

KUCHING - Industri pembalakan di Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi dalam kemalangan perindustrian iaitu 5,351 kes pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri, Dasuki Mohd Heak berkata, industri itu mencatatkan peratus tertinggi bagi 1,000 pekerja sungguhpun jumlah kes paling tinggi dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah industri pembuatan.

“Beberapa kes masih disiasat oleh DOSH kerana kesukaran menghampiri kawasan tempat kerja dalam industri pembalakan,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Borneo mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kedua oleh pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye di sini, semalam.

Daripada jumlah kes itu, beliau berkata, Sibu mencatatkan jumlah kemalangan perindustrian paling tinggi 1,424 kes diikuti Kuching, 1,368 pada tahun lalu.

“Setakat ini 20 kes dibawa ke mahkamah dan dikenakan kompaun berjumlah RM89,000. Bagi jumlah kes di seluruh negara pada tahun lalu, industri pembuatan mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 17,573 diikuti perkhidmatan (11,270), perdagangan (9,437) dan pembinaan (4,667) tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye pula berkata, statistik Kementerian Sumber Manusia menunjukkan pengurangan yang banyak dalam kemalangan perindustrian lebih 52.7 peratus dalam tempoh 10 tahun, iaitu 75,386 pada 2000 menurun 35,616 pada tahun lepas, terutamanya selepas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan diperkenalkan pada 1994.

“Sungguhpun ada penurunan dalam purata jumlah kemalangan perindustrian dari lapan bagi 1,000 pekerja pada 2000 kepada 4.8 bagi 1,000 pekerja tahun lepas, kita mestilah mencapai tanda aras negara maju yang hanya satu atau dua kemalangan bagi 1,000 pekerja,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia mestilah terus mengadakan pendekatan strategi baru bagi memenuhi cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menurutnya, tahun lalu sahaja, kemalangan dilaporkan 22,040 sementara 35,603 kemalangan perindustrian dilaporkan kepada Perkeso, yang membayar RM1,678,160,051 kepada 351,433 penerima di seluruh negara.

Gunung berapi Indonesia meletus

Gunung berapi Indonesia meletus - Global - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 6, 2011

JAKARTA - Ribuan penduduk di Ternate, timur Indonesia terpaksa melarikan diri selepas gunung berapi Gamalama meletus dan memuntah­kan magma serta abu, kelmarin.

Sehingga kini, tiada laporan me-ngenai sebarang kematian atau kecederaan selepas gunung berapi aktif setinggi 1,715 meter itu mula meletus, kelmarin.

Kebanyakan penduduk berlin-dung di rumah Gabenor kawasan itu serta menggunakan topeng muka.

Letusan itu turut menyebabkan lapangan terbang Sultan Babullah di wilayah itu ditutup, semalam.

11 maut dinding runtuh di Sulawesi


11 maut dinding runtuh di Sulawesi - Global - Sinar Harian:

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 6, 2011

SULAWESI - Sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun terbunuh selepas sebuah dinding batu runtuh di Sulawesi, Indonesia, kelmarin.

Menurut polis, dinding setinggi tujuh meter itu runtuh dan menghempap beberapa rumah di kawasan perumahan di Makassar, iaitu bandar terbesar di Sulawesi.

Pasukan mencari dan menyelamat menemui 11 mayat di bawah runtuhan tetapi punca kejadian yang berlaku semasa hujan lebat itu masih dalam siasatan.

Maut disondol babi hutan

Maut disondol babi hutan - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 6, 2011

KUALA LIPIS - Seorang penoreh getah maut apabila disondol seekor babi hutan seberat kira-kira 90 kilogram semasa sedang menoreh di ladang getah Jerkoh, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa, Wahab Saad, 59, dipercayai bergelut dengan babi hutan itu yang menyerangnya dari arah belakang dan sempat menjerit meminta tolong sebelum terjatuh ke dalam anak sungai.

Menurutnya, jeritan mangsa kemudiannya didengari isterinya, Napsiah Aman, 50, yang ketika itu sedang memasak di pondok berhampiran.

“Mendengar jeritan suaminya, Napsiah berlari untuk membantu mangsa namun babi hutan itu bertindak menyerangnya pula. Napsiah kemudiannya cuba mempertahankan diri dengan menggunakan parang menyebabkan haiwan terbabit meninggalkan kebun tersebut setelah mengalami kecederaan.

“Napsiah yang mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat se­rang­an itu berlari ke jalan utama untuk meminta bantuan,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, isteri mangsa kemudiannya mendapat bantuan daripada dua penduduk yang kebetulan melalui kawasan di situ.

“Mangsa ditarik keluar dari anak sungai oleh penduduk berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian.

“Penduduk terbabit kemudiannya menghubungi pemilik kebun dan polis untuk membawa keluar mayat mangsa dari kebun berkenaan,” katanya.

Abdul Razak berkata, mayat dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan oleh lemas.

Katanya, jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Benta.

Serang seorang lagi penoreh

Abdul Razak berkata, babi yang menyerang pasangan suami isteri itu turut bertindak menyerang seorang lagi pekebun di kebun bersebelahan dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

“Setelah cedera terkena parang, haiwan terbabit berlari ke kebun bersebelahan dan menyerang seorang lagi penoreh getah, Chong Chung, 68.

“Chung kemudiannya bertindak mempertahankan diri dan berjaya membunuh haiwan berkenaan. Dia yang mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan,” katanya.

Sehubungan kejadian itu, Abdul Razak menasihatkan pekebun supaya lebih berhati-hati.

“Kita mungkin jarang men­dengar serangan daripada haiwan liar seperti babi hutan, namun kita perlu lebih berwaspada dengan sebarang kemungkinan.

“Pekebun atau penoreh getah dinasihatkan supaya tidak pergi ke kebun secara berseorangan dan mereka perlu membawa senjata seperti parang untuk mempertahankan diri,” katanya.

Kes pertama

Sementara itu, kenalan kepada Allahyarham Wahab, Shaharudin Othman, 48, berkata, serangan haiwan liar itu adalah kali pertama ber­laku dan menimbulkan ketakutan kepada pekebun lain.
“Mungkin haiwan berkenaan merasa terancam dan bertindak menyerang mangsa.

“Kejadian ini memberi kesan kepada penduduk yang takut untuk ke kebun kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Lelaki rentung selepas kereta langgar pokok

Lelaki rentung selepas kereta langgar pokok - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 6, 2011

ALOR SETAR - Seorang lelaki rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Batas Paip menghala ke Kuala Kedah, malam tadi.

Peh Tiong Boon, 30, gagal diselamatkan apabila orang ramai yang cuba membantunya tidak berjaya menarik Peh, yang tersepit, keluar dari kereta itu.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar DSP Mohd Sham Abdullah berkata dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, lelaki berkenaan yang menaiki kereta Proton Waja cuba memotong sebuah lori tetapi tidak berjaya.

"Dia cuba mengelak sebuah trailer yang datang dari arah bertentangan menyebabkan dia terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar pokok di tepi jalan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata disebabkan rempuhan yang kuat pada pokok itu, kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum berlaku percikan api.

"Sebelum keretanya terbakar, mangsa masih sedar dan cuba diselamatkan oleh orang awam namun gagal kerana kedua-dua belah kakinya tersepit dan apabila api mula marak, orang ramai terpaksa meninggalkan Peh," katanya.

Beliau berkata mayat Peh dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Cubaan seludup 16kg heroin dari Pakistan tumpas

Cubaan seludup 16kg heroin dari Pakistan tumpas - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 6, 2011

NEW DELHI - Pasukan keselamatan lapangan terbang Pakistan pada Isnin menggagalkan percubaan untuk menyeludup 16.2kg heroin ke Malaysia menerusi Dubai, ekoran penahanan seorang warga Pakistan.

Pasukan keselamatan yang berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Allama Iqbal di Lahore menahan suspek sebelum dia berlepas ke Dubai bersama isteri dan dua anaknya.

Dadah bernilai hampir RM5 juta itu disembunyikan dalam bagasinya tetapi suspek berkata dia tidak tahu menahu tentang dadah itu, menurut Pasukan Anti Narkotik Pakistan (ANF), yang mengambil alih siasatan.

"Disahkan bahawa dadah itu untuk dibawa ke Malaysia tetapi kami tidak tahu kenapa dia melakukan perjalanan ke Dubai terlebih dahulu.

"Sungguhpun dia bersama keluarganya, hanya lelaki itu sahaja yang terbabit dalam kes menyeludup dadah," kata jurucakap ANF yang berpejabat di Lahore, kepada Bernama menerusi telefon hari ini.

Suspek berusia awal 30-an dari bandar Lahore, yang pertama kali melakukan perjalanan, turut diiringi anak perempuan berusia 13 tahun dan anak lelaki berumur 11 tahun.

Penyiasat mengesyaki dia mungkin digunakan oleh pengedar dadah antarabangsa sebagai 'keldai' untuk menyalurkan barangan itu ke pasaran asing. - Bernama

Jogging sambil curi coli

Jogging sambil curi coli - Jenayah - Sinar Harian:


Oleh : AFDAH MUJAP
Tarikh : December 6, 2011
jogging sambil curi coli

SHAH ALAM – “Apa salah saya bang? Saya cuma jogging je kat sini", ujar seorang lelaki gila seks setelah dia berjaya diberkas penduduk selepas mencuri beberapa coli dan seluar dalam wanita di flat PKNS Seksyen 7, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek berusia dalam lingkungan lewat 20-an cuba mengaburi penduduk dengan memberi pelbagai alasan namun tembelangnya terbongkar apabila beberapa helai pakaian dalam wanita ditemui berhampiran tempat dia bersembunyi.

Difahamkan, lelaki tersebut pernah ditangkap melakukan perbuatan sama beberapa bulan lalu di kawasan perumahan berhampiran.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Saiful berkata dia terkejut mendengar jeritan penduduk sebelum bergegas keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku.

Selepas itu katanya, dia melihat kelibat seorang lelaki berbadan gempal melarikan diri dan dikejar seorang penduduk.

“Saya dan rakan serumah turun membantu mengejar lelaki itu. Kami berjaya memberkasnya setengah jam kemudian selepas dia keluar dari tempat persembunyiannya,” katanya.

Katanya, lelaki gila seks berkenaan diserahkan kepada unit peronda polis dan dibawa ke balai polis berhampiran.

Nota: Foto adalah sumbangan pembaca Sinar Harian, Mohd Fahmi Mohd Safi

Maut terkena libasan tali kapal

Maut terkena libasan tali kapal - Utara - Sinar Harian:

Oleh : SH UTARA/GOKINA MORGANAN
Tarikh : December 6, 2011

GEORGETOWN - Seorang buruh binaan warga Indonesia maut setelah terkena libasan tali kapal ketika menurunkan cerucuk di tapak pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa hanya dikenali sebagai Taufik menemui ajalnya setelah leher dan mukanya cedera parah terkena tali berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Mohd Zain berkata, lelaki berusia 21 tahun itu bertugas secara kontrak dengan sebuah kapal yang digunakan oleh kontraktor pembinaan jambatan tersebut dipercayai sedang menurunkan cerucuk besi dengan menggunakan tali.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan rakan mangsa yang melihat kejadian itu, tali berkenaan putus secara tiba-tiba dan melibas mangsa.

"Mereka kemudian menghubungi ambulans. Sebaik diperiksa pegawai perubatan yang tiba, mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Hatta berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati kematiannya tiada unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

Pemandu maut lori tangki terbabas

Pemandu maut lori tangki terbabas - Melaka & NS - Sinar Harian:

Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 6, 2011
lori

SEREMBAN - Seorang lelaki maut apabila lori tangki yang dipandunya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di kilometer 254.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Senawang, di sini hari ini.

K. Silvom, 45, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, lori yang membawa muatan minyak hidrolik itu terbalik di pembahagi lebuh raya terbabit.

Mayat Silvon di hantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.

Pegawai Turus Trafik Negeri ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - Bernama

Impian enam sahabat berkecai

Impian enam sahabat berkecai - Melaka & NS - Sinar Harian:


Oleh : NUR SHARIEZA ISMAIL
Tarikh : December 6, 2011
Impian enam sahabat berkecai

SEREMBAN - Semangat berkobar-kobar enam lelaki untuk berkhidmat dengan sebuah jabatan kerajaan hancur lebur setelah mengesyaki diperdaya oleh seorang lelaki yang mendakwa boleh menguruskan ke­masukan mereka tanpa perlu me­lalui proses temu duga.

Individu hanya dikenali sebagai Botak, berumur sekitar 20-an memberitahu enam sahabat terbabit, kakak angkatnya yang dikatakan bertugas di jabatan berkenaan di Putrajaya memberi peluang kepada seramai 75 individu untuk memenuhi kuota kemasukan.
Setiap pemohon diminta membayar RM200 yang kononnya diperlukan untuk proses kemasukan tanpa sebarang dokumentasi itu.
Lima daripada lelaki terbabit menyerahkan wang yang diminta kepada Botak, malah ada antara mereka yang sanggup berhenti kerja akibat terlalu yakin mendapat peluang pekerjaan dijanjikan Botak.
Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal, 27, berkata, mereka berjumpa dengan Botak di sebuah kedai makan di Felda Palong 6, Jempol, pada 25 November lalu.
“Kami memang betul-betul percaya dengan janji Botak untuk membantu mendapatkan pekerjaan di jabatan kerajaan berkenaan.
“Setelah menerima wang, Botak meminta kami semua menunggunya di Batu 4, Port Dickson kerana kakak angkatnya akan datang menjemput kami untuk dibawa ke pusat latihan jabatan terbabit pada 28 November lalu,” katanya di Pejabat Sinar Harian di sini, semalam.
Bagaimanapun kata Zainal, Botak dan kakak angkatnya tidak muncul walaupun dia dan rakannya menunggu di lokasi sama sehingga 30 November lalu.
Sementara itu, seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Husin, 28, berkata, kakak angkat Botak memberikan ala­san tidak dapat berjumpa mereka kerana dia perlu menunggu surat kebenaran daripada jabatan berkenaan.
“Akibat tidak yakin dengan alasan itu, saya kemudiannya menghubungi Botak untuk mendapatkan penjela­san namun dia memberitahu akan berjumpa kami, keesokannya.
“Botak juga berjanji untuk membawa kakak angkatnya bersama dan akan memulangkan wang yang diambil daripada kami,” katanya.
Husin berkata, sehingga kini Botak masih belum memulangkan wang mereka dan dia juga gagal dihubungi.
Sehubungan itu katanya, dia dan rakan lain membuat laporan tentang kegiatan Botak di Balai Polis Senawang dekat sini, 1 Disember lalu.

Warga Myanmar maut dipukul rakan sebilik

Warga Myanmar maut dipukul rakan sebilik - Jenayah - Sinar Harian:

Oleh : SH UTARA / MOHD ISKANDAR OTHMAN
Tarikh : December 6, 2011
maynmar

GEORGETOWN - Seorang buruh binaan warga Myanmar ditemui mati dalam keadaan tengkorak kepalanya pecah dan telinga kanannya hampir putus di sebuah rumah kosong di Jalan Lengkok 2, Relau, semalam.

Mayat Kyi Moe Lwin yang juga dikenali sebagai Asraf, 32, dijumpai terbaring berlumuran darah di atas tempat tidurnya kira-kira jam 11.30 pagi oleh sekumpulan rakan sekerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai dipukul oleh seorang rakan sebiliknya yang juga buruh kontrak di tempat yang sama.

Menurutnya, mangsa dan suspek yang baru sebulan bekerja di situ dikatakan sering bertikam lidah sejak akhir-akhir ini. Kedua-duanya dalam proses pemutihan untuk dihantar balik ke negara asal.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipukul dengan senjata tumpul di bahagian kepala sehingga menyebabkan tengkorak kepalanya pecah selain telinga kananya hampir putus.

“Pemeriksaan polis di tempat kejadian juga menemui satu tukul besi yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian di sini semalam.

Zahruddin berkata, sehingga kini polis masih lagi memburu rakannya yang dikenali sebagai Basyar berusia 27 tahun .

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa.

“Kita sudah memperoleh identiti suspek yang dipercayai melarikan diri ke Bukit Mertajam,” katanya.

Zahruddin berkata, mayat mangsa di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan di mana-mana balai polis berhampiran.

Ditetak selisih bahu di tandas

myMetro | Ditetak selisih bahu di tandas:

KUALA LUMPUR: Hanya kerana terlanggar seorang lelaki ketika berselisih dalam tandas sebuah kelab malam di Sentul, dekat sini, dua lelaki parah ditetak di muka dan tangan oleh sekumpulan samseng, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa berusia 20-an memohon maaf sebaik terlanggar seorang anggota kumpulan samseng itu dan memberitahu mereka tidak sengaja.


Menurut sumber, bagaimanapun, suspek mengamuk dan memaki-hamun mangsa menyebabkan berlaku kekecohan.

“Pertengkaran mereka didengar majikan mangsa yang datang membantu selain mengugut mahu menghubungi polis.


“Suspek yang masih tidak berpuas hati memanggil rakannya dengan tujuan untuk bergaduh dengan mangsa,” katanya.


Sumber itu berkata, belum sempat lelaki terbabit menghubungi polis, kedua-dua pekerjanya dilibas suspek dengan parang dan pisau.

“Malah, kedua-dua mereka yang terkepung gagal menyelamatkan diri apabila terus ditetak di muka dan tangan.


“Majikan yang menyaksikan pekerjanya dipukul cuba membantu, namun dihalang suspek sebelum datang seorang lagi geng terbabit membawa sepucuk pistol dan mengacukan ke arah mangsa. “Selepas membelasah kedua-dua mangsa, kumpulan terbabit beredar. Majikan yang tidak cedera membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mangsa yang parah menerima 20 jahitan di muka dan tangan akibat ditetak sebelum majikan mereka membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi sebelum kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,” katanya.

‘Drebar bas kami tak lari’

myMetro | ‘Drebar bas kami tak lari’:

KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menafikan laporan media bahawa pemandu bas RapidKL melarikan diri selepas melanggar dua pejalan kaki di Jalan Tun Sambanthan petang kelmarin.

Pengarah Kumpulan Bahagian Bas, Prasarana, Zohari Sulaiman, berkata pemandu bas terbabit sudah menghentikan kenderaan itu dan membantu pejalan kaki yang cedera.


“Bagaimanapun, polis di tempat kejadian membawanya ke balai polis untuk merekodkan kenyataannya dan mencegah insiden yang tidak diingini di tempat kejadian.

“Andaian bahawa pemandu melarikan diri tidak berasas dan tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.


Zohari berkata, ketika ini pemandu terbabit digantung tugas buat sementara sehingga inkuiri dalaman berhubung perkara itu selesai kerana terdapat dakwaan dia memandu laju ketika kejadian.


“Bagi perkhidmatan kami, ia berjalan seperti biasa,” katanya.

Zohari mendakwa, ketika kejadian 3.30 petang itu, pemandu bas syarikat itu tidak dapat membrek dengan segera apabila dua pejalan kaki itu memasuki laluan bas untuk menyeberang jalan dan hanya memerhati laluan trafik sehala tanpa mengetahui jalan itu lorong dua hala.


“Syarikat juga sudah membuat laporan polis berhubung vandalisme selepas kejadian dengan cermin depan bas dipecahkan,” katanya.

Katanya, kejadian itu amat malang, tetapi masih boleh dielakkan jika semua pihak bekerjasama dan faham mengenai perubahan laluan trafik di kawasan itu.


Zohari mencadangkan supaya kehadiran polis dan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditingkatkan di kawasan itu bagi memastikan orang ramai melintas di kawasan yang ditetapkan selain meletakkan papan tanda jelas mengenai perubahan lorong bas lawan arus.


Ini perlu memandangkan lima kemalangan dilaporkan sejak dua hari lepas di kawasan itu berikutan perubahan trafik itu. — Bernama

Lapangan Terbang Pulau Ternate ditutup ekoran letusan Gunung Gamalama

myMetro | Lapangan Terbang Pulau Ternate ditutup ekoran letusan Gunung Gamalama:

JAKARTA: Lapangan terbang domestik di timur Indonesia ditutup setelah gunung berapi meletus membebaskan debu setinggi 2,000 meter ke udara, menurut seorang pegawai, semalam.

Gunung Gamalama yang merupakan sebahagian besar Pulau Ternate di utara Wilayah Muluku, meletus kelmarin dan menyebabkan lapangan terbang di bandar Ternate ditutup semalam, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.

“Ia adalah langkah berjaga-jaga. Abu gunung berapi itu merbahaya kepada kapal terbang. Sekiranya tidak ada lagi letupan, lapangan terbang itu akan dibuka esok (hari ini),” katanya.

Gunung berapi setinggi 1,715 meter menyebabkan penduduk panik bila ia meletus, kata ahli sains yang memantau gunung itu.


“Ia meletuskan abu dan partikel debu 2,000 meter ke langit. Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan,” katanya - AFP

Pekerja ladang kelapa sawit mati ditembak lelaki bersenjata

myMetro | Pekerja ladang kelapa sawit mati ditembak lelaki bersenjata:

BANDA ACEH: Sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menembak mati tiga pekerja ladang kelapa sawit dan mencederakan lima lagi dalam daerah yang bergolak di Wilayah Aceh, semalam.

Kira-kira lima lelaki bersenjata menyerbu ladang kelapa sawit yang dimiliki oleh syarikat Satya Agung di Kampung Mbang yang terletak di utara Aceh lalu melepaskan tembakan dalam sebuah bilik yang menempatkan pekerja, kata Ketua Polis Banda Aceh, Kukuh Santoso.

“Menurut saksi, empat atau lima lelaki dengan wajah mereka ditutup, berjalan ke arah pekerja yang sedang menonton televisyen dan terus menyoal ‘Kamu dari mana?’ Mereka terus menembak dan kemudian meninggalkan tempat itu,” katanya.

“Tiga pekerja ditembak mati dan lima yang cedera dibawa ke hospital,” katanya.


Ketua Polis Wilayah, Iskandar Hasan mengesyaki “masalah ekonomi” adalah penyebabnya.


“Ia mungkin disebabkan rasa marah. Penembak itu mungkin cuba mendapatkan kerja di sana tetapi gagal dan pekerja itu adalah orang luar,” katanya. - AFP

Remaja maut tertimbus tanah ketika tukar paip

Berita Harian Online | Remaja maut tertimbus tanah ketika tukar paip:

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat  mencari   mayat  Mohamad Amir  (gambar kecil)  yang tertimbus ketika     melakukan kerja pemasangan paip di Kampung Lakota, Jeli semalam.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mencari mayat Mohamad Amir (gambar kecil) yang tertimbus ketika melakukan kerja pemasangan paip di Kampung Lakota, Jeli semalam.
JELI: Seorang remaja mati tertimbus dalam lubang sedalam 1.5 meter ketika melakukan kerja pemasangan batang paip air di Kampung Lakota, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, Mohamad Amir Mohd Azmi, 14, bersama empat pekerja lain sedang menggantikan paip air lama sebelum tebing lubang yang baru digali tiba-tiba runtuh dan menimbus mangsa.
Dia yang tidak bersekolah, cedera parah pada kepala dan patah tulang rusuk kanan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang saksi, Mohd Shukri Mohd Rashid, 19, yang juga sepupu mangsa, berkata sebelum kejadian, sebuah jengkaut baru selesai menggali lubang dan Mohamad Amir terus memasukinya bagi meratakan tanah.

Katanya, kejadian berlaku pantas dan semua yang bekerja tidak menyangka tebing lubang runtuh tiba-tiba, menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan mangsa.

"Saya sempat menegurnya supaya tidak masuk dalam lubang yang baru digali, namun tidak diendahkan dan sekelip mata tebing runtuh menimbus mangsa. Ketika itu saya berada kira-kira dua meter dari mangsa dan tidak sempat berbuat apa-apa. Saya bersama pekerja lain cuba membantu mengorek tanah menggunakan tangan, namun gagal dan menghubungi polis," katanya.

Ibu mangsa, Norizan Dollah, 38, berkata anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian dan kehilangannya amat dirasai kerana mangsa selalu bergurau bersama adik kembarnya.
"Ketika kejadian, saya sedang menjual sayur di pasar tani Bachok dan terkejut sebaik dimaklumkan sepupunya mengenai kemalangan yang menimpa anak kedua dari lima beradik itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Sheik Azhar Syeik Omar, berkata polis tiba di tempat kejadian jam 10.55 pagi dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat tertimbus tanah runtuh.

Katanya, mayat dikeluarkan sejam kemudian dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Jeli.