Search This Blog

Monday, December 5, 2011

Penculik maut di ladang


Oleh : ROSDALILAH ZAHARI
Tarikh : December 5, 2011
Penculik maut di ladang

IPOH – Tiga lelaki dipercayai warga asing ditembak mati selepas dipercayai terlibat dalam satu kes culik di Ladang Kamuning dekat Sungai Siput, lewat petang kelmarin.

Difahamkan ketiga-tiga lelaki itu terbabit dalam satu kes penculikan membabitkan anak seorang ahli perniagaan di salah sebuah negeri di Utara tanah air.

Dalam perkembangan sama, penculik itu dipercayai melarikan diri ke Sungai Siput dan pihak polis berjaya mengesan lokasi warga asing terbabit bersembunyi.

Namun, nasib tidak menyebelahi ketiga-tiga mereka apabila maut serta-merta ditembak pihak polis selepas cuba melarikan diri ketika berada di ladang berkenaan.

Mayat ketiga-tiga penjenayah terbabit dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun, satu sidang media akan diadakan hari ini bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai kes terbabit.

Penculik maut di ladang - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bayi empat bulan maut dipercayai tersedak susu


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 5, 2011

PORT DICKSON- Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu, di sebuah rumah di Taman Desa Rusa, di sini, hari ini.

Bayi itu, Nur Syahira Syakira Mohd Juwaini, ditemui ibunya Naysriah Ibrahim, 33, dengan keadaan mukanya pucat dan hidung berbuih kira-kira pukul 7.30 pagi ketika hendak menjenguk anaknya itu yang ditempatkan dalam sebuah bilik di rumah itu.

Menurut Naysriah, dia sebelum itu memberikan anaknya susu badan pada pukul 4 pagi sebelum menyiapkan persediaan bagi menjual nasi lemak di hadapan rumahnya.

"Pada jam 6 pagi selepas itu, saya ke bilik itu untuk menjenguk keadaan Syahira dan masa itu dia masih sedang nyenyak tidur, tapi untuk kali kedua saya menjenguk pada jam 7.30 pagi, Syahira sudah tidak bergerak, dengan keadaan hidung berbuih dan pucat," katanya ketika ditemui di Hospital Port Dickson, hari ini.

Katanya, dia yang panik terus memanggil ibu mentuanya yang tinggal bersama-samanya untuk melihat keadaan Nur Syahira.

Mereka kemudiannya bertindak membawa bayi malang itu ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes terbabit dan pihaknya masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Bayi empat bulan maut dipercayai tersedak susu - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Perompak gigit telinga pekerja


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 5, 2011
Perompak gigit telinga pekerja

ALOR SETAR - Gara-gara enggan menyerahkan wang di dalam mesin kira-kira kepada seorang perompak, seorang lelaki warga negara Bangladesh digigit di kedua belah telinga.

Kejadian melibatkan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultanah berlaku pada jam 4.40 petang, kelmarin sewaktu mangsa yang merupakan pekerja kedai tersebut, Md Shairajul Islam, 33, berada di kaunter.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu datang ke arah mangsa dengan mengacukan pistol tiruan sambil mengarahkan mangsa memberikan wang.

Menurutnya, apabila mangsa enggan mengikut arahan suspek, mangsa dipukul dengan menggunakan pistol tersebut.

"Mangsa yang mempertahankan dirinya itu kemudiannya me-ngambil parang yang diletakkan di bawah kaunter dan berlakunya pergelutan antara suspek dan mangsa.

"Mangsa turut digigit di kedua belah telinga oleh suspek yang berpakaian kemeja T berwarna putih dan berseluar jean," katanya.

Baharom berkata, mangsa turut meminta bantuan daripada rakannya, Md Mizan Nur Rahmat, 37, yang turut berada di kedai sewaktu kejadian.

Menurutnya, pemilik kedai yang tiba kemudiannya menghubungi pihak polis dan mengarahkan suspek diikat sebelum menunggu pihak polis tiba.

"Kes berlaku semalam (kelmarin) merupakan kali keempat melibatkan kedai tersebut dan dipercayai ia dilakukan oleh suspek lelaki yang sama.

"Selain itu, suspek yang turut menunggang motosikal curi pada tahun 2008 di Ampang itu ditahan reman sehingga 10 Disember ini," katanya.

Baharom berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Difahamkan suspek dipercayai anggota tentera yang lari dari tugas sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Md Mizan berkata, ketika kejadian dia yang sedang mandi segera keluar dari bilik air apabila mendengar jeritan rakannya yang meminta tolong.

Dia berkata, kejadian yang berlaku sebelum ini menjadikan mereka lebih bersedia sekiranya kejadian yang sama berlaku.

"Sebelum ini iaitu pada bulan lalu, ada juga berlaku rompakan dan dipercayai orang yang sama juga melakukannya dengan mengambil wang, rokok, kosmetik dan kad tambah nilai.

"Bila kerap kali berlaku kes rompakan, kami yang bekerja di sini sentiasa lebih bersedia dan berhati-hati sekiranya berdepan dengan situasi ini," katanya.

Perompak gigit telinga pekerja - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dua kenderaan bertembung, lima nyaris maut


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 5, 2011
Dua kenderaan bertembung, lima nyaris maut

MARANG – Pemandu dan penumpang serta dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Honda Civic di Kilometer 25 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dipercayai ada ikatan keluarga dikatakan terselamat termasuk pemandu Honda Civic, Zulkanain Ibrahim, 36, walaupun keadaan kenderaan mereka rosak teruk akibat pertembungan kuat.

Menurut Zulkanain, kejadian berlaku selepas dia mengelak lubang berdekatan sebuah jambatan pendek sebelum bertembung dengan kereta Produa Alza yang datang dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.

“Saya dalam perjalanan menuju ke Jertih, Besut dari Paka, Dungun atas urusan kerja. Saya mengelak lubang sebelum kemalangan berlaku. Kejadian begitu pantas, saya tidak sempat berbuat apa-apa, kerana ia (Perodua Alza) tiba-tiba muncul di hadapan,” katanya.

Zulkanain mengalami kesakitan pada dada akibat pertembungan itu manakala status kecederaan pemandu dan penumpang bersama dua kanak-kanak itu tidak diketahui kerana mereka terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

Sinar Harian gagal mendapatkan pengesahan mengenai kemalangan itu daripada pihak polis namun kejadian disahkan jurucakap Bomba dan Penyelamat daerah yang menerima panggilan pada jam 12.05 malam sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit membersihkan kawasan kemalangan bagi melancarkan perjalanan trafik sambil dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian selepas kesemua mangsa dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan.

Dua kenderaan bertembung, lima nyaris maut - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Rumah dirempuh belum dibaiki


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 5, 2011
Rumah dirempuh belum dibaiki

TASIK BAKONG – Sudah jatuh ditimpa tangga, begitula kehidupan yang dilalui Roslinani Fauzi, 33, apabila rumah yang dirempuh anaknya, Mohd Azwan Yahya, 15, ketika hendak mengalihkan kereta bapa saudaranya 4 September lalu masih tidak dapat dibaiki kerana kesempitan­ hidup.

Dia yang tidak bekerja hanya bergantung kepada suaminya, Yahya Ishak, 48, yang bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada perjalanan pada setiap bulan.

Kebiasaannya suaminya memperoleh pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000.

Berikutan itu, dia terpaksa menumpang di rumah ibunya yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.

Roslinani berkata, kejadian 6 petang itu menyebabkan dinding dapur rumahnya roboh sementara pinggan dan mangkuk banyak yang rosak.

Menurutnya, selepas dirempuh kereta yang dipandu anaknya, dia berusaha untuk mengumpul wang untuk membaiki dapur yang rosak malangnya duit yang diperoleh hanya cukup untuk perbelanjaan harian kerana tujuh anaknya berusia tiga hingga 17 tahun masih dalam tanggungan.

“Selain itu, bahagian rumah yang diperbuat daripada kayu teruk dimakan anai-anai dan menyebabkan kami bimbang untuk mendiaminya kerana khuatir rumah akan roboh.

“Berikutan itu, kami mengambil keputusan tinggal di rumah emak yang terletak bersebelahan rumah saya,” katanya.

Roslinani berkata, selepas kejadian itu, tidak ada mana-mana pihak datang ke rumahnya bertanyakan masalah yang dihadapinya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Penyelaras Dun Gual Periok, Ghazali Ismail dan dia diminta supaya mengisi borang e-Kasih.

“Saya berharap kami sekeluarga akan mendapat bantuan kerana tidak mampu membaiki kediaman yang rosak tambahan tiga anak masih bersekolah,” katanya.

September lalu Sinar Harian menyiarkan kediaman Roslinanni roboh apabila anak keduanya cuba mengalihkan kereta yang terletak di halaman rumah ke garaj terletak hanya­ beberapa meter dari rumahnya.

Bagaimanapun dia gagal mengawal kereta itu menyebabkan dia merempuh dapur rumah dan menyebabkannya kerugian lebih RM5,000.

Rumah dirempuh belum dibaiki - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Maut dirempuh motosikal


Oleh : ROHANA ISMAIL
Tarikh : December 5, 2011
Maut dirempuh motosikal

TUMPAT – Seorang warga emas maut apabila dirempuh motosikal ketika melintas jalan berdekatan dengan Masjid Kampung Kok Keli di sini, pagi semalam.

Mangsa, Munah Sulaiman, 84, maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala selepas dirempuh motosikal tersebut yang dalam perjalanan dari Kampung Sungai Pinang menghala ke Tumpat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa dikatakan melintas jalan di hadapan rumahnya untuk ke kedai di seberang jalan bagi membeli kuih muih untuk sarapan pagi.

Anak mangsa, Zaharah Dollah, 53, berkata, sebelum ibunya melintas jalan itu, dia ada berpesan agar ibunya berhati – hati ketika melintas walau pun memang menjadi kebiasaan ibunya ke kedai itu sekiranya dia tidak memasak.

“Pagi itu saya sedang mengunting pokok bunga di halaman rumah, bila nampak ibu saya turun dari rumah saya sempat berpesan hati-hati ketika melintas,” katanya.

Menurutnya, tiba–tiba dia terdengar bunyi seperti motosikal berlanggar dan apabila dipandangnya kelihatan ibunya terbaring di atas jalan tersebut.

“Mungkin sudah ajalnya ketika ibu melintas datang sebuah motosikal yang dipandu laju sehingga tidak sempat mengelaknya,” katanya.

Menurut Zaharah, sehari sebelum kejadian, ibunya ada menunjukkan perubahan apabila tidak mahu bercakap dengannya.

“Saya ingatkan itu hanya perkara biasa maklumlah orang tua, kadang kala perangainya pelik sikit,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Kok Keli.

Mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan dituntut keluarga kira–kira jam 4 petang untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kok Keli.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Maut dirempuh motosikal - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pengedar barang ditahan gara-gara buat panggilan bom palsu


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 5, 2011

IPOH- Seorang pengedar barangan jualan langsung yang dipercayai membuat panggilan palsu pada Khamis lalu bahawa terdapat bahan letupan di landasan keretapi telah ditahan dua hari lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Teluk Intan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, lelaki berkenaan didapati mengunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan tersebut dengan menggunakan identiti orang lain.

Dia dipercayai berbuat demikian kerana mempunyai masalah peribadi dengan teman wanitanya.

"Lelaki terbabit dikatakan tidak membenarkan teman wanitanya yang berusia 25 yang juga bekerja sebagai pengedar barang jualan langsung pergi ke Kuala Lumpur menghadiri satu kursus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shukri berkata kecewa dengan sikap teman wanitanya itu, lelaki berkenaan mengambil tindakan dengan membuat panggilan palsu ke Ibupejabat Polis Daerah Tapah mengatakan terdapat sebutir bom di salah satu jambatan di laluan keretapi antara Bidor dan Tanjung Malim.

Akibat panggilan itu, laluan keretapi di sektor utara terpaksa ditutup sehingga menjejaskan perjalanan lebih 1,200 penumpang.

Siasatan polis kemudiannya menemui satu bonggol berhampiran sebuah jambatan di landasan di Km 259.25 berhampiran Slim River.

Bonggol itu diletupkan tetapi tiada bom yang ditemui tetapi hanya sekeping tikar yang dilipat yang mengandungi botol-botol kosong.

Shukri berkata suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pengedar barang ditahan gara-gara buat panggilan bom palsu - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Melekat belakang lori kontena


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 5, 2011
Melekat belakang lori kontena

PELABUHAN BARAT - Seorang pekerja percetakan yang baru 13 hari menyambut hari jadi maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang lori kontena di Jalan Pelabuhan Barat, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, mangsa dikenali V Nagarathinam, 30, yang tinggal di Banting dikatakan dalam perjalanan menghala Pelabuhan Barat dipercayai tidak perasan dengan kewujudan lori kontena itu yang rosak dan di parkir di lorong kanan.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori kontena itu menyebabkan bahagian hadapan motosikalnya remuk dan melekat pada lori itu.

"Berikutan rempuhan kuat itu, mangsa yang masih lengkap bertopi keledar mengalami kecederaan di bahagian dada serta patah kaki meninggal dunia dalam keadaan terlentang di atas motosikalnya jenis Yamaha Lagenda.

"Kejadian itu hanya disedari pemandu lori yang berusia 38 tahun apabila terdengar bunyi dentuman kuat secara tiba-tiba memaksanya memeriksa kejadian itu," katanya.

Menurutnya, pemandu lori kontena itu mendakwa kenderaannya secara tiba-tiba mengalami kerosakan teknikal ketika di lorong kanan.

"Pada awalnya dia berusaha untuk beralih ke lorong kiri namun kehadiran beberapa kenderaan lain yang berada di lorong itu menghalang niatnya sekali gus dia mengambil keputusan terpaksa memberhentikan lori di lorong kanan.

"Selepas beberapa minit menghentikan kenderaan dan memeriksa bahagian yang rosak, dia mendakwa sedang mengambil kon kecemasan untuk dipasang beberapa meter di belakang lori itu sebagai tanda amaran kepada pemandu kenderaan lain.

"Namun belum sempat berbuat demikian, bahagian belakang lori kontenanya terlebih dahulu dilanggar mangsa," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Melekat belakang lori kontena - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'