Search This Blog

Friday, December 2, 2011

Tiga lelaki dituduh merompak suri rumah



Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 2, 2011
KUALA LUMPUR - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang suri rumah melibatkan pelbagai barangan peribadi bernilai RM150,000, bulan lepas.
M. Anathan, 26, K. Perrira, 27 dan L. Thirurarukkarash, 22, didakwa merompak wang tunai, barang kemas, tiga geran iaitu hartanah, kereta dan rumah, lima keping pasport, tiga keping kad kredit serta beberapa dokumen peribadi milik Lee Chok Ha, 41.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan bersenjatankan sebilah parang di No 1 Jalan 40, Desaraya Kepong, Gombak, pada 9.30 pagi, 1 Nov lepas.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Beliau menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan semula kes.
Pihak pembelaan yang diketuai peguam P. Gunalan manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd Zawawi.

Generasi baru suka rasuah


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 2, 2011
Generasi baru suka rasuah

SUBANG JAYA – Agak mengejutkan, kajian dilakukan Transparensi Antara­bangsa-Malaysia (TI-M), me­nunjukkan generasi baru di Malaysia suka pada rasuah.

Timbalan Presidennya, Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kajian ke atas 1,000 rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas menunjukkan hampir 70 peratus pelajar dan penuntut universiti sedia menerima rasuah.
“Saya bimbang dengan situasi ini. Mereka mengetahui ia adalah jenayah. Malah, masyarakat pun sedar mengenainya, namun yang menjadi persoalan, kecenderungan menerima rasuah tidak jadi kesalahan.
“Bagi mereka, rasuah adalah amalan biasa dan diperlukan dengan alasan. Ia adalah pelincir untuk memudahkan urusan seharian,” katanya di Forum Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan Barometer Rasuah (CB) di Subang, semalam.
Menurutnya, rakyat Malaysia dan pemerintah seolah-olah memandang ringan mengenai masalah ini sedangkan kedudukan negara ini telah meningkat empat tangga pada 2011 dari 56 pada tahun lalu.
“Jika dibuat perbandingan de­ngan 183 buah negara, CPI Singapura di tangga kelima selepas New Zealand, Denmark, Finland dan Sweden. manakala di Asean, negara itu berada tempat pertama dengan 9.2 mata sedangkan Malaysia di tempat ketiga, dengan 4.3 mata.
“Kita patut mencontohi negara tersebut. Jika tidak kepercayaan kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhakis dan patut mengambil pengajaran daripada negara Islam seperti Syria, Pakistan, Iraq, Sudan, Nigeria dan Somalia berada di tangga ke-100 atas serta terakhir,” katanya.
Beliau berkata, 49 peratus masalah ini berpunca daripada kelemahan kerajaan, agensi penguat kuasa dan politik wang.
Malah, katanya, ‘ibu rasuah’ dilakukan ahli politik dan satu daripada sembilan menunjukkan mereka yang telah menerima rasuah terdiri daripada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Kerajaan dan pembangkang jangan asyik cakap serta beretorik sepanjang masa hendak cegah rasuah.
“Mereka perlu bertindak mena-nganinya. Jika tidak kredibiliti mereka di mata rakyat akan terjejas. Malah, kerajaan yang ada sekarang, jika tidak mahu berubah, tidak mustahil akan diubah oleh rakyat,” katanya.
Untuk memastikan keberkesanan pencegahan, katanya, SPRM perlu bebas daripada pengaruh politik dan diletakkan di bawah Parlimen.
Generasi baru suka rasuah - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penganggur Didakwa Bunuh Abang Kandung


PETALING JAYA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas pertuduhan membunuh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Taman Datuk Harun, di sini Sabtu lepas.

Mohamad Firdaus Nazri, 21, yang didakwa membunuh Kamarul Izhar, 28, di Jalan PJS 2/1, Taman Datuk Harun, pada 5 petang, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tanpa diwakili peguam, Mohamad Firdaus yang memakai kemeja-T berwarna biru, mengangguk faham ketika dibacakan pertuduhan itu di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Februari tahun ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamad Firdaus menikam abang kandungnya itu setelah berlaku pertengkaran mengenai wang.

Kamarul Izhar disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya.-BERNAMA

mStar Online : Penganggur Didakwa Bunuh Abang Kandung:

'via Blog this'

Lima Ditahan, 13 Kes Jenayah Sekitar Perak Dan Lembah Klang Selesai


SHAH ALAM: Polis percaya dapat menyelesaikan 13 kes jenayah di sekitar Perak dan Lembah Klang berikutan penahanan lima orang yang disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Desajaya, Kepong Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata empat lelaki dan seorang wanita yang berumur 20 hingga 34 tahun itu ditahan sejak Isnin dan Selasa lepas.

Kesemua suspek itu disyaki terlibat dalam kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan di Ipoh dan Manjung, Perak serta beberapa tempat sekitar Lembah Klang seperti Gombak, Ampang, Kepong dan Kajang sepanjang tahun ini, katanya.

Beliau berkata hasil penahanan itu, polis menemui pelbagai barangan yang dipercayai barangan curi, antaranya empat telefon bimbit, beberapa utas jam tangan dan beg tangan.

"Polis turut merampas sebuah kereta berjenama Nissan Latio yang mempunyai nombor pendaftaran palsu. Kereta itu dilapor hilang di Bukit Jelapang, Perak 23 Nov lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Jumaat.

Mohd Adnan berkata kumpulan itu berjaya ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian melarikan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang ditinggalkan di bahu jalan tanpa mematikan injin di Jalan KIP 1, Desajaya, Kepong, Isnin lepas.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, seorang lelaki melarikan kereta itu bersama-sama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditinggalkan dalam kereta berkenaan semasa bapanya pergi membeli makanan di sebuah restoran.

Siasatan polis mendapati mangsa disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara dan polis yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita di hotel itu pada pukul 2 petang 28 Nov lepas, katanya.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah hotel di Cheras pada 29 November.

Adnan berkata ujian air kencing yang dijalankan terhadap kesemua yang ditahan itu mendapati mereka positif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah.Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A Kanun Keseksaan kerana menculik daripada penjaga yang sah, katanya. - BERNAMA

mStar Online : Lima Ditahan, 13 Kes Jenayah Sekitar Perak Dan Lembah Klang Selesai:

'via Blog this'

Dua Suspek Kes Samun, Bunuh Berjaya Diberkas Polis


GEORGE TOWN: Dua orang suspek yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun dan bunuh yang berlaku di sebuah kedai siber di Jalan Berapit Sabtu lalu, berjaya diberkas oleh polis, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Zahruddin Abdullah berkata kedua-dua suspek diberkas di Kampung Tun Sardon, Kubang Semang pada pukul 7 pagi, Khamis.

Kedua-duanya yang berasal dari Kubang Semang didapati positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek pertama yang dikenali sebagai 'Boy' berumur 25 tahun didapati pernah terlibat dengan jenayah yang melibatkan dadah. Manakala suspek kedua berumur 21 tahun didapati positif ujian dadah," katanya ketika ditemui pemberita di sini Jumaat.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 pagi Sabtu lalu, mangsa yang merupakan pelanggan kedai siber, Hoo Soon Lai, 37, diserang dua suspek yang memakai topi keledar dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di perut dipercayai kesan tikaman senjata tajam.

Katanya polis masih mengumpul bahan bukti untuk mengenal pasti senjata yang digunakan suspek dan mereka akan ditahan reman di Balai Polis Seberang Jaya sehingga Rabu depan.

Tambahnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, Zahruddin berkata polis kini sedang memburu seorang suspek lelaki yang terlibat dalam kejadian samun di Jalan Masjid Kapitan Keling pada pukul 7 petang, Khamis.

Suspek yang berang apabila gagal menarik beg tangan kepunyaan salah seorang mangsa bertindak menendang motosikal yang dinaiki kedua-dua beradik itu.

"Mangsa Siti Mariam Zulkifli, 25, yang mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala serta patah tangan manakala kakaknya, Noor Aishah 39, mengalami kecederaan ringan pada lengan dan kaki," katanya.

Siti Mariam kini mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Zahruddin berkata kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi balai polis terdekat. - BERNAMA

mStar Online : Dua Suspek Kes Samun, Bunuh Berjaya Diberkas Polis:

'via Blog this'

Terlepas hukum gantung


Oleh : ADILA SHARINNI BT WAHID
Tarikh : December 2, 2011
Terlepas hukum gantung

KOTA BHARU – Seorang ibu terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, mengesahkan wanita terbabit mengalami tekanan mental ketika membunuh anaknya yang berusia tujuh bulan dalam satu kejadian menyayat hati di Pasir Puteh di sini, tahun lalu.

Sebaliknya, Hakim Azman Abdullah mengarahkan wanita berkenaan, Marsuzana Che Muda, 32, supaya dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk diberi rawatan.

Azman dalam keputusannya berkata, Marsuzana adalah menjadi penyebab kematian bayi tersebut, namun disebabkan tekanan mental yang dialami ketika kejadian berkenaan, dia dilepaskan dari hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan keseluruhan keterangan saksi, mahkamah mendapati kamu tidak menyedari perbuatan itu dan akan ditahan di hospital sehingga mendapat perkenan Sultan.

“Pihak hospital akan memantau keadaan kamu dari masa ke masa dan tertakluk kepada mereka untuk membebaskan kamu kepada masyarakat apabila dirasakan selamat kelak,” katanya.

Ketika hakim membacakan keputusan itu, Marsuzana yang berada di kandang tertuduh kelihatan tenang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob sementara peguam bela, Mohd Zawahid Ya dan Nor Erini Mustafa Kamal mewakili Marsuzana.

Marsuzana didakwa membunuh, Alia Miazara Mohd Azim, tujuh bulan, di rumahnya di Kampung Gaal Tengah, Pasir Puteh di sini, antara jam 4.30 dan 5.30 pagi, 12 Disember lalu.

Kejadian disedari bapa wanita itu, Che Muda Salleh, 60, yang dikatakan mendengar jeritan Marsuzana sebelum melihat anak perempuannya itu memegang kedua-dua tangan bayinya secara tergantung dan kemudian melepaskannya ke lantai. Bayi malang itu, kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tengku Anis di sini.

Terlepas hukum gantung - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Banjir kilat melanda Kajang

02/12/2011 7:41pm


HULU LANGAT 2 Dis. – Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini sejak pukul 2 petang mengakibatkan banjir kilat melanda pusat bandar Kajang dan beberapa kawasan di sekitar daerah ini, petang ini.

Selain pusat bandar Kajang yang dilanda banjir kilat apabila paras air naik setinggi 0.3 meter, banyak kenderaan terperangkap dan ditenggelami air sejak banjir melanda kira-kira pukul 3 petang.

Beberapa premis perniagaan antaranya Plaza Metro Kajang dan Bank Hong Leong cawangan Kajang, turut dinaiki air setinggi 0.2, manakala kawasan lain yang terlibat adalah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, pasar Besar Kajang dan Jalan Jelok.

Selain itu, Sungai Kantan dan Jalan Semenyih, Kajang berhampiran Klinik Kajang dan Jalan Kelapa.

Di Sungai Kantan, banjir turut melanda beberapa kawasan perumahan di situ sehingga menyebabkan seramai sembilan penduduk termasuk tiga warga emas terpaksa dipindahkan setelah terperangkap di rumah masing-masing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian banjir itu kira-kira pukul 3.51 petang.

Beberapa klip video sekitar banjir itu turut berlegar dan dikongsi oleh pengguna laman sosial Youtube dan Facebook, termasuk video yang menunjukkan seorang wanita yang terperangkap diselamat oleh orang ramai.

- Utusan

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Temui mayat bertatu pada lengan


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 2, 2011

SENAI - Polis menemui mayat yang mempunyai tatu pada kedua belah lengan di sebuah kawasan berdekatan tempat memancing di jeti Kong Kong, Masai, Pasir Gudang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin berkata, pihaknya diberitahu berhubung penemuan mayat itu sekitar jam 1 petang daripada individu yang melalui kawasan terbabit.

“Siasatan awal mendapati mangsa memiliki tatu naga pada lengan kanan, manakala di sebelah kirinya mempunyai satu tatu ikan.

“Ketika ditemui, kepala mangsa berbungkus dengan beg plastik yang diikat menggunakan tali.

“Kita mendapati ada tanda-tanda pada tangan dan kaki mayat ini yang menunjukkan bahawa mangsa telah diikat, sebelum dicampakkan ke dalam Selat Johor, “ katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Roslan berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui, namun pihaknya percaya individu terbabit adalah warga asing.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail, dekat sini, untuk dibedah siasat.

“Mangsa berusia lingkungan 20an, mempunyai kulit cerah dan memakai kemeja serta berseluar jean biru.

“Sukar untuk kita mengenal pasti mangsa kerana mayatnya sudah kembung dan percaya ia sudah dibuang lebih daripada sehari. Kita akan menyiasat perkara ini dalam semua sudut,” katanya.

Roslan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai diminta untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Hotline polis di talian 07-2212999 atau membuat laporan di balai polis yang terdekat.

Temui mayat bertatu pada lengan - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Temui ajal dalam kereta


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 2, 2011
Temui ajal dalam kereta

KOTA TINGGI - Seorang penjual kopi ditemui mati di dalam kereta jenis Proton Wira Aeroback dipercayai akibat diserang sakit jantung pagi semalam.

Kakak mangsa, Zaleha Ram­­lan, 49, berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, Lok­­man Ramlan, 43, yang tinggal di Taman Kota Jaya, di sini turut membawa anak perempuannya, Dinah Alisa berusia enam tahun untuk mengedar paket serbuk kopi campuran kepada pelanggan tetapnya di kawasan komersial taman perumahan itu.

Menurut ahli keluarganya, sebelum kejadian, mangsa bersama anaknya bersarapan di sebuah kedai di situ dan sempat membelikan anaknya aiskrim.

Namun, setibanya di Jalan Pedada di taman itu, mangsa dipercayai diserang sakit jantung lalu memperlahankan keretanya ke tepi jalan deretan kedai di situ sebelum kereta tersebut bergerak perlahan tanpa kawalan sejauh lima meter lalu terhenti apabila tersangkut pada bahagian tepi sebuah lori yang diparkir secara melintang di situ.

Orang ramai yang terkejut dengan kejadian itu segera menghubungi Hospital Kota Tinggi sebelum menghubungi waris mangsa melalui telefon bimbitnya.

Isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini serta ibu mangsa, Dinah Abu Bakar, 68, turut kelihatan di tempat kejadian selepas menerima maklumat tentang kejadian yang menimpa Lokman.

Sementara itu, Zaleha ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi berkata, adiknya itu (Lokman) pernah bekerja di sebuah bank sebelum berhenti setahun lalu untuk berniaga.

“Sebelum ini, arwah tidak pernah mengadu sakit dan dia seorang yang gigih bekerja.

“Apa yang menyedihkan pada enam tahun lalu, bapa saya, Ramlan Samad, seorang pesara guru juga meninggal dunia secara mengejut ketika sedang berada di dusun buah-buahannya bersama ibu saya. Kini sudah dua kejadian mati mengejut berlaku dalam kalangan ahli keluarga kami, namun begitu kami terimanya sebagai takdir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik yang mengesahkan kejadian berkata, hasil laporan bedah siasat mengesahkan sebab kematian Lokman adalah akibat serangan jantung.

“Jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bukit Lintang, Lukut di sini untuk dikebumikan petang ini (semalam),” katanya.

Temui ajal dalam kereta - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sembilan motosikal disita


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 2, 2011
Sembilan motosikal disita

SEGAMAT - Sebanyak sembilan motosikal disita pihak Majlis Daerah Segamat semalam atas kesalahan meletakan motosikal di tempat yang salah selain menghalang laluan pejalan kaki di beberapa kaki lima sekitar kawasan bandar ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat Ismail Abu berkata, pihaknya sebelum ini sudah menjalankan tindakan sama di beberapa kawasan tumpuan orang ramai dan pejalan kaki.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak sembilan hingga 15 buah motosikal disita MDS dalam jangka masa seminggu berkaitan kesalahan meletakkan kenderaan di tempat yang salah dengan hampir lima buah kereta disita dalam jangka masa sebulan.

“Pihak MDS melihat perkara ini perlu diberi perhatian oleh setiap penunggang motosikal selain pemilik kenderaan (kereta) untuk mengambil berat setiap notis yang telah diletakkan sebelum kenderaan mereka disita.

“Setiap kereta atau lori yang ditarik tidak dilakukan hanya dengan satu notis sahaja malah pihak MDS telah memutuskan untuk memberikan peluang kepada pemilik bagi mengalihkan kenderaan mereka dengan anjakkan beberapa hari dari tarikh notis dikeluarkan dan ada yang diberi peluang sehingga dua notis dikeluarkan untuk sebuah kenderaan,” katanya.

Menurutnya, kenderaan yang ditarik oleh pihak MDS seperti kereta melakukan kesalahan seperti membiarkan kenderaan tersebut di lorong belakang, terbiar atas tanah kerajaan dan kebanyakannya disita kerana terbiar dalam jangka masa yang sangat lama.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa MDS, Raja Abu Bakar Raja Yahya berkata, setiap kenderaan yang ditarik oleh pihak MDS perlu dituntut oleh pemiliknya dengan hadir terus ke stor MDS di Jalan Muar untuk membuat tuntutan kenderaan mereka.

“Bagi sebuah kenderaan seperti motosikal denda dikenakan sebanyak RM250 dan perlu dituntut dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan denda lain dikenakan.

“Semua pihak perlu mengambil kira setiap undang-undang yang disediakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku sekali gus memudahkan dan melancarkan laluan lalu lintas,” katanya.

Sembilan motosikal disita - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penternak ikan hiasan kerugian RM300,000


Oleh : SH ZAILA
Tarikh : December 2, 2011
Sungai Siput - Seorang penternak ikan hiasan di Sungai Siput rugi RM300,000 apabila 26 ikan jenis Arowana Emas dipercayai dicuri.
Penternak ikan hiasan kerugian RM300,000 - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pemilik kilang roti dakwa ditipu


Oleh : SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
Tarikh : December 2, 2011
Pemilik kilang roti dakwa ditipu

IPOH - Seorang pemilik kilang roti di sini dakwa menjadi mangsa penipuan seorang lelaki ketika membeli besi bernilai RM403,408 sejak setahun lalu.

Tan Kim Sing, 58, berkata, lelaki yang dikenali sebagai ‘Wong’ itu turut mendakwa dirinya adalah seorang pemilik sebuah kilang besi dan boleh membantunya membeli besi dengan potongan harga 10 hingga 20 peratus.

Menurut Kim Seng yang juga Pengarah Urusan kilang berkenaan, dia turut memberikan 10 keping cek mulai November tahun lalu sehingga November tahun ini kepada ‘Wong’ bagi tujuan membeli besi-besi berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika berjumpa dengan ‘Wong’, saya dapati besi-besi berkenaan sebenarnya adalah beberapa longgokan besi-besi buruk. Jelas sekali besi-besi berkenaan tidak boleh digunakan untuk membina kilang.

“Saya maklumkan kepadanya yang saya mahukan besi baru bagi menggantikan besi-besi buruk itu. ‘Wong’ kemudiannya berjanji untuk memberikannya.

“Tetapi sehingga ke hari ini besi-besi berkenaan masih tidak diperoleh, malah ‘Wong’ juga gagal dihubungi.

“Saya percaya dia mahu menipu, sebelum membuat laporan di Balai Polis Menglembu pada 10 November lalu,” katanya.

Kim Sing berkata demikian ketika membuat aduan di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan cuba untuk menghubungi ‘Wong’ dan seterusnya mengaturkan pertemuan dengannya bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Katanya, pihaknya juga tidak mahu terburu-buru dalam hal ini dan berharap agar ‘Wong’ segera tampil bersemuka dalam masa terdekat.

“Ini jalan terbaik. Buat masa ini, polis juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana Kim Sing dan ‘Wong’ sekadar menjalankan urus niaga.

“Apa pun, saya harap perkara dapat diselesaikan dengan baik dan ianya juga sebagai peringatan kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya dalam hal-hal sebegini pada masa hadapan,” katanya.

Pemilik kilang roti dakwa ditipu - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

RM25,000 lesap diragut


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 2, 2011
RM25,000 lesap diragut

SUNGAI SIPUT (U) – Seorang pekerja kilang berputih mata apabila wang sebanyak RM25,000 yang baru sahaja dikeluarkan dari sebuah bank di pekan Sungai Siput, di sini, Selasa lalu, lesap setelah menjadi mangsa ragutdi sebuah restoran berdekatan.

Pada kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang lelaki keluar daripada sebuah bank dan tiba-tiba diserang seorang lagi lelaki yang tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim, berkata, mangsa berusia 50 tahun itu adalah bekerja di sebuah kilang dan menjadi wakil untuk mengeluarkan duit untuk tujuan tertentu.

Menurutnya, setelah keluar dari bank berkenaan, mangsa tidak terus beredar kerana menuju ke sebuah kedai untuk mengambil makanan yang dipesan.

“Setelah mengeluarkan wang dari bank, mangsa memasukkan duit di dalam sampul dan membawanya ketika menunggu untuk mengambil makanan yang dipesan.

“Kedai makan berkenaan berada berhampiran bank dan ketika menunggu seorang lelaki memakai topi keledar menendangnya dari arah belakang,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beliau berkata, selepas itu, lelaki berkenaan terus meragut sampul berisi duit yang dibawa mangsa dan lari menyeberangi jalan.

Jelasnya, seorang rakan peragut menunggu di seberang jalan menggunakan motosikal dan mereka terus memecut lari.

“Kami tidak menolak kemungkinan gerak-geri mangsa sudah diperhatikan penjenayah sebelum kejadian itu.

“Kemungkinan besar penjenayah sudah memerhatikan mangsa sebelum ini dan sudah menjadikannya sebagai sasaran kerana bukan kali pertama mangsa keluarkan wang di bank berkenaan,” katanya.

Azman berkata, sehingga kini, tiada kes ragut dilaporkan berlaku di kawasan itu dan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, saksi kejadian atau individu yang mempu­nyai maklumat suspek diminta tampil dengan menghubungi balai berhampiran.

RM25,000 lesap diragut - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Guna emel, SMS keluarkan wang


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 2, 2011
Guna emel, SMS keluarkan wang

KAMUNTING – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik penipuan licik pengeluaran wang di bank oleh pihak tidak diketahui.

Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, dia juga menjadi seorang mangsa penipuan berkenaan bagaimanapun, tindakan cepat yang dilakukannya berjaya menyelamatkan wangnya.

Menurutnya, satu emel diterima daripada bank pada 27 November lalu mengatakan ‘pac’ diperlukan untuk setiap transaksi ketika dia berada di Langkawi.

“Saya diminta untuk menge­mas kini di tempat ‘tekan sini untuk teruskan’ dan berbuat demikian mengikut arahan tersebut pada 28 November lalu.

“Tujuh minit kemudian, saya menerima mesej pesanan ringkas (SMS) menyatakan RM3,000 dikeluarkan da­ri akaun untuk diberikan ke­pada individu tidak dikenali,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dia terus menghubungi bank berkenaan bagi melaporkan penipuan tersebut tetapi panggilan tidak berjawab kerana talian sibuk.

Katanya, selepas itu, satu lagi SMS diterima dan kali ini sebanyak RM5,000 dikeluarkan untuk diberikan kepada orang yang sama.

Billy berkata, dia berjaya bercakap dengan seorang pegawai bank dan memaklumkan mengenai perkara itu seterusnya pegawai tersebut membantu menyekat akaunnya.

“Saya ke cawangan bank berkenaan di Kamunting pada hari yang berikutnya untuk mengetahui perkembangan.


“Saya bersyukur kerana menurut pengurus bank, wang dalam akaun saya masih selamat kerana tindakan cepat saya dan pihak bank,” katanya.

Beliau berharap, orang ramai yang menerima emel atau SMS yang mencurigakan terus ke bank bagi tindakan lanjut.

Guna emel, SMS keluarkan wang - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bas ekspres terbabas


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 2, 2011
Bas ekspres terbabas

TEMERLOH – Seramai 13 penumpang sebuah bas ­ekspres milik syarikat Kuala Tahan Ekspress terselamat selepas kenderaan dinaiki dari Kuala Perlis ke Jerantut terbabas di Kilometer 109.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, kejadian jam 6.30 pagi itu berlaku apabila pemandu bas, Saifulhamizi Mohamad, 31, gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum bergesel ­dengan besi pengadang jalan di kiri jalan.

Menurutnya, akibat pergeseran badan bas dengan besi pengadang jalan mengakibatkan bas menggelongsor ke ­tebing lebuh raya terbabit.

“Bas terbabit hanya ter­babas dan tidak terbalik dan semua 13 penumpang yang ada tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Mohd Nor berkata, ­pemandu bas yang berasal dari Bandar Pusat Jengka, Maran, mempunyai lesen memandu yang sah, kejadian berlaku di laluan lurus, sehala dan dua ­lorong serta ketika keadaan cuaca baik dengan permukaan ­jalan kering.

Mohd Nor menasihati semua pengguna jalan raya di daerah ini supaya memandu dengan lebih berhati-hati ter-utama ketika keadaan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur sejak kebelakangan ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nor menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka terutamanya ketika musim cuti sekolah ketika ini.

Bas ekspres terbabas - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kolam ragut nyawa dua budak


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 2, 2011
Kolam ragut nyawa dua budak

SIJANGKANG – Dua kanak-kanak berusia 4 tahun maut akibat lemas setelah tergelincir ke dalam sebuah kolam sedalam 300 meter terletak dalam kawasan kebun kelapa sawit berdekatan rumah mereka di Batu 8, di sini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, R Sritharan dan sepupunya A Nishan, sebelum itu dikatakan leka bermain di kawasan kebun berkenaan sebelum didakwa terjatuh ke dalamnya.

Kedua-dua mayat mangsa ditemui seorang pengutip buah kelapa sawit yang enggan dikenali dalam keadaan terapung dan bertindak memaklumkan kepada penduduk berhampiran sejurus selepas itu.

Sementara itu, jurucakap polis, Balai Polis Telok Panglima Garang, berkata, kedua-kedua mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membiarkan anak kecil bermain di kawasan merbahaya yang jauh dari kawasan rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, seorang penduduk, Hashim Isa, 33, berkata, dia yang turut menerima maklumat mengenai tragedi dua kanak-kanak itu turut menasihatkan ibu bapa yang tinggal di kawasan itu supaya berwaspada dalam memastikan kawasan anak-anak mereka bermain perlu selamat.

“Kebanyakan kawasan di sini berisiko terjadi kemalangan yang tidak diingini sekiranya tidak dipantau.

“Ibu bapa perlu menjaga anak-anak kecil supaya tidak bermain di kawasan kolam, sungai atau kebun mereka bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi,” katanya.

Kolam ragut nyawa dua budak - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'