Search This Blog

Tuesday, November 29, 2011

Buruh Indonesia ke tali gantung

SHAH ALAM: Seorang buruh warganegara Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan senegaranya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Marionto Azlan, 37, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Akhtar berkata keterangan saksi yang melihat kejadian, kukuh dan tidak tergugat di peringkat pembelaan.

Beliau berkata keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata dan hujahan pihak pembelaan khususnya bahawa tertuduh tiada motif bukanlah satu keperluan untuk membuktikan kes bunuh.


"Sehubungan itu mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan tertuduh disabitkan dengan kesalahan serta dihukum gantung sampai mati," katanya.


Marionto didakwa bersama-sama empat orang yang masih bebas, membunuh Firdaus Koman, 36, juga seorang buruh, di kawasan tanah lapang Lorong Kemajuan 3, Kampung Pandan Dalam, Ampang dekat sini, kira-kira jam 7 malam pada 21 Januari 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 20 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Hani Mohd Adzhar sementara tertuduh diwakili peguam V Aravindhakshan. - Bernama

myMetro | Buruh Indonesia ke tali gantung:

'via Blog this'

PM Thai masuk hospital disyaki keracunan makanan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dilaporkan dirawat di hospital kerana disyaki keracunan makanan.

Salah seorang pengawal keselamatannya berkata, Yingluck memasuki Hospital Rama IX pada awal pagi tadi.
Beliau berkata, Yingluck kemungkinan menghidap keracunan makanan tetapi tidak dapat disahkan sama ada ia disebabkan makanan yang dimakannya.
Yingluck sepatutnya dijadual mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet awal pagi ini tetapi tugasnya itu diambil alih oleh Timbalan Perdana Menteri,
yang juga Menteri Dalam Negeri, Yongyuth Wichaidith. - AP
Berita Harian Online | PM Thai masuk hospital disyaki keracunan makanan:

'via Blog this'

Kereta BMW Pemilik Kebun Sayur Dirompak


KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kebun sayur di Batang Kali kerugian RM250,000 apabila kereta jenis BMW 5 Series miliknya dilarikan dua lelaki di Batang Kali dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Hulu Selangor Supt Norel Azmi Yahya Afendy berkata kejadian berlaku pada 7.15 malam itu di satu tempat letak kereta yang gelap apabila mangsa yang berumur 67 tahun, didatangi dua lelaki yang menghunuskan parang dan meminta kunci kereta daripadanya.

Katanya mangsa yang ketakutan terus menyerahkan kunci kereta itu sebelum suspek melarikan kereta berkenaan ke arah Tanjung Malim.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," kata Norel Azmi. - BERNAMA

mStar Online : Kereta BMW Pemilik Kebun Sayur Dirompak:

'via Blog this'

Ayam ‘banjir’ dipindahkan


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 29, 2011
Ayam ‘banjir’ dipindahkan

PENGKALAN KUBOR – Ratusan ekor ayam milik seorang warga emas yang terperangkap dalam banjir, terpaksa dipindahkan dengan bot apabila Kampung Kuala Jambu ditenggelami air, kelmarin.

Warga emas tersebut, Mat Yusof Saamah, 60, terpaksa memindahkan ayam itu dengan segera kerana dikhuatiri lima reban ayamnya itu akan tenggelam ketika paras Sungai Golok melepasi paras amaran.

Menurutnya, kerja–kerja memindahkan ayamnya ke tempat selamat adalah perkara biasa setiap kali kampungnya dilanda banjir.

“Beginilah situasi musim banjir, ketika orang lain sibuk menyelamatkan harta benda daripada dihanyutkan air bah, saya pula berulang alik mengangkut ayam dengan bot.

“Hari ini (kelmarin) saya berjaya memindahkan 720 ekor ayam yang sudah cukup umur dan boleh dijual bila–bila masa ini,” katanya.

Mat Yusof berkata, kesemua reban miliknya di kampung berkenaan menempatkan 6,500 ekor ayam dan perlu berwaspada paras air kerana dikhuatiri rebannya tenggelam nanti.

“Kesemua baki ayam berkenaan akan dipindahkan dalam masa terdekat, kalau air banjir semakin surut alhamdulillah, tidak perlulah saya bersusah payah memindahkannya.

“Tetapi sekiranya air banjir naik mendadak, kesemua ayam saya itu perlu dipindahkan dengan segera,” katanya.

Mat Yusof memaklumkan dia tidak mahu kerugian besar yang pernah dialaminya pada tahun 2004 berulang lagi apabila ayamnya mati terperangkap dalam banjir.

“Masa itu air naik dengan cepat tanpa sempat saya menyelamatkan ayam-ayam tersebut, dengan kerugian dianggarkan lebih RM16,000,” katanya.

Ayam ‘banjir’ dipindahkan - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Rosak akibat dipukul ombak


Oleh : ROSALWANI CHE SOH
Tarikh : November 29, 2011
Rosak akibat dipukul ombak

KOTA BHARU - Sebuah rumah penduduk di Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa di sini musnah dihem­pas ombak, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku pa­da jam 3 pagi itu menyebabkan rumah terbabit runtuh di sam­ping atap dan dinding rumah tercabut akibat bencana itu.

Penghuninya, Saodah Ibrahim, 67, berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana tinggal di rumah anak saudaranya yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan pantai.

“Mujurlah ketika kejadian tiada orang di rumah, lagipun makcik sudah menjangka ke­adaan rumah makcik yang ter­letak berhampiran laut amat berisiko jadi makcik ambil langkah selamat dan menumpang di rumahnya.

“Walaupun segala ba­rangan dalam rumah me­ngalami kerosakan yang teruk tetapi makcik bersyukur tiada kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Saaodah berkata, sehingga hari ini, dia masih menumpang di rumah berkenaan semen­tara menunggu untuk pindah ke kawasan baru.

“Sebelum ini Kerajaan Ne­geri berjanji memberi pam­pasan kepada lebih 15 pen­duduk di sini bagi mengambil alih kawasan ini untuk tujuan pembangunan.

“Setelah masalah ini di­paparkan di media ia akhirnya mendapat perhatian dan mak­cik amat bersyukur akan mendapat pampasan terbabit dan akan berpindah ke penempatan baru,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian memaparkan mengenai kisah penduduk terbabit yang ter­paksa menuntut janji pihak berkenaan ekoran hanya se­gelintir yang menerimanya sedangkan mereka berjanji memberi pampasan terbabit kepada 15 penduduk di situ.

Kawasan berkenaan be­risiko ditelan ombak ekoran keadaan pantai terbabit yang tidak mempunyai benteng dan kejadian terbabit sudah menenggelamkan lebih lima buah rumah di kawasan terbabit sejak 14 tahun lalu.

Rosak akibat dipukul ombak - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Angka korban cecah 11 orang


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 29, 2011

JAKARTA - Angka korban kejadian jambatan runtuh di pusat bandar Indonesia telah meningkat kepada 11 orang, semalam manakala 30 lagi yang dilaporkan hilang dikhuatiri maut.

Ketua pasukan pencari dan penyelamat, Sunarbowo Sandi berkata, sebahagian mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam bas dan kereta yang telah tenggelam di dalam Sungai Mahakam pada hari kejadian.

Jambatan berusia 10 tahun sepanjang 700 meter itu dilaporkan runtuh, Sabtu lalu selepas kabel keluli sokongan yang digunakan untuk kerja membaik pulih didakwa telah patah secara tiba-tiba.

Jambatan tersebut menjadi laluan utama menghubungkan bandar Tenggarong dan Samarinda di wilayah Kalimantan Timur.

Angka korban cecah 11 orang - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki pekak saman kerana tak puas hati


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 29, 2011

WASHINGTON - Seorang lelaki pekak memfailkan saman selepas tidak berpuas hati kerana dipenjarakan selama 25 hari tanpa sebab pada Mei, tahun lalu.

Timothy Siaki yang tidak boleh membaca gerakan bibir atau menulis dalam bahasa Inggeris mendakwa pegawai daerah Adams telah mencabuli Akta Golongan Kurang Upaya kerana mereka tidak menyediakan penterjemah bahasa isyarat untuk menjelaskan apa yang berlaku kepadanya pada masa itu.

Peguamnya, Kevin William berkata, Siaki ditahan pihak berkuasa semasa terlibat dalam pertengkaran bersama tunangnya di sebuah motel selepas dia didakwa gagal mematuhi arahan polis kerana masalah cacat pendengaran yang dialaminya.

Lelaki pekak saman kerana tak puas hati - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

12 remaja ditahan


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 29, 2011
Polis

BAGAN SERAI - Kumpulan Walad Kechik yang terlibat dalam kes curi motosikal sekitar daerah ini tumpas dengan penahanan 12 remaja baru-baru ini.

Tangkapan itu dilakukan oleh Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Task­force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dalam Ops Curi Motosikal pada 10 hingga 25 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superitendan Mat Fauzi Na­yan berkata, pada operasi itu, menahan dua pelajar tingkatan lima ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pe­la­jaran Malaysia di Nibong Tebal.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya turut menahan 10 lagi rakan mereka berumur 17 hingga 24 tahun dipercayai ahli kumpulan Walad Kechik.

“Dua dari 12 remaja berkenaan mempunyai lima rekod jenayah lampau dan telah pun dituduh di mahkamah.

“Hasil siasatan, kami menemui 12 rangka motosikal yang dibuang ke dalam tangki najis dan tali air di kawasan Sungai Acheh serta Bagan Serai dengan bantuan Polis Marinm” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Bagan Serai, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapati, remaja berkenaan meleraikan komponen motosikal yang dicuri mereka dan menjualnya sebagai alat ganti.

Jelasnya, penahanan itu, turut membantu pihaknya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal di daerah ini, Selama, Seberang Perak dan Seberang Prai, Pulau Pinang. “Kini, kami giat menjalankan operasi bagi membanteras jenayah curi motosikal di daerah ini walaupun statistik kes berkenaan di daerah ini semakin menurun.,” katanya.

12 remaja ditahan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Terperosok bawah kereta


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 29, 2011
Kemalangan

BENTONG – Seorang remaja maut dalam ­kemalangan yang berlaku di Kilometer 9.8 Jalan Bentong-Raub berhampiran Kilang Lee Rubber petang kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa, Bakri Bah Hit, 17, beralamat di Pos Titon, Kuala Lipis ­menunggang motosikal jenis Yamaha LC seorang diri dari arah Bentong ke Raub. Menurutnya, ­setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kemudian bertembung dengan sebuah kereta Kia Spectra yang dinaiki dua orang termasuk pemandu dan penumpang dari arah Raub ke Bentong.

“Akibat pertembungan itu, mangsa ter­perosok di bawah kereta tersebut dan terpaksa di­keluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bentong,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mangsa ­mengalami kecederaan parah di bahagian ke­pala dan disahkan mati di tempat kejadian. Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga. “Siasatan masih d­iteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terperosok bawah kereta - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dua rakyat Myanmar diburu


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 29, 2011

KUANTAN - Polis Pahang sedang mencari dua beradik rakyat Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegara mereka di Kampung Kasing, Pianggu, dekat Rompin pada 20 Nov lepas.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kedua-dua beradik itu dikenali sebagai Khin Then Maung, 41, dan adiknya Khin Tin Maung, 35.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Soe Myint, 28, mati ditetak beberapa kali dengan senjata tajam di bahagian badan.

Dua rakyat Myanmar diburu - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat pelajar lemas dijumpai terapung bersama sampah


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 29, 2011

MACHANG - Mayat seorang pelajar yang dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Sat, dekat sin, Sabtu lepas dijumpai terapung sejauh lapan kilometer dari tempat kejadian petang ini.

Ketua Polis Daerah Machang DSP Che Malek Bedot berkata mayat Mohd Alif Razman Azman, 15, ditemui dalam longgokan buluh dan sampah sarap di Kampung Tandak oleh penduduk Kampung pada pukul 1.05 petang.

"Mangsa bersama tujuh rakannya sebelum itu mandi di Sungai Sat, Kemuning pada pukul 4.30 petang dan dihanyutkan arus deras setengah jam kemudian," katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi dijalankan oleh 91 anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan termasuk Polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA) dan Unit Res Q Jabatan Pelajaran Negeri.

Mayat murid tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai itu dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat, katanya.

Mayat pelajar lemas dijumpai terapung bersama sampah - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki bebas tuduhan bunuh isteri, cederakan anak kerana tidak waras


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 29, 2011

SHAH ALAM - Seorang penganggur hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan membunuh isteri dan mencederakan anak perempuannya selepas didapati tidak waras semasa melakukan
perbuatan itu, dua tahun lepas.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan R.Devarase, 56, ditahan di Penjara Sungai Buloh selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor.

Dalam penghakimannya, Siti Mariah berkata pembelaan berjaya membuktikan Devarase tidak waras dan tidak siuman semasa kejadian serta tidak mengetahui perbuatannya itu bersifat jenayah.

Beliau berkata saksi kedua pembelaan, pakar psikiatri Dr Ahmad Syukri Chew Abdullah dalam keterangannya juga mengesahkan bahawa Devarase mengalami kemurungan teruk dengan gejala psikotik dan keterangannya itu tidak dibantah pihak pendakwaan.

"Sehubungan itu, mahkamah menerima keterangan saksi itu dan mendapati tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," katanya.

Devarase didakwa membunuh isterinya, S.Lacheme, 47, di rumah No: 21, Jalan Sri Damak 15, Taman Sri Andalas, Klang dekat sini, kira-kira pukul 9 pagi pada 11 Jun 2009. Lelaki itu juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan menikam anak perempuannya, D.Sharala 23, menggunakan sebilah pisau di tempat, masa dan tarikh yang sama. Mengikut rekod perubatan Devarase, lelaki itu sepatutnya menghadiri temuduga kerja pada hari kejadian, bagaimanapun dia terlewat bangun menyebabkan Lacheme memarahinya.

Devarase yang tidak tahan mendengar leteran Lacheme bertindak mencekik wanita itu dan menikamnya di bahagian dada menggunakan pisau. Sepanjang perbicaraan, seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi
keterangan manakala pembelaan mengemukakan dua orang saksi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Hana Hadinah S. Mohd Ghazali sementara Devarase diwakili peguam K.A.Ramu

Lelaki bebas tuduhan bunuh isteri, cederakan anak kerana tidak waras - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pilihan raya Congo dicemari keganasan, tiga ditembak mati

KINSHARA 29 Nov. - Pilihan raya umum Republik Demokratik Congo dicemari insiden keganasan apabila penduduk di bandar Kananga bertindak membakar tempat undi, semalam.

Kekacauan tersebut bermula apabila proses pengundian tertangguh ekoran kelengkapan pengundian tidak dihantar dan keadaan bertambah buruk selepas pengundi mendapati kotak undi tersebut tersumbat.

Kira-kira 15 tempat undi dibakar di kawasan yang menjadi kubu kuat pemimpin pembangkang, Etienne Tshisekedi, yang juga pencabar utama Presiden Joseph Kabila.

Sementara itu, pihak berkuasa Congo menembak mati tiga lelaki bersenjata dan menahan tujuh lagi selepas disyaki menyerang sebuah tempat undi di Lubumbashi, semalam.

"Tiga terbunuh, tujuh ditahan dan lima lagi menyerah diri selepas dikepung pihak tentera," kata Datuk Bandar Katanga, Moise Katumbi. - REUTERS/ AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

| Wanita mengaku jalin hubungan dengan Herman Cain

Ginger White
Ginger White
WASHINGTON: Seorang wanita hari ini mengakui menjalin hubungan sulit selama 13 tahun sehinggalah ia berakhir sebaik Herman Cain mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Presiden Amerika Syarikat.

“Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata Cain bagi menafikan sekeras-kerasnya mengenai wujudkan salah laku seksual yang dilakukannya itu.
Namun, wanita dari Georgia, Ginger White, dalam satu temubual stesen televisyen Fox 5 di Atlanta, berkata sejak beberapa tahun, Cain membayar tiket kepal terbangnya bagi membolehkannya bertemu di beberapa bandar raya.
“Ia amat menyeronokkan. Ia sesuatu yang boleh menyebabkan saya melupakan kehidupan saya yang sukar ketika itu. Ia amat menggembirakan dan teruja," katanya.

Bekas Speaker itu bercerai dua kali dan berkahwin tiga kali, termasuk dengan isterinya sekarang, yang mempunyai hubungan sulit dengannya ketika dia masih berkahwin dengan isteri kedua.

Cain berulang kali menafikan pernah mengganggu sesiapa secara seksual dan pasukan kempennya berkata mereka mahu melupakan isu itu.

Peguam salah seorang wanita yang menuduh Cain, Jumaat lalu berkata anak guamnya mempunyai beberapa kejadian gangguan seksual terhadap calon presiden itu ketika dia menjadi Presiden Persatuan Restoran Kebangsaan pada 1990-an. - Ap
Berita Harian Online | Wanita mengaku jalin hubungan dengan Herman Cain:

'via Blog this'

Mayat penghuni Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil dibedah siasat

KUALA LUMPUR: Seorang penagih dadah yang meninggal dunia selepas pengsan di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil, petang semalam akan dibedah siasat hari ini bagi mencari punca kematiannya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh, berkata bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Segala maklumat lanjut akan diketahui esok semasa saya membuat sidang media di pejabat saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Lelaki berumur 50 tahun itu ditemui pengsan di lokapnya pada 3.45 petang sebelum dihantar ke HKL oleh anggota polis yang bertugas, bagaimanapun doktor yang merawatnya mengesahkan beliau meninggal dunia setengah jam kemudian.

Siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan atas reman kes narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sejak 23 November lalu tidak mengalami sebarang kecederaan luaran. - BERNAMA
Berita Harian Online | Mayat penghuni Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil dibedah siasat:

'via Blog this'

JKM Kedah cari waris bayi lelaki

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah mencari ibu, bapa atau waris kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar 14 November lalu.

Pengarah JKM Kedah, Zulkiply Ramli, berkata selepas ditemui orang awam, bayi yang diberi nama Adam Haris, berumur 15 hari itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan dan kini dibenarkan keluar hospital.
"Kami memohon kepada ibu, waris atau mana-mana individu yang mengenali atau mengetahui tentang kes ini agar menghubungi Pelindung Kanak-Kanak di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Mohd Basharudin Samsudin atau Rosmini Meh di talian 04-7202370 atau 04-7202351," katanya.
Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, Zulkiply, berkata untuk tempoh sebulan di bawah jagaan sementara, bayi berkenaan ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Jitra. - BERNAMA
Berita Harian Online | JKM Kedah cari waris bayi lelaki:

'via Blog this'

Polis serbu tempat perkhemahan penunjuk perasaan, seorang maut


29/11/2011 4:07am

DONETSK 29 Nov. - Seorang daripada 30 penunjuk perasaan yang melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap pemotongan wang pencen, dilaporkan mati selepas tempat perkhemahan mereka diserbu pihak polis di timur Ukraine, semalam.

Ketua penunjuk perasaan, Nikolai Goncharov berkata, mangsa, Gennady Konoplyov, 70, jatuh sakit dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital selepas serbuan pihak polis di kawasan perlombongan di Donetsk.

"Serbuan polis di kawasan perkhemahan itu merupakan perbuatan keganasan," katanya.

Kumpulan tersebut merupakan penduduk yang terselamat dalam insiden nuklear Chernobyl dan bertindak melancarkan mogok lapar sejak 14 November lalu. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Penjenayah larikan anak ditinggal dalam kereta


KUALA LUMPUR 28 Nov. - Tindakan seorang lelaki meninggalkan anaknya dalam kereta yang tidak dimatikan enjin membawa padah apabila kenderaannya itu dilarikan seorang lelaki.

Kejadian mencemaskan itu berlaku di Taman Perindustrian Kepong pukul 9.30 pagi ini ketika mangsa yang berusia 37 tahun singgah di sebuah kedai untuk membeli barang.

Dia yang membawa seorang anak lelaki berusia 5 tahun meninggalkan kereta jenis BMW dipandunya itu di hadapan deretan rumah kedai di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, ketika kembali ke kereta, mangsa terkejut setelah ternampak seorang lelaki berada di dalam keretanya. Sebaik sahaja ternampak mangsa, lelaki itu segera memecut kereta berkenaan membawa bersama anak lelaki mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, cemas dengan kejadian itu, mangsa meminta bantuan orang ramai dan meminjam sebuah motosikal penduduk untuk mengesan kenderaannya.

Bagaimanapun, katanya, setelah hampir sejam mencari, mangsa gagal menemui keretanya dan membuat laporan di Balai Polis Kepong.

Berikutan itu, gerakan mencari dilakukan dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

"Kanak-kanak itu kemudian ditemui dan menurut saksi sebuah kereta jenis Nissan berwarna perak dilihat menurunkan kanak-kanak itu di sebuah kawasan perumahan Bandar Baru Sri Damansara kira-kira pukul 11.30 pagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Tambah Rosly, usaha mencari dan memburu suspek diteruskan pihaknya sehingga berjaya menangkap empat individu termasuk seorang wanita yang dipercayai suspek yang bertanggungjawab meninggalkan kanak-kanak itu.

Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 34 tahun ditahan di sebuah hotel di Sungai Buloh berdasarkan pengecaman kenderaan yang digunakan mereka ketika meninggalkan anak mangsa.

Ketika ini, kata Rosly, polis masih mengesan kereta BMW milik mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak meninggalkan ahli keluarga dan kenderaan dalam keadaan enjin dihidupkan kerana ia memberi peluang berlakunya jenayah.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Peluru sesat: 2 beradik terselamat



Foo Yong Kent melihat kesan tembakan perompak terkena pada kereta bapanya dalam kejadian rompakan kedai emas di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, semalam.


MARANG 28 Nov. - Dua beradik melalui pengalaman mengerikan apabila mereka nyaris terkena tembakan peluru sesat yang dilepaskan seorang perompak di luar sebuah kedai emas di pekan Wakaf Tapai dekat sini hari ini.

Ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, Foo Yong Kent, 9, dan Foo Yong Jack, 6, sedang berada di dalam kereta menunggu ibu mereka, Wee Sow Tian, 46, membasuh tangan di kedai milik keluarga itu sebelum ke bandar Kuala Terengganu.

Satu das tembakan yang dilepaskan perompak itu menembusi cermin hadapan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dinaiki kanak-kanak itu namun mujur ia tidak mengenai mereka.

Meskipun dua kanak-kanak itu terselamat dan tidak mengalami kecederaan, mereka kini berada dalam keadaan trauma berikutan kejadian tersebut.

Ketika tembakan peluru sesat itu dilepaskan, Yong Kent berada di tempat duduk depan sebelah pemandu manakala adiknya, Yong Jack di kerusi belakang.

Tembakan dilepaskan perompak terbabit ke arah pemilik kedai emas sebelum melarikan diri bersama rakannya dengan sebuah motosikal menghala ke Bukit Payong.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, tembakan itu dilepaskan sebaik sahaja penjenayah itu terserempak dengan pemilik premis berkenaan ketika cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, pemilik kedai emas terbabit terselamat kerana dia sempat mengelak dengan menyorok di tepi sebuah kereta.

"Kedua-dua penjenayah sebelum itu melarikan satu dulang barang kemas bernilai RM10,000 setelah merompak kedai emas itu menggunakan sepucuk pistol dan tukul besi," katanya di sini hari ini.

Berikutan itu, polis melancarkan operasi memburu dua penjenayah terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di talian 09-6812222 bagi membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Lumba haram sambut 1433H



Anggota polis mengawal sebahagian mat rempit yang ditahan semasa operasi oleh polis Bukit Aman di Kelebang, Ipoh, kelmarin. - utusan/Mohd. Najib Mohd. Nor


IPOH 28 Nov. - Ketika umat Islam menyambut Maal Hijrah 1433 Sabtu lalu, ratusan anak muda bermotosikal menjadikan jalan raya di kawasan Kelebang di sini sebagai medan untuk berlumba haram dengan masing-masing mempamerkan pelbagai aksi ngeri.

Bagi mencegah gejala tidak sihat ini yang dikesan sejak beberapa bulan lalu daripada berterusan, Unit Khas Pasukan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengadakan Ops Rempit di kawasan tersebut.

Hasilnya, sebanyak 150 penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang dalam operasi yang julung kali diadakan di sini awal pagi semalam.

Ops Rempit itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, operasi yang bermula pukul 12 tengah malam hingga pukul 5 pagi itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, kawasan Kelebang dijadikan 'litar lumba haram' yang terakhir selepas kumpulan samseng jalanan itu melalui kawasan Sungai Siput dan pusat bandar Ipoh.

Katanya, suasana di kawasan itu mulanya sunyi, hanya kelihatan beberapa motosikal yang lalu lalang bagi memastikan keadaan betul-betul selamat sebelum kumpulan samseng jalanan itu mula beraksi lumba haram kira-kira pukul 3.45 pagi.

"Seramai 12 lelaki bawah umur 18 tahun antara 120 penunggang yang ditahan. Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 20 tahun.

"Sebahagian daripada mereka menggunakan motosikal Honda EX5 dan diubah suai untuk lumba haram. Pihak polis turut merampas sejumlah objek tajam seperti paku yang ditabur di atas jalan raya sebagai persediaan ketika dikejar pihak berkuasa.

"Sebahagian daripada mereka melarikan diri serta meninggalkan motosikal masing-masing ketika serbuan dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini awal pagi semalam.

Khuzir memberitahu, sebanyak 77 buah motosikal disita selain 67 saman trafik dikeluarkan dan 27 saman JPJ.

Tujuh daripada penunggang yang ditahan disahkan positif mengambil dadah, manakala seorang penunggang cuba melarikan diri dengan merempuh sebuah kereta peronda telah ditahan mengikut Seksyen 43 Akta JPJ.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'